Tuesday, April 23, 2024

2024: Ramadhan dan Syawal Yang Janggal

Assalamualaikum w.b.t.,

Alhamdulillah, masih diizinkan diri ini untuk bernafas dan kini, kita sudah pun berada di pertengahan Syawal. Betapa masa begitu pantas berlalu. 


Bagi Patung Beruang, tahun 2024 ini bermula dengan pelbagai emosi yang sukar untuk diluahkan, sukar untuk diterjemahkan samaada secara lisan ataupun tulisan. Kebanyakkan masanya, Patung Beruang hanya bermonolog dan meluahkan pada Yang Esa. Mohon ditunjukkan jalan yang benar, diberi kesabaran dan kekuatan dalam mengharungi hari-hari yang mendatang. 

Tidak dinafikan, ada juga hari-hari yang Patung Beruang hanya akan duduk sahaja dan berfikir sedalam-dalamnya apa sebenarnya yang telah berlaku? 

Kenapa ia berlaku? 

Dimana silapnya? 

Apa dosanya? 

Apa yang kurangnya? 

Terlalu banyak persoalan, namun masih belum ketemu jawapan....



Jika tahun-tahun sebelum ini, Patung Beruang melawat Tanah Perkuburan hanya setahun sekali, specifically ketika Tahun Baru Cina atau pun bulan February. 

Tetapi untuk tahun 2024, lawatan ke sini semakin kerap. Setiap minggu ataupun 2 minggu sekali. 

Makin banyak pusara baharu disini bermakna lebih ramai insan yang mengalami kehilangan.

Benarkah kehilangan? 

Adakah kematian kita memang benar-benar menyebabkan kehilangan pada orang lain? 

Atau mungkin juga kematian kita itu telah menyebabkan kelegaan pada mereka yang masih hidup? 

Entahlah....



Tanah Perkuburan bukan lagi tempat yang menyeramkan. Malah, Patung Beruang selesa berkunjung ke sini seorang diri ketika awal pagi. Hawa sejuk, ditambah dengan bau daun-daun dan rumput, terasa sangat menenangkan. Benarlah kata bijak pandai, kubur juga boleh menjadi salah satu dari Taman Syurga Allah swt. 


Seawal 1 January 2024, Patung Beruang menerima berita kematian insan-insan yang dikenali dan disayangi. Seorang demi seorang pergi meninggalkan dunia dan kehidupan yang menyesakkan ini. Jika dihitung mula dari detik 1 January sehingga ke tarikh ini, hampir 5 orang insan yang dikenali sudah berpindah ke alam barzakh. 

Dan seperti biasa, Patung Beruang akan teringat pada mereka, ketika malam pertama mereka di Sana. Tidak tahu apa yang mereka hadapi di Sana. Gembirakah? 

Berdukakah? 

Takutkah? 

Bagaimana keadaan berseorangan di Sana? Tanpa ditemani pasangan, anak-anak, keluarga, sahabat-handai. 



Mungkin juga ini adalah petanda yang diri ini sudah tidak lama disini. Hari ini atau esok, dijemput Allah pulang ke pangkuan-Nya. 

Ingatan lembut dari Allah agar diri ini mula bersiap sedia, memperbaiki bekal amalan untuk dibawa pulang. Lepaskan segala rasa keduniaan dalam hati itu. Segalanya hanya sementara dan belum tentu mampu membantu diri ini ketika di alam Sana. 

Allahuakbar... 



Ramadhan yang hadir ketika awal March 2024 membawa perasaan dan suasana yang berbeza. Segala-galanya Patung Beruang rasakan sangat berbeza jika dibandingkan dengan tahun-tahun dahulu. 

Diri ini terasa hilang arah, kaku dan tidak mampu berimaginasi apa yang bakal terjadi pada keesokkan harinya. Namun, hilang arah ini lah yang membuatkan keinginan untuk kembali pada-Nya lebih membuak-buak. Benarlah, kita manusia ini sangat rapuh. Makhluk yang tidak mampu untuk melakukan apa pun, tanpa keizinan-Nya. 


Ramadhan 2024 ini bukanlah yang terbaik untuk Patung Beruang. Namun Patung Beruang telah berusaha sehabis baik dengan sisa kudrat yang ada. 

Ya, sisa kudrat yang tinggal hanya saki-baki ini, ditambah pula kesulitan bergelut dengan segala perasaan yang berperang didalam diri. 

Peperangan yang paling sukar adalah berperang dengan diri sendiri. Tidak percaya? Cubalah....


Tidak mudah untuk memperlihatkan segalanya seperti biasa. 

Tidak mudah untuk memakai topeng setiap hari dan mengukir senyuman dibibir. Seolah semuanya normal. 

Seringkali diri ini bertanya sampai bila akan berkeadaan begini? 

Sampai bila harus berlakon seperti baik-baik sahaja, sedangkan hakikatnya jiwa didalam sedang terseksa. 

Sampai bila???



Syawal 2024, Patung Beruang raikan di rumah Ayah. 

Ya, tiada percutian Hari Raya untuk tahun ini, sebagai menunaikan janji Patung Beruang. 

Aidilfitri tahun ini berpeluang berkumpul ahli keluarga yang ada, saling bertanya khabar, menjamah juadah yang tersedia. Alhamdulillah. 

Terasa diri ini seperti hilang sebentar dari realiti kehidupan. 


Terima kasih Allah atas kasih sayang dan nikmat yang Engkau kurniakan ini. Walau sebentar cuma, namun cukup untuk menghilangkan secebis kedukaan ini. Ibarat hujan, walau gerimis namun kehadirannya tetap terasa. 


Apa yang bakal berlaku pada esok hari? 

Entahlah.. Patung Beruang pun tidak tahu. 

Yang pasti, Patung Beruang yakin ada sebab mengapa Allah kurniakan jalan kehidupan yang sedang Patung Beruang lalui ini. 

Ada sebab mengapa semua ini berlaku. 


Jangan risau jika terlihat bersendirian kerana Allah sentiasa ada disamping kita. 

Bukankah dalam Al-Quran, Allah sudah berjanji yang setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan. Pegang saja pada janji Allah kerana Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. 


Untuk malam ini, Patung Beruang hanya ingin berehat sejenak dari dunia yang menyakitkan. Berhenti seketika dari hiruk-pikuk kota. Menatap bulan di malam 14 Syawal dan bintang-bintang dilangit, jika Allah izinkan dengan cuaca yang baik. In-syaa Allah. 

Seperti kata Van Gogh, waktu malam itu lebih berwarna dari siang. 

Benar, andai kita mahu melihat dengan mata hati. 


Wassalam...... 

Book Review: Senaskah Hidup


Tajuk: Senaskah Hidup

Penulis: Azzah AR

Menariknya Naskah Ini: 

Patung Beruang sering melihat ulasan yang menarik dari bibliophiles mengenai naskah ini. Satu demi satu ulasan yang dibaca menyebabkan Patung Beruang rasa tidak sabar untuk meneliti naskah ini. 


Patung Beruang mengambil masa lebih kurang 48 jam untuk menghabiskan naskah ini, Alhamdulillah. Jalan cerita yang menarik dan mendebarkan menyebabkan sukar untuk Patung Beruang menghentikan pembacaan selagi tidak sampai ke mukasurat yang terakhir. 


Senaskah Hidup membawa pembaca mengenali beberapa orang watak utama iaitu: 

Zarazeff: atau nama asalnya Zahra binti Razif adalah seorang novelis terkenal bertaraf jutawan. Semua karyanya laris seperti pisang goreng panas. Tiba-tiba, tanpa diduga, karya terbaru Zara dituduh plagiat dari tulisan penulis lain. Tuduhan itu merebak dengan cepat sehingga membenamkan kariernya. Caci maki dari pembaca dan orang awam sangat zalim. Zara jatuh terduduk sehingga mematikan minatnya untuk menulis. Dia hanya berkurung saja dirumah selama bertahun-tahun. 


Helmi: seorang lelaki yang bekerja keras demi mencari rezeki halal. Bekerja sebagai pengawal keselamatan dan juga penyelia kedai dobi. Seorang lelaki yang sederhana dan penuh dengan kasih sayang. Namun, jalan kehidupannya diuji dengan kematian seluruh ahli keluarganya di kampung, angkara perbuatan tidak berperi kemanusiaan manusia durjana. Helmi trauma sehingga dia memilih untuk hidup di jalanan. 


