Showing posts with label buku motivasi. Show all posts
Showing posts with label buku motivasi. Show all posts

Sunday, November 13, 2016

Book Review: Act Like A Lady, Think Like A Man

Tajuk: Act Like A Lady, Think Like A Man

Penulis: Steve Harvey

Menariknya Buku Ini:

Beberapa minggu kebelakangan ini Patung Beruang berpeluang menatap buku-buku yang bagus, karya-karya yang hebat yang membuatkan Patung Beruang terpaku menatapnya. Dan usai sahaja pembacaan, satu perasaan puas yang sangat sukar untuk digambarkan, wujud dalam diri ini. Dan honestly, buku ini adalah salah satu yang mewujudkan perasaan sedemikian. 


Act Like A Lady, Think Like A Man karya Steve Harvey, seorang pengacara dan pelawak antarabangsa yang terkenal. Jika sesiapa yang pernah menonton Little Big Shots yang ditayangkan di saluran Diva, pasti tidak akan kering gusi melihat telatah Steve melayan tetamu ciliknya. 

Naskah ini terbahagi kepada 3 Bahagian dan mempunyai 15 Bab. Secara umumnya, buku ini membawa kita, pembaca wanita masuk kedalam peti fikiran lelaki dan mula memahami cara pemikiran mereka dan rasional disebalik character mereka yang biasanya sukar diterima oleh wanita. 

Ada banyak tips yang berguna didalam buku ini yang boleh digunapakai oleh wanita bagi memahami lelaki dengan lebih jelas iaitu:

1.  Lelaki adalah makhluk Tuhan yang tidak cerewet, tidak kompleks dan mudah. 

2.  Lelaki dipacu oleh siapa diri mereka, apakah pekerjaan mereka dan berapakah jumlah wang yang mereka perolehi. Tidak kisahlah siapa pun mereka, golongan profesional, pekerja bawahan, buruh kasar, petani atau siapa saja, 3 perkara ini adalah asas yang menjadikan diri mereka seorang lelaki. 

3.  Selagi lelaki itu belum mencapai matlamatnya (iaitu 3 perkara asas diatas), selagi itulah wanita hanya memainkan peranan yang kecil dalam hidupnya. 

4.  Lelaki mahu berasa yang mereka lah lelaki nombor satu. Mereka mahu menjadi yang terbaik, tidak kisahlah dimana. Mereka mahu menjadi orang yang dipertanggungjawabkan. Mereka mahu diiktiraf dan dilayan seperti selayaknya sebagai ketua. 


5.  Cinta lelaki ditanda dengan 3 tindakan iaitu: 
  • Memberi Kenyataan. Dimana mereka menyatakan dengan jelas kedudukan seorang wanita itu sebagai pasangan mereka tatkala berkomunikasi dengan orang lain. 
  • Memberi Nafkah. Mereka berusaha sedaya upaya untuk mencukupkan kehidupan keluarga kerana ia adalah satu kebanggaan buat mereka.
  • Memberi Perlindungan. Mereka sentiasa berusaha melindungi keluarga dari disakiti, dihina, atau apa sahaja kesulitan, bencana yang melanda. Dan percayalah yang perkara ini telah diajarkan kepada lelaki semenjak dari dalam kandungan ibunya lagi - selamatkan ibu, lindungi ibu dan jangan biarkan sesiapa pun memburukkan atau menyakiti ibu. Sekiranya ibu disakiti, tentanglah orang itu. 

6.  Tiga perkara yang diperlukan oleh setiap lelaki: Dorongan, Kesetiaan dan Seks. 

7.  Wanita sering merasakan diri mereka dipermainkan oleh lelaki. Hakikatnya, mereka yang menjual diri mereka terlalu murah sehingga lelaki mudah mengambil kesempatan atas mereka. 

8.  Lelaki secara semulajadinya bukanlah seorang mind reader. Mereka sangat simple dan direct. Oleh itu, wanita kena menyatakan dengan jelas perasaan, pemikiran dan pendapat mereka pada lelaki. Lelaki tidak pandai membuat assumptions, hehe.. Bagi mereka, jika wanita hanya mendiamkan diri, itu petanda wanita itu bersetuju dengan tindakan atau tingkah laku mereka.

9.  Key word paling mudah, komunikasi, komunikasi dan komunikasi. Namun, ia mestilah padat, tepat dan objektif. Bukan membebel tidak tentu hala. 

10.  Mengapa lelaki main kayu tiga??  Jawapannya adalah kerana...
  • Mereka fikir mereka dapat melepaskan diri?
  • Dia belum menjadi orang yang dia mahu jadi dan perlu jadi?
  • Atau dia belum menemui apa yang dia benar-benar mahu jadi?
  • Apa yang berlaku di rumah hari ini tidak seperti sebelumnya?
  • Atau 1001 alasan lagi....
    Tetapi, jawapan sebenarnya adalah.... TIADA alasan yang sebenar. Kerana apa-apa sahaja boleh menjadi alasan untuk mereka curang. Malah, mereka boleh juga memberi alasan, sebab ada wanita lain yang sukakan mereka, oleh itu, mereka layan je... What a reason... hehehe...

11.  Lelaki menghormati standard. Oleh itu, wanita yang bijak perlu meletakkan standard mereka sendiri dan beritahu pada lelaki tersebut. Jika wanita tidak suka lelaki yang merokok, beritahulah. Jika tidak suka lelaki datang lambat, beritahulah. Jika tidak suka lelaki selekeh, beritahulah. Namun, wanita kena ingat, ada caranya untuk memberitahu lelaki berkenaan standard itu tanpa menjatuhkan ego dan air muka mereka. Ini kerana ego adalah perkara yang terbesar bagi seorang lelaki. 



Baiklah, sebenarnya ada banyak lagi tips-tips yang dikongsikan oleh Steve didalam buku ini. Tapi tidak adil rasanya jika Patung Beruang kongsikan semua disini.

Yang pasti, jika sebelum ini Patung Beruang seronok membaca Why Mars and Venus Collide karya John Gray, naskah Act Like A Lady, Think Like A Man ini berkali-kali ganda lebih seronok. Terlalu seronok sehingga Patung Beruang habiskan pembacaan naskah ini hanya dalam masa 24 jam sahaja. Fuyooooo...hehe.. 

Ia membuka mata pembaca bagaimana untuk lebih memahami pemikiran dan tingkah-laku lelaki, bagaimana cara untuk berdamping dengan mereka, serta kesilapan yang sering dilakukan oleh wanita apabila berhubungan dengan lelaki.

Tips-tips dalam ini bukan sekadar digunakan untuk hubungan suami isteri, malah boleh juga digunapakai untuk hubungan kekeluargaan, hubungan pekerja dan pihak atasan, juga hubungan persahabatan. 

Saturday, November 12, 2016

Book Review: Bismillah Yang Hilang

Tajuk: Bismillah Yang Hilang

Penulis: Dr. Mohd Shafiee Hamzah

Menariknya Buku Ini:

Naskah Bismillah Yang Hilang ini menghimpunkan 30 buah kisah pendek berkenaan kehidupan seharian kita, adakah ia menepati kehendak syariat atau mungkin kita hanya membawa agama itu didalam solat sahaja. Usai sahaja solat, agama itu diletakkan sahaja di tepi dan kita menjalani hidup seperti tiada apa-apa, seperti hidup ini selamanya menongkat langit dan seperti tiadanya Syurga dan Neraka. 

Penulis membuka naskah denga kisah pertama yang bertajuk Rendang Dan Berbuah. Beliau membawa kita kepada situasi di sebuah pengajian pondok dimana guru bertanya pada para pelajar, 

   "Jika kamu diberi peluang untuk memilih satu kejadian Allah untuk mewakili wujudmu di bumi, apakah kejadian Tuhan yang kamu pilih?"

Soalan yang nampak ringkas namun sangat bijaksana. Pelbagai jawapan diterima dari para pelajar. Ada yang ingin menjadi pohon yang rendang, air sungai yang mengalir lembut dan matahari yang megah memancarkan cahayanya. Semuanya kerana beranggapan dengan menjadi makhluk sedemikian, mereka mampu memberi pertolongan dan manfaat kepada makhluk yang lain. 

Namun, akhirnya guru memberi jawapan yang walaupun niat mereka sangat murni, untuk memberi manfaat pada hidupan lain, mereka terlupa yang manfaat tersebut hanya dapat diberi jika mendapat izin Allah dan pertolongan-Nya jua. Ini kerana Allah yang Maha Esa adalah Pemberi Manfaat yang agung. Oleh itu, kita sebagai makhluk-Nya, jangan mudah berasa takbur dengan kelebihan dan keistimewaan kita sehingga melupakan Allah. Sebaliknya, tanamlah rasa syukur kerana Allah izinkan kita untuk memberi manfaat pada insan atau makhluk lain. 


