Showing posts with label Andrea Hirata. Show all posts
Showing posts with label Andrea Hirata. Show all posts

Sunday, January 7, 2024

Book Review : Guru Aini


Tajuk: Guru Aini

Penulis : Andrea Hirata 

Penterjemah: Azzah Abdul Rahman

Menariknya Naskah Ini: 

Guru Aini ini sebenarnya Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada tahun 2022. Baru sekarang berpeluang untuk berkongsi disini. Maaflah ye. 

Naskah ini membawa pembaca kepada watak Guru Desi, seorang guru muda yang sangat berbakat dalam Matematik serta mempunyai kesungguhan dan minat yang tinggi dalam profession perguruan. 

Impian Guru Desi adalah untuk mengajar Matematik di sekolah kampung agar ramai anak-anak kampung  mampu menguasai subjek tersebut dan seterusnya membuka peluang kepada mereka untuk berjaya, mampu mempunyai pendapatan yang stabil dan keluar dari kemiskinan. 

Walau lahir dalam keluarga yang senang, adik-beradiknya semua lulusan universiti, dan ayahnya pula mempunyai perniagaan yang ingin diwariskan kepada Desi, itu tetap tidak mampu mengubah pendirian gadis itu untuk menjadi guru. 

Mengajar di pedalaman memberi 1001 cabaran buat guru muda ini. Ditambah pula dengan para pelajar yang sangat fobia dengan Matematik. Mereka merasakan subjek Matematik itu terlalu sukar dan mustahil untuk dipelajari. 

Pengalaman yang sama juga dialami oleh rakan-rakan Guru Desi di pedalaman lain. Keadaan ini memberi tekanan yang hebat kepada para guru Matematik seperti berikut: 

"Abu Sofyan, salah seorang kawan sekelas Desi sewaktu kursus D-3 Guru Matematik, yang bertugas di sebuah sekolah di Sungai Penuh, tanpa ragu dan malu-malu mengaduk-aduk rambut di depan kelas sehingga mirip kakitangan kerajaan yang habis dihambat-hambat pontianak dalam filem seram." 

"Ada guru Matematik yang duduk bersila di bangku lalu bersemadi untuk mengumpulkan segenap tenaga kosmik, dan supaya dirinya tidak emosional saat mengajar."

"Ada guru Matematik yang kecewa kerana murid-muridnya melihat Matematik macam melihat hantu. Ada guru Matematik yang kecewa kerana murid-muridnya melihat dia macam melihat hantu." 

"Ada guru Matematik yang meramas-ramas kapur kerana jengkel dan keluar kelas dalam keadaan coreng-moreng." 


Semangat Guru Desi yang kian luntur tiba-tiba melonjak tatkala beliau mendapat murid hebat bernama Debut Awaluddin. Bagi Guru Desi, Debut Awaluddin sangat berbakat di dalam Matematik. Debut ini adalah murid baru dan mempunyai penampilan seperti penyanyi dangdut. Pada asalnya Guru Desi tidak memberi perhatian kepada Debut kerana baginya Debut sama sahaja seperti murid-muridnya yang lain, yang sangat takut dengan Matematik. 

Tetapi segala persepsi itu bertukar sekelip mata apabila pada suatu hari, Debut telah kehadapan kelas dan membantu Jelimat menyelesaikan soalan Matematik di papan hitam. Ternyata Debut yang sangat fanatik dengan musik dangdut sehingga mempengaruhi penampilan dan gayanya, juga pintar Matematik. 

Guru Desi merasakan Debut adalah sparring partner di sekolah itu. Mereka kerap membahaskan topik-topik rumit. Ini menimbulkan semangat yang luar biasa kepada Guru Desi. Luar biasanya semangat itu sehingga Guru Desi mampu mengeluarkan kesaktiannya iaitu menulis grafik dengan tangan kiri dan pada waktu sama menulis formula-formula dan angka-angka dengan tangan kanan. 