Fidel: CEO Sarang Publishing House, yang menerbitkan karya-karya Zarazeff. Fidel kehilangan isteri dan anak-anak sekelip mata, demi menutup rahsia besar ayahnya. Fidel buntu, tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada keluarganya. Di rumah, ibunya menjadi mangsa keganasan rumahtangga namun tiada apa yang mampu Fidel lakukan hanya kerana si ibu memilih untuk menjadi isteri yang taat demi mendambakan keredhaan suami, walaupun dirinya didera mental dan fizikal. 


Ketiga-tiga watak ini diuji dengan kehilangan yang berbeza. Dalam hingar bingar Kuala Lumpur, mereka berusaha keras mencari secebis ketenangan diri agar mampu bangkit meneruskan hari-hari yang mendatang. 


Jujurnya sudah lama Patung Beruang tidak menangis bila baca novel. Tetapi, Senaskah Hidup ini berjaya mengalirkan air mata Patung Beruang, teresak-esak di atas katil sambil memeluk Si Boyot. Ibarat menonton K-drama, novel ini sarat dengan emosi. Marah, kecewa, geram, sakit hati, jijik, sedih, teruja, semuanya bersatu dengan harmoni dalam satu naskah ini. 


Dalam banyak-banyak watak, Helmi adalah watak yang paling Patung Beruang suka. Atau mungkin simpati? Entahlah... 

Yang pasti, sengsaranya Helmi berdepan dengan Post Traumatic Stress Disorder ("PTSD") sangat berbekas di hati ini. Kita seolah-olah turut merasa kesakitan dan tekanan kuat yang dihadapi lelaki ini. Selain bergelut dengan PTSD, Helmi juga tercari-cari punca keluarganya dikhinati sedemikian rupa. Apa dosa besar yang telah keluarganya lakukan? Siapakah dalang disebaliknya? 

Sakit sungguh apabila dihukum tanpa kita sendiri tahu apakah kesalahannya...


Selain itu, babak Ji Ah meluah perasaan dengan ibunya juga turut berbekas dihati ini. Membaca dialog dan aura persekitaran dua-beranak ini cukup menggambarkan bagaimana cederanya emosi mereka berdua. Dalam hubungan dua-beranak ini, tiada istilah siapa benar dan siapa salah. Hubungan ibu dan anak terlalu suci untuk saling menunding jari atas situasi yang berlaku. Manusia itu lumrahnya penuh dengan jangkaan dan emosi. Tersilap mengurus salah satu atau keduanya, pasti mengundang kemarahan, kesedihan dan kekecewaan. 


Seperti naskah Penulis Yang Disayangi Tuhan, karya Bahruddin Bekri, Senaskah Hidup juga membawa pembaca kepada dunia perbukuan. Banyak ilmu yang dikongsikan disini seperti:

  • Cara penerbitan buku serta tugas dan tanggungjawab team disebalik penghasilan sesebuah buku itu bermula dari penulis, editor, penerbit, marketing team etc. 
  • Prosedur menghantar manuskrip ke syarikat penerbitan dan tips untuk melindungi hak cipta manuskrip. 
  • Cara mengira royalti buku. 

Berikut adalah beberapa petikan dari naskah ini yang Patung Beruang sangat suka: 
  • "Van Gogh kata, malam lebih banyak warna berbanding siang." 
  • "Kau hanya nampak yang dia mengamuk. Kau tak nampak di belakang dia ada kesabaran yang terlalu lama diperam. Di sekeliling dia ada terlalu banyak kebodohan." 
  • "Kita paling terluka oleh orang yang kita paling sayang. Sebab, kita terlalu mengharapkan orang yang kita sayang tu sentiasa membahagiakan kita. Jadi, secara luar sedar, kita menuntut kasih sayang kita dibalas dengan kebahagiaan." 
  • "Sayidatina Asiah dijodohkan dengan Firaun, bukan kerana lelaki itu baik. Tetapi kerana Firaun adalah suami yang terbaik untuk dijadikan asbab Asiah dijamin syurga. Baik dari perspektif berbeza." 
  • "Reda hanya akan berlaku apabila kita memahami bahawa semua hal mempunyai hikmah. Reda bukan bermaksud menyerah kalah. Reda ialah kita menerima takdir Allah dan dalam masa yang sama berusaha supaya takdir itu tidak berulang dan tidak pula sehingga menjadikan kita lebih buruk." 
  • "Orang-orang yang kita katakan kurang bernasib baik ini, sebab kita menilai mereka dari segi material. Sedangkan tak mustahil hidup mereka lebih baik daripada kita. Lebih bahagia daripada kita. Mereka tak perlu bayar hutang rumah, kereta, tak perlu bela gajet, tak sakit kepala dengan perangai orang di media sosial." 
  • "Sebagai penulis, kadang-kadang saya fikir dah banyak benda dalam dunia ini yang saya tahu. Maklumlah, banyak buat research. Rupa-rupanya, saya terlalu memandang ke langit. Hingga tak pernah nampak kelibat rumput yang dipijak. Mungkin sebab itulah apabila saya jatuh, saya bukan sekadar terduduk. Saya terhumban terus ke jurang. Dan sukar untuk bangkit." 


Usai Senaskah Hidup ini, terdapat satu rasa kepuasan yang sukar untuk Patung Beruang gambarkan. Terasa seperti 48 jam yang sangat berbaloi. Korbankan masa rehat dan masa tidur demi sebuah buku. 


Naskah yang sangat sedap, ayat-ayat tersusun dan cantik membuatkan ianya sampai terus ke hati. Jalan cerita yang menarik sehingga membuatkan pembaca sukar untuk menghentikan pembacaan. Terlalu banyak ilmu yang dikongsi penulis didalam naskah ini. Ilmu buku dan juga ilmu kehidupan. 


Naskah yang sesuai dibaca oleh semua peringkat umur, tanpa mengira latar belakang. Percayalah, selepas membacanya kita pasti akan melihat kehidupan ini dari pandangan yang berbeza. Terima kasih Cik Puan Azzah atas naskah yang sangat hebat ini. Alhamdulillah... 

Sunday, February 4, 2024

Book Review: Penulis Yang Disayangi Tuhan


 Tajuk: Penulis Yang Disayangi Tuhan

Penulis: Bahruddin Bekri

Menariknya Naskah Ini: 

Masih panas, baru keluar dari oven, naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaanya kurang sejam yang lepas. 

Penulis Yang Disayangi Tuhan membawa pembaca mengenali Usamah, seorang lelaki bujang yang merupakan penulis sepenuh masa. 

Bagi Usamah, menulis itu ertinya mencipta sesuatu daripada kosong kepada sesuatu yang punyai rasa yang mengusap-usap hati. Rasa yang kita kenali sebagai emosi. 


Usamah telah menulis 3 buah novel. Novel pertamanya sangat laris sehingga dia menjadi kaya-raya. Usamah nekad untuk menjadi penulis sepenuh masa. Novel kedua Usamah ibarat teguran dari Tuhan. Novel keduanya menerima kritikan keras dari pengkritik novel termasyur tanah air iaitu Joe Penapi. Kritikan itu memberi kesan kepada jualan novel keduanya. 

Tanpa berputus asa, Usamah menulis novel ketiga. Rupanya novel ketiga ini juga menjadi sasaran kritikan Joe Penapi. Kemuncaknya, syarikat penerbitan yang menerbitkan kesemua novelnya mengalami kerugian ratusan ribu ringgit dan syarikat terus gulung tikar. 


Wang simpanan Usamah semakin menipis sehingga dia terpaksa berpindah menyewa di kawasan setinggan. Kawasan penempatan yang daif dan banyak dihuni oleh warga asing. Semangat dan minat menulis Usamah juga sama menipis. Dirinya buntu memikirkan apa lagi cara untuk mencari wang saku. 


Usamah bertemu dengan Johari Salim, seorang penulis legenda untuk membantunya bangkit semula. Johari Salim menetapkan syarat pada Usamah untuk bertemu dengan 5 orang bekas penulis hebat bagi mengetahui rahsia mereka. Di sepanjang pertemuan, Usamah dibenarkan untuk bertanya hanya 1 soalan iaitu: 

"Mengapa kamu lakukan apa yang kamu lakukan sekarang?" 


Insan pertama yang Usamah perlu bertemu adalah Dato' Zulkifli bin Rashid. Namun, Usamah telah melanggar syarat Johari Salim dimana beliau telah bertanya lebih dari 1 soalan kepada Dato' Zulkifli. 