Pernahkah kita berdepan dengan situasi sebegini;
  • Insan yang zahirnya nampak alim, pertuturannya nampak alim, namun tatkala berjumpa regunya, beliau mudah sahaja mengeluarkan kata-kata nista, memaki hamun sesuka hati, mengumpat dan menabur fitnah sesedap rasa.  
  • Jemaah berpusu-pusu keluar dari dewan solat di masjid, usai solat fardhu. Namun, ketika sedang memandu kenderaan untuk pulang ke rumah, jemaah tadi memandu melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain, serta memotong barisan tanpa segan silu. 
  • Remaja yang belajar di institusi agama, yang dikelilingi insan-insan yang baik akhlaknya, namun, tatkala pulang bercuti di rumah, dia senang sekali menonton video lucah atau melayari laman web porno melalui komputer riba. 
  • Gadis muslim yang bertudung litup, nampak sopan sahaja gayanya. Namun tatkala bersendirian didalam tandas, rokok dinyalakan dan asap pun berkepul-kepul keluar dari hidung, lagaknya seperti seorang profesional. 


Situasi diatas mungkin pernah berlaku dihadapan mata kita. Dan kita mula terfikir.. 
  • Mengapa tindak tanduk, perilaku, tutur kata tidak sepadan dengan imej yang dibawa?
  • Dimana silapnya? 
  • Adakah mereka berpura-pura sahaja?
  • Hipokrit kah? 
  • Atau mungkin kah imej agama itu hanya topeng semata-mata bagi mengaburi mata masyarakat diluar sana? 
  • Atau mungkin, agama itu hanya terletak pada imej, baju dan tudung yang labuh, serban yang melilit, solat di masjid, puasa, panggilan haji dan hajah, serta kenduri tahlil dan bacaan yasin?
Kisah ke-2, Bismillah Yang Hilang....

 
Apa matlamat kita hidup di dunia ini? Adakah semata-mata mencari harta setimbun gunung, atau mungkin mencari bekalan akhirat sebanyaknya? 

Jika ditanya, semua orang pasti ingin ke Syurga. Namun, tatkala ditanya apakah persediaan mereka untuk melayakkan mereka ke Syurga, pasti ada yang tertunduk malu. Atau mungkin ada yang megahnya bercerita perihal bagaimana mereka tidak pernah ketinggalan solat 5 waktu di masjid, bagaimana mereka setiap minggu menghadiri kuliah agama yang diajar oleh ustaz/ustazah dan bagaimana kayanya mereka sehingga mampu ke Tanah Suci berkali-kali. 

Kemudian, kita bertanya lagi, istiqamah kah amalan yang dilakukan itu? Ikhlas hanya untuk Allah, tanpa mengharap pujian dan sanjungan manusia? Tidak riak dan bangga diri? Tidak sombong sehingga memperkecilkan orang lain yang tidak kelihatan alim seperti mereka? Tidak mudah menghukum orang lain sebagai jahil? Atau memanggil mereka dengan kafir? Ahli neraka?  

Kemudian, kita bertanya lagi, hak suami, isteri, anak, ibu, bapa, ahli keluarga sudah ditunaikan? Hak jiran tetangga sudah ditunaikan? Hak sebagai pekerja/majikan sudah ditunaikan? Hak sebagai ahli masyarakat sudah ditunaikan? Hak sebagai saudara sesama Islam sudah ditunaikan? Hak sebagai hamba Allah sudah ditunaikan?

Kemudian, kita bertanya lagi. Sudah yakin yang kita ini ahli Syurga? Sudah yakin yang kita tidak akan disambar oleh api Neraka walau sekecil cuma? Sudah yakin yang kita tidak akan diheret oleh sesiapa pun untuk masuk ke Neraka bersama? 

Jika ingin ke Syurga, pastikan kita melalui jalan yang betul. Kekal istiqamah dengan tujuan dan matlamat kita. Banyak checklist yang kena diperhati. Banyak checklist yang kena tick. Jangan mulut sahaja berkata ingin ke Syurga namun perangai, pemikiran, hati, lidah, mata, kaki dan tangan seolahnya ingin ke Neraka. Kisah ke-11, Aku Juga Ingin Ke Syurga. 


Naskah Bismillah Yang Hilang Ini, Patung Beruang selesaikan dalam masa beberapa hari sahaja. Kisah-kisah yang ditulis pendek-pendek belaka namun sarat dengan pengajaran dan teguran buat diri yang berdosa, lalai dan jahil ini. Kulit hadapan nampak macam sempoi sahaja, lari dari kebiasaan buku-buku yang bercorak keagamaan. Namun isinya sangat menarik dan menjentik hati. 

Book Review: Move On!

Tajuk: Move On!

Penulis: Reyna Ibrahim

Menariknya Buku Ini:

Karya bertajuk Move On! ini Patung Beruang beli ketika pergi Popular Jusco Ayer Keroh bersama dengan ibu, bulan lepas. Masa itu ibu berhasrat untuk mencari sebuah buku yang beliau baca ulasannya disurat khabar. Maka, bila Patung Beruang pulang ke Melaka, teruslah Patung Beruang ajak ibu ke Popular. Manalah tau kan, ada rezeki kami, dapatlah jumpa buku yang ibu cari tu. Malangnya kami tak jumpa buku tersebut. Tapi dah alang-alang masuk kedai buku, rugilah kalau tak beli buku kan? Jadinya, buku lain lah yang menjadi rezeki buat Patung Beruang dan ibu.

Basically Move On! adalah coretan penulis bagaimana beliau berusaha untuk bangkit tatkala diuji hebat oleh Allah SWT. Beliau diuji dengan keruntuhan rumahtangga yang tidak pernah diduga. Ujian yang benar-benar merenggut separuh jiwanya. 

Banyak tips-tips berguna yang beliau kongsikan didalam karya ini antaranya:

1. Setiap dari kita diuji dengan pelbagai ujian sebenarnya. Kita mungkin menyalahkan takdir, berdendam pada takdir dengan menyatakan Allah itu tidak sayang pada kita. Sebab itulah kita diuji. Namun, jika dilihat dengan mata hati, ujian itu sebenarnya adalah bukti kasih sayang Allah pada kita. Ujian menjadikan kita lebih dekat pada-Nya, berusaha menjadi hamba yang lebih baik. 

2. Berdepan ujian dengan cara menghukum diri sendiri bukan lah satu tindakan yang bijak. Menyeksa diri sendiri dengan mengabaikan kesihatan tubuh badan dan minda, segalanya yang pada zahirnya adalah pinjaman dari Allah kepada kita. Ujian sepatutnya menjadikan kita lebih tabah kerana Allah menurunkan ujian pada seseorang itu selayaknya dengan kemampuannya. Jadi, jangan melemahkan dan menzalimi diri sendiri. 

3. Nangislah sepuas-puasnya. Luahkan segalanya pada Allah, bukan pada manusia. Meratap dan merintih, bertaubat atas segala salah silap kita, mohon kekuatan hanya pada Allah SWT. Kita pasti akan terkesan dengan nikmatnya air mata taubat itu. 

4. Umat Islam sangat beruntung kerana mereka mempunyai senjata yang sangat hebat, yang tidak dimiliki oleh orang yang bukan Islam iaitu DOA. Ye, doa. Maka, gunakanlah kelebihan yang Allah beri, berdoa lah sepuas-puas hati, seikhlas hati sepanjang masa. Allah itu Maha Mendengar. 

5. Nyalakan aura positif pada diri kita dan orang disekeliling, setiap masa. Seperti Law of Attraction, kita menarik apa yang kita fikirkan. Maka, jika kita ingin yang baik-baik sahaja, maka, fikirkan lah yang baik-baik sahaja. 

6. Setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Setiap yang pahit pasti ada manisnya. Maka, percayalah setiap ujian itu pasti ada hikmahnya. Cuma mungkin kita yang tidak mahu melihat hikmah tersebut. Atau mungkin kita masih belum mampu melihatnya. Namun, jangan berputus asa kerana pabila badai telah pergi, kita akan duduk terfikir, 
   
      "Ye, kerana aku diuji lah maka aku jadi sebegini hebat atau jadi sebegini bagus, atau jadi hamba-Nya yang lebih baik. Tanpa ujian itu, mungkin aku tidak akan berada dimana aku berada sekarang."


7.  Sentiasa beristighfar. Harus diingat, kita ini hamba-Nya yang lalai. Hamba yang pendosa. Kita tidak akan lari dari dosa sama ada kecil atau besar seperti lintasan hati yang tidak elok, berprasangka buruk, meremehkan suruhan-Nya dan sebagainya. Oleh itu, beristighfar lah. Tatkala diri sedang diuji dan dada seakan sesak, pada waktu itu mulakan beristighfar. Ulang dan ulang secara perlahan, dan kita akan berasa sedikit kelegaan di sudut yang tadinya tersangat sesak. 

