Sunday, May 31, 2026

Tentang Hati Yang Memilih Diam

22 May 2026, Jumaat - 

Entah mengapa, sepanjang minggu ke-3 di bulan May ini, Patung Beruang sering didatangi satu gerak hati yang  sukar dijelaskan. Perasaan itu hadir berhari-hari lamanya, seolah-olah ada sesuatu yang ingin disampaikan, tetapi tidak mampu diterjemahkan dengan kata-kata. 


Kemuncaknya pada malam 22 May 2026. 

Malam itu, fikiran ini tidak mahu berhenti berputar. Hati pula tidak berhenti merasa. Hingga akhirnya, tidur menjadi sukar untuk dijemput.

Lalu seperti biasa, apabila hati terlalu penuh dan fikiran terlalu bising, Patung Beruang memilih untuk menulis.

Menulis bukan kerana ada jawapan yang dicari, tetapi sekadar untuk melepaskan apa yang sedang dirasa. 

Dan entah bagaimana, tulisan ini tersimpan begitu saja. Baru kini Patung Beruang teringat untuk kongsikannya disini. 

Maaf ya, kerana lambat sedikit... 



Tentang Hati Yang Memilih Diam 



Ada hari-hari, hati ini terjaga dengan dada yang berat, 

seolah-olah jiwa tahu, ada seseorang di dunia ini yang sedang memikul sesuatu - 

dan entah bagaimana, beban itu singgah juga ke dalam rasa. 


Lalu hati ini memilih diam. 


Kerana apa lagi yang mampu dilakukan oleh hati yang peduli, namun tidak mempunyai hak untuk bertanya khabar? 

Hanya mampu memandang jauh, ke arah keberadaan yang tidak diketahui, dan menyelitkan namanya ke dalam doa tanpa pernah meminta untuk diketahui. 


Ada malam, hati ini gentar pada sunyi. Gentar pada kehilangan yang sebenarnya tidak pernah dimiliki. 

Dan diam-diam, hati ini pernah bertanya pada diri:

"Mengapa masih ada risau? Mengapa masih peduli? Mengapa hati ini belum belajar bahawa tidak semua yang singgah ditakdirkan untuk menetap?" 

Namun setiap kali hati memberontak, Tuhan melembutkan semula. Seolah-olah Dia berbisik: 

"Tidak semua rasa perlu dijawab oleh manusia. Ada yang cukup dipulangkan kepada-Ku." 


Lalu hati ini belajar. 

Belajar bahawa kasih kadang-kadang bukan tentang memiliki, tetapi tentang tetap mendoakan meski dari kejauhan. 

Tentang berharap seseorang sentiasa selamat, dipermudahkan segala urusan, dilindungi siang dan malam. 

Meski dia tidak tahu, ada jiwa yang menyebut namanya dalam setiap sujud. 


Dan hari-hari terus berlalu, 

Rindu masih ada, namun rindu itu tidak lagi menyesakkan.

Peduli masih tinggal, namun peduli itu tidak lagi meminta. 

Ingatan masih wujud, namun ingatan itu perlahan-lahan belajar menjadi tenang. 


Hari ini,

hati ini berjaya melalui satu hari tanpa bertanya dimana dia berada. 

Berjaya menahan diri daripada mencari. 

Berjaya memilih diam.

Dan anehnya - diam itu tidak mematahkan. Diam itu menyembuhkan. 

Barangkali beginilah rupa redha. 

Bukan apabila rasa hilang sepenuhnya, tetapi apabila hati mampu berbisik: 

"Ya Tuhan, jika dia baik-baik saja, itu sudah cukup untuk menenangkan hati ini. 

Dan jika takdir kami tidak lagi bersilang, peliharalah dia walau di mana pun dia berada, sebagaimana Engkau perlahan-lahan memelihara hati ini." 


Lalu malam datang semula, 

Dan jiwa ini terlelap dengan doa yang tidak pernah berubah.

Bukan meminta dia kembali.

Hanya memohon: 

"Semoga dia sentiasa berada dalam lindungan-Mu.

Semoga segala urusannya dipermudahkan.

Semoga hidup dan matinya dipelihara dengan rahmat. 

Dan jika hatinya sedang menanggung beban, ringankanlah dengan kasih-Mu. 