Dato' Zulkifli mengupah Usamah untuk mengajar anak perempuannya, Dinie Nurul Iman untuk menjadi seorang penulis kerana merasakan ada bakat yang terpendam dalam diri gadis tersebut. Hakikatnya, ada rahsia besar yang melingkari keluarga ini yang terhasil dari kasih sayang yang tidak berbelah bahagi sesama ahli keluarga.


Rohayat Syah adalah insan kedua yang ditemui Usamah. Seorang bekas penulis buku komedi yang secara tidak langsung mempersendakan ibu bapa orang lain. Bagi menebus dosa-dosanya, Rohayat Syah kini tinggal di kampung, menjaga ibunya yang uzur. 


Insan ketiga pula adalah Ramudin,  bekas penulis untuk sebuah majalah keluarga. Ramudin ditugaskan untuk menulis di ruangan kauseling perhubungan. Bagi Ramudin, apabila sesuatu perhubungan itu ditimpa badai bermakna sudah tiada lagi kesefahaman. Makanya, jalan terbaik adalah berpisah saja. Tanpa disedari, nasihatnya ini sebenarnya menyebabkan banyak silaturrahim yang putus, banyak perkahwinan yang musnah. 


Lokman Aziz adalah insan keempat yang perlu Usamah lawati. Lokman Aziz terkenal sebagai penulis yang hebat dalam dunia perniagaan dan pelaburan. Mempunyai sentuhan magis untuk menarik kekayaan sehingga terlupa Yang Maha Kaya untuk segenap alam ini. Lokman Aziz tersentak apabila ditanyakan soalan apakah mata wang yang akan digunakan di akhirat nanti? 


Penulis gosip di majalah hiburan, Fatimah Jaafar adalah insan kelima yang dinamakan oleh Johari Salim untuk Usamah lawati. Wanita ini dulunya sangat gemar dengan gosip kerana baginya artis adalah milik masyarakat. Segenap inci yang berlaku dalam kehidupan artis itu harus diwar-warkan kepada orang awam. Jika tiada gosip, Fatimah sendiri yang akan mencipta gosip tersebut. 

Artis bertelagah sesama sendiri? Pedulikan. 

Rumahtangga artis runtuh? Bukan urusannya. 


Benarlah, hidayah itu milik Allah. Dia berhak untuk memberi hidayah pada sesiapa saja hamba-Nya, tanpa mengira masa dan tempat. Dan tatkala hidayah menjelma, mereka mula rasa takut dengan tulisan-tulisan lampau dan mula terbayang kerosakan yang telah berlaku kesan dari tulisan mereka itu...



Di kawasan setinggan tempat Usamah tinggal, jiran-jiran yang terdiri dari pendatang asing tanpa izin warga Indonesia berminat untuk mengenali Usamah dengan lebih rapat. Tujuannya adalah agar Usamah boleh melindungi mereka daripada terus menjadi mangsa peras ugut. 

Pelbagai cara dilakukan oleh jiran-jiran Usamah yang diketuai oleh Ahamad Rani, untuk mengambil hatinya. Jemputan makan bersama, program abang & kakak angkat serta yang paling menarik sekali adalah meminta Usamah untuk mengajar Adinda Aisyah, Suparno dan John Stalone menjadi penulis. 



Pada Patung Beruang, novel Penulis Yang Disayangi Tuhan ini sangat berbeza dengan novel-novel yang ada di pasaran. Selain mengangkat kisah Usamah untuk bangkit semula selepas 2 novelnya dikritik teruk, naskah ini juga berkongsi ilmu dengan pembaca berkenaan teknik-teknik menulis. Tidak kira lah untuk menulis cerpen, novel atau puisi. 

Penulis berkongsi tentang apa itu plot, bagaimana untuk menyusun dan mengembangkan plot, jenis-jenis watak, istilah - istilah penting dalam teknik menulis seperti cliffhanger, konflik, foreshadowing, teknik "show don't tell" dan macam-macam lagi. 


Jujurnya, ayat-ayat dalam naskah ini juga sedap-sedap belaka. Antara ayat kegemaran Patung Beruang adalah: 

1. Penulis ialah manusia yang lihai berpura-pura. Penulis mampu menuliskan bahagia pada saat hatinya derita. Penulis tega mengukirkan cinta pada ketika hatinya benci.   (Nota: Lihai bermaksud pandai)

2. Penulis juga ialah manusia yang dekat dengan neraka. Mereka sudah melangkahkan sebelah kaki ke neraka saat menuliskan sesuatu yang jelik dan menghitamkan hati pembaca, ataupun menuliskan benci yang memusnahkan bahagia. (Nota: Ya Allah, ayat ini betul-betul buat Patung Beruang tersentak. Patung Beruang tidak pernah terfikir sampai begini sekali, huhuhu...) 

3. Menulis tanpa motivasi seperti minum air kosong semasa tidak haus. 

4. Apa sahaja yang kita susun dan bina sekarang, tetap akan runtuh nanti. Namun apa yang membuatkan kita tetap menyusun dan membinanya, bukan kerana mahu melihat ia runtuh, tetapi kerana ia harapan untuk melihat sesuatu yang indah walaupun sebentar. 

5. Rasa sedih, kecewa dan marah kepada kritikan itu perkara biasa kerana itu fitrah manusia. Malah, semua rasa itu perlu ada dalam diri manusia, sebelum dia mampu meletakkan diri dalam situasi sabar. Sabar tidak wujud sebelum wujudnya rasa marah, kecewa dan sedih, tetapi ia wujud sesaat selepas wujudnya perasaan marah, kecewa dan sedih. 


Akhir sekali, perkara yang buat Patung Beruang tersentuh dengan novel ini adalah penulis mengajak pembaca untuk berfikir sebentar apakah nilai pekerjaan yang kita lakukan sekarang ini disisi Tuhan? 

Adakah pekerjaan kita hanya menghasilkan nilai ekonomi semata-mata? 

Atau ia juga memberi nilai tambah kepada manusia / makhluk lain di muka bumi ini? 


Oleh itu, apa kata kita duduk sejenak dan berfikir jawapan kepada soalan keramat Johari Salim:

"Mengapa kamu lakukan apa yang kamu lakukan sekarang?" 

Jawablah soalan ini seolah-olah: 

  • Soalan ini bertindak sebagai plot. 
  • Soalan ini untuk sebab. 
  • Soalan ini untuk akibat.


Terima kasih penulis untuk naskah yang penuh dengan ilmu dan mesej kesedaran, tetapi tetap menarik di mata pembaca. Alhamdulillah... 

Saturday, February 3, 2024

Book Review: Angkuh dan Prasangka (Pride and Prejudice)

 


Tajuk: Angkuh & Prasangka (Pride and Prejudice) 

Penulis: Jane Austen

Penterjemah: Irni Fazrita Farid

Menariknya Naskah Ini: 

Ini antara novel terjemahan yang Patung Beruang sangat suka. Ceh.. letak disclaimer siap-siap, hehehe.. 

Jujurnya karya Pride and Prejudice tidak asing lagi dikalangan bibliophiles. Wanita atau gadis mana yang tidak jatuh cinta dengan watak Mr Fitzwilliam Darcy, lelaki muda dari golongan aristocrat yang kaya-raya. Berwajah tampan tetapi mempunyai aura misteri tersendiri. Patung Beruang pun tidak terkecuali, opppsss... 

Tiba-tiba Patung Beruang macam teringat semula naskah Me and Mr Darcy, yang Patung Beruang kongsikan di blog ini pada tahun 2011. Antara my favorite love novel. Layan masa zaman muda-muda dulu, hehehe.. 


Angkuh dan Prasangka membawa pembaca tentang suasana masyarakat kelas pertengahan atas Inggeris pada abad ke-19. Watak utama berkisar keluarga Tuan Bennet dan usaha keras isterinya untuk memastikan semua anak perempuan mereka yang 5 orang itu berjodoh dengan lelaki bujang hartawan. 

Tuan Bennet adalah seorang lelaki yang rasional dan petah dalam berkata-kata. Seorang lelaki yang sangat sayang pada keluarganya cuma malangnya pasangan Bennet ini tidak dikurniakan anak lelaki. Tradisi masyarakat Inggeris pada masa itu adalah jika pasangan ibu bapa tidak mempunyai anak lelaki, setelah kematian si bapa, segala perusahaan, ladang, perniagaan termasuklah rumah keluarga yang dimiliki oleh si bapa tersebut akan berpindah milik ke adik-beradik lelakinya. Oleh itu, si ibu dan anak-anak perempuan yang lain mestilah bersedia untuk kehilangan harta dan kemewahan mereka setelah kematian si bapa. 