8.  Hidup ini adalah belajar. Belajar bersyukur, memahami, sabar, setia, memberi, mengasihani, tenang, percaya, tersenyum dan belajar ikhlas walaupun susah. 

9.  Sandarkan hidup hanya pada Allah kerana kasih sayang manusia tidak pernah kekal. Kasih sayang manusia akan hilang dan ada pasang surutnya. Oleh itu, sematkan dalam hati dan yakinlah yang kita hanya ada Allah. 

10.  Bukalah buku baru dan pandanglah ke depan. Ye, ia tersangat mudah untuk dituturkan namun sukar untuk dilakukan. Namun, kita mampu melakukanya jika kita mahu. Oleh itu, tatkala kenangan lama menjelma, tatkala hati dirundung duka, ingatan melayang sehingga mengganggu emosi kita, bertasbihlah tanpa mengira waktu dan masa. Sedikit sebanyak ia mampu meredakan gelodak jiwa. 


Begitulah serba sedikit tips yang dikongsi oleh penulis melalui naskah ini. Sebenarnya ada banyak tips yang boleh kita perolehi tatkala kita menelaah naskah ini, helaian demi helaian. 

Meneliti naskah ini seolah-olah seperti mengembara kedalam diri kita sendiri. Ini kerana, kita sebagai manusia, sebagai hamba-Nya turut sentiasa diuji. Cuma mungkin ujian kita berbeza dengan ujian yang dihadapi oleh si penulis. Namun, ia tidak menghalang kita untuk menjiwai tulisan ini kerana apa yang dilakukan oleh penulis untuk mengubati jiwanya, adalah apa yang kita juga lakukan. Sama ada secara sedar atau tanpa sedar...  

Sunday, July 3, 2016

Book Review: Maaf Cakap 2 Mengurus Perasaan Agar Tidak Perasan

Tajuk: Maaf Cakap 2    Mengurus Perasaan Agar Tidak Perasan 


Penulis: Norden Mohamed



Menariknya Buku Ini:



Buku ini adalah volume ke-2 untuk Siri Maaf Cakap, Mengurus Perasaan Agar Tidak Perasan. Untuk volume ke-2 ini, penulis membariskan 106 cerita yang dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu:


  • Motivasi
  • Sosial
  • Sumber Manusia
  • Bisnes
  • Dunia Akhbar
  • Minda 


Penulis membuka buku ini dengan kisah pertama yang bertajuk "Apa-Apa Yang Ada Pada Nama". Didalam kisah ini penulis membawa kita bagaimana ada pelbagai nama yang digunakan di media sosial, ada yang menggunakan nama sendiri, ada yang nama samaran. Ada juga yang siap dengan pangkat sekali. Ada yang menggandingkan nama mereka dengan hobi mereka serta tidak kurang juga yang menggandingkan nama dengan syarikat atau organisasi mereka. Dari dahulu hingga sekarang, kita sering berjumpa dengan nama yang sama. Maka, bagaimana hendak membezakan antara satu sama lain?? Gelaran pun diberikan. Ada yang digelar kerana kehebatannya dan kelebihannya, ada juga yang digelar kerana kekurangannya. Ada juga yang digelar kerana keunikkan yang dimilikinya. Selain itu, masyarakat sering memandang tinggi pada mereka yang mempunyai pangkat dan gelaran diawal nama seseorang individu itu. Maka, tidak hairanlah ada orang sanggup bermati-matian berusaha untuk memiliki pangkat dan gelaran, hatta ada yang sanggup mendapatkannya dengan cara menipu atau memalsukan pangkat dan gelaran tersebut. Dan setelah dimiliki, mereka berasa sangat berkecil hati jika orang disekeliling tidak memanggil mereka bersama-sama dengan pangkat dan gelaran. Dunia oh dunia... 

Ilmu adalah satu perkataan yang sangat tinggi nilainya. Namun, adakah disebabkan ketinggian nilainya itu, maka wajar untuk ilmu itu disimpan dan hanya menjadi rahsia mutlak kita sahaja? Lalu, apabila kita meninggalkan dunia ini, ilmu itu turut terkubur bersama-sama dengan jasad kita. 

Pada waktu dahulu, sesiapa yang belajar seni silat, pasti sering mendengar kalimah ini, 

"Guru hanya akan mengajar 9 per 10 sahaja gerak langkah kepada muridnya. Baki 1 langkah, akan disimpannya bagi mengelakkan murid melawan guru."

Tetapi, patutkah keadaan ini berterusan?

Dan apabila tiba giliran si murid tadi bergelar guru, tatkala dia hendak mengajar gerak langkah kepada anak muridnya, pasti dia turut menyimpan 1 langkah seperti yang diamalkan oleh gurunya sebelum itu. Dan akhirnya, apabila generasi silih berganti, tiada lagi gerak langkah yang boleh diajar kerana kesemuanya telah disimpan oleh guru-guru sebelum itu. Adil kah perlakuan ini?

Namun kini jika diteliti, banyak sahaja kajian-kajian yang dibuat, artikel-artikel atau buku-buku yang ditulis bagi menyampaikan ilmu. Tidak percaya?

Lihatlah, berapa banyak buku-buku yang terhasil bagi membicarakan tentang kehebatan syarikat automotif terkemuka dunia, Toyota. Begitu juga bagaimana jatuh bangun Jack Ma dan Alibabanya. Bagaimana uniknya Steve Jobs dalam membangunkan Apple sehingga menjadi trend di seluruh dunia. Bagaimana hebatnya pemikiran Tun Dr Mahathir dalam mengemudi pentadbiran negara tetapi dalam masa yang sama, sifat sayangkan bangsa Melayu, begitu menebal. Tidak kurang juga asam garam perjuangan Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela ketika hayat mereka.  Begitulah serba sedikit inti pati kisah ke-2, Sudah Tiada Rahsia Lagi. 


Hari Rabu ini, in shaa Allah, umat Islam di Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilifitri. Hari pertama di bulan Syawal. Hari kemenangan pada umat Islam. Pada hari ini, pasti ada sesi kunjung-mengunjung ke rumah-rumah sanak-saudara dan handai taulan. Saling bermaafan sesama sendiri, berbual, bergelak ketawa mengeratkan silaturrahim, serta menjamu selera tetamu yang datang. 

Namun...

Dalam kerancakkan kita berbual, bertanya khabar, janganlah komunikasi atau perbualan kita itu disulami atau dipenuhi dengan sesi memakan daging saudara sendiri. 

Kelakar bukan??

Baru sebentar tadi, kita saling menghulurkan tangan, bermaafan.. Kini, elok sahaja kaki ini melangkah keluar dari rumahnya, atau elok sahaja si polan meninggalkan rumah kita, kita pun mula lah mengumpat si polan ini. Mula lah bercerita kisah-kisah yang mengaibkannya, kisah-kisah yang tidak tentu hujung pangkalnya atau bahasa "lembutnya" memfitnah, memaki hamun dan mencarut tak tentu pasal. 

Sudah banyakkah pahala yang kita kumpulkan ketika Ramadhan hari itu, sehingga kita rasa tidak sayang langsung dengan pahala tersebut, dan ia dibazirkan atau dibuang begitu sahaja dengan cara melakukan dosa lidah sewenang-wenangnya? 

Kasihannnnnnnn....
Kita ini tidak ubah seperti si miskin yang suka membazir..
"Pahala Yang Disia-Siakan"....



Kesimpulannya, Patung Beruang rasa lebih puas menikmati karya Norden Mohamed volume 2 ini, berbanding volume 1 dahulu. Penuh dengan cerita-cerita yang berkisar kehidupan seharian kita. Ada yang boleh dijadikan panduan, dan ada juga patut dijadikan sempadan. Seperti biasa, Patung Beruang kedekut untuk berkongsi banyak kisah di blog ini kerana ia tidak adil buat si penulis. Oleh itu, nasihat Patung Beruang, miliki buku ini dan teliti lah sendiri kisah-kisah menarik yang ada disini..

Adios... :) 

Sunday, June 19, 2016

Book Review: Bila Hati Berkata.. Biar Hati Terasa

Tajuk: Bila Hati Berkata... Biar Hati Terasa

Penulis:
1. Bonda Nor
2. Muhd Kamil Ibrahim

Menariknya Buku Ini: 

Naskah Bila Hati Berkata.. Biar Hati Terasa (BHBBHT) ini sebenarnya telah Patung Beruang sudahkan pembacaannya beberapa bulan lepas. Cuma baru sekarang Patung Beruang berpeluang untuk menulis Book Review.