Dan semoga hati ini juga - 

diberikan kekuatan untuk terus menyayangi dengan ikhlas,

meski akhirnya perlu belajar bahawa ada kasih yang ditakdirkan hidup sebagai doa."


Kerana akhirnya hati ini mengerti: 

Tidak semua yang disayangi, ditakdirkan untuk dimiliki.

Ada yang hadir sekadar mengajarkan erti peduli,

erti menunggu tanpa kepastian,

erti mendoakan tanpa diketahui,

dan erti melepaskan tanpa pernah berhenti menyayangi. 


Lalu pada suatu saat, hati ini tidak lagi meminta jawapan. 

Tidak lagi mencari keberadaan.

Tidak lagi berharap pada sesuatu yang berada di luar genggaman. 


Hati ini hanya berharap:

Jika dia sedang bahagia, biarlah bahagia itu berpanjangan. 

Jika dia sedang bersedih, moga Tuhan mengirimkan tenang. 

Jika dia sedang berjuang, moga dipermudahkan segala urusan. 


Dan jika suatu hari, jalan kami benar-benar tidak lagi bersilang - 

moga Tuhan tetap peliharanya,

sebagaimana hati ini pernah memeliharanya dalam doa. 

Kerana kasih yang paling ikhlas, 

ialah kasih yang memilih diam, 

namun tidak pernah berhenti menyebut nama seseorang di hadapan Tuhan.... 




Dear Patung Beruang, 

Inilah kehidupan di dunia yang sementara ini. 

Kadang-kadang, kita tidak memerlukan jawapan untuk setiap rasa yang hadir. Ada yang cukup kita serahkan kepada Tuhan, lalu meneruskan langkah dengan hati yang lebih tenang. 

Semoga kita semua diberikan kekuatan untuk menerima apa yang tidak mampu kita ubah, dan keikhlasan untuk terus mendoakan kebaikan buat mereka yang pernah singgah dalam doa-doa kita. 

Semoga Allah menggantikan setiap yang terpaksa kita lepaskan dengan redha yang paling indah, kerana setiap yang berlaku pasti tersimpan hikmah yang belum tentu mampu kita fahami pada hari ini. 


Dan sekarang.... 

Adakah persoalan di sebalik gerak hati itu sudah terjawab? 

Ya.

Sudah.

Alhamdulillah...


Jawapan itu hadir bukan dengan hingar, tetapi dengan ketenangan. 

Bukan dengan kepastian yang dipaksa, tetapi dengan damai yang dihadiahkan.

Senyuman kecil terukir di bibir.

Dan hati ini akhirnya mengerti. 

Misteri kehidupan akan sentiasa menjadi misteri. 

Selagi masih bernafas, selagi itulah akan ada helaian cerita yang belum selesai ditulis. 

Terima kasih, Tuhan.

Atas segala rasa.

Atas segala pengajaran. 

Dan atas misteri yang akhirnya menemukan hati ini dengan ketenangan.

Alhamdulillah...

Selamat malam... 

Book Review: Aku Bukannya Menyerah, Hanya Sedang Lelah (Edisi Bahasa Melayu)


Tajuk: Aku Bukannya Menyerah, Hanya Sedang Lelah

Penulis: Geulbaewoo

Penterjemah: Rafiza Ab Rahman

Cerita Patung Beruang: 

Sudah lama Patung Beruang tidak menulis disini.

Beberapa minggu kebelakangan ini Patung Beruang agak sibuk. Antara tugasan hakiki dan sampingan, usaha menyantuni stakeholders kerjaya dan peribadi setakat yang termampu, serta ikhtiar yang tidak pernah putus untuk menjadi hamba Allah dan manusia yang lebih baik. 

Ada banyak perkara yang berlaku sepanjang tempoh hiatus ini. Cuma Patung Beruang sendiri tidak pasti sama ada, ada rezeki atau tidak untuk berkongsi semuanya disini nanti. 

Maafkan diri ini kerana lama menyepi.

Alhamdulillah, Patung Beruang masih diizinkan bernafas. Masih mampu bangun setiap pagi dengan tersenyum dan semangat untuk memulakan hari yang baharu. 

Nikmat sebesar itu, apalagi yang hendak diri ini dustakan?



Minggu ini berlangsungnya PBAKL 2026. 

Hari Raya untuk bibliophiles, hooray..