Disebabkan itu, Puan Bennet giat mencari calon suami terbaik untuk semua anak-anaknya. Kriteria utama calon suami itu mestilah kaya ataupun lahir dari keluarga kaya. Bagi Puan Bennet, itu saja cara yang ada supaya dia dan anak-anak perempuannya terus hidup senang walaupun setelah kematian Tuan Bennet. 

Puan Bennet adalah seorang wanita yang kurang memahami, kurang berfikir dan kepala angin. Moodnya boleh berubah 180 darjah dalam sekelip mata. Selain itu, Puan Bennet sangat suka dengan berita-berita sensasi berkenaan kejiranan mereka. Disebabkan itu, dia sangat seronok mengunjungi jiran tetanga demi mendapatkan atau menyampaikan gosip terkini. 


Kehadiran Tuan Bingley ke kejiranan Netherfield Park sangat dinanti-nantikan oleh Puan Bennet. Bingley adalah hartawan bujang yang berasal dari Utara England dengan pendapatan bernilai 4 atau 5 ribu Pound setahun. Oleh itu, Puan Bennet mendesak Tuan Bennet untuk menziarahi Bingley seawal yang boleh setelah lelaki itu berpindah ke Netherfield Park. 

Beberapa hari selepas Tuan Bennet melawat Bingley, lelaki itu membalas kunjungan Tuan Bennet dan duduk selama beberapa minit di rumah kediaman Bennet. Bingley berharap untuk melihat sekali imbas anak-anak perempuan Tuan Bennet namun hampa. 


Tidak lama kemudian, terdapat majlis tari-menari di Netherfield. Semua penduduk di kejiranan tersebut dijemput ke majlis itu. Ketika majlis berlangsung, Bingley hadir bersama dengan kakak dan adik perempuannya, suami kepada kakaknya iaitu Tuan Hurst dan seorang pemuda yang bernama Tuan Darcy. 

Kehadiran Bingley dan rombongannya menarik perhatian hadirin yang lain kerana rupa paras yang segak dan cantik, serta fesyen terkini yang digayakan mereka. 

Kisah tentang Bingley dan ahli-ahli rombongannya terutama Darcy tersebar cepat di majlis itu. Bingley cepat mengenali jiran-jirannya di Netherfield. Perwatakan Bingley yang mudah mesra dan budiman sangat menyenangkan hadirin sekalian. Namun, ini berbeza dengan Darcy yang berperwatakan dingin, tidak suka menegur sapa hadirin lain dan menolak untuk diperkenalkan dengan gadis-gadis yang ada di majlis tersebut. 


Majlis tari-menari malam itu telah meninggalkan kesan yang besar kepada keluarga Tuan Bennet. Bingley berpeluang menari dengan gadis yang paling cantik pada malam itu iaitu Cik Jane Bennet yang merupakan anak sulung Tuan Bennet, sebanyak 2 kali. Tarian itu hanyalah pembuka kepada hubungan yang lebih erat antara dua orang anak muda ini. 

Selain itu, tanpa diduga Darcy pula tertarik hati pada Elizabeth Bennet ketika majlis itu. Tetapi Darcy terlalu angkuh untuk mengakuinya memandangkan ini kali pertama dia bersua dengan Elizabeth (Lizzy). 


Pada suatu hari, keluarga Tuan Bennet menerima kunjungan Tuan Collins, pewaris kepada Longbourn estate. Tujuan kedatangan Collins adalah untuk mencari calon isteri dari kalangan anak-anak Tuan Bennet seperti yang dicadangkan oleh Lady Catherine de Bourgh. Rupa-rupanya Lady Catherine adalah ahli keluarga terdekat Darcy. 

Collins berminat dengan Lizzy dan melamarnya. Tetapi lamaran tersebut ditolak oleh Lizzy dan penolakkan ini menimbulkan kemarahan Puan Bennet. Selepas lamarannya ditolak, Collins melamar Charlotte Lucas pula, sahabat Lizzy dan lamarannya yang ini diterima baik oleh Charlotte. Selepas berkahwin, pasangan Collins dan Charlotte menetap di Kent, berdekatan dengan istana Lady Cartherine. 


Dalam masa yang sama, keluarga Tuan Bennet berkenalan dengan seorang pegawai tentera bernama George Wickham. George bercerita dengan Lizzy tentang layanan buruk yang diterimanya dari Darcy, pada suatu masa yang lampau. Cerita tersebut berjaya mempengaruhi Lizzy dan gadis ini mula mempunyai prasangka buruk terhadap Darcy. 


Puan Bennet heboh bercerita yang Jane akan bertunang dengan Bingley. Cerita pertunangan ini dibantah oleh Darcy kerana merasakan keluarga Bennet tidak sepadan dengan Bingley dan khuatir mereka berniat jahat terhadap Bingley. Darcy berusaha menghalang Bingley dari pulang ke Netherfield dan tanpa menyedari usahanya itu menyebabkan Jane dan Bingley menderita. 




Membaca naskah Angkuh dan Prasangka ini menghadirkan rasa mood yang sama ketika menonton siri Downton Abbey. Malah, karakter Elizabeth Bennet (Lizzy) mengingatkan Patung Beruang pada Lady Mary Crawley. Wanita muda yang mempunyai pendirian, tegas dan tidak mudah tergoda dengan lelaki. 

Naskah ini mempunyai 606 muka surat tetapi kita tidak rasa terbeban pun untuk menghabiskannya. Jalan cerita yang straight forward, dialog-dialog menarik terutama antara Lizzy dan Darcy, konflik dalaman mereka serta pasangan Jane dan Bingley. 

Sebut tentang dialog-dialog menarik, antara kata-kata Lizzy yang Patung Beruang suka adalah: 

1. "Hakikatnya, kamu sudah muak dengan kesopanan, penghormatan dan perhatian yang berlebihan. Kamu meluat dengan wanita yang selalu berbicara, melihat dan mendambakan persetujuan daripadamu. Aku membangkitkan semangat dan menarik minat kamu kerana aku tidak seperti mereka." 

2. "Sejak awal lagi, keangkuhanmu, kesombonganmu dan penghinaan egois kamu terhadap perasaan orang lain, menjadi landasan kebencianku kepadamu. Belum cukup sebulan aku mengenalimu, aku merasakan bahawa kamu lelaki terakhir di dunia yang boleh aku kahwini." 


Secara keseluruhannya, walaupun ini adalah naskah terjemahan, kualiti terjemahannya sangat bagus dan tidak menggangu momentum pembaca. Alhamdulillah... Rasa seronok saja meneliti naskah ini. Tahniah pada penterjemah dan penerbit atas usaha yang bagus ini. 

Harapnya, selepas ini ada lebih banyak lagi karya-karya hebat yang diterjemahkan ke Bahasa Malaysia, Aamiin...

Thursday, February 1, 2024

Book Review: Healing the Heart


Tajuk: Healing the Heart 

Penulis: 

1. Sharifah Nadirah 

2. Muhammad Anas


Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya ketika dalam perjalanan ke Utara, seminggu yang lepas, Alhamdulillah. 

Patung Beruang mengambil masa sebulan lebih untuk menghabiskan naskah ini. Naskah ini sedap dan banyak pengisian yang menuntut kita berfikir dan menyelami maksud disebalik tulisan itu. Makanya, Patung Beruang membaca naskah ini dengan slow and easy, membaca dan refleks semula pada kehidupan sebenar. 


Healing the Heart mengandungi 3 bahagian iaitu: 

Part 1: On Frustrations 

Part 2: On Hidayah

Part 3: On Self-Compassion 


Part 1: On Frustrations membawa pembaca tentang mengapa dalam hidup ini kita tidak akan dapat mengelak dari merasa kecewa. Perjalanan hidup ini yang penuh dengan kegembiraan, keterujaan, kesedihan dan kekecewaan memberi 1001 warna yang menarik dan membentuk kita menjadi siapa kita pada hari ini. 

Semua manusia dambakan kesempurnaan. Tetapi ingatlah, tiada yang sempurna kecuali Allah swt. Dia yang Maha Sempurna. Kita sebagai makhluk-Nya ini penuh dengan kelemahan dan cacat-celanya. Disebalik kelemahan ini, kita berusaha keras untuk menjadi hamba-Nya yang terbaik. 

Kita tertanya-tanya, mengapa kita sering diuji? 

Adakah Tuhan tidak menyayangi kita? 

Kita mungkin terlupa ujian itulah petanda betapa Tuhan sangat menyayangi kita. Ujian datang dalam pelbagai bentuk. Kegagalan adalah ujian. 