Namun, panas disangka sehingga petang, rupanya hujan di tengahari. 
Debut ini dalam fikirannya bukan sekadar ada Matematik tetapi falsafah kehidupan dan politik serantau. 
Bagi Debut Awaluddin, apalah gunanya formula Matematik yang hebat jika dunia ini tetap tidak adil, politikus yang rakus semakin bermaharajalela, penguatkuasa yang tidak amanah dan rakyat yang tertindas?

Debut mula berkelahi dengan lelaki-lelaki yang berbeza aliran pemikirannya. Debut mula ponteng sekolah. 
Debut mula mendapat markah corot didalam ujian Matematik. 
Dan kemuncaknya, Debut berhenti sekolah, hilang ghaib tanpa jejak. 

Betapa kecewa dan patah hatinya Guru Desi apabila kehilangan anak murid yang menjadi sumber inspirasinya. 

"Memintarkan seorang murid cukup untuk membuat batin seorang guru tertekan, namun murid yang sudah pintar dan mengabaikan kepintarannya, akan memukul perasaan seorang guru dengan cara yang tak dapat dimengerti oleh sesiapa pun." 



Aini, seorang pelajar di sekolah itu, kerap kali ponteng sekolah kerana menjaga ayahnya yang uzur dirumah. Ayah Aini yang sebelumnya adalah penjual mainan kanak-kanak di tepi jalan, tiba-tiba saja jatuh sakit. Setelah sakit, tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga, digalas oleh ibunya. 

Sakit Ayah Aini pelik gayanya. Sudah berulang-kali ke hospital, berjumpa ramai petugas kesihatan, masih tiada bezanya. Sudah juga mencuba perubatan alternatif, bertemu tabib, namun tetapi tidak berkesan. 

Aini sering mendengar jururawat dan tabib yang ditemuinya berkata yang penyakit Ayah Aini ini hanya mampu dirawati dan diubati oleh doctor pakar. Kata mereka, Ayah Aini hanya mampu disembuhkan oleh ilmu dan sekolah. 

Aduh... 
Bagaimana Aini boleh mendapatkan rawatan doctor pakar? 
Kos perjalanan setinggi langit. 
Kos perubatan juga. 
Siapa saja yang mampu memberikan mereka wang yang sebanyak itu? 

Aini mula tersedar betapa berharganya ilmu dan sekolah di hadapan mata. 
Aini mula tersedar betapa kemalasan dan kebodohan dirinya tidak akan mampu mengubah nasib mereka, jauh sekali menyembuhkan sakit Ayahnya.  

Untuk berjaya, Aini kena berusaha. Untuk belajar tinggi, ilmu Matematik mesti dikuasai. Kini Aini bertekad, dia akan belajar bersungguh-sungguh sehingga layak masuk ke jurusan perubatan, seterusnya belajar sehingga menjadi doctor pakar. Semuanya demi menyembuhkan Ayah tercinta. 

Namun, langkah pertama yang harus diambil adalah menghapuskan ketakutan terhadap Matematik. Ya, itu lah langkah pertama yang paling besar buat diri Aini. 
Siapa guru yang layak untuk membimbing Aini? 
Sudah pasti Guru Desi, guru yang paling garang dan menakutkan satu sekolah....

Adakah Aini berjaya mengambil langkah pertama itu?
Adakah Aini akan berjaya menghapuskan hantu dalam ilmu Matematik? 
Sementara atau untuk selamanya? 




Naskah Guru Aini ini kisahnya santai tetapi sedap. Berkenaan jerih-perih Guru Desi, seorang guru Matematik disebuah sekolah di pedalaman. Pelbagai kerenah pelajar dan guru ditemui disekolah itu. Juga kisah Aini, seorang anak yang baik tetapi mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Anak yang merasakan kehidupan ini adalah indah tanpa perlu memikirkan masa hadapan. 

Ujian sakit Ayah Aini benar-benar membuka matanya betapa ilmu adalah harta yang paling berharga. Dan keazaman serta usaha tanpa kenal putus asa adalah senjata yang paling ampuh untuk menempuh kehidupan ini. 
 
Walau naskah ini adalah naskah terjemahan, pembacaan Patung Beruang sangat lancar. Terjemahan yang sangat smooth dan tidak langsung mengganggu momentum pembaca. Alhamdulillah...

Monday, November 23, 2020

Book Review : Orang - Orang Biasa

Tajuk : Orang - Orang Biasa

Penulis : Andrea Hirata 

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini baru sahaja Patung Beruang selesaikan pembacaannya petang semalam. Ini adalah naskah kedua karya Andrea Hirata yang ada dalam simpanan Patung Beruang. 

Karya Orang-Orang Biasa ini mempunyai ramai watak utama iaitu lebih dari 10 orang. Mengambil latar belakang pekan kecil di daerah Belantik, penulis berkongsi perihal-perihal orang-orang biasa yang hidup dan mewarnai daerah tersebut. 

Inspector Abdul Rojali, seorang pegawai polis separuh usia yang diamanahkan untuk mengetuai Balai Polis Belantik. Inspector dibantu oleh Sarjan P. Arbi, polis muda yang setia menurut arahannya. 

Belantik adalah daerah yang aman damai. Terlalu aman sehingga Balai Polis hanya dikunjungi oleh penduduk untuk meminta Surat Kelakuan Baik dari pegawai polis yang bertugas. Bertahun-tahun statistik kes jenayah statik sehingga menimbulkan kebosanan kepada Abdul Rojali dan P. Arbi. 

Tetapi, benarkah Belantik benar-benar bersih dari aktiviti jenayah? 

Atau mungkin ada aktiviti jenayah yang gagal dihidu oleh kedua pegawai polis ini hanya kerana ia benar-benar terlindung? 


Ibu Desi Mal adalah seorang guru Matematik di sebuah sekolah di Belantik. Ibu Desi khabarnya adalah seorang guru yang penyabar sekali. Malah, dikatakannya yang Ibu Desi ini pernah menjadi pemenang guru paling sabar peringkat daerah. 

Namun kini segalanya seperti berubah. Ibu Desi yang sekarang adalah seorang guru yang sering naik angin terutama apabila melihat keadaan para pelajar yang tidak serius dalam pembelajaran. Tambah memeningkan kepala apabila Ibu Desi terpaksa berdepan dengan 9 orang pelajar yang dirasakannya tiada harapan. Bodoh, aneh dan gagal. Diajar berulang kali namun masih tidak membuahkan hasil yang memuaskan. 

Siapakah 9 pelajar itu? Mereka adalah... 

  1. Salud : Mempunyai rupa yang pelik dan menakutkan menyebabkan dia terasing. Selain itu, dia juga sering menjadi mangsa buli pelajar nakal. 
  2. Sobri : Diletakkan di bangku belakang oleh guru kelas kerana lamban berfikir, pesimistik dan tidak mempunyai cita-cita. Pencapaiannya dalam akademik sangat teruk. Bagusnya Sobri adalah suaranya sangat kuat dan high pitch apabila bercakap, bertepatan dengan bentuk mulutnya yang seperti corong megafon. 
  3. Honorun : Sama seperti Sobri, Honorun juga lamban berfikir dan pesimistik. Namun, pencapaiannya dalam akademik baik sedikit dari Sobri. 
  4. Tohirin : Pernah dibuang sekolah kerana prestasi akademik yang sangat lemah. Namun, atas peri kemanusiaan, dia diterima kembali ke sekolah kampung itu, tetapi ditempatkan di tempat paling belakang. 
  5. Rusip : Seorang yang pengotor dan berbau menyebabkan tiada siapapun yang sudi untuk berkawan dengannya. 
  6. Handai : Seperti namanya, dia adalah seorang pengkhayal yang suka berandai-andai. Setelah dewasa, Handai sangat teringin untuk menjadi seorang pakar motivasi. Kesungguhannya untuk menjadi pakar motivasi menyebabkan dia sanggup mencetak kad namanya sendiri walau hakikatnya tiada satu organisasi pun yang menggunakan khidmatnya. 
  7. Nihe : Bersahabat baik dengan Junilah. Kedua-duanya malas tetapi suka melawa, suka berselfie. 
  8. Dinah : Sangat phobia dengan nombor menyebabkan Matematik menjadi subjek yang paling bermasalah buatnya. Sentiasa merah saja markah dalam kad laporannya. 
  9. Junilah : Bersahabat baik dengan Nihe. Sama seperti Nihe, Junilah juga gemar berdandan dan berselfie. 

Dimana-mana sekolah pasti ada pembuli. Disini juga tidak terkecuali. Sekolah ini mempunyai 2 geng pembuli. Satu geng dipanggil Trio Bastardin yang dianggotai oleh Jamin dan Tarib. Geng kedua pula adalah Duo Boron, iaitu pasangan Boron dan Bandar. 

Keempat-empat pembuli ini sangat nakal dan mangsa tetap buli mereka adalah Salud. Pantang bersua, pasti Salud akan dipukul dan ditendang sesuka hati.


Kini, kesemua pelajar-pelajar itu telah dewasa, berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Namun ikatan persahabatan 9 sekawan itu tetap utuh. 


Dinah kini menjadi penjual mainan kanak-kanak yang menjaja di kaki lima. Setelah suaminya terlantar akibat sakit, hanya ini saja sumber mata pencarian mereka sekeluarga. Berjualan setiap hari, berhujan berpanas, sering dikejar pihak berkuasa kerana berjualan di kaki lima bagaikan rutin kehidupan Dinah. 

Dalam kesempitan hidupnya itu, Dinah dikejutkan apabila anak perempuannya, Aini lulus peperiksaan sekolah tinggi dengan cemerlang sehingga dia ditawarkan peluang untuk melanjutkan pelajaran di Fakulti Perubatan di universiti. 

Tawaran melanjutkan pelajaran itu benar-benar menggembirakan Dinah sekeluarga. Namun, kegembiraan itu hanya sebentar tatkala Dinah menyedari bahawa keluarga mereka tidak mampu untuk membayar yuran pengajian Aini. Puas diusaha, cuba meminjam dari ahli keluarga, sanak saudara, dari koperasi dan bank, semuanya menemui jalan buntu.

Adakah pendidikan itu hanya untuk orang-orang kaya saja? Apa anak miskin seperti Aini, yang ayahnya terlantar sakit dan ibunya penjaja kaki lima, tidak layak untuk melanjutkan pelajaran? Tidak layak untuk menjadi seorang doktor? 

Tatkala 9 sekawan ini menyedari masalah kewangan yang dihadapi oleh Dinah, mereka sepakat untuk berusaha membantu dengan sedaya upaya. Apa jadi pun, Aini perlu sambung belajar di Fakulti Perubatan dan berusaha menjadi doctor pakar seperti yang sering diucapkannya. 

Namun, bagaimana 9 sekawan ini berusaha untuk menyelesaikan masalah kewangan ini? Mereka juga bukannya orang-orang kaya yang berpangkat dan ternama...



Mengapa Patung Beruang pilih naskah ini ketika di kedai buku hari itu?

Pertama, kerana ia adalah karya Andrea Hirata. Selepas pertama kali membaca karya beliau, Patung Beruang terus jatuh hati dengan penulis ini. Karyanya simple tetapi sarat dengan cerita kehidupan, cerita masyarakat, cerita rakyat marhaen yang dekat dengan kehidupan kita. Jika ingin tahu bagaimana struktur sosial masyarakat biasa di Indonesia, bacalah karya Andrea Hirata. 

Kedua, kerana Patung Beruang ternampak komen Dr Mazlee berkenaan naskah ini. Jika seorang ahli akademik dan ahli politik boleh meluangkan masa membaca karya ini, dan melontarkan komen terhadapnya, pasti ada sesuatu yang unik pada karya ini. Keunikkan yang mungkin tiada atau sukar untuk dijumpai pada karya lain. 

Komen Patung Beruang?

Naskah ini adalah kisah tentang orang-orang biasa. 
Orang kampung yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. 
Anak kampung yang mengimpikan kejayaan bagi mengubah nasib keluarga. 
Guru kampung yang berusaha berbakti dengan seikhlas hati sehingga adakalanya mencabar kesabaran sendiri. 
Orang awam yang melalui hari-hari biasa seadanya. 
Penjenayah kolar putih yang berusaha mengaburi mata pihak berkuasa dengan kegiatan halal mereka. 
Pihak berkuasa yang dahagakan deruan adrenalin ketika berhadapan dengan penjenayah, namun ia seakan mimpi yang tidak kunjung tiba. 

Cerita luar biasa yang tercetus dari orang-orang biasa..... 

Monday, August 29, 2016

Book Review: Sebelas Patriot

Tajuk: Sebelas Patriot

Penulis: Andrea Hirata

Ceritanya Patung Beruang:
Sebenarnya sudah lama Patung Beruang teringin untuk menikmati naskah Andrea Hirata. Andrea Hirata adalah penulis yang terkenal dari Indonesia, yang telah melahirkan karya hebat seperti Laskar Pelangi. Yang mana jualannya mencecah jutaan naskah dan turut diterjemahkan ke beberapa bahasa lain. 

Oleh itu bila ternampak sahaja novel Sebelas Patriot ini dilaman web Bookcafe, Patung Beruang pun teruslah sambar. 

Sinopsis Novel Ini:

Sebelas Patriot mengisahkan Ikal, seorang anak muda yang tinggal di kampung. Lahir dalam keluarga yang biasa-biasa sahaja, ayah Ikal bekerja di lombong timah yang dimiliki oleh kerajaan. 

Ayah adalah seorang yang tidak banyak bercakap. Namun, sangat berminat dengan sukan bola sepak. Jika tv ada menyiarkan perlawanan bola sepak yang disertai oleh Pasukan Nasional Indonesia atau mungkin pasukan-pasukan hebat di Liga Eropah, Ikal dan ayah akan sama-sama pergi ke warung dihujung kampung untuk menonton tv yang menayangkan perlawanan tersebut. 

Satu perkara yang sering menjadi tanda tanya Ikal adalah kecacatan kaki yang dialami oleh ayah. Bagaimana dan sejak bila kaki ayah menjadi cacat, sering kali menjadi tanya tanya didalam kepala Ikal. Namun, sebagai seorang anak yang baik, Ikal tidak tergamak untuk bertanyakan soalan tersebut pada ayah. Bimbang hatinya terguris. 

Suatu hari, pada masa itu Ikal masih lagi sekolah rendah, Ikal terjumpa sebuah album foto lama yang tersorok di bawah longgokan pakaian terpakai, dirumah. Album foto lama ini seolah-olahnya sengaja disorokkan. Sedang leka Ikal meneliti satu persatu foto lama yang ada didalam album tersebut, ibu datang dan pantas merampasnya. Ibu memberi amaran keras agar Ikal tidak lagi menyentuh album foto tersebut. 

Ikal merasa janggal dengan situasi tersebut. Maka, semenjak hari itu, Ikal berusaha mencari album foto tersebut sehingga akhirnya diketemu juga. Ia disimpan didalam tin. Ikal meneliti semula foto-foto didalam album tersebut dan akhirnya matanya tertangkap sekeping foto seorang lelaki sedang memegang piala. Namun, airmukanya tidak menunjukkan perasaan gembira atau perasaan sedih. Dan lelaki tersebut adalah ayah Ikal sendiri. 

Ketika zaman pemerintahan Belanda, semua lombong di Indonesia adalah dibawah pemerintahan Belanda. Pada masa itu, sukan bolasepak dan badminton dianggap sebagai sukan yang paling popular. Setiap lombong akan mempunyai wakil pasukan bola sepak yang terdiri daripada pekerja-pekerja lombong warga tempatan. Selain itu, terdapat juga pasukan yang terdiri daripada warga Belanda sahaja. 

Setiap tahun, akan diadakan Pesta Sukan. Ketika Pesta Sukan, telah menjadi tradisi jika lawannya adalah pasukan Belanda, pasukan warga tempatan mestilah bermain ala kadar sehingga akhirnya dikalahkan oleh pasukan Belanda. Menjadi satu patang larang yang besar jika pasukan tempatan mengalahkan pasukan Belanda. Jika terjadi juga, maka bersiap sedialah. Pasti selepas itu, ada ahli-ahli pasukan tempatan yang cedera teruk akibat dibelasah oleh pemerintah ketika dalam tahanan di Balai Polis.

Tanpa diduga, ayah Ikal adalah salah seorang yang menjadi mangsa kekejaman Belanda pada masa tersebut. Asalnya ayah Ikal adalah salah seorang pemain bola sepak yang hebat dikampung tersebut. Perlawanan demi perlawanan disertainya hinggalah akhirnya pasukan ayah Ikal bertemu dengan pasukan Belanda di perlawanan akhir. Perlawanan yang bakal menentukan siapakah yang layak untuk membawa pulang Piala pada tahun tersebut. 

Ketika perlawanan, ayah Ikal dan seluruh pasukan bermain bermatian-matian. Tekad mereka hanya satu. Mereka ingin mengalahkan Belanda yang selama ini seringkali membuli warga tempatan. Mereka ingin menunjukkan bahawa warga Indonesia juga hebat bermain, tidak kurang seperti warga Belanda. 

Dan akhirnya, pasukan ayah Ikal memenangi perlawanan akhir tersebut. Dan keesokkannya, ayah Ikal dan beberapa pemain lain dibawa ke Balai Polis. Seperti dijangka, mereka diseksa sehingga menyebabkan ayah Ikal cacat dan tidak lagi mampu bermain bola sepak seumur hidupnya.

Kini, Indonesia tidak lagi diperintah oleh Belanda. Rakyat Indonesia bebas untuk bersukan dan berjuang bermati-matian tanpa perlu takut dengan pasukan lawan. Dan Ikal, setelah mengetahui sejarah silam ayahnya, beliau nekad untuk menjadi pemain bola sepak yang handal demi menyambung cita-cita ayahnya.

Dan bermulalah pengembaraan Ikal demi mencapai cita-citanya itu.

Dapatkah Ikal menjadi pemain bola sepak yang hebat dan seterusnya mewakili Pasukan Nasional Indonesia?

Adakah Ikal sehandal ayahnya atau mungkin lebih handal dari itu?



Menariknya Novel Ini:

Sebelas Patriot adalah sebuah novel yang sangat simple. Menceritakan kisah seorang anak muda yang berusaha keras menjadi pemain bola sepak demi menyempurnakan cita-cita ayahnya yang terkandas. Memahami erti perjuangan ayahnya ketika perlawanan bola sepak menentang pasukan Belanda.

Namun, novel yang ringkas ini digarap dengan begitu cantik sekali. Andrea Hirata berjaya membawa pembaca memahami dan menyelami keperitan rakyat Indonesia ketika penjajahan Belanda dahulu. Bukan sahaja ditindas dari sudut ekonomi, politik dan pembangunan, malah dalam aktiviti sukan juga mereka turut ditindas.

Selain itu Andrea Hirata juga berjaya membawa pembaca kedalam minda ahli-ahli sukan, terutamanya mereka yang mewakili negara. Bagi penulis, ahli-ahli sukan ini sebenarnya bukan sekadar memburu kejuaraan atau pingat, tetapi mereka bermati-matian berjuang demi menaikkan nama tanahair mereka. Mereka tidak gentar walau siapapun lawan mereka. Sentiasa sanggup berkorban dan bersusah payah demi memenangi sesuatu perlawanan. Dan disebabkan itulah mereka layak digelar patriot... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...