Penulis: Geulbaewoo
Penterjemah: Rafiza Ab Rahman
Cerita Patung Beruang:
Sudah lama Patung Beruang tidak menulis disini.
Beberapa minggu kebelakangan ini Patung Beruang agak sibuk. Antara tugasan hakiki dan sampingan, usaha menyantuni stakeholders kerjaya dan peribadi setakat yang termampu, serta ikhtiar yang tidak pernah putus untuk menjadi hamba Allah dan manusia yang lebih baik.
Ada banyak perkara yang berlaku sepanjang tempoh hiatus ini. Cuma Patung Beruang sendiri tidak pasti sama ada, ada rezeki atau tidak untuk berkongsi semuanya disini nanti.
Maafkan diri ini kerana lama menyepi.
Alhamdulillah, Patung Beruang masih diizinkan bernafas. Masih mampu bangun setiap pagi dengan tersenyum dan semangat untuk memulakan hari yang baharu.
Nikmat sebesar itu, apalagi yang hendak diri ini dustakan?
Minggu ini berlangsungnya PBAKL 2026.
Hari Raya untuk bibliophiles, hooray..
Seperti biasa, setiap kali tibanya PBAKL, selain teruja melihat barisan buku-buku baharu yang diterbitkan, Patung Beruang juga tidak sabar untuk menghantar sebahagian koleksi peribadi ke donation box.
Untuk program book donation tahun ini, temanya ialah Book Behind Bars, dimana buku-buku yang didermakan akan disalurkan ke penjara-penjara sebagai bahan bacaan buat para penghuni disana.
Menarik, bukan?
Memandangkan sasaran penerimanya terdiri daripada pelbagai lapisan usia, latar belakang, dan tahap pendidikan, genre buku yang boleh didermakan juga sangat pelbagai - daripada buku akademik, puisi, biography, religious, novel, travel, encyclopedia, motivational dan self-help.
Sejurus melihat poster Book Behind Bars itu, Patung Beruang sudah terbayang buku-buku koleksi sendiri yang ingin dihantar ke sini.
Tapi....
Tiba-tiba Patung Beruang teringat.
Alamak, masih banyak lagi book review yang tertunda disini.
Adoiii..
Makanya, kita cubalah update seberapa banyak book review disini supaya buku-buku tersebut boleh berpindah kepada tuan baharu ye.
Yelah..
Tanpa book review, keberangkalian untuk Patung Beruang membeli semula buku yang pernah dibaca adalah sangat tinggi.
Manusia bernama Ilyana ini, setiap kali stress saja, dia akan masuk kedai buku. Dan bila sudah masuk kedai buku, habislah. Rambang mata. Hilang pertimbangan. Lupa dunia.
Bila sudah membeli dan pulang ke rumah, berdiri di hadapan rak buku sambil berkata, "Laaa... buku ini dah ada rupanya."
Ish ish ish...
Menariknya Naskah Ini:
Naskah Aku Bukannya Menyerah, Hanya Sedang Lelah ini adalah naskah ke-23 yang Patung Beruang habiskan pada tahun 2025.
Asalnya, sasaran bacaan hanyalah 12 buah buku setahun. Namun Alhamdulillah, jumlah sebenar yang berjaya dibaca melebihi 2 kali ganda dari sasaran tersebut.
Naskah terjemahan dari Korea ini dibeli di Kinokuniya KLCC ketika Patung Beruang pulang dari pejabat. Sedang membelek satu demi satu buku di rak, Patung Beruang tertarik kepada naskah ini sebaik membaca blurb berikut:
"Ada masa, semangat hilang tanpa sebab. Hari-hari terasa kosong, sedangkan semuanya masih sama. Usaha tetap ada, tapi diri tetap rasa kurang. Seolah-olah tidak pernah cukup, walau sudah terlalu banyak bertahan.
Naskah ini ditulis untuk jiwa yang perlukan ruang bernafas. Bukan jawapan kepada semua, tapi teman yang memahami - agar yang letih tahu, ada tempat untuk berhenti sekejap dan kembali kepada diri.
Jika hari ini terasa berat tanpa sebab yang jelas, mungkin buku ini sedang menunggu untuk kamu pegang. Untuk menemani, bukan mengadili. Untuk hadir, walau hanya dalam diam."
Dan ya...
Blurb itu berjaya membuatkan Patung Beruang membawa pulang buku ini.
Naskah ini mengandungi 3 bahagian utama dan setiap bahagian itu ada tajuk-tajuk kecil yang menyokong initipatinya.
Bahagian 1: Kamu Pasti Mampu Melakukan Banyak Perkara, Meskipun Terpaksa Jatuh dan Bangun Berkali-kali.
Dalam bahagian ini, penulis mengingatkan bahawa kehidupan sememangnya akan melalui fasa-fasa jatuh.
Jatuhlah berapa ribu sekalipun, kita tetap perlu bangun kerana masih percaya bahawa hari esok boleh menjadi lebih baik daripada hari ini.
Selagi kita masih bernafas, selagi itulah masih ada harapan.
Harapan untuk impian yang bakal dicapai.
Harapan untuk masalah yang bakal diselesaikan.
Harapan untuk menjadi diri sendiri dan hidup dengan bahagia.
Kerana hakikatnya, selama masih ada harapan, manusia akan terus bertahan.
Dan tiada yang lebih menyedihkan daripada jasad yang masih hidup, tetapi hatinya sudah lama mati.
