Sunday, October 11, 2026

Paradoks Jarak: Tentang Kepercayaan, Ruang dan Manusia...


Ada sesuatu yang menarik tentang jarak. 

Kita boleh duduk bersebelahan dengan seseorang selama bertahun-tahun, berkongsi ruang, rutin dan perbualan yang tidak terhitung banyaknya, namun tetap tidak benar-benar mengenali dunia di sebalik dirinya. 

Sebaliknya, ada seseorang yang tidak selalu kita temui, tidak setiap hari kita hubungi, tetapi entah bagaimana, terasa lebih dekat daripada yang sepatutnya.

Pelik, bukan? 


Mungkin kita terlalu lama mengukur kedekatan melalui frekuensi pertemuan, sedangkan hubungan manusia tidak beroperasi semudah itu. 

Jarak fizikal boleh diukur dengan kilometer, tetapi jarak emosi terbentuk daripada sesuatu yang jauh lebih kompleks: 

  • kepercayaan;
  • keterbukaan; dan
  • kesediaan untuk membenarkan seseorang melihat dunia melalui perspektif kita. 
Di situlah paradoksnya bermula.



Bukan Tentang Berapa Lama, Tetapi Bagaimana...

Kita sering menganggap masa sebagai ukuran utama dalam membina hubungan. Semakin lama mengenali seseorang, semakin dalam sepatutnya hubungan itu berkembang. 

Namun, masa hanya menyediakan peluang. Ia tidak menjamin kedekatan.


Ada hubungan yang bertahun-tahun kekal pada permukaan kerana kedua-dua pihak sekadar berkongsi ruang, bukan pemikiran. Ada pula hubungan yang berkembang secara organic, apabila perbualan demi perbualan membuka ruang untuk saling memahami. 

Kadangkala, semuanya bermula dengan perkara yang sangat biasa - urusan professional, pertukaran pendapat, perbincangan tentang organisasi dan manusia, atau sekadar satu panggilan telefon yang kononnya tidak mempunyai agenda besar.

Tahu-tahu, perbualan sudah melangkaui perkara yang sepatutnya dibincangkan.

Dan apabila tersedar, masa pun sudah berlalu.


Barangkali, kedekatan bukan tentang berapa lama kita mengenali seseorang, tetapi sejauh mana kita boleh menjadi diri sendiri ketika bersamanya. 



Kepercayaan: Bentuk Kedekatan Yang Senyap...

Tidak semua orang yang kita kenali akan mendapat akses kepada pemikiran kita yang paling jujur. 

Ada perkara yang kita kongsikan secara terbuka. Ada pula pandangan yang hanya diluahkan kepada kelompok kecil yang kita percaya mampu mendengar tanpa tergesa-gesa membuat kesimpulan. Bukan kerana kita mahu mencipta exclusivity, tetapi kerana kita memahami bahawa keterbukaan memerlukan pertimbangan. 


Apabila seseorang memilih untuk berkongsi sesuatu yang sensitive, meminta pandangan yang jujur atau mendapatkan perspective yang berbeza, dia sebenarnya sedang mempertaruhkan sedikit kepercayaannya. 

Dia tidak semestinya mencari seseorang yang akan bersetuju dengannya. Mungkin dia mahukan seseorang yang berani bertanya soalan yang betul, mencabar andaian atau menunjukkan sudut yang tidak sempat dilihatnya. 


Dan apabila kepercayaan seperti itu terbina, hubungan memperoleh satu dimensi baharu. Kita tidak lagi sekadar bertukar maklumat. Kita bertukar perspective. Menarik bukan? 

Kita tidak semestinya menjadi orang yang paling rapat dalam kehidupan seseorang, apatah lagi satu-satunya tempat dia berkongsi cerita. Namun, mengetahui bahawa pandangan kita mempunyai nilai dalam pertimbangannya sudah cukup untuk membuatkan sesuatu hubungan terasa signifikan. 



Ada Hubungan Yang Tidak Memerlukan Definisi...

Dunia moden begitu gemar memberikan label. Kita mahu tahu status, kedudukan dan hala tuju setiap hubungan, seolah-olah sesuatu itu hanya bermakna apabila kita dapat menamakannya. 