BHBBHT ini menghimpunkan 31 karya hebat nukilan Bonda Nor dan Prof. Kamil. 

Prof. Kamil membuka catatan dengan menukilkan catatan pertama beliau kepada sahabatnya telah telah dipanggil pulang oleh Yang Maha Pencipta, akibat dari sakit kanser. Beliau pernah menjemput arwah ini bagi menyampaikan syarahan atau perkongsian bagaimana arwah melalui kehidupan harian setelah didiagnosis menghidapi penyakit kronik kanser. Kesungguhan dan ketabahan arwah sangat luarbiasa. Yang pasti, didalam Bab 1: Isyarat, Prof. Kamil mengulas mengenai kematian yang memang akan datang melawat semua makhluk yang hidup. Ada yang diberi isyarat atau petunjuk dengan hadirnya sakit yang kronik. Mereka melaluinya dengan tabah dan sepenuh hati.  Namun, terdapat ramai yang tidak tahu dan tidak sedar bahawa masa mereka disini semakin suntuk. Oleh itu, janganlah kita lalai sehingga kita terlupa matlamat asal kita diciptakan oleh Yang Maha Esa. 


Bab 2: Jauhi Prasangka pula Bonda  Nor berkongsi cerita berkenaan ragam kehidupan manusia. Seluruh kehidupan kita ini merupakan ujian Allah swt biar apa pun yang berlaku. Kisah suka atau duka- tentu sekali merupakan satu putaran yang boleh menyemarakkan keadaan. Ujian boleh dipandang dengan kanta positif atau negatif. Pilihan di tangan individu. Namun yang pasti, apa yang kita fikir, itulah sebenarnya gambaran kecantikan atau keburukkan jiwa yang terzahir. Tanpa disedari, apa jua tindakan yang dilakukan oleh manusia lain, kita seringkali berprasangka buruk. Malah, ia sudah menjadi kebiasaan pada kita. Kita rasa resah, marah, benci dan adakalanya dendam tanpa terlebih dahulu menyelidiki perkara yang sebenar. Kita tidak berusaha mencari kebenaran tetapi kita menyebarkan pula keburukan.

Maka, apabila di Padang Masyar kelak, 

  • Sanggupkah kita  menatap wajah mereka-mereka yang kita sakiti demi memohon kemaafan? 
  • Dalam lautan manusia tika itu, sanggupkah kita berusaha mencari mereka-mereka yang pernah kita fitnah, umpat dan keji ketika hidup dahulu sedangkan di dunia dahulu kita tidak kisah pun untuk memperbetulkan lidah kita ini?

Setiap pekerjaan yang kita lakukan memerlukan kesabaran. Selain kesabaran, ia juga memerlukan keredhaan dari insan-insan yang sepatutnya. Seorang isteri memerlukan keredhaan suaminya, seorang anak memerlukan keredhaan ibu bapanya. Tanpa keredhaan, adakalanya usaha kita hanya sia-sia. Tidak dibantu oleh Allah swt. Dan hati ini juga tidak tenang dengan apa yang kita lakukan. Didalam Bab 4: Bersabarlah, Bonda Nor berkongsi pengalaman beliau diawal penglibatan didalam bidang penulisan umum. Bagaimana beliau mempunyai idea yang menarik tetapi usahanya tidak membawa kemana-mana hanya kerana suaminya kurang memberi restu. Namun, setelah memohon petunjuk dan pertolongan dari Allah swt berulang kali, suaminya berjaya dipujuk dan diterangkan situasi sebenar, maka restu dari suami pun diperolehi. Selepas itu, Allah swt melorongkan segala usaha beliau sehingga novel pertamanya mendapat sambutan hangat dan berada di tempat teratas sebuah syarikat penjualan online yang terbesar. Baru dua bulan berada di pasaran, novel tersebut sudah mula dicetak lagi. Alhamdulillah.. Begitulah.. Ujian hati itu sangat berat. Ia tidak mudah seperti yang disangka. Ia menuntut kekuatan mujahadah. Justeru, setiap kali kita keliru, kembalilah kepada-Nya. Memohon keampunan dan panduan. In shaa Allah, Dia Maha Mendengar...


Tingkah-laku anak remaja seringkali menggusarkan orang dewasa. Adakalanya, tingkah-laku yang simple sahaja bagi mereka. Contohnya, tabiat memberi salam para pelajar kepada pensyarah. Prof. Kamil berkongsi bagaimana pendekatan psikologi dan keperibadian beliau, berjaya mengubah tabiat para pelajar yang rata-ratanya remaja, dari berat untuk memberi salam kepada mereka yang berlumba-lumba memberi salam tatkala berjumpa dan lebih menghormati para pensyarah mereka. Bagi Prof. Kamil, pendekatan memarahi dan menghukum bukanlah cara terbaik bagi memperbetulkan anak-anak remaja ini. Begitulah serba sedikit perkongsian dari Prof. Kamil dalam Bab 25: Anak Remaja. 


Kesimpulannya, kesemua 31 Bab yang ada dalam buku ini sangat menarik untuk dibaca, dan diambil pengajaran. Ia membawa kita menyelusuri kehidupan seharian kita, suara hati kita, suara akal kita dan tindak-tanduk kita yang adakalanya tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang mengaku dirinya adalah umat Islam. Oleh kerana menariknya kisah-kisah yang dipaparkan didalam buku ini, maka, tidak adil untuk Patung Beruang kongsikan banyak kisah disini ye. Lebih baik pembaca memiliki dan membaca sendiri naskah ini. 

Prof. Kamil adalah antara penulis tempatan kegemaran Patung Beruang, selain Ustaz Hasrizal, Ustaz Pahrol dan beberapa orang lagi. Gaya penulisan beliau yang santai tetapi padat dengan pengajaran, sentiasa merendah diri dan menyedari yang kita ini hanyalah insan lemah yang penuh dengan kekurangan. Sifat rendah diri yang ada didalam penulisan beliau turut menjentik hati kita sebagai pembaca. Sebab itu lah Patung Beruang suka mengumpul dan meneliti naskah-naskah beliau.   

Friday, April 29, 2016

Book Review: Mengetuk Pintu Hati


Tajuk: Mengetuk Pintu Hati


Penulis: Mohd Razali Kamarudin

Ceritanya Patung Beruang:

Alhamdulillah, Patung Beruang masih dikurniakan kesempatan untuk menulis Book Review. 

Bulan April ini adalah bulan yang sangat menyesakkan. Dari awal bulan, sehinggalah hampir ke penghujung bulan. Bergerak ke sana sini, macam-macam aktiviti dan urusan kerja, benar-benar telah membataskan kesempatan untuk Patung Beruang menulis sepatah dua di blog ini.

Jumlah buku-buku yang selesai dibaca tetapi masih belum ditulis book review, semakin hari semakin bertambah. Sengaja Patung Beruang susunkan buku-buku tersebut di atas meja tulis, disudut tepi. Kedudukannya sangat strategik kerana susunan yang semakin lama semakin tinggi ini cepat sahaja ditangkap oleh pandangan mata. Harap-harap Patung Beruang dapat sabar dan tekun menulis book review satu persatu untuk semua buku-buku ini. Aamiin...

Menariknya Buku Ini: 

Buku Mengetuk Pintu Hati ini mempunyai 30 Bab yang menarik disusun demi tatapan pembaca, yang dikumpulkan menjadi 3 Bahagian iaitu:
  • Bahagian 1: Kuliah Hati
  • Bahagian 2: Mengaktifkan Kesedaran Dalam Diri
  • Bahagian 3: Latihan Mengetuk Pintu Hati Terpilih

Sebagai membuka bicara, penulis membuka ruang pembacaan dengan memberi penerangan secara ringkas berkenaan dengan tiga (3) komponen hati iaitu:

  • Shodr : Hati terluar dimana peranannya dimainkan oleh pemikiran, pancaindera dan dikaitkan dengan minda sedar.
  • Qalb : Pintu masuk "sesuatu" dari SHODR ke FUAD atau pintu keluar "sesuatu" dari FUAD ke SHODR. 
  • Fuad : Hati yang paling dalam. Hati nurani yang suci dan memiliki sifat yang paling kuat.
Now, Patung Beruang nak bertanya, pernah tak kita menghadapi situasi berikut??:
   "Kita solat berjemaah disurau atau dimasjid. Usai solat dan berdoa, hati kita rasa tenang sangat. Kita terasa betapa kerdilnya diri ini dihadapan Allah swt. Kita mula memasang niat untuk menjadi hamba-Nya yang soleh/solehah dan mengekalkan ketenangan hati ini. Keluar dari surau atau masjid, ketika di pertengahan jalan untuk pulang ke rumah, kita terserempak dengan jiran disebelah rumah kita. Jiran ini ada menanam sebatang pokok mangga dihalaman rumahnya. Namun, daun-daun yang banyak, seringkali berterabur masuk ke halaman rumah kita sehingga rumah kita nampak semak dan kotor. Sudahlah tu, sebiji buah mangga pun tidak pernah dihulurkan kepada kita. Disebabkan situasi sebegini, kita jadi menyampah dengan jiran tersebut. Maka, kita yang sedang pulang dari masjid/surau ini, secara automatik hati ini terus berkata yang bukan-bukan (mengumpat) jiran ini tatkala terlihat kelibatnya."

