Sunday, August 20, 2023

Book Review: Penat


Tajuk: Penat

Penulis: Dr. Alizi Alias 

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya malam tadi, Alhamdulillah. Dr. Alizi Alias adalah seorang konsultan Psikologi Organisasi yang aktif menyampaikan ilmu berkenaan kesihatan mental. Banyak perkongsian menarik yang boleh kita perolehi di media sosial beliau. Tertarik dengan perkongsian beliau, Patung Beruang ambil keputusan untuk memiliki naskah ini. 

Dulu, ketika zaman kanak-kanak, kita seringkali beranggapan jadi orang dewasa pasti menyeronokkan. Ada duit, ada kebebasan untuk membuat keputusan, ada kebebasan untuk menentukan hala tuju diri sendiri, bebas pergi kemana saja, tinggal dimana saja, buat aktiviti apa saja dan 1001 keseronokkan yang kita bayangkan. 

Tetapi kini, apabila sudah dewasa, kita sedar yang hidup di alam dewasa ini tidak seindah yang kita gambarkan ketika zaman kanak-kanak dulu. Hidup sebagai dewasa ini mempunyai 1001 tanggungjawab yang mungkin kita tidak terfikir ketika kanak-kanak dahulu. 

Kita mula sedar bahawa zaman kanak-kanak adalah detik paling menyeronokkan dalam hidup ini. Walaupun tidak ada duit ditangan, tetapi ia berpadanan kerana kita juga tidak mempunyai keinginan yang tinggi melangit. Dapat beli nasi lemak sepinggan di kantin yang berharga 50 sen pun sudah rasa seronok. Ketika stress belajar, sebelum pulang dari sekolah, kita singgah di kantin dan beli donut sebiji yang berharga 20 sen pun sudah rasa "healing". Makan donut sambil minum air bekal, duduk di bangku kantin berhadapan padang sekolah. Rasa macam hilang semua penat dan lelah otak sebelum ini. 

Orang dewasa, walau ada duit ditangan, ada banyak juga komitmen dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Bangun seawal pagi, bersiap dan bersolat Subuh, kemudian terkejar-kejar untuk ke pejabat. Di pejabat, tidak sempat mahu duduk bertenang, beban tugasan sudah menunggu. Tanggungjawab pada pihak atasan, pada orang bawahan, pada rakan-sekerja dan stakeholders. Diam tidak diam, jam berdetik ke pukul 6 petang. Allahuakbar, apa saja yang berjaya diselesaikan pada hari ini? 

Jika masih ada kudrat yang tersisa, sambunglah menyiapkan tugasan sehingga ke waktu Maghrib. Jika sudah tiada upaya, mulalah berkemas dan beransur pulang ke rumah. Sampai di rumah, baru duduk berehat sebentar, jam sudah menunjukkan ke angka 10 malam. Masuk ke bilik tidur untuk berehat, bersama doa semoga hari esok akan jadi lebih baik dari hari ini. 

Begitulah rutin setiap hari, sehingga hati ini terdetik, mengapa hidup ini seakan robot. Ada rutin yang harus diikut, tanpa perasaan tanpa jiwa. Sehari, dua hari, seminggu, dua minggu, sebulan, dua bulan, setahun, dua tahun dan berpuluh-puluh tahun. Kita mula rasa bosan, rasa penat dan lelah. Walaupun baru bangun tidur, seawal 5 pagi, kita sudah mula rasa penat. Walau baru sampai di pejabat, seawal 9 pagi, kita sudah rasa lesu. Walau masih hari Isnin, permulaan untuk minggu baru, kita sudah rasa menjengkelkan. 


Normalkah perasaan itu?

Adakah orang lain juga merasakan perkara yang sama?

Atau mungkin kita saja yang berperasaan begitu?

Atau mungkin kita ini sakit mental? Tapi kita tak rasa kita gila.

Sampai bila keadaan penat dan lesu ini akan berterusan? Ada jalan keluarkah? 

Hobi atau aktiviti yang dulu menyeronokkan kita, kini hilang nikmatnya. Kita hilang motivasi untuk berusaha, malah lebih teruk apabila kita juga hilang motivasi untuk hidup. 

Kita hidup kerana kita masih bernafas, kerana Tuhan masih belum menjemput kita. Tetapi kita sendiri sedar, kehidupan yang kita lalui ini hanyalah separuh jiwa. 


Percayalah.. perasaan diatas ramai yang mengalaminya, termasuklah Patung Beruang. 

Puas berfikir dimana silapnya? Puaslah menggali ilmu, membaca buku-buku atau artikel-artikel yang berkaitan, untuk mencari apa yang tidak kena pada diri ini? Tetapi.. apabila Patung Beruang baca naskah ini, banyak persoalan yang bermain diminda selama ini, bertemu jawapannya. Alhamdulillah.. 


Naskah Penat ini mempunyai 7 Bab yang dibahagikan kepada 2 Bahagian iaitu: 

Bahagian 1 - Apabila Dunia Hilang Seri 

Bab 1: Penat Dengan Kehidupan

Bab 2: Kelesuan dan Produktiviti 


Bahagian 2 - Daripada Kelesuan Kepada Kemekaran 

Bab 3: Emosi Positif 

Bab 4: Berada Dalam Zon 

Bab 5: Perhubungan Yang Sihat

Bab 6: Makna Kehidupan

Bab 7: Sensasi Pencapaian 


Bahagian 1 - Apabila Dunia Hilang Seri merungkai mengapa kita rasa penat dan lelah dengan kehidupan ini. Mengapa ia adalah perasaan yang biasa dialami oleh ramai orang diluar sana. Rasa penat dan lelah ini juga menggangu produktiviti kita sebagai hamba Allah, sebagai ahli keluarga, sebagai ahli masyarakat, sebagai pekerja di organisasi. 

Kita hadir ke pejabat semata-mata kerana nama kita masih tercatat dalam daftar gaji. Hadir kerana dihujung bulan, kita dibayar gaji. Tetapi kita tidak rasa kemanisan bekerja itu. Kita tidak rasa keseronokkan melunaskan tanggungjawab kita. Hasilnya sekadar melepas batuk di tangga. Kita hanya ingin menghabiskan masa sehingga menunggu saat bersara. 


Bahagian 2 - Daripada Kelesuan Kepada Kemekaran membawa pembaca bagaimana untuk menyelesaikan masalah kelesuan dan kepenatan kita terhadap kehidupan dan pekerjaan. 

Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Cuma mungkin kita belum jumpa jalan penyelesaian yang tuntas. Banyak tips dan panduan berguna dikongsikan dalam naskah ini. 


Jujurnya, Patung Beruang bersyukur kerana berpeluang membaca naskah ini. Naskah ini penuh dengan contengan pen dan sticky notes, yang menunjukkan banyak point-point menarik dan berguna untuk diteliti sekali lagi. 

Naskah yang penuh dengan ilmu dalam gaya penyampaian yang santai dan mudah difahami. Alhamdulillah...  


About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...