Sedangkan sesetengah hubungan berkembang dengan lebih baik apabila dibiarkan menjadi dirinya sendiri. 


Yes... 
Sebuah persahabatan boleh mempunyai kedalaman tanpa perlu menjadi romantic. Dua manusia boleh saling menghargai tanpa perlu menuntut exclusivity. Mereka boleh menjadi sebahagian daripada kehidupan satu sama lain tanpa perlu mengetahui setiap butiran atau hadir dalam setiap detik. 


Mungkin yang menjadikan hubungan itu bermakna bukan apa yang mereka tuntut, tetapi apa yang mereka berikan secara sukarela. Ruang untuk berfikir. Keberanian untuk berkata benar. Kesediaan untuk mendengar. Dan rasa hormat yang tidak bergantung pada persetujuan. 

Harus diingat, tidak semua hubungan perlu berkembang menjadi sesuatu yang lain untuk membuktikan bahawa ia bernilai. Ada yang cukup indah dalam bentuknya yang sedia ada. Tidak berkurang dan tidak berlebih.



Sedikit Usikan Dari Seberang Benua...

Untuk seseorang di seberang benua, terima kasih atas panggilan telefon tersebut.

A simple question, "Can talk?" , akhirnya menjadi satu panggilan telefon selama 77 minit, hehehe... 


Lucu juga apabila sesuatu yang bermula dengan dua perkataan ringkas akhirnya melangkaui masa yang mungkin dirancang. Barangkali ada perkara yang lebih mudah dibincangkan melalui suara berbanding teks. Atau mungkin, sesetengah perbualan memang mempunyai caranya sendiri untuk melupakan masa. 


Apapun, terima kasih kerana sudi berkongsi cerita, pandangan, dan sedikit ruang dalam kesibukan kehidupan. Patung Beruang sangat menikmati perbualan tersebut walaupun ia sudah melangkaui waktu tidur diri ini. 


Jarak mungkin memisahkan benua, tetapi nampaknya ia tidak menghalang sesetengah perbualan daripada berlangsung daripada yang dijangka. 

Cuma lain kali, kalau soalan "Can talk?" muncul lagi, mungkin elok juga disertakan anggaran tempoh. Sekurang-kurangnya, Patung Beruang boleh membuat persiapan mental, hehehe.. 



Kedekatan Juga Memerlukan Batas...

Namun, kepercayaan dan keselesaan tidak bermaksud kita boleh mengabaikan batas. 

Semakin kita menghargai seseorang, semakin penting untuk memahami bahawa dia mempunyai kehidupan, tanggungjawab dan hubungan lain yang juga perlu dihormati. 


Persahabatan yang matang tidak menjadikan kehadiran sebagai kewajipan atau perhatian sebagai hutang yang perlu dibayar. 

Kita tidak perlu mengetahui setiap perkara yang berlaku dalam hidupnya. Kita tidak perlu menjadi orang pertama yang menerima setiap berita. Dan kita tidak perlu menganggap perubahan rutin sebagai petanda bahawa hubungan itu semakin pudar. 


Manusia mempunyai dunia yang lebih luas daripada mana-mana satu hubungan. Ada keluarga yang perlu diutamakan, tanggungjawab yang perlu ditunaikan, impian yang perlu dikejar dan perjalanan peribadi yang tidak semestinya dapat kita ikuti bersama. 

Menghormati semua itu bukan bermakna kita kurang mengambil berat. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa kita memahami perbezaan antara menghargai seseorang, atau dengan cuba memiliki ruang dalam setiap bahagian kehidupannya. 


Kita boleh hadir tanpa menceroboh. Mengambil berat tanpa mengawal. Dan mendoakan kebaikkannya tanpa menetapkan bagaimana kehidupannya sepatutnya berjalan.

Mungkin itulah salah satu bentuk kematangan emosi yang paling sukar dipelajari: membenarkan hubungan itu bermakna tanpa memaksanya memenuhi semua keperluan kita. 



Apabila Ketenangan Menggantikan Persoalan...