Seperti biasa, setiap kali tibanya PBAKL, selain teruja melihat barisan buku-buku baharu yang diterbitkan, Patung Beruang juga tidak sabar untuk menghantar sebahagian koleksi peribadi ke donation box. 

Untuk program book donation tahun ini, temanya ialah Book Behind Bars, dimana buku-buku yang didermakan akan disalurkan ke penjara-penjara sebagai bahan bacaan buat para penghuni disana. 

Menarik, bukan? 

Memandangkan sasaran penerimanya terdiri daripada pelbagai lapisan usia, latar belakang, dan tahap pendidikan, genre buku yang boleh didermakan juga sangat pelbagai - daripada buku akademik, puisi, biography, religious, novel, travel, encyclopedia, motivational dan self-help. 

Sejurus melihat poster Book Behind Bars itu, Patung Beruang sudah terbayang buku-buku koleksi sendiri yang ingin dihantar ke sini. 

Tapi.... 

Tiba-tiba Patung Beruang teringat.

Alamak, masih banyak lagi book review yang tertunda disini. 

Adoiii.. 

Makanya, kita cubalah update seberapa banyak book review disini supaya buku-buku tersebut boleh berpindah kepada tuan baharu ye.

Yelah..

Tanpa book review, keberangkalian untuk Patung Beruang membeli semula buku yang pernah dibaca adalah sangat tinggi. 

Manusia bernama Ilyana ini, setiap kali stress saja, dia akan masuk kedai buku. Dan bila sudah masuk kedai buku, habislah. Rambang mata. Hilang pertimbangan.  Lupa dunia. 

Bila sudah membeli dan pulang ke rumah, berdiri di hadapan rak buku sambil berkata, "Laaa...  buku ini dah ada rupanya." 

Ish ish ish...



Menariknya Naskah Ini:

Naskah Aku Bukannya Menyerah, Hanya Sedang Lelah ini adalah naskah ke-23 yang Patung Beruang habiskan pada tahun 2025. 

Asalnya, sasaran bacaan hanyalah 12 buah buku setahun. Namun Alhamdulillah, jumlah sebenar yang berjaya dibaca melebihi 2 kali ganda dari sasaran tersebut. 


Naskah terjemahan dari Korea ini dibeli di Kinokuniya KLCC ketika Patung Beruang pulang dari pejabat. Sedang membelek satu demi satu buku di rak, Patung Beruang tertarik kepada naskah ini sebaik membaca blurb berikut: 

"Ada masa, semangat hilang tanpa sebab. Hari-hari terasa kosong, sedangkan semuanya masih sama. Usaha tetap ada, tapi diri tetap rasa kurang. Seolah-olah tidak pernah cukup, walau sudah terlalu banyak bertahan.

Naskah ini ditulis untuk jiwa yang perlukan ruang bernafas. Bukan jawapan kepada semua, tapi teman yang memahami - agar yang letih tahu, ada tempat untuk berhenti sekejap dan kembali kepada diri. 

Jika hari ini terasa berat tanpa sebab yang jelas, mungkin buku ini sedang menunggu untuk kamu pegang. Untuk menemani, bukan mengadili. Untuk hadir, walau hanya dalam diam." 


Dan ya...

Blurb itu berjaya membuatkan Patung Beruang membawa pulang buku ini. 


Naskah ini mengandungi 3 bahagian utama dan setiap bahagian itu ada tajuk-tajuk kecil yang menyokong initipatinya. 


Bahagian 1: Kamu Pasti Mampu Melakukan Banyak Perkara, Meskipun Terpaksa Jatuh dan Bangun Berkali-kali.

Dalam bahagian ini, penulis mengingatkan bahawa kehidupan sememangnya akan melalui fasa-fasa jatuh. 

Jatuhlah berapa ribu sekalipun, kita tetap perlu bangun kerana masih percaya bahawa hari esok boleh menjadi lebih baik daripada hari ini. 

Selagi kita masih bernafas, selagi itulah masih ada harapan. 

Harapan untuk impian yang bakal dicapai.

Harapan untuk masalah yang bakal diselesaikan. 

Harapan untuk menjadi diri sendiri dan hidup dengan bahagia. 

Kerana hakikatnya, selama masih ada harapan, manusia akan terus bertahan. 

Dan tiada yang lebih menyedihkan daripada jasad yang masih hidup, tetapi hatinya sudah lama mati. 