Allahuakbar... Bukankah baru sebentar tadi kita berazam hendak menjadi hamba Allah yang soleh/solehah? Bukankah tadi kita berniat nak mengekalkan ketenangan hati ini? Jadi, mengapa sekarang kita mengumpat jiran kita didalam hati? Tenangkah kita? Soleh/solehah kah kita?

Itulah hati kita. Sesaat dia tunduk kepada Yang Maha Pencipta. Tetapi sesaat kemudian, dia melakukan maksiat. Itulah "Hati, Sifatnya Bolak Balik", Kuliah Hati  4.

Oleh kerana hati ini memang sifatnya bolak balik, kita kenalah berusaha keras untuk mendidiknya. Kalau istilah ganas sikit, kena "ketuk".. 
Tapi, nak ketuk dengan apa??

1. SOLAT.. 

Solat sepatutnya dapat menjadikan hati ini lebih tunduk kepada Pencipta. Hati ini lebih lembut. Hati ini lebih terdidik. 

Namun ada juga manusia yang zahirnya nampak solat penuh 5 waktu, siap dengan sunat sekali. Namun, usai sahaja solat, maksiat mulut, hati, tangan, mata dan kaki bersambung kembali. Dan kita mula tertanya-tanya, mengapa manusia ini masih melakukan maksiat sedangkan baru sebentar tadi kita nampak dia sedang bersolat???

Adakah kita juga sama seperti manusia diatas?? Jika jawapannya ya, sekarang mari kita teliti perkara-perkara; 
Adakah sempurna solat kita?
Adakah kita bersolat kerana Allah?
Atau mungkin kerana inginkan pujian dan sanjungan manusia?
Adakah kita ikhlas dalam bersolat?
Adakah kita bersolat dikala susah dan senang? Atau kita hanya bersolat jika ada kelapangan?
Adakah kita memahami setiap apa yang kita lafazkan didalam solat tersebut?
Atau mungkin kita hanya menyebut dimulut tetapi tidak dihati? Ibarat burung kakak tua, petah berbicara tetapi dia sendiri tidak mengerti biji butirnya.. 


2. TAUBAT..

Bilakah kali terakhir kita bertaubat?  Bertaubat dengan hati, bukan setakat di bibir saja?

"Ah.. aku ini tak pernah buat dosa besar. Kenapa aku nak bertaubat??"

"Aku ini masih muda. Belum puas merasa nikmat hidup. Nanti dah tua, barulah aku bertaubat."

Mungkin kata-kata diatas pernah kita lafazkan atau terlintas dihati. 
Jika ya, jangan diulang lagi.

Taubat sepatutnya dijadikan sebagai amalan harian. Kita ini hamba yang lemah dan jahil. Tidak pernah terlepas dari melakukan dosa walau sebesar zarah. Maka, sewajarnya taubat itu menjadi rutin kehidupan kita agar hati ini sentiasa sedar bahawa setiap tindak tanduk, kata-kata, lintasan hati dan fikiran, ada Pencipta yang sentiasa melihat dan memerhati. 

Bagaimana jika kita meninggalkan dunia ini tanpa sempat kita bertaubat???


3. BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA... 

Jasa ibu bapa pada kita terlalu banyak dan tidak mungkin untuk kita membalas kesemuanya. Selain itu, untuk kita mendapat redha Allah, redha ibu bapa harus diperoleh terlebih dahulu. Resepi untuk mendapat redha ibu bapa adalah dengan sentiasa berbuat baik kepada mereka. 

Moga kita tergolong sebagai anak-anak yang membahagiakan ibu bapa di dunia dan di akhirat, Aamiin..

Begitulah serba sedikit perkongsian dari buku Mengetuk Pintu Hati ini. Sebenarnya ada banyak lagi tips yang bagus untuk mengetuk pintu hati kita, yang diberikan oleh penulis. Tapi, tak adil lah kalau Patung Beruang senaraikan semuanya disini, kan??

Kesimpulannya, buku Mengetuk Pintu Hati ini sangat santai tapi bermanfaat. Banyak tips-tips berguna yang dikongsi disini. Gaya penulisan yang santai membuatkan Patung Beruang leka membaca dan tau-tau, dah habis.. hehe.. Moga karya ini memberi manfaat semaksimum mungkin kepada semua pembacanya, Aamiin...

Oleh itu, apa lagi? Mari kita sama-sama "Ketuk Pintu Hati" kita agar tidak tersesat di kehidupan ini..

Sunday, January 31, 2016

Book Review: Beduk Diketuk Lagi, Volume 2

Tajuk: Beduk Diketuk Lagi, Volume 2

Penulis: 

  1. Ustaz Pahrol Mohd Juoi
  2. Kartunis Nik Wafdi
Menariknya Buku Ini:

Buku Beduk Diketuk Lagi, Vol. 2 (BDL) ini sebenarnya telah Patung Beruang sudahkan pembacaannya beberapa bulan yang lepas. Lepas habis baca je, Patung Beruang terus simpan buku ini dikampung. Itulah sebabnya Book Review untuk buku ini agak lambat sedikit. Maaf lah ye... :) 

Ustaz Pahrol membuka pengembaraan BDL ini dengan kisah seorang pakcik pemandu teksi yang sangat menyayangi pekerjaannya. Beliau memahami konsep bekerja itu adalah satu ibadah. Dimana jika kita bekerja kerana mengarapkan ganjaran dan imbuhan, kita akan berhenti setelah mendapatnya. Tetapi jika kita mengaggap pekerjaan kita itu satu ibadah, kita akan terus melakukannya dengan senang hati kerana kita sedar, ibadah itu tiada pencen. Beliau sedar yang beliau tiada kepandaian lain selain dari memandu teksi. Maka, beliau meneruskan pekerjaan beliau dengan harapan beliau dapat memberi manfaaf kepada manusia lain, selari dengan hadis Rasulllah s.a.w. Aktiviti sehariannya dimulakan seawal pagi selepas subuh agar beliau boleh habis kerja awal, dan menumpukan pada aktiviti pengisian rohani diwaktu malam. Subhanallah, beliau ini mengamalkan apa yang disebut didalam Al-Quran, 
"Maka apabila engkau telah selesai (daripada satu urusan) bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)"

Begitu kisah seorang pemandu teksi biasa yang sangat luar biasa didalam Beduk 1: Hati Seorang Pemandu Teksi.

Perasan tak kita, sekarang ni setiap kali solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha, pasti masjid akan sentiasa dipenuhi dengan ramai jemaah yang datang. Tua muda, lelaki dan wanita, kanak-kanak dan remaja, semuanya excited datang memeriahkan rumah Allah.  Tetapi, yang menghairankan, pada hari yang sama, jemaat solat Subuh dan Zohor sangat berkurangan. Seolah-olah seperti jemaah yang datang untuk solat Sunat itu, tiba-tiba muncul di mukim tersebut bagi memeriahkan solat Sunat. Dan selepas itu, semuanya menghilang secara tiba-tiba.  Sedih bukan kerana ia kelihatan seperti kita lebih mengutamakan berjemaah untuk solat Sunat berbanding berjemaah untuk solat Fardhu yang lebih digalakkan oleh Yang Maha Esa dan Rasulullah s.a.w.  

Ketika khutbah sedang dibacakan, berapa ramaikah jemaah yang khusyuk mendengar intipati khutbah yang disampaikan? Biasa saja kita melihat jemaah leka menatap smartphone masing-masing, atau berbual dan bertegur sapa sesama sendiri juga sedang terlentuk-lentuk menahan ngantuk. Jika begini lah sikap kita, tercapaikah matlamat sebenar solat Sunat dan penyampaian khutbah itu? 

Jemaah yang hadir kesemuanya berpakaian cantik dan kemas belaka, bersopan santun dan menutup aurat. Tetapi adakah aurat tersebut tetap terjaga setelah selesainya solat Sunat Aidilfitri atau Aidiladha? Adakah auratnya masih terpelihara tatkala kaki ini melangkah keluar dari masjid?  Adakah aurat itu tertutup hanya kerana destinasinya adalah masjid sedangkan apabila keluar ke tempat lain, aurat dibuka dengan sewenang-wenangnya dengan alasan fesyen? Jika begitu lah yang terjadi, kita ini sedang mempermain-mainkan hukum yang Allah telah tetapkan kepada hamba-Nya.  Begitulah serba sedikit persoalan yang dilontarkan oleh penulis dalam Beduk 2: Sendi Agama Itu Syariat. Bukan Adat. 