Ada fasa dalam kehidupan apabila kita terlalu sibuk mencari kepastian. Kita tertanya-tanya sama ada seseorang mengingati kita, sama ada kehadiran kita dihargai, atau sama ada sesuatu hubungan mempunyai makna yang sama bagi kedua-dua pihak.

Kita membaca semula perbualan, memikirkan pilihan perkataan, dan cuba memahami perkara yang tidak pernah dinyatakan secara langsung. 


Aneh.. 
Manusia memang mempunyai kecenderungan untuk mencari corak, khususnya apabila sesuatu itu penting bagi kita.


Tetapi..
Tidak semua perkara boleh diselesaikan melalui analisis. 


Kadangkala, kita hanya perlu menerima apa yang benar-benar ditunjukkan oleh hubungan itu: 
  • kepercayaan yang diberikan;
  • perbualan yang dikongsi;
  • penghargaan yang dinyatakan; dan 
  • rasa hormat yang berterusan.


Selebihnya, biarlah ia kekal sebagai ruang yang tidak perlu kita isi dengan andaian. 


Kita harus ingat, ketenangan hadir apabila kita tidak lagi memerlukan setiap persoalan mempunyai jawapan segera. Kita masih mengingati seseorang, tetapi ingatan itu tidak mengganggu seluruh hari kita. Kita masih gembira apabila dia menghubungi kita, tetapi kita tidak lagi menunggu dengan resah. 


Yang pasti, itu bukan tanda perasaan itu menjadi lebih kecil. 
Tidak..
Ia kerana..
Kita cuma semakin bijak memberikan ruang kepadanya. 

Kita memberikan ruang kepadanya, seperti mana kita juga mengharap diri ini diberikan ruang oleh pihak yang lagi satu. 

Layanlah manusia lain seperti mana kamu ingin dilayan...

Such a simple formula, right? 



Barangkali, Itu Pun Sudah Cukup Dekat...

Semakin kita memahami manusia, semakin kita sedar bahawa tidak semua kedekatan perlu dibuktikan dengan kehadiran yang berterusan.

Ada orang yang kita hargai kerana kebijaksanaannya. Ada yang kita percayai kerana kejujurannya. Dan ada yang kehadirannya membuatkan kita sedar bahawa perbualan yang baik masih mempunyai tempat dalam dunia yang semakin bising ini. 


Mungkin, inilah paradoks jarak yang sebenar. 

Sebuah persahabatan boleh kekal bermakna tanpa perlu dijelaskan kepada dunia. Kita boleh menyayangi kehadiran seseorang sambil tetap menghormati ruang yang memisahkan kehidupan masing-masing. 


Cukuplah persahabatan ini disimpan sebagai pengetahuan kecil antara dua manusia. 


Persahabatan yang tidak memerlukan pengesahan berulang kali. Cukup dengan kepercayaan yang dijaga, perbualan yang hadir secara semula jadi dan doa yang dipanjatkan tanpa perlu diketahui oleh penerimanya. 


Dan mungkin... 
Inilah erti kehidupan yang ingin Tuhan ajarkan pada kita....
Selagi masih bernafas, ada ruang dan peluang, kita hargai saja setiap yang hadir dalam kehidupan ini. 


Terima kasih kerana sudi hadir. 
Terima kasih kerana sudi berkongsi kisah.
Terima kasih kerana masih menjaga adab dan batas.

Selagi Tuhan masih gerakkan hati ini, selagi itulah namanya akan ada dalam doa  yang dipanjatkan setiap hari, Insya-Allah...   

Semoga kamu baik-baik saja dan sentiasa dilindungi, Aamiin...




p/s: Catatan ini lebih kepada refleksi apa yang berlaku.   
Yang pasti, banyak sungguh record peribadi yang telah dipecahkan olehnya. 
Terima kasih Tuhan atas persilangan takdir ini. Patung Beruang yakin pasti ada hikmah atas persilangan ini. 
Dan jujurnya, banyak yang Patung Beruang belajar sejak mengenalinya.  