Dan kejayaan juga adalah ujian. 

Tetapi kita sering lalai. Setiap kali kita dihujani kejayaan, kita merasakan itu adalah sepenuhnya hasil dari susah payah kita. 

Segalanya adalah usaha kita. Kita mula rasa sombong dan berbangga dengan apa yang kita ada. 

Kita tidak sedar bahawa kita ini adalah selemah-lemah makhluk. Hatta, untuk mengawal degupan jantung sendiri pun kita tidak mampu... 



Salahkah jika kita bersedih apabila berdepan dengan kegagalan atau kesulitan?

Tidak... 

Perasaan sedih itu adalah salah satu nikmat yang Allah kurniakan pada hambaNya yang bernama manusia ini. Rasa sedih, kecewa, patah semangat, kosong, hambar, ragu-ragu...

Raikan saja perasaan yang hadir itu. Jangan nafikannya. 

Tetapi... jangan berlama-lama. 

Jangan sampai perasaan ini memakan diri sendiri. 

Ya, kita boleh layan rasa sedih dan kecewa itu. Sejam. Sehari. 2 hari. Seminggu. 

Tetapi selepas itu, bangkitlah semula dan teruskan berjalan. Mula dengan sekecil-kecil tindakan. Sebagai tanda, kita sudah move on dan bersedia untuk jadi lebih baik. 


Kegagalan dan kesulitan adalah peluang untuk kita belajar. 

Belajar mengenal diri. 

Belajar mengenal hala tuju kehidupan ini.

Belajar untuk lebih redha dan berdamai dengan takdir Allah.

Belajar untuk menerima hakikat walau sehebat mana pun kita, sekukuh mana pun perancangan kita, Allah lebih berkuasa atas segalanya. 

Hidup di dunia ini memang tidak akan lepas dari kegagalan dan kesulitan. Kita hadapi saja dengan tenang kerana akhirnya kita sendiri sedar yang destinasi utama kita adalah akhirat sana. 

Seperti petikan dari Zain Bhika, dari karya beliau Heart of a Muslim:

"A heart of a Muslim must be strong."


Part 3 berkenaan self-compassion membawa pembaca untuk lebih belas kasihan pada diri sendiri. Lebih prihatin pada keadaan diri sendiri samada physical, emotional dan juga spritual. 


Setiap manusia pasti akan mengalami episod kehilangan. 

Tidak kiralah kehilangan ahli keluarga tersayang, kehilangan pasangan, kehilangan sahabat baik, kehilangan harta benda, hilang pekerjaan, hilang kedudukan dan jawatan atau mungkin juga kehilangan haiwan peliharaan yang paling disayangi. 


Apabila berdepan dengan episod kehilangan, lumrah manusia akan mengalami beberapa fasa seperti berikut: 

1. Denial - Kita cuba menafikan apa yang telah berlaku. Cuba menafikan apa yang kita rasa. Kita anggap segalanya baik-baik saja. 

2. Angry - Kita marah dengan apa yang telah berlaku. Kita marah pada diri sendiri dan cuba meletakkan kesalahan dibahu sendiri. Tetapi lebih teruk apabila kita menyalahkan orang atau pihak lain. Kita rasa marah pada mereka dan menganggap mereka lah punca atas kehilangan yang kita hadapi. 

3. Regret - Kita mula terfikir "Alangkah bagusnya jika aku...." Ya, kita mula bermain dengan perkataan "Jika", "If only" dan yang sewaktu dengannya. Kita mula berfikir scenario yang bertentangan dengan apa yang telah berlaku. 

4. Depressed - Kita rasa hopeless, tiada harapan, tiada hala tuju. Rasa putus asa. Rasa tidak mampu untuk bangkit semula. Rasa tidak mampu untuk memperbaiki keadaan. Rasa tidak mampu bertindak. 

5. Acceptance - Kita mula terima kenyataan kehilangan yang dihadapi. Pada waktu ini, kita sedar masa tidak akan berputar ke belakang. Apa yang telah hilang, lepaskan dengan sepenuh hati. Kini, masa untuk kita pandang ke hadapan dan teruskan kehidupan yang ada. Jangan disesali apa yang telah berlaku. 



Secara keseluruhannya, Patung Beruang sangat menikmati naskah ini. Baca perlahan-lahan sambil berfikir. Menyelami apa yang ditulis dan apa pula pengalaman diri sendiri. 

Naskah yang bagus untuk mengubati hati dan jiwa yang tercedera, sebelum dipanggil pulang ke negara abadi... 

Saturday, January 20, 2024

Book Review: Heidi


Tajuk : Heidi 

Penulis: Johanna Spyri 

Penterjemah: Sue Oshin 

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah terjemahan ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada minggu lepas, Alhamdulillah... 

Heidi adalah seorang budak perempuan, anak yatim piatu yang dihantar makciknya untuk tinggal bersama datuknya di banjaran Alps Switzerland. Datuknya dikenali sebagai Uncle Alps, tinggal seorang diri di banjaran tersebut. Orang kampung agak keberatan untuk bertegur-sapa dengan Uncle Alp kerana sifatnya yang perengus. 

Di kampung, Heidi bersahabat baik dengan Peter, seorang pengembala kambing. Selepas ayah Peter meninggal dunia akibat dihempap sebatang pokok, Peter mengambil alih tugas ayahnya untuk mengembala kambing. Peter tinggal bersama ibunya, Bridget dan neneknya yang dipanggil Grannie. Grannie adalah seorang yang cacat penglihatan. 

Keramahan dan budi bahasa Heidi menyebabkan gadis kecil ini disenangi oleh Peter sekeluarga dan orang kampung yang lain. Heidi teringin untuk pergi ke sekolah, sama seperti Peter dan anak-anak kampung yang lain. Tetapi Uncle Alps tidak mengizinkan kerana baginya tiada keperluan untuk gadis itu bersekolah. 


Pada suatu hari, ibu saudara Heidi iaitu Detie datang ke rumah Uncle Alps dengan tujuan untuk mengambil Heidi dan menghantarnya tinggal di bandar. Detie merasakan ini adalah langkah yang terbaik demi masa depan Heidi. 

Di bandar, Heidi tinggal di rumah seorang hartawan bernama Tuan Seseman. Tuan Seseman mempunyai seorang anak perempuan bernama Clara. Sayangnya Clara adalah gadis yang kurang upaya dan hanya menghabiskan masa dengan duduk di atas kerusi roda di rumah tersebut. Isteri Tuan Seseman telah meninggal dunia. 

Tuan Seseman mempunyai beberapa orang pembantu dirumah tersebut. Penjaga rumah merangkap penjaga Clara adalah seorang wanita yang bernama Cik Rottenmeir. Perwatakannya tegas dan kurang mesra. Dua orang pembantu rumah yang lain adalah Sebastian dan Tinette. 

Kehadiran Heidi di rumah tersebut disambung baik oleh semua orang kecuali Cik Rottenmeir. Baginya, Heidi adalah seorang gadis yang tidak beradab, tidak berpelajaran dan berpotensi membawa pengaruh buruk kepada Clara. 

Clara pula menganggap Heidi sangat beruntung kerana bebas bergerak kesana kemari tanpa memerlukan kerusi roda. Selain itu, Clara juga suka mendengar Heidi bercerita berkenaan kampungnya di pergunungan Alps dan insan-insan yang terdekat dengannya seperti Uncle Alps, Peter, Grannie. Clara teringin untuk pergi ke kampung Heidi tetapi apabila melihat keadaan dirinya, dia hanya mampu menyimpan impian tersebut. 




Naskah Heidi ini adalah sebuah karya klasik yang ditulis asalnya dalam bahasa Jerman. Naskah Heidi telah diterjemahkan ke 50 buah bahasa utama dunia. Naskah ini sangat santai, membawa pembaca kisah kehidupan Heidi, keluarga dan rakan-rakannya. 

Heidi mengangkat tema ikatan kekeluargaan yang kukuh dan hubungan persahabatan yang ikhlas. Seronoknya membaca naskah ini adalah kerana tiada watak jahat pun didalam cerita ini, hehehe..

Patung Beruang berjaya menghabiskan naskah ini dalam masa 3 jam saja. Alhamdulillah.. 