"Orang yang sering terluka adalah, orang yang terlalu ceria, terlalu keras pada diri sendiri, terlalu banyak berfikir supaya sentiasa berjaya, terlalu berusaha supaya berupaya memahami perasaan orang lain, terlalu pandai menahan perasaan dan emosinya naik turun secara berlebihan. 

Sejak kecil, dia perlu melakukan semua urusan secara bersendirian, seolah-olah dia sudah dewasa. Atas sebab itu, dia menderita sendiri, kerana terlalu mahu melakukan semuanya dengan baik dan tidak boleh salah.

Itulah tanda orang yang sering terluka.

Seandainya dia mendengar seseorang berkata padanya dengan bersemangat,

"Tentu saja kamu boleh menjadi diri sendiri, tidak perlu terlalu memaksa diri, hiduplah dengan bahagia."

Ada kemungkinan dia akan menangis..."



Bahagian 2: Untuk Kamu Yang Keletihan Kerana Sering Menanggung Semuanya Sendirian. 

Bahagian ini lebih banyak menyentuh tentang hubungan sesama manusia. 

Tentang keluarga. 

Persahabatan.

Percintaan.

Perpisahan. 

Dan segala emosi yang hadir bersamanya. 


Setiap hubungan pasti ada konflik. Itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan. 

Yang lebih penting ialah bagaimana kita menguruskan konflik tersebut, dan bagaimana kita memilih untuk kembali berbaik-baik setelah badai berlalu. 


"Jika kamu menganggap orang itu berharga, berdoalah dengan ikhlas supaya orang itu berjaya, berilah perhatian dan sokongan kamu kepadanya."

Petikan diatas itu ringkas. Tetapi sangat dalam. 



Bahagian 3: Perkara Yang Menunjukkan Jati Dirimu

Jika kita sendiri tidak mengenali diri kita, bagaimana mungkin kita mengharapkan orang lain mengenali siapa diri kita sebenarnya? 

Jika kita sendiri tidak menghargai diri kita, bagaimana mungkin kita mengharapkan penghargaan daripada orang lain? 

Bahagian ini banyak mengajak pembaca untuk kembali melihat ke dalam diri sendiri.

Menerima diri. 

Memaafkan diri. 

Dan menghargai keberanian dia yang telah bertahan selama ini. 

"Buat kamu yang tidak lagi menahan diri dan berjaya meninggalkan apa yang membuat kamu menderita, kamu memiliki keberanian yang luar biasa kerana mengambil keputusan yang hebat itu." 



Seperti yang tertulis pada blurb, anggaplah naskah ini sebagai seorang teman. 

Dan yes, itulah yang Patung Beruang rasakan sepanjang membacanya. 

Seolah-olah sedang duduk berdua dengan seorang sahabat yang sangat memahami. 

Patung Beruang bercerita. 

Dia mendengar. 

Tanpa menghakimi. Tanpa menyampuk. Tanpa meminta penjelasan.

Hanya hadir. 

Dan kadangkala, kehadiran yang tenang itu sudah cukup untuk membuatkan hati terasa lebih ringan. 


Patung Beruang masih ingat lagi. 

Naskah ini mula dibaca ketika berada di dalam MRT, dalam perjalanan pulang ke rumah di Equine. 

Ada beberapa bahagian yang terlalu dekat dengan diri sendiri. Terlalu dekat sehingga air mata hampir mengalir tanpa disedari. 

Cepat-cepat Patung Beruang mengesatnya. 

Tak mahulah penumpang lain nampak. Nanti mereka fikir Patung Beruang sedang putus cinta pula, hehehe... 


Tahun 2025 bukanlah tahun yang mudah. Jujurnya, ia antara tahun yang paling mencabar pernah dilalui. 

Seperti yang pernah Patung Beruang kongsikan sebelum ini, tahun itu adalah tempoh dimana diri ini sedang berusaha keras untuk kembali hidup sebagai manusia yang normal. 

Dan sepanjang proses tersebut, banyak emosi dilepaskan melalui buku-buku yang dibaca. 

Kerana kadangkala... Tidak semua perkara mampu diceritakan kepada manusia. 

Tambahan pula, Ilyana ini pandai menyembunyikan kesakitan disebalik senyuman. 

Masih boleh berfungsi. Masih boleh bekerja. Masih boleh ketawa. 