Book Review: Tuhan, Maaf Kami Sedang Sibuk


Tajuk: Tuhan, Maaf Kami Sedang Sibuk

Penulis: Ahmad Rifa'i Rif'an

Penterjemah: Nor Mustaiqazah Juri


Menariknya Naskah Ini: 

Allahuakbar...

Lamanya Patung Beruang tak menulis disini. Rindu sangat nak mencoret tapi apa kan daya, masa tidak mengizinkan. 

Sepanjang Patung Beruang hiatus dari blog ini, ada beberapa buku yang sempat dihabiskan, Alhamdulillah. 

Ada juga macam-macam peristiwa yang berlaku, asam garam kehidupan yang setiap satunya memberi pengalaman kepada diri ini. Apapun, bersyukur kerana masih bernafas sehingga ke saat ini, Alhamdulillah...


Pagi ini baru Patung Beruang dapat duduk bertenang. Membaca dan menulis,  sambil ditemani secawan kopi latte dan seekor Dak Yot yang setia menunggu di tepi meja tulis ini. Untuk seorang introvert, bersendirian adalah moment yang paling ditunggu-tunggu. This is how I recharge. What a lovely morning..


Naskah ke-14 yang berjaya Patung Beruang selesaikan untuk tahun ini. 

Tuhan, Maaf Kami Sedang Sibuk ini Patung Beruang beli di PBAKL 2026. 

Hm.. Nampaknya, naskah ini berjaya memotong giliran membaca kerana ada banyak lagi buku-buku yang dibeli tahun-tahun dahulu, tetapi masih belum dibaca, hehehe.. 


"Tuhan, maaf, kami orang-orang sibuk. Kami takut akan azab neraka, tetapi sukar mencari waktu untuk mengerjakan amalan yang menjauhkan kami daripadanya. Kami berharap masuk syurga, namun hampir tiada masa untuk menyediakan bekal menuju ke sana."

Kita selalu berkata kita sibuk dengan kerja, kehidupan dan urusan yang tidak pernah selesai. Namun, sedar kah kita, semakin padat jadual kita, semakin terasa kosong jiwa ini?

Solat sekadar di celah-celah waktu yang berbaki. Sedekah pula apabila teringat. Zakat? Eh.. bukankah sudah bersedakah tadi? Baca Al-Quran? Ooo.. nanti Khamis malam Jumaat lah baru kita baca.

Itu belum lagi soal menjaga imej. Kita sentiasa ingin tampil dengan imej yang mempesona di hadapan manusia. Malu jika ternampak cacat-cela. Namun, dalam sunyi, kita tanpa rasa malu membuat dosa di hadapan Tuhan. Mencuri harta manusia, mencuri masa syarikat, mengadu-domba, menonton adegan yang tidak sepatutnya, semuanya dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Tetapi, Tuhan sentiasa melihat. 

Kita sentiasa ada alasan untuk mengenepikan urusan akhirat atas alasan kesibukan dunia. Sedangkan kita sendiri sedar matlamat utama kita adalah akhirat.


Penulis berkongsi tentang satu hadis Rasulullah SAW ini;

"Barang siapa bangn pada pagi hari dan hanya dunia yang difikirkannya, sehingga seolah-olah ia tidak melihat hak Allah SWT dalam dirinya, maka Allah SWT akan menanamkan 4 penyakit: 

1. Kebuntuan yang tiada penghujung.

2. Kesibukan yang tiada berkesudahan.

3. Keinginan yang tidak tercapai.

4. Khayalan yang tidak berpenghujung."

(Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abi al-Dunya, dan diriwayatkan dalam buku Ithaf al-Sadah al-Muttaqin Syarh Ihya 'Ulum al'Din)


Hadis ini buat Patung Beruang tersentak. 

Betapa ramai daripada kita yang ketika bangun tidur, perkara pertama yang kita buat adalah terus ambil handphone untuk melihat jika ada call atau mesej yang masuk. Betapa ramai yang celik saja mata, terus lihat media sosial untuk membaca perkembangan terkini dunia atau individu yang dikenali. Betapa ramai yang bangun saja, perkara pertama yang diingat adalah meeting apa ada hari ini? Siapa stakeholders yang nak jumpa? Tugasan apa lagi yang belum selesai? 