Usai pembacaan, ada satu rasa kepuasan yang tak dapat nak diterjemahkan. Cuma Patung Beruang sedar yang rasa kepuasan itu sama macam apa yang Patung Beruang rasa ketika zaman kanak-kanak dulu, selepas setiap kali selesai membaca buku cerita kisah 5 Sekawan (terjemahan dari karya asal Enid Blyton) atau Siri Penyiasat Remaja Hardy Boys. What an awesome feeling... Dan ia mengingatkan Patung Beruang, kenapa Patung Beruang suka membaca sedari kecil.. Dopamine yang terhasil itu tidak dapat ditandingi oleh aktiviti lain, hehehe...

Tuesday, January 16, 2024

Book Review: Heads You Win

Tajuk: Heads You Win

Penulis: Jeffrey Archer

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah Jeffrey Archer ini Patung Beruang selesaikan pembacaan pada tahun lepas. Maaflah kerana sekarang baru Patung Beruang berpeluang untuk berkongsi disini.


Heads You Win membawa pembaca mengenali Alexander Karpenko, yang dilahirkan dan dibesarkan di Leningrad, Russia pada tahun 1960-an. Sedari awal lagi, Alexandar mempunyai cita-cita besar untuk menjadi pemimpin. 

Pada suatu hari, ayahnya, Konstantin Karpenko dibunuh oleh KGB kerana dipercayai sedang mengumpul sumber untuk mewujudkan kesatuan sekerja di Leningrad. Pembunuhan Konstantin menyebabkan Alexandar dan ibunya, Elena tekad untuk lari dari Russia demi melindungi nyawa mereka dan mencari kehidupan yang lebih baik. 

Ketika di pelabuhan, terdapat 2 kontena untuk dipilih oleh Alenxander dan Elena untuk diseludup keluar dari Russia. Satu kontena menuju ke America dan satu lagi menuju ke Britain. Buntu untuk membuat pilihan dalam masa beberapa saat, Alexander leaves the choice to a toss of a coin....


Naskah Archer kali ini agak berbeza dari karya-karya beliau sebelum ini kerana dalam satu buku, Archer memaparkan 2 identiti yang berbeza di 2 lokasi yang berbeza. 

Seperti yang Patung Beruang catatkan di atas, terdapat 2 kontena yang perlu dipilih oleh Alexander dan Elena untuk diseludup keluar dari Russia. Makanya, selepas itu, Archer mula berkongsi dengan pembaca garis cerita Alexander apabila mereka menaiki kontena menuju ke America, dimana akhirnya mereka sampai ke New York dan mulakan kehidupan baru. Elena masih mengekalkan nama asalnya tetapi Alexander menukar namanya kepada singkatan Alex saja. 

Dalam masa yang sama juga, seadainya mereka menaiki kontena yang menuju ke Britain, kehidupan baru di London yang menanti mereka berdua tidak kurang menariknya juga dimana disana Alexandar menggunakan nama Sasha. 


Kedua-dua watak iaitu Alex dan Sasha mempunyai kebijaksanaan yang tersendiri. Di London, Sasha seorang pelajar yang pintar, berjaya menamatkan pengajiannya dan seterusnya menceburi bidang politik. Latar belakangnya sebagai seorang imigran yang berjaya di perantauan memberi kelebihan kepada parti politiknya untuk memenangi hati para pengundi. 

Di New York pula, Alex menyerlah sebagai seorang usahawan dan dalam masa sama, menjalin hubungan persahabatan yang baik dengan keluarga Lowell, hartawan dari Boston. Alex juga terjebak dalam rahsia gelap keluarga Lowell sehingga menyebabkan beliau dinamakan sebagai pemegang saham terbesar di Lowell Bank. Kehadiran Alex di Lowell Bank mempunyai misi yang besar kerana ketika itu bank berada dalam keadaan goyah disebabkan penyelewengan oleh adik-beradik perempuan Lowell dan beberapa top management mereka. 

Walau Alex dan Sasha berada di puncak kejayaan dalam bidang masing-masing, kedua-dua mereka tetapi mempunyai impian untuk meneruskan cita-cita mendiang ayah mereka, Konstantin Karpenko, iaitu menjadi pemimpin democratic pertama di Russia dan seterusnya memimpin negara itu keluar dari cengkaman komunis.  

Disepanjang kehidupan Alex dan Sasha, pasti ada saja individu-individu yang cemburu dan berniat jahat untuk menggagalkan impian dan misi mereka, sama ada di New York, London ataupun Leningrad. Tidak mudah untuk melupakan dendam yang tersimpan selama berpuluh-puluh tahun. 

Adakah Alex dan Sasha akan melupakan saja impian untuk kembali ke Leningrad dan teruskan saja kehidupan yang selesa di New York atau London? 



Jika filem-filem superhero Hollywood ada multi-universe concept, naskah ini juga turut menggunakan konsep yang sama. Walaupun Alexander / Alex / Sasha adalah orang yang sama, tetapi lokasi, suasana, orang disekeliling termasuklah pasangan mereka adalah berbeza. 

Jujurnya Patung Beruang tidak rasa pening atau confius ketika membaca naskah ini kerana Archer berjaya menyusun plot untuk setiap watak dengan teliti dan teratur. Apatah lagi, Alex dan Sasha berada dalam 2 bidang yang berbeza. Sangat membantu pembaca untuk tidak terkeliru dengan 2 watak ini. Alhamdulillah....

Sunday, January 7, 2024

Book Review : Guru Aini


Tajuk: Guru Aini

Penulis : Andrea Hirata 

Penterjemah: Azzah Abdul Rahman

Menariknya Naskah Ini: 

Guru Aini ini sebenarnya Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada tahun 2022. Baru sekarang berpeluang untuk berkongsi disini. Maaflah ye. 

Naskah ini membawa pembaca kepada watak Guru Desi, seorang guru muda yang sangat berbakat dalam Matematik serta mempunyai kesungguhan dan minat yang tinggi dalam profession perguruan. 

Impian Guru Desi adalah untuk mengajar Matematik di sekolah kampung agar ramai anak-anak kampung  mampu menguasai subjek tersebut dan seterusnya membuka peluang kepada mereka untuk berjaya, mampu mempunyai pendapatan yang stabil dan keluar dari kemiskinan. 

Walau lahir dalam keluarga yang senang, adik-beradiknya semua lulusan universiti, dan ayahnya pula mempunyai perniagaan yang ingin diwariskan kepada Desi, itu tetap tidak mampu mengubah pendirian gadis itu untuk menjadi guru. 

Mengajar di pedalaman memberi 1001 cabaran buat guru muda ini. Ditambah pula dengan para pelajar yang sangat fobia dengan Matematik. Mereka merasakan subjek Matematik itu terlalu sukar dan mustahil untuk dipelajari. 

Pengalaman yang sama juga dialami oleh rakan-rakan Guru Desi di pedalaman lain. Keadaan ini memberi tekanan yang hebat kepada para guru Matematik seperti berikut: 

"Abu Sofyan, salah seorang kawan sekelas Desi sewaktu kursus D-3 Guru Matematik, yang bertugas di sebuah sekolah di Sungai Penuh, tanpa ragu dan malu-malu mengaduk-aduk rambut di depan kelas sehingga mirip kakitangan kerajaan yang habis dihambat-hambat pontianak dalam filem seram." 

"Ada guru Matematik yang duduk bersila di bangku lalu bersemadi untuk mengumpulkan segenap tenaga kosmik, dan supaya dirinya tidak emosional saat mengajar."

"Ada guru Matematik yang kecewa kerana murid-muridnya melihat Matematik macam melihat hantu. Ada guru Matematik yang kecewa kerana murid-muridnya melihat dia macam melihat hantu." 

"Ada guru Matematik yang meramas-ramas kapur kerana jengkel dan keluar kelas dalam keadaan coreng-moreng." 


Semangat Guru Desi yang kian luntur tiba-tiba melonjak tatkala beliau mendapat murid hebat bernama Debut Awaluddin. Bagi Guru Desi, Debut Awaluddin sangat berbakat di dalam Matematik. Debut ini adalah murid baru dan mempunyai penampilan seperti penyanyi dangdut. Pada asalnya Guru Desi tidak memberi perhatian kepada Debut kerana baginya Debut sama sahaja seperti murid-muridnya yang lain, yang sangat takut dengan Matematik. 

Tetapi segala persepsi itu bertukar sekelip mata apabila pada suatu hari, Debut telah kehadapan kelas dan membantu Jelimat menyelesaikan soalan Matematik di papan hitam. Ternyata Debut yang sangat fanatik dengan musik dangdut sehingga mempengaruhi penampilan dan gayanya, juga pintar Matematik. 