Maka ramai yang tidak menyedari bahawa sebenarnya dia sedang berjuang. 

Jadi kemana perginya segala rasa yang terbuku? 

Ke dalam buku.

Ke dalam diary. 

Ke dalam doa-doa yang dipanjatkan ketika sujud. 

Ketika membaca Al-Quran. 

Dan pada saat kegemaran Patung Beruang - memandu Si Putih sendirian. 

Hanya diri ini dan Allah. 

Momen yang sangat Patung Beruang hargai....



Berbalik kepada naskah ini. 

Secara keseluruhannya, ia sebuah bacaan santai yang sesuai menemani hari-hari yang terasa sedikit berat. 

Sekadar menjadi ruang untuk melepaskan apa yang terbuku di hati. 

Cuma ada beberapa bahagian yang terasa agak dark. Suram. Kelam. 

Seakan-akan membawa pembaca menyelami jurang emosi yang dalam. 

Namun, perkara itu tidaklah mengejutkan kerana nuansa sebegitu memang sering ditemui dalam karya penulis Jepun dan Korea. 

Secara tidak langsung, ia juga mencerminkan beban emosi dan tekanan psikologi yang sedang dihadapi oleh masyarakat disana. 

Dan mungkin...

Itulah sebabnya naskah ini terasa sebegitu manusia... 

Saturday, May 9, 2026

Book Review: Sedikit, Tapi Cukup



Tajuk: Sedikit, Tapi Cukup

Penulis: Fakhri Fadzli

Menariknya Naskah Ini: 

Alhamdulillah, ini adalah buku ke-8 yang Patung Beruang berjaya selesaikan untuk tahun ini. 

Naskah ini Patung Beruang selesai membaca pada minggu yang baru lepas ini, ketika sedang bercuti di Marriott Resort Pulau Perhentian. Duduk di tepi pantai, di bawah payung, sambil membaca buku dengan ditemani bunyi ombak yang menghempas, air laut yang biru dan jernih. I'm in heaven, Alhamdulillah...



Blurb:

Kita sering merasakan apa yang kita miliki sekarang tidak cukup. Jika ditambah, ada sahaja perkara lain yang kita inginkan dan perlukan. Gajet baru, baju baru, gaji tinggi. Jika tidak dapat, kita sedih, kecewa dan murung. Jika dapat, kita gembira, namun kemudian .....

Kita akan mencari lagi dan lagi - yang lebih baru, yang lebih cantik, yang lebih hebat. Duit, masa dan tenaga yang dilaburkan semakin banyak, tetapi kita masih belum berpuas hati. 

Tanpa sedar, kita terperangkap dalam satu kitaran berbahaya. 

"Aku nak lagi."

"Apa yang aku ada belum cukup."

"Aku perlukan semua ini."


Mengapa kita berada dalam situasi ini?

Sebenarnya, apakah perkara yang kita betul-betul perlukan?

Adakah wujud satu "produk" di dunia ini yang boleh mengisi kekosongan dalam diri kita? 



Naskah ini bermula dengan pandangan penulis berkenaan konsep dunia ini seperti air laut. Rupa luarannya seperti air biasa yang kita sangka dapat menghilangkan dahaga, namun tatkala meneguknya, kita semakin haus. Tiada air laut yang dapat melunaskan rasa dahaga yang kita alami. Konsep ini sangat berkait rapat dengan istilah rasa tidak cukup (discontent) dan kehilangan rasa cukup (contentment) dalam hidup. 

Dalam Islam, ada konsep qanaah atau rasa cukup. Kata kunci terpenting pada sifat qanaah adalah redha, iaitu: 

  • Redha dengan apa yang dikurniakan;
  • Redha dengan apa yang dimiliki; 
  • Redha dengan apa yang Tuhan tentukan. 
  • Tidak berlebihan dalam meminta-minta apa yang tiada. 
  • Sedikit atau banyak yang diperoleh, hati rasa redha dan tenang. 
Jika kita merasa cukup dengan apa yang ada pada diri kita, maka kita tidak melihat apa yang kurang dan tiada. 

Qanaah ialah keadaan hati yang tidak dipengaruhi oleh perkara-perkara luaran. Kita boleh merasai qanaah walaupun kita sedang berasa sedih, melalui kesusahan  atau menghadapi cabaran. 



Adakah kita berdoa semasa bahagia? 
Satu persoalan yang ditimbulkan oleh penulis.