Hairan kan? 

Bukankah tidur itu ibarat mati sebentar. 

Bermakna apabila kita sedar dari tidur, bermaksud Allah masih panjangkan usia kita. Masih beri kita peluang untuk bernafas lagi. 

Tapi.. mengapa perkara pertama yang kita buat apabila celik mata adalah memikirkan tentang dunia? Mengapa bukannya bersyukur pada Allah kerana "menghidupkan" kita kembali? Bersyukur kerana diri ini masih sihat tubuh badan, anggota badan yang cukup dan masih berfungsi. 

Manusia ini memang pelik bukan?


Naskah ini terbahagi kepada 4 bahagian:

1. Menata Hati, Memperindah Nurani:  

Bahagian 1 ini berperanan untuk menyedarkan pembaca tentang hakikat dan tujuan sebenar hidup kita di dunia ini. Sudah sampai masanya untuk kita sedar setiap apa yang kita lakukan di dunia ini sebenarnya boleh menjadi saham akhirat kita. 

Sibuk bekerja? 

Tiada mengapa. 

Niatkan kerja itu sebagai ibadah, lakukan seikhlas hati, sehabis baik. Apabila azan berkumandang, rehatkan minda, jiwa dan tubuh sebentar dengan solat. Akhirat dapat, dunia pun dapat. 


2. Rumahku, Syurgaku:

Bahagian ke-2 pula membawa pembaca bagaimana untuk membina rumahtangga yang diredhai agama. Perkahwinan tidak akan sentiasa aman dan damai. Pasti akan ada ujian. Tetapi bagaimana menghadapi dan menguruskan badai yang datang, itu yang lebih utama. 


3. Memancarkan Cahaya Syurga di Tempat Kerja.

4. Memperkukuh Semangat dan Visi Hidup.


Ada beberapa petikan yang Patung Beruang suka seperti: 

  • "Untuk apakah kita berdoa kalau semua sudah ditetapkan? Kalau kita memang ditakdirkan berjaya, tanpa doa pun kita akan berjaya." - Sebenarnya, konsep yang betul adalah berdoa pun merupakan takdir daripada Allah SWT. Jika Allah SWT berkehendak untuk menjauhkan keburukan dan melimpahkan kebaikan kepada hamba-Nya, maka akan diilhamkan kepada hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya. Dengan kata lain, Allah SWT menjadikan takdir doa itu sebagai faktor terjadinya takdir yang lain.
  • Ramai orang yang menjalani hidup dengan sehabis baik, tetapi tetap miskin kerana kurang bersyukur. Setelah menerima nikmat dan rezeki dari Tuhan, mereka memotong kabel yang menghubungkan mereka dengan Tuhan dengan cara kufur kepada-Nya. 
  • Mereka yang bersyukur biasanya tampak lebih bahagia serta menyenangkan ketika bergaul. 
  • Jika hati kecil kita sudah tiada rasa takut atau bersalah apabila setiap kali kita membuat dosa, kita harus berfikir sejenak. Ini kerana hukuman terberat bagi pendosa adalah perasaan tidak berdosa. Itu bermakna hatinya sudah mati akibat dari dosa-dosa yang terkumpul selama ini. 
  • Kesibukan seorang Muslim juga indah. Dalam kesibukan, dia terlatih untuk mengurus masa, mengatur jadual dan merapikan agenda. Jika ingin memberi amanah, berilah pada orang yang sibuk kerana dia lebih pandai mengatur waktu berbanding mereka yang terbiasa menganggur. 



Patung Beruang sengaja tinggalkan sinopsis bahagian 3 dan 4. Kalau nak tahu dengan lebih lanjut, kena lah baca naskah ini ye. 


Jujurnya, naskah ini tebal dan tidaklah terlalu santai. Patung Beruang ambil masa lebih sebulan juga untuk habiskan pembacaan. Ia adalah kombinasi kepada kisah kehidupan, agama, motivasi dan ilmiah. Tetapi masih lagi menarik untuk dibaca... Alhamdulillah...  

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...