Guru Desi merasakan Debut adalah sparring partner di sekolah itu. Mereka kerap membahaskan topik-topik rumit. Ini menimbulkan semangat yang luar biasa kepada Guru Desi. Luar biasanya semangat itu sehingga Guru Desi mampu mengeluarkan kesaktiannya iaitu menulis grafik dengan tangan kiri dan pada waktu sama menulis formula-formula dan angka-angka dengan tangan kanan. 

Namun, panas disangka sehingga petang, rupanya hujan di tengahari. 
Debut ini dalam fikirannya bukan sekadar ada Matematik tetapi falsafah kehidupan dan politik serantau. 
Bagi Debut Awaluddin, apalah gunanya formula Matematik yang hebat jika dunia ini tetap tidak adil, politikus yang rakus semakin bermaharajalela, penguatkuasa yang tidak amanah dan rakyat yang tertindas?

Debut mula berkelahi dengan lelaki-lelaki yang berbeza aliran pemikirannya. Debut mula ponteng sekolah. 
Debut mula mendapat markah corot didalam ujian Matematik. 
Dan kemuncaknya, Debut berhenti sekolah, hilang ghaib tanpa jejak. 

Betapa kecewa dan patah hatinya Guru Desi apabila kehilangan anak murid yang menjadi sumber inspirasinya. 

"Memintarkan seorang murid cukup untuk membuat batin seorang guru tertekan, namun murid yang sudah pintar dan mengabaikan kepintarannya, akan memukul perasaan seorang guru dengan cara yang tak dapat dimengerti oleh sesiapa pun." 



Aini, seorang pelajar di sekolah itu, kerap kali ponteng sekolah kerana menjaga ayahnya yang uzur dirumah. Ayah Aini yang sebelumnya adalah penjual mainan kanak-kanak di tepi jalan, tiba-tiba saja jatuh sakit. Setelah sakit, tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga, digalas oleh ibunya. 

Sakit Ayah Aini pelik gayanya. Sudah berulang-kali ke hospital, berjumpa ramai petugas kesihatan, masih tiada bezanya. Sudah juga mencuba perubatan alternatif, bertemu tabib, namun tetapi tidak berkesan. 

Aini sering mendengar jururawat dan tabib yang ditemuinya berkata yang penyakit Ayah Aini ini hanya mampu dirawati dan diubati oleh doctor pakar. Kata mereka, Ayah Aini hanya mampu disembuhkan oleh ilmu dan sekolah. 

Aduh... 
Bagaimana Aini boleh mendapatkan rawatan doctor pakar? 
Kos perjalanan setinggi langit. 
Kos perubatan juga. 
Siapa saja yang mampu memberikan mereka wang yang sebanyak itu? 

Aini mula tersedar betapa berharganya ilmu dan sekolah di hadapan mata. 
Aini mula tersedar betapa kemalasan dan kebodohan dirinya tidak akan mampu mengubah nasib mereka, jauh sekali menyembuhkan sakit Ayahnya.  

Untuk berjaya, Aini kena berusaha. Untuk belajar tinggi, ilmu Matematik mesti dikuasai. Kini Aini bertekad, dia akan belajar bersungguh-sungguh sehingga layak masuk ke jurusan perubatan, seterusnya belajar sehingga menjadi doctor pakar. Semuanya demi menyembuhkan Ayah tercinta. 

Namun, langkah pertama yang harus diambil adalah menghapuskan ketakutan terhadap Matematik. Ya, itu lah langkah pertama yang paling besar buat diri Aini. 
Siapa guru yang layak untuk membimbing Aini? 
Sudah pasti Guru Desi, guru yang paling garang dan menakutkan satu sekolah....

Adakah Aini berjaya mengambil langkah pertama itu?
Adakah Aini akan berjaya menghapuskan hantu dalam ilmu Matematik? 
Sementara atau untuk selamanya? 




Naskah Guru Aini ini kisahnya santai tetapi sedap. Berkenaan jerih-perih Guru Desi, seorang guru Matematik disebuah sekolah di pedalaman. Pelbagai kerenah pelajar dan guru ditemui disekolah itu. Juga kisah Aini, seorang anak yang baik tetapi mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Anak yang merasakan kehidupan ini adalah indah tanpa perlu memikirkan masa hadapan. 

Ujian sakit Ayah Aini benar-benar membuka matanya betapa ilmu adalah harta yang paling berharga. Dan keazaman serta usaha tanpa kenal putus asa adalah senjata yang paling ampuh untuk menempuh kehidupan ini. 
 
Walau naskah ini adalah naskah terjemahan, pembacaan Patung Beruang sangat lancar. Terjemahan yang sangat smooth dan tidak langsung mengganggu momentum pembaca. Alhamdulillah...

Abang Adik: Penutup 2023

Assalamualaikum wbt.. 

7 January 2024, 

Sudah genap seminggu kita masuk ke tahun baru ini. Rasa seperti tidak percaya yang tahun baru sudah muncul kembali. 


Tahun 2023 meninggalkan 1001 cerita buat Patung Beruang. Tidak mampu terluahkan segalanya disini. Cuma antara perkara yang Patung Beruang terkilan adalah ketika 2023 yang baru lepas, Patung Beruang tidak mampu untuk menulis banyak entry. Walaupun banyak saja naskah yang berjaya ditamatkan pembacaannya termasuklah karya Jeffrey Archer, malangnya ia tidak mampu dan tidak berkesempatan untuk dikongsikan disini.  Insya-Allah, Patung Beruang akan cuba kongsikan sedikit demi sedikit tahun 2024 ini ye.


Sebagai penutup 2023, Patung Beruang dan Crime Partner menonton filem Abang Adik di IOI City Mall. Mengapa filem ini yang dipilih? Kerana kami dapati ada banyak good review berkenaan filem ini di media sosial. So why not we give a chance? 

Asalnya kami nak menonton pada hari Sabtu. Tapi cuma ada 1 tayangan saja pada hari tersebut iaitu pukul 2 petang.  Surprisingly, Patung Beruang log in ke Apps GSC pada Sabtu, pukul 8 am dan dapati tiket sudah sold out. What??? Semua orang beli awal ke? 

Bila check jadual hari Ahad pula ada 2 tayangan iaitu pukul 2 petang dan 5 petang. Sama juga, tayangan pukul 2 petang sudah 80% dibeli. Yang tinggal cuma seat di barisan hadapan saja. 

Nasib baik tayangan pukul 5 petang masih banyak tiket lagi. Teruslah Patung Beruang beli on the spot sebab takut terlepas lagi, hehehe.. 

Makanya, selepas Zuhor, kami keluar rumah sebab Crime Partner nak pergi kedai cermin mata dulu untuk betulkan skru cermin mata dia yang patah. Lama juga di kedai cermin mata itu. Dan akhirnya pukul 4.30 petang, kami pun sampailah di IOI City Mall. 

Seperti yang dijangka, tayangan pukul 5 petang juga full house kecuali beberapa seat di barisan hadapan. 50% penonton terdiri daripada bangsa Cina, samaada datang bersama keluarga ataupun couple. Dan selebihnya adalah penonton berbangsa Melayu. 


Filem Abang Adik ini adalah karya Malaysia, mengambil latar belakang kisah di negara ini. Filem ini mengisahkan kehidupan dua beradik yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kedua-dua mereka tidak mempunyai ibu bapa dan tiada kad pengenalan juga. 

Abang dilahirkan pekak dan bisu, namun masih boleh bergantung kepada alat bantu pendengaran. Abang bekerja sebagai buruh di pasar Pudu, Kuala Lumpur. Ketiadaan kad pengenalan menyebabkan Abang sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang formal dan sering dibuli seperti dibayar upah kurang dari sepatutnya dan diperlecehkan. Setiap hari, upah yang diterima, Abang akan simpan dalam tin biskut. Walaupun cacat fizikal, Abang adalah seorang yang sangat bertanggungjawab dan baik hati. 

Adik pula dilahirkan sempurna. Seorang yang panas baran dan sering melakukan kesalahan yang menyebabkan Abang rasa kecewa padanya. Adik terlibat dengan aktiviti haram untuk mendapatkan wang dengan cara yang mudah, sehingga menyebabkan dirinya diburu oleh mereka yang ditipu. Buruan itu menyebabkan Adik dibelasah oleh sekumpulan warga asing kerana masalah permit kerja. Mujur Abang ada dikawasan sekitar dan berjaya menyelamatkan Adik dari dipukul lebih teruk. 

Walau berbeza personaliti, kedua beradik ini rapat dan saling menjaga satu sama lain. Setiap malam Abang akan memasak untuk mereka berdua. Nasi, telur rebus dan sayur goreng biasa. 