Jika diteliti ayat ke-12, Surah Yunus: 
"Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah dia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada berbaring atau duduk atau berdiri; dan setelah Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami untuk hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana dia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan."

Menurut Imam al-Razi, ayat ini berbicara tentang sifat manusia yang sedikit sabarnya apabila ditimpa ujian dan sedikit syukurnya apabila menerima kurniaan. 

Mengapa Allah SWT menceritakan sifat manusia ini?

Kerana ia merupakan perbuatan yang tercela. Seorang manusia yang berakal, wajib bersabar ketika ujian diturunkan dan bersyukur ketika menerima kejayaan dan nikmat. 


Paradox of Happiness...
Dalam hidup ini, kita akan sentiasa menghadapi paradoks. Paradoks ialah perkara yang bertentangan dengan sesuatu yang diterima secara umum. 

Satu kajian psikologi telah dilakukan oleh University Rutgers dan University Toronto berkenaan cara manusia memandang dan mengejar kebahagian dalam hidup. Antara penemuan dari kajian tersebut adalah:
  • Cubaan untuk menjadikan kebahagiaan sebagai satu matlamat yang ingin kita capai - atau sesuatu yang kita akan capai satu hari nanti, adalah perkara yang sia-sia. Ini kerana kita akan cenderung untuk mengorbankan nilai atau pengalaman hidup dengan sesuatu yang bersifat fizikal, sedangkan perkara fizikal itu tidak dapat betul-betul menggantikan kegembiraan.
  • Kebahagiaan sebenar ada pada perkara yang tidak boleh dibeli dengan duit. Contohnya, pengalaman hidup, hubungan dengan keluarga dan persahabatan yang baik. 
  • Apabila kita rasa tidak cukup masa, maka kita akan berhenti daripada melakukan aktiviti yang memberikan kepuasan kepada diri kita seperti aktiviti sukarela atau membantu orang lain. Sedangkan, aktiviti sebegitulah yang akan memberikan makna kepada hidup kita. 

Kesimpulan dari Parodox of Happiness adalah mengejar gembira akan menjadikan kita tidak gembira. 

Jika begitu, adakah itu bermakna kita tidak boleh memiliki keinginan untuk merasa gembira dalam hidup?

Bukan, hehehe..

Dalam hal ini, Dr. Tal Ben Shahar, pengkaji tentang kebahagiaan di Universiti Harvard telah memperkenalkan Spire Model untuk mencapai kegembiraan. Menurut beliau, kita perlu mencari kebahagiaan secara tidak langsung. 

Mengikut Spire Model, ada 5 elemen yang akan menghasilkan kegembiraan dalam hidup iaitu: 
  • S - Spiritual (Kerohanian)
  • P - Physical (Fizikal)
  • I - Intellectual (Intelektual)
  • R - Relational (Hubungan)
  • E - Emotional (Emosi)
Kegembiraan ialah by-product, atau kesan sampingan yang terhasil apabila kelima-lima elemen ini seimbang dalam hidup kita. 



Dalam naskah ini, Patung Beruang belajar yang "merasa cukup dengan Allah SWT dan merasa cukup dengan segala yang ada pada diri ini ialah sumber kekuatan kita." 
Disaat dunia berkonspirasi dan merencana untuk menyakitkan kita; 
di saat segala jalan tertutup buat kita;
di saat harapan dan cita-cita kita dipatahkan -
pada waktu itu, yang sentiasa ada bersama kita ialah Allah SWT dan diri kita sendiri. 


Banyak pengalaman yang kita perlu tempuh. Banyak kesakitan yang perlu kita rasai. Banyak ketidakadilan yang kita lalui. Banyak ketidakcukupan yang kita hadapi. Banyak juga air mata yang tumpah dalam proses menjalani hidup ini. 

Tetapi, untuk apa kita melalui segala yang melelahkan dan memenatkan jiwa ini??
Supaya.. akhirnya kira dapat merasai ketenangan jiwa. 

Al-Quran berbicara tentang jiwa manusia dalam 3 peringkat berbeza.
Peringkat pertama - nafsu ammarah : Jiwa yang sentiasa menyeru ke arah keburukan dan tidak menyeru ke arah kebaikan.

Peringkat kedua - nafsu lawwamah : Jiwa yang bergelora dan bergelojak tatkala kita berada di persimpangan antara kebaikan dan keburukan. 