"Orang yang sering terluka adalah, orang yang terlalu ceria, terlalu keras pada diri sendiri, terlalu banyak berfikir supaya sentiasa berjaya, terlalu berusaha supaya berupaya memahami perasaan orang lain, terlalu pandai menahan perasaan dan emosinya naik turun secara berlebihan.
Sejak kecil, dia perlu melakukan semua urusan secara bersendirian, seolah-olah dia sudah dewasa. Atas sebab itu, dia menderita sendiri, kerana terlalu mahu melakukan semuanya dengan baik dan tidak boleh salah.
Itulah tanda orang yang sering terluka.
Seandainya dia mendengar seseorang berkata padanya dengan bersemangat,
"Tentu saja kamu boleh menjadi diri sendiri, tidak perlu terlalu memaksa diri, hiduplah dengan bahagia."
Ada kemungkinan dia akan menangis..."
Bahagian 2: Untuk Kamu Yang Keletihan Kerana Sering Menanggung Semuanya Sendirian.
Bahagian ini lebih banyak menyentuh tentang hubungan sesama manusia.
Tentang keluarga.
Persahabatan.
Percintaan.
Perpisahan.
Dan segala emosi yang hadir bersamanya.
Setiap hubungan pasti ada konflik. Itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Yang lebih penting ialah bagaimana kita menguruskan konflik tersebut, dan bagaimana kita memilih untuk kembali berbaik-baik setelah badai berlalu.
"Jika kamu menganggap orang itu berharga, berdoalah dengan ikhlas supaya orang itu berjaya, berilah perhatian dan sokongan kamu kepadanya."
Petikan diatas itu ringkas. Tetapi sangat dalam.
Bahagian 3: Perkara Yang Menunjukkan Jati Dirimu
Jika kita sendiri tidak mengenali diri kita, bagaimana mungkin kita mengharapkan orang lain mengenali siapa diri kita sebenarnya?
Jika kita sendiri tidak menghargai diri kita, bagaimana mungkin kita mengharapkan penghargaan daripada orang lain?
Bahagian ini banyak mengajak pembaca untuk kembali melihat ke dalam diri sendiri.
Menerima diri.
Memaafkan diri.
Dan menghargai keberanian dia yang telah bertahan selama ini.
"Buat kamu yang tidak lagi menahan diri dan berjaya meninggalkan apa yang membuat kamu menderita, kamu memiliki keberanian yang luar biasa kerana mengambil keputusan yang hebat itu."
Seperti yang tertulis pada blurb, anggaplah naskah ini sebagai seorang teman.
Dan yes, itulah yang Patung Beruang rasakan sepanjang membacanya.
Seolah-olah sedang duduk berdua dengan seorang sahabat yang sangat memahami.
Patung Beruang bercerita.
Dia mendengar.
Tanpa menghakimi. Tanpa menyampuk. Tanpa meminta penjelasan.
Hanya hadir.
Dan kadangkala, kehadiran yang tenang itu sudah cukup untuk membuatkan hati terasa lebih ringan.
Patung Beruang masih ingat lagi.
Naskah ini mula dibaca ketika berada di dalam MRT, dalam perjalanan pulang ke rumah di Equine.
Ada beberapa bahagian yang terlalu dekat dengan diri sendiri. Terlalu dekat sehingga air mata hampir mengalir tanpa disedari.
Cepat-cepat Patung Beruang mengesatnya.
Tak mahulah penumpang lain nampak. Nanti mereka fikir Patung Beruang sedang putus cinta pula, hehehe...
Tahun 2025 bukanlah tahun yang mudah. Jujurnya, ia antara tahun yang paling mencabar pernah dilalui.
Seperti yang pernah Patung Beruang kongsikan sebelum ini, tahun itu adalah tempoh dimana diri ini sedang berusaha keras untuk kembali hidup sebagai manusia yang normal.
Dan sepanjang proses tersebut, banyak emosi dilepaskan melalui buku-buku yang dibaca.
Kerana kadangkala... Tidak semua perkara mampu diceritakan kepada manusia.
Tambahan pula, Ilyana ini pandai menyembunyikan kesakitan disebalik senyuman.
Masih boleh berfungsi. Masih boleh bekerja. Masih boleh ketawa.
Maka ramai yang tidak menyedari bahawa sebenarnya dia sedang berjuang.
Jadi kemana perginya segala rasa yang terbuku?
Ke dalam buku.
Ke dalam diary.
Ke dalam doa-doa yang dipanjatkan ketika sujud.
Ketika membaca Al-Quran.
Dan pada saat kegemaran Patung Beruang - memandu Si Putih sendirian.
Hanya diri ini dan Allah.
Momen yang sangat Patung Beruang hargai....
Berbalik kepada naskah ini.
Secara keseluruhannya, ia sebuah bacaan santai yang sesuai menemani hari-hari yang terasa sedikit berat.
Sekadar menjadi ruang untuk melepaskan apa yang terbuku di hati.
Cuma ada beberapa bahagian yang terasa agak dark. Suram. Kelam.
Seakan-akan membawa pembaca menyelami jurang emosi yang dalam.
Namun, perkara itu tidaklah mengejutkan kerana nuansa sebegitu memang sering ditemui dalam karya penulis Jepun dan Korea.
Secara tidak langsung, ia juga mencerminkan beban emosi dan tekanan psikologi yang sedang dihadapi oleh masyarakat disana.
Dan mungkin...
Itulah sebabnya naskah ini terasa sebegitu manusia...


No comments:
Post a Comment