Beduk 4: Menutup Aurat Tetapi Hati Jahat pula membawa kita kepada persoalan mengapa terdapat segelintir wanita yang sangat baik, jujur dan amanah, tetapi auratnya masih tidak terjaga dengan sempurna. Namun, terdapat juga wanita yang menutup aurat seperti yang disyariatkan, tetapi tingkah laku dan kata-kata yang keluar dari mulutnya tidak menggambarkan ciri-ciri seorang muslimah yang baik. Kata-katanya penuh dengan dusta dan fitnah, suka mengadu domba, mengumpat dan mencaci orang lain hatta ahli keluarga sendiri. Alangkah sedihnya melihat insan sebegini kerana dia sebenarnya sedang menipu orang disekeliling dan lebih malang lagi, dia juga sedang menipu diri sendiri. Bagi mereka ini, tuntutan menutup aurat sudah ditegakkan, Alhamdulillah. Tinggal satu lagi, tuntutan memperbaiki akhlak. Itu yang perlu dilaksanakan. Tiada gunanya kita mendapat pahala kerana menutup aurat, tetapi dalam masa yang sama kita juga mendapat dosa kerana mengumpat dan menfitnah orang lain. Maka, akhirnya apakah bekalan yang tinggal untuk dibawa mengadap Yang Maha Esa? Sia-sia sahaja hidup didunia ini berpuluh tahun jika akaun akhirat kita berjumlah kosong ataupun lebih malang lagi, negatif .. Nauzubillah min zalik.. 

Beberapa tahun lepas, umat Islam di Malaysia digemparkan dengan kisah penemuan DNA babi dalam coklat jenama terkenal. Apa lagi, semua orang berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan, menyuarakan amarah kepada syarikat pembuat coklat juga kepada agensi yang mengawalselia status HALAL di negara ini. Kemuncaknya jualan coklat jenama tersebut jatuh merudum. Terlalu ketara kesan boikot yang dijalankan oleh umat Islam dinegara ini. Ye, dalam soal makan minum, "babi" adalah satu nama yang sangat digeruni oleh umat Islam kerana status Haramnya. 

Tetapi yang anehnya, umat Islam yang galak memboikot jenama coklat ini, adalah orang yang sama, yang sering mencuri tulang dan curi masa dipejabat. Mereka adalah orang yang sama yang memberi dan menerima rasuah. Mereka orang yang sama yang sanggup menipu tender, sanggup menggadaikan kualiti projek, membazirkan duit rakyat hanya kerana tuntutan untuk mengisi kantung sendiri dengan sepenuh-penuhnya. 

Pelik bukan? Rasuah itu diberi dan diterima dengan sewenang-wenangnya. Duit yang sama digunakan untuk memberi anak isteri makan. Duit yang sama diberikan juga kepada ibu bapa dikampung. Duit yang sama digunakan untuk membeli kereta atau rumah, melancong didalam atau ke luar negara. 

Tetapi, mengapa kita tak galak untuk memboikot gejala rasuah sebagaimana kita galak memboikot coklat yang didakwa mengandungi DNA babi?? Mungkin bagi kita rasuah itu lebih bersih dari babi... atau mungkin juga kerana ia sudah sebati dengan kita sehingga kita rasa tidak bersalah walau sekelumit. Beduk 34: DNA Rasuah vs DNA Babi. 


Akhir kata, buku BDL Vol.2  ini sebenarnya mengandungi 36 kisah yang menarik untuk tatapan kita. Ia mengupas cara kehidupan seharian kita, perilaku kita, pemikiran dan juga level iman kita. Bagi Patung Beruang, volume 2 ini lebih menarik dan lebih sedap dari volume 1 dulu. Tahniah Ustaz Pahrol kerana berjaya menghasilkan buku yang santai tetapi sangat bermanfaat dan menjentik pemikiran dan emosi pembaca. Kartun-kartun karya Nik Wafdi yang menghiasi setiap kisah didalam buku ini pula sangat bersesuaian dengan kisah yang disampaikan, mencuit hati dan memberikan nilai santai pada buku ini. Buku yang menarik dan bagus untuk dikongsi dengan pembaca diluar sana :)

Wednesday, March 18, 2015

Book Review: Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti

Tajuk: Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti 

Penulis: Hilal Asyraf dan Aiman Azlan

Menariknya Buku Ini: 
Ini adalah buku terbaru yang Patung Beruang baca. Buku ini adalah buah tangan dari book fair di KLCC tahun lepas. 

Alhamdulilah, dapat juga Patung Beruang curi-curi masa untuk membaca, biasanya sebelum tidur. Dan hasilnya, ia mengambil masa berminggu-minggu untuk habis. Rasa macam tak best pula bila lambat sangat nak habiskan pembacaan satu-satu buku, huhu... 

Buku Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti ini mengandungi 52 kisah nukilan dari 2 penulis muda yang sangat berbakat. Pembaca akan memulakan pembacaan dengan kisah mengenai apa tujuan sebenar kehidupan kita ini. Adakah kita dicipta semata-mata kerana untuk memenuhkan bumi Allah ini? Ataupun kita dicipta untuk berlumba-lumba mencari kekayaan dan memuaskan nafsu sehingga kita merasa seolah-olah hidup ini adalah selama-lamanya? Ataupun kita dicipta untuk beribadah dimana istilah ibadah yang kita fahami adalah duduk 24 jam, 7 hari seminggu di dalam masjid sehingga kita tidak menghiraukan makan pakai anak isteri, ibu dan bapa, kita tidak tahu yang jiran tetangga kita sudah beberapa hari kehabisan beras, dan kita juga sengaja memejamkan mata dengan runtuhnya institusi keluarga dan masyarakat diluar sana. Bab 1: Tujuan Kehidupan ini benar-benar sesuai dijadikan pembuka santapan minda pembaca. 

Seterusnya, pembaca dibawa pula menyelusuri bagaimana kita membina hubungan dengan Big Boss didalam Bab 2: Ukhwah Dengan Allah. Kita sering kali sibuk untuk menjaga ukhwah dengan manusia yang lain, sanggup membuat apa sahaja hatta adakalanya sampai tahap mengampu dan sanggup menikam belakang orang lain. Semuanya dibuat agar hubungan baik yang terbina kekal dan tetap memberikan manfaat kepada diri sendiri. Tetapi, kita lupa untuk membina ukhwah dengan Pencipta manusia. Pelikkan?? Patung Beruang teringat pesan ustaz; 

"Jika kita seringkali ditimpa kesusahan, kesulitan, tidak bahagia dan tidak tenang, periksa lah semula hubungan kita dengan Allah dan perbaikilah hubungan itu."  

Didalam kehidupan kita seharian, banyak perkara yang menuntut perhatian dan komitmen kita seperti keluarga, pekerjaan, masyarakat dan sebagainya. Kadang-kala terlalu asyik dengan kerja dipejabat atau terlalu ghairah meeting dengan client, sehingga kita lewat menunaikan solat fardu Zuhur. Walhal, boleh je kita ketepikan 5-10 minit untuk menunaikan tanggungjawab kita pada Yang Maha Esa di awal waktu. Kita selalu bangun pada pukul 4 pagi untuk menonton bola sepak pasukan luar negara, atau mungkin untuk menyiapkan audit report yang dah nak dekat deadline. Yelah, awal pagi, suasana sangat tenang jadi idea untuk menulis report tu pun mencurah-curah lah. Tetapi, kita sangat kedekut untuk ambil 20-30 minit untuk menunaikan Solat Tahajud, Hajat dan Taubat. Alangkah bagusnya, jika kita laksanakan dulu solat-solat sunat itu sebelum kita duduk mengadap laptop menyiapkan kerja.... Setiap bulan kita potong sedikit duit gaji kita untuk bayar zakat. Tapi, niat sebenar kita bayar zakat bukannya kerana Allah tetapi kerana untuk dapat pelepasan cukai. Jadi, cukup setahun, kita boleh dapat refund income tax beribu-ribu. Itu adalah contoh-contoh dimana kita lebih mengutamakan hal-hal duniawi dari kecintaan kita pada Allah SWT. Dalam erti kata lain, ia adalah Berhala-Berhala Dalam Jiwa seperti yang dikupas didalam Bab 29. 