Peringkat ketiga - nafsu mutmainnah : Jiwa yang telah dibentuk dengan pengalaman dan kesakitan. Jiwa yang telah melalui pelbagai jalan yang berliku; jiwa yang tidak mengeluh tatkala perlu mendaki kerana dia tahu, selepas pendakian akan ada penurunan. Jiwa yang tidak g embira berlebihan ketika menurun kerana tahu bahawa selepas ini akan ada pendakian lagi. 
Inilah jiwa yang telah matang dengan ujian, jiwa yang memiliki rasa sabar dan syukur. Sabar tatkala rezeki hanya cukup untuk makan dan bersyukur ketika dilimpahi kurniaan dan bukannya mendabik dada. 
Jiwa yang tenang menerima khabar gembira dan khabar luka. 



Naskah ini, topiknya agak berat tapi pengisiannya santai. Gaya penulisannya ringkas, sedap dan membuatkan Patung Beruang sukar untuk berhenti membaca selagi tidak sampai ke mukasurat terakhir... 
Sangat berbaloi untuk dibaca oleh semua...

Monday, May 4, 2026

Ketika Laut Tidak Menjawab

Ketika Laut Tidak Menjawab ....



Di bawah cahaya bulan yang tidak tergesa,

laut terhampar seperti rahsia yang disimpan lama - 

tenang, dalam, dan tidak meminta untuk difahami.


Bulan,

Pantulannya jatuh perlahan di permukaan air, 

membentuk lorong cahaya yang sunyi,

seakan-akan ada jalan pulang

yang hanya wujud pada waktu begini - 

halus, samar, namun cukup untuk dirasa.


Di kejauhan, sebuah bot kecil

berlabuh tanpa suara,

tidak bergerak, tidak mencari arah - 

sekadar hadir di antara gelap dan cahaya, 

seperti hati yang telah belajar

untuk tidak lagi memaksa makna.


Tiada gelisah pada diamnya,

tiada kehilangan pada hening itu - 

kerana tidak semua yang berhenti

bererti sesat,

dan tidak semua yang diam

bererti kosong.


Angin malam menyentuh tanpa jejak,

membawa dingin yang lembut, 

mengusap permukaan laut

dan segala yang pernah beriak di dalamnya,

hingga perlahan-lahan

semuanya menjadi reda. 


Bulan tidak menjanjikan apa-apa,

laut tidak menjawab apa-apa,

dan bot itu tidak ke mana-mana -

namun dalam ketidaktentuan yang tenang itu,

ada sesuatu yang akhirnya mengerti: 

bahawa tidak semua perjalanan

perlu sampai,

tidak semua persoalan perlu terjawab.


Ada waktu,

kita hanya perlu berhenti di tengah luasnya malam,

membiarkan diri diterangi sedikit cahaya,

dan percaya - 

bahawa diam juga boleh menjadi tempat pulang....




p/s: Sepanjang berada di pulau yang terasing ini, gambar bulan penuh yang pantulan cahayanya di atas laut, dan kehadiran sebuah bot yang pegun, adalah antara gambar kegemaran Patung Beruang. 

Gambar ini Patung Beruang tangkap dari balcony villa.

Entah mengapa bila lihat saja gambar ini, Patung Beruang terfikir untuk coretkan sesuatu disini. 


Puisi ini sebenarnya tentang ketenangan dalam ketidakpastian - dan bagaimana hati boleh berhenti mencari jawapan, lalu memilih untuk diam dan menerima. 

Laut : melambangkan perasaan yang luas dan dalam - segala yang kita rasa tapi tidak selalu mampu difahami sepenuhnya. 

Bulan : seperti cahaya kecil dalam gelap - bukan menyelesaikan segala persoalan, tapi cukup untuk menenangkan dan memberi arah yang samar. 

Bot : ibarat diri kita - yang pernah bergerak, pernah mencari, tapi kini berhenti seketika. Bukan kerana sesat, tetapi kerana sudah letih bertanya. Ini bukan tanda hilang arah - cuma tanda hati sedang berehat dari keperluan untuk tahu segalanya. 


Kesimpulannya, adakalanya kita tidak perlu jawapan, tak perlu kepastian. Cukup sekadar berada, merasai, dan berdamai dengan apa yang ada....

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...