Berbanding dengan Abang, nasib Adik lebih baik sedikit kerana mempunyai surat beranak. Oleh itu, permohonannya untuk mendapatkan kad pengenalan boleh direalisasikan dengan syarat Adik hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara, bersama-sama dengan ibu atau ayah kandungnya. 


Tanpa kad pengenalan, sukar untuk Abang dan Adik menjalani kehidupan sempurna seperti rakyat Malaysia yang lain. Mereka tinggal di flat kos rendah di kawasan Pudu, dan flat tersebut disewa oleh Kak Money. Kak Money adalah transgender yang bekerja sebagai pelayan demi mencari sesuap nasi di kota besar ini. Kak Money menganggap Abang dan Adik seperti anak-anaknya sendiri dan tidak pernah berkira dengan mereka. 

Selain membantu sewakan flat, Kak Money juga daftarkan number telefon bimbit untuk kegunaan Adik, agar mudah untuk dihubungi terutama oleh wakil-wakil NGO yang sedang berusaha keras membantu mereka untuk dapatkan kad pengenalan. Jika ada kelapangan, Kak Money akan ke rumah Abang Adik untuk masakkan makanan. Sekurang-kurangnya, pada hari itu kedua beradik ini dapat menjamah makanan yang mewah sedikit selain dari telur rebus. 

Entah mengapa, orang susah sering saja ditimpa kesusahan yang bertalu-talu. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Ibarat takdir tidak ada sedikit belas kasihan pada mereka. 

Terdapat satu kejadian yang berlaku didalam rumah Abang Adik, yang menyebabkan kematian seorang wakil NGO. Abang sepertinya berada di tempat yang salah, pada waktu yang salah. Abang menyerah diri dan akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. 


Jujurnya, Patung Beruang banyak menangis ketika menonton filem ini didalam panggung. Tak mampu nak tahan walaupun sudah cuba menutup mulut agar tidak didengari oleh penonton lain. Malangnya gagal sebab Crime Partner cakap, dia dengar je bunyi sedu-sedan Patung Beruang. Dan kanak-kanak dari satu keluarga Cina yang duduk disebelah kami, beberapa kali menoleh ke arah Patung Beruang. Makanya, sah lah suara esakan Patung Beruang terdengar oleh penonton-penonton di sebelah, huhuhu.. 


Filem ini sedap, meruntun hati dan I was completely destroyed by it. Destroyed!!!

Kenapa? 

Sini.... Patung Beruang terangkan satu-persatu.

  • Seperti yang Patung Beruang tulis diatas, kehidupan mereka daif. Susahnya hidup mereka sehingga minyak masak yang kita anggap bahan masakan biasa yang mesti ada dirumah, pun mereka berjimat-cermat. Kenapa makan telur rebus yang rasanya sangat plain? Kenapa tidak goreng telur mata atau goreng telur dadar yang rasanya lebih sedap? Kerana telur rebus hanya perlukan telur dan air saja. Tanpa minyak masak.  
  • Kehidupan di flat kos rendah yang rumahnya tiada bilik. Masuk saja ke dalam rumah, terus nampak meja makan, katil, almari dan sekecil dapur. 1 bilik air. Itu saja. Tiada bilik tidur pun. Tetapi....... beberapa kali pemandangan daif ini ditunjukkan dan ia berlatar-belakangkan bangunan iconic di Kuala Lumpur iaitu TRX dan PNB Tower 118.  Nampak tak betapa ironinya?? 
  • Dalam kemegahan kita dengan iconic buildings, pecah rekod dunia, jadi tarikan pelancong tempatan dan luar negara, masih ada sekelompok rakyat Malaysia yang tidak mampu menikmati kemajuan yang dibanggakan itu. Masih ada rakyat Malaysia yang hidup susah di bandar. Trust me, kemiskinan bandar is no jokes. It is happening. We just need to open our eyes to realise their existence. Don't deny it. 
  • NGO bersusah-payah membantu rakyat tempatan tanpa mengira bangsa dan latar-belakang. Bila menemui jalan buntu, mereka adukan pada Yang Berhormat kawasan tersebut. Namun, apa jawapan Yang Berhormat? "Oh.. kami tiada kuasa. Kami tidak boleh buat apa-apa. Kamu selesaikanlah masalah itu sendiri. Yang penting, jangan ada apa-apa kecelakaan di kawasan kami." Dan tatkala Yang Berhormat menerima panggilan telefon dari individu yang lebih berpangkat dan berkuasa, mereka terus berlalu pergi meninggalkan NGO dan rakyat yang kesusahan ini terkontang-kanting. Jadi, apa fungsi sebenar Yang Berhormat selain dari turun ke kawasan 5 tahun sekali, memujuk rakyat untuk mengundi mereka di pilihanraya akan datang? Sama saja pattern Yang Berhormat ini tidak kira lah parti apa, dan bangsa apa. 
  • Ketika dalam penjara, Abang hilang harapan untuk hidup. Makanan yang dihantar ke sel setiap hari, tidak dijamahnya. Kelakuan Abang disedari oleh seorang Pegawai Penjara dan Pegawai tersebut memanggil sami Buddha datang berjumpa Abang. Pada awal pertemuan mereka, setiap pertanyaan dari sami Buddha hanya dipandang sepi oleh Abang. Sami Buddha tidak berputus asa dan terus memberi kata-kata nasihat pada Abang agar bangkit dan teruskan kehidupan. 
  • Nasihat itu ibarat peledak kepada emosi dan rasa hati Abang yang terpendam selama ini. Dihadapan sami Buddha dan Pegawai Penjara tersebut, Abang meluahkan ketidak adilan hidup yang dialaminya dari dulu sehingga kini. Ujian dan kesusahan yang dihadapi bertalu-talu. Kecacatan Abang dan ketidak-tahuan asal usul dan identiti diri. Abang tiada siapa-siapa. Hidup sebatang-kara. Kewujudan dan kehilangannya tidak memberi kesan kepada sesiapa. Adik yang dipelihara sedari kecil bukanlah adik-beradik kandung. Mereka langsung tiada pertalian darah kerana Abang mengutip Adik secara tidak sengaja apabila dilihat Adik telah menjadi gelandangan seawal usia 5 ke 6 tahun. 
  • Abang hanya ingin hidup tenang, bahagia, rasa mencintai dan dicintai. Mungkin pada kita, keinginan itu tidaklah terlalu melangit. Tetapi pada Abang, keinginan itu terlalu jauh dari jangkauannya dan mustahil untuk diperolehi di hayat ini. 
  • Hidup di jalanan tidak mudah. Walau masih ramai manusia yang berhati baik seperti Kak Money, ramai juga manusia di luar sana yang suka mengambil kesempatan dan menindas mereka yang lemah. Hidup dalam ketakutan. Takut jadi mangsa kerakusan manusia hati jahat, dan takut ditangkap penguatkuasa kerana tiada dokumen pengenalan diri.
  • Warga asing yang datang kesini, ramainya datang dengan niat yang baik, mencari rezeki untuk keluarga yang ditinggalkan. Mereka sudah biasa hidup susah dan dianiaya, makanya sifat empati mereka lebih tinggi berbanding rakyat tempatan yang sudah terbiasa mewah. Persahabatan mereka tulus tanpa mengira latar-belakang. Bagi mereka, tiada salahnya berkongsi rezeki yang tidak seberapa itu, asalkan orang disebelah tidak kelaparan. Sedangkan rakyat tempatan sendiri pura-pura tidak nampak kesusahan insan lain didepan mata. 


Sebenarnya, ada banyak lagi point yang Patung Beruang nak kongsikan disini tetapi mengingatkan saja babak-babak dalam filem ini, Patung Beruang sudah rasa sesak. Jiwa ini rasa sesak sangat kerana terlalu banyak realiti kehidupan yang ditunjukkan didalam filem ini. 

Sebuah filem kekeluargaan, utuhnya kasih sayang sesama Abang dan Adik mengharungi kehidupan yang serba mencabar di kota besar ini. 

Jika belum menonton, pergilah menonton. 
Tonton dengan hati dan fikiran yang terbuka. 
Selami semua emosi Abang dan Adik. 
Abang, walaupun bisu, tetapi permainan emosi, bahasa tubuhya, air mukanya mencerminkan segalanya. 
Dan... jangan  lupa sediakan tisu banyak-banyak ye. 
Filem ini lebih sedih dari filem Pulang, huhuhu.. 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...