Monday, November 23, 2020

Book Review : Orang - Orang Biasa

Tajuk : Orang - Orang Biasa

Penulis : Andrea Hirata 

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini baru sahaja Patung Beruang selesaikan pembacaannya petang semalam. Ini adalah naskah kedua karya Andrea Hirata yang ada dalam simpanan Patung Beruang. 

Karya Orang-Orang Biasa ini mempunyai ramai watak utama iaitu lebih dari 10 orang. Mengambil latar belakang pekan kecil di daerah Belantik, penulis berkongsi perihal-perihal orang-orang biasa yang hidup dan mewarnai daerah tersebut. 

Inspector Abdul Rojali, seorang pegawai polis separuh usia yang diamanahkan untuk mengetuai Balai Polis Belantik. Inspector dibantu oleh Sarjan P. Arbi, polis muda yang setia menurut arahannya. 

Belantik adalah daerah yang aman damai. Terlalu aman sehingga Balai Polis hanya dikunjungi oleh penduduk untuk meminta Surat Kelakuan Baik dari pegawai polis yang bertugas. Bertahun-tahun statistik kes jenayah statik sehingga menimbulkan kebosanan kepada Abdul Rojali dan P. Arbi. 

Tetapi, benarkah Belantik benar-benar bersih dari aktiviti jenayah? 

Atau mungkin ada aktiviti jenayah yang gagal dihidu oleh kedua pegawai polis ini hanya kerana ia benar-benar terlindung? 


Ibu Desi Mal adalah seorang guru Matematik di sebuah sekolah di Belantik. Ibu Desi khabarnya adalah seorang guru yang penyabar sekali. Malah, dikatakannya yang Ibu Desi ini pernah menjadi pemenang guru paling sabar peringkat daerah. 

Namun kini segalanya seperti berubah. Ibu Desi yang sekarang adalah seorang guru yang sering naik angin terutama apabila melihat keadaan para pelajar yang tidak serius dalam pembelajaran. Tambah memeningkan kepala apabila Ibu Desi terpaksa berdepan dengan 9 orang pelajar yang dirasakannya tiada harapan. Bodoh, aneh dan gagal. Diajar berulang kali namun masih tidak membuahkan hasil yang memuaskan. 

Siapakah 9 pelajar itu? Mereka adalah... 

  1. Salud : Mempunyai rupa yang pelik dan menakutkan menyebabkan dia terasing. Selain itu, dia juga sering menjadi mangsa buli pelajar nakal. 
  2. Sobri : Diletakkan di bangku belakang oleh guru kelas kerana lamban berfikir, pesimistik dan tidak mempunyai cita-cita. Pencapaiannya dalam akademik sangat teruk. Bagusnya Sobri adalah suaranya sangat kuat dan high pitch apabila bercakap, bertepatan dengan bentuk mulutnya yang seperti corong megafon. 
  3. Honorun : Sama seperti Sobri, Honorun juga lamban berfikir dan pesimistik. Namun, pencapaiannya dalam akademik baik sedikit dari