Jika ditanya, siapa yang nak masuk Syurga, sila angkat tangan?? Patung Beruang yakin, semua orang akan angkat tangan.. Tetapi, adakah kita telah membuat sehabis baik untuk memastikan kita layak masuk Syurga?? Cukupkah sekadar solat 5 kali sehari di hujung waktu, puasa makan dan minum cukup sebulan di bulan Ramadhan tetapi masih bergosip di whatsapp 24 jam, pergi menunaikan ibadah haji 5 kali dan pulang dengan bagasi yang berpuluh-puluh dan penuh diisi dengan barang shopping untuk 1 kampung, sudah melayakkan kita untuk masuk ke Syurga? Adakah kita memang telah dijamin Syurga? Jika difikir logik, jika kita nak masuk Syurga, maksudnya kita akan menjauhi Neraka. Oleh itu, periksa semula keadaan, perbuatan, pemikiran, hati dan diri kita ini, adakah segala yang kita lakukan sekarang membuatkan kita jauh dari Neraka??? Satu persoalan yang menarik untuk kita fikirkan dan tanyalah diri kita sendiri, Tiket Ke Syurga, Siapa Yang Pegang? (Bab 33).

Kesimpulannya, buku Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti ini penuh dengan kisah-kisah menarik yang menyentuh kehidupan seharian kita di bumi Allah juga kehidupan selepas ini, tetapi disampaikan dengan gaya bahasa yang santai. Ada antara persoalan-persoalan yang dikemukan oleh 2 orang penulis ini membuatkan kita tersentak dan termalu sendiri. Kita tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan, sama ada sengaja ataupun tidak. Dan bersyukur lah sebab masih ada orang yang prihatin untuk menegur kesilapan kita. Terima dengan hati yang lapang dan berazamlah untuk memperbaikinya..  :)

Friday, February 27, 2015

Book Review: Maaf Cakap - Nasihat Segar Agar Kita Sedar

Tajuk: Maaf Cakap - Nasihat Segar Agar Kita Sedar

Penulis: Norden Mohamed

Menariknya Buku Ini:
Kelmarin, buku ini selamat Patung Beruang selesaikan pembacaannya. Sebenarnya, Patung Beruang pun tidak ingat bila Patung Beruang beli buku ini. Ketika Patung Beruang housekeeping rak buku dalam bilik ini, awal December hari itu, terjumpa buku ini, elok tersusun di rak buku tersebut. Dan yang bagusnya, buku ini masih lagi berbalut plastik, heheh...

Hm.. itulah, kadang-kadang rasa macam Patung Beruang ni beli buku ikut nafsu. Nampak je buku menarik terus nak beli. Tetapi, tak sedar yang di rak buku itu, masih ada lagi buku-buku yang belum dibaca. Adoi.. membazir itu kan amalan Syaitan, huhu...

Buku Maaf Cakap ini sebenarnya mengandungi 111 artikel pendek yang ditulis sebagai nasihat kepada pembaca. Kesemua artikel ini disusun di dalam 5 Bahagian iaitu: 
  • Motivasi
  • Sosial
  • Sumber Manusia
  • Bisnes
  • Politik
Penulis memulakan karya dengan artikel pertama yang bertajuk Perihal Tiga Jenis Usia. Artikel ini menyentuh mengenai usia biologi, usia psikologi dan usia spiritual. Usia biologi adalah usia kita sebenar yang diukur dengan nombor. Umur setahun, 2 tahun, 27 tahun, 32 tahun, 55 tahun dan seterusnya. Usia psikologi pula adalah pemikiran dan perangai kita. Seperti kata penulis ini, di sekeliling kita ini ramai je orang dewasa yang berperangai kebudak-budakkan. Tidak kira lah ahli politik ke, businessman ke, atau golongan profesional. Dan usia spritual pula lebih kepada pendekatan kita untuk menguruskan kematian dan memulakan hidup di alam seterusnya. Mungkin dengan cara mula mendekatkan diri kepada Pencipta, mula merangka wasiat agar yang ditinggalkan tidak kesusahan dan mula melihat kehidupan duniawi ini dari perspektif yang berbeza. 

Artikel seterusnya yang menarik perhatian Patung Beruang adalah artikel ke-4, Jangan Mimpi Untuk Berjaya. Siapa yang tidak mahu berjaya?? TIADA. Semua orang mesti hendak berjaya. Tetapi, adakah kita tahu resepi sebenar untuk berjaya? Dan jika kita tahu, adakah kita mengikuti resepi tersebut? Atau mungkin kita sendiri yang mencipta resepi terbaru untuk kejayaan itu? 

Jika kita dengar Si A itu berjaya menjadi seorang novelis, sehingga pendapatan mencecah 5 angka sebulan. Selepas itu, pasti ramai yang berduyun-duyun akan cuba untuk menulis novel dan bercita-cita untuk menjadi seperti Si A. Kesudahannya, lahirlah banyak novel-novel yang genre, jalan cerita, tajuk dan mungkin gaya bahasa lebih kurang sama macam novel karya Si A. Adakah pembaca akan membeli karya-karya yang ditiru itu? Mungkin ya. Tetapi, lama-kelamaan pembaca akan bosan kerana ia tiada ORIGINALITY. Lantas, pembaca kembali kepada karya-karya Si A kerana disitulah trend itu bermula. Dan Si A juga, apabila menyedari ramai penulis dan bakal penulis yang cuba untuk menjadi sepertinya, sudah pastilah beliau akan meningkatkan kualiti penulisannya sehingga sukar diikuti atau ditiru oleh si peniru tadi. Dan formula yang sering kita dengar, "Product with high quality will receive higher demand", pasti dapat memancing semula perhatian pembaca. Jadi kesimpulannya, kita perlu mencipta kejayaan tersebut bukannya meniru kejayaan orang lain dan bermimpi ia akan menjadi milik kita. 

Semalam Patung Beruang pergi ke shopping complex. Hajat dihati hendak membeli lipstik dan beberapa keperluan peribadi lain. Lipstik yang ada ni hanya tinggal sekali pakai saja sebelum habis terus. Mesti akan ada orang yang bertanya, 

  "Hi, tak kan lah Patung Beruang cuma ada sebatang lipstik sahaja? Perempuan kan biasanya ada berbatang-batang, dengan berbagai colour lagi" 

Ya, memang Patung Beruang cuma ada sebatang lipstik sahaja dan sebotol kecil Vaseline. Sedih kan? hehehe... Dulu, Patung Beruang ada simpanan lipstik (maksudnya lebih dari 1 lah ye) dengan pelbagai colour, dari pelbagai jenama. Sebut sahaja Body Shop, Maybeline, Avon, In2It dan sebagainya. Tapi, kesudahannya, lipstik tersebut banyak yang tidak dipakai dan akhirnya tersimpan didalam bekas solek selama bertahun-tahun sampailah expired. Harus diingat, barang make up ni expiry date dia adalah 3 years from manufacturing date. Adakah Patung Beruang terus membuangnya selepas 3 tahun? Oh tidak!!!! Patung Beruang masih lagi menyimpannya sehinggalah tahun ke-5 dan ke-6. WHAT??? Yes, TAHUN KE-5 DAN KE-6, barulah Patung Beruang membuang mereka. Alasannya, SAYANG.... 

Patung Beruang yakin, ramai lagi manusia diluar sana pun begitu juga. Kita terlalu sayang untuk membuang sesuatu sehingga kita menyimpannya bertahun-tahun, walaupun mungkin ia sudah tidak berguna lagi atau pun memang tidak boleh digunakan lagi. 

Cuba lihat, pasti ada buku-buku sekolah kita atau anak-anak kita yang masih disimpan di rak buku atau mungkin didalam stor sedangkan kurikulum sekolah sudah lama bertukar. Bagaimana dengan bil-bil elektrik, Astro, air dan Unifi yang sudah kita bayar berbulan-bulan atau bertahun-tahun dulu, tapi masih lagi kita gantungkannya ditempat bil, untuk dibuat pameran. Cuba pula periksa peti sejuk kita. Berapa banyak ubat yang dah expired tapi masih lagi disimpan? Jika dimakan, sudah tentu penyakit lain pula yang akan datang. Mayonis, kaya, sos pasta dan sos tiram yang kita beli pada tahun 2012 dulu pun masih lagi elok tersimpan dalam peti sejuk. Boleh makan lagi ke?? SAYANGNYA kita nak buang mereka.. Kesudahannya, jadilah Kita Penyimpan Sampah Terhormat, seperti yang terkandung didalam buku ini artikel ke-16.

Gelagat peniaga Melayu juga turut disentuh oleh penulis di dalam artikel yang bertajuk Sehandal-Handal Peniaga Melayu dan Yang Tak Berselera Di Medan Selera. Penulis membawa kita kepada pada masa kini sudah terdapat usahawan-usahawan Melayu yang berdiri megah di bandar-bandar besar dan ada juga yang telah masuk ke pusat membeli-belah ternama. Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan setanding dengan kualiti dari usahawan berbangsa lain. Dan kita berharap, perniagaan mereka akan berterusan bukan bertahun tapi berpuluh-puluh tahun, dari satu generasi ke generasi yang lain. Jika dilihat peniaga berbangsa Cina, perniagaan mereka biasanya bertahan lama dan mampu diwariskan kepada generasi muda. Jadi, sudah sampai masanya, peniaga Melayu juga begitu. 

Orang Melayu boleh berniaga dan berjaya dalam perniagaan dengan syarat mereka mempunyai attitude yang betul. Produk dan perkhidmatan mestilah berkualiti, harga berpatutan, hati dan keselesaan pelanggan diutamakan. Dan sentiasa berusaha untuk mencari ilmu dan pengalaman bagi memperbaiki prestasi. Tidak perlu lah hendak berbomoh atau berdukun, hendak menghantar santau atau memakai pelaris. Hanya menambahkan dosa sahaja. 

Kesimpulannya, terlalu banyak artikel yang menarik terdapat didalam buku ini. Artikel yang ditulis kena dengan kehidupan seharian kita. Dan mungkin kita juga salah seorang pelakunya, heheh..   Ia adalah satu teguran secara berhemah, yang In shaa Allah, tidak akan mencederakan emosi para pembaca (tapi kalau ada orang yang sentap lepas baca buku ini, Patung Beruang tak dapat nak tolong lah ye). 

Oklah, Patung Beruang tak nak lah kongsikan semuanya kerana bagi pendapat Patung Beruang membaca buku ini sendiri lebih puas dari membaca ulasan orang lain. Percayalah, anda tidak akan menyesal membacanya. So, cepat-cepatlah cari buku ini ye.. :)

Tuesday, January 27, 2015

Jangan Bercakap Seperti Orang Lain

Industri penerbitan buku tempatan kini berkembang dengan begitu pesat sekali. Penghasilan buku-buku pula memperlihatkan perkembangan yang amat memberangsangkan. Kegawatan ekonomi yang dikatakan menjejaskan beberapa sektor industri tidak mengheret industri penerbitan buku yang turut menggelonsor. 

Bagaimanapun, di sebalik kerancakan dan peningkatan jualan buku, kita masih tidak nampak kegilaan membaca dijadikan budaya. Kalau ada pun mereka yang minat membaca, golongan ini tidaklah ramai kalau dilihat dengan pandangan kasar. Masih tidak ramai yang membaca buku di dalam LRT, di taman-taman rekreasi ataupun di mana-mana tempat menanti seperti di bank atau di kaunter-kaunter jabatan kerajaan. 

Kehebatan siaran televisyen membuatkan mata kita terpaku ke skrin TV. Ia bukan sahaja mengambil alih masa untuk aktiviti riadah, komunikasi di dalam keluarga malah juga tabiat membaca. 

Siaran hiburan yang disertai dengan warna, bunyi dan suara membuatkan kita terpukau sehingga ramai di antara kita yang memperuntukkan sejumlah masa dalam sehari untuk menonton TV. Rancangan TV yang berbentuk pengetahuan pula, bila disiar dengan menggunakan kesan khas imej dan bunyi kian menjadikan kita asyik hingga kita mempunyai tanggapan bahawa kononnya kita sedang belajar dan bukan berhibur. Tanggapan ini juga mengurangkan minat seseorang untuk membaca. Padahal, aktiviti menonton apa bentuk siaran pun adalah sejenis aktiviti pasif dalam konteks meningkatkan kecerdasan minda dalam menganalisa sesuatu perkara yang dibentangkan. 

Bila kita memperkatakan mengenai tabiat membaca, mengapakah lazimnya ia bermaksud tabiat membaca buku? Bukankah membaca juga termasuk membaca majalah, akhbar malah membaca daripada sesebuah artikel di dalam laman internet? Bagi saya, terdapat kelainan kesan yang membezakan di antara membaca buku, akhbar, majalah mahupun daripada laman di internet. 

Apa yang dibaca di akhbar biasanya berbentuk berita atau maklumat. Maklumat belum tentu lagi menjadi pengetahuan. Lagi pula, berita-berita biasanya disiarkan dalam bentuk cebisan yang pendek-pendek. Ketika membaca sesebuah berita, ekor mata pula akan tertarik dengan berita berhampiran. Ini membuatkan seseorang yang menatap akhbar, tidak dapat menatapnya dengan penuh konsentrasi. 

Artikel didalam majalah pula, meskipun lebih panjang, namun ia belum juga dapat memberi kesan yang mendalam terhadap si pembaca. Pembaca mungkin memperoleh maklumat dan juga pengetahuan asas mengenai apa yang dibacanya tetapi ia belum cukup untuk meningkatkan kecerdasan otak khususnya daya analisa terhadap sesuatu perkara yang dibentangkan. 

Membaca di laman-laman internet pula boleh memberi kelainan. Seseorang boleh melayari pelbagai laman yang berkaitan dengan apa yang diingininya. Namun, oleh kerana capaiannya begitu luas, seseorang itu perlu banyak menapis maklumat pula kerana sebahagian daripada apa yang diperoleh di laman web adalah sampah terhormat ataupun maklumat yang belum tentu ada kredibilitinya. 

Justeru itu, membaca buku adalah jawapan kepada tabiat membaca yang terbaik. Ambillah sebuah buku yang bagus dan tataplah. Apabila sehelai demi sehelai halaman diselak, ia adalah sebuah perjalanan yang panjang. Ertinya, ia adalah satu senaman minda yang lama. Jika membaca akhbar adalah umpama lari jarak dekat, membaca majalah mahupun melayari internet adalah larian jarak jauh, membaca buku pula adalah satu maraton. 

Bila membaca buku, otak dilatih untuk menumpukan fikiran terhadap sesuatu dalam jangka masa yang panjang. Ini adalah kerana, sesebuah buku lazimnya hanya membicarakan sesuatu topik dengan mendalam. Ia berbeza dengan akhbar dan majalah yang memaparkan sesuatu yang berbentuk selayang pandang. Kerana itu, bila membaca buku, kita menjadi lebih kreatif dan analitikal. 

Seorang penulis buku sebenarnya menurunkan apa yang berselirat di dalam mindanya di atas kertas. Fikiran itu disusun semula dari segi struktur ayat, nahu dan bahasa agar mudah difahami oleh si pembaca. Justeru itu, bila kita membaca sesebuah buku, kita juga sedang menjalin perhubungan psikik dengan si penulis. Penulisnya tiada di sisi, tetapi tulisannya lah yang kita tatap. Apa yang diteliti adalah pemikirannya yang sudah tersusun. 

Setelah kita membaca halaman terakhir dan menutup bukunya, kita juga sebenarnya sudah menghadam sebahagian daripada minda si penulis. Bayangkan, penulis mungkin mengambil masa lebih setahun untuk menyiapkan tulisannya. Kita hanya mengambil masa semalam untuk meratah apa yang dihidangnya!

Secara literal, kita boleh berfikiran seperti si penulis seandainya kita membaca buku-bukunya. Tentu sekali bila kita membaca pelbagai jenis buku dari pelbagai penulis, kita juga sebenarnya "berkawan" dengan mereka. Cara berfikir kita juga akan turut berubah dan terlahir ketika bergaul. 

Jika kita rajin memerhati, kita akan mendapati seseorang yang rajin membaca biasanya bukan berbual, tetapi berbicara. Dia tidak memperkatakan hal-hal klise bila bercakap. Selepas bertanya khabar secara berbasa basi, dia akan memperkatakan perkara di sebalik cerita dan berita. 

Dia tidak akan bercakap mengenai calon manakah yang akan menang dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, tetapi apakah nilai-nilai yang dipegang oleh parti-parti yang bertanding. Dia tidak akan memperkatakan mengenai gempa di Padang, tetapi apa yang berlaku di kerak laut kepulauan Tonga. Dia tidak akan memperkatakan mengenai bencana alam, tetapi mesej yang TUHAN hendak sampaikan kepada kita. Pertuturan kita menggambarkan apa yang kita baca. Kalau kita malas membaca, apa yang kita cakap itu sama seperti orang lain!

Artikel ini dipetik dari Bab "Jangan Bercakap Seperti Orang Lain", karya Norden Mohamad di dalam bukunya "Maaf Cakap - Nasihat Segar Agar Kita Sedar." Patung Beruang tertarik sangat dengan artikel ini setelah membacanya buat pertama kali. Jujurnya, Patung Beruang bersetuju 200% dengan pandangan beliau ini. Ya, apa yang keluar dari mulut kita, mencerminkan siapa diri kita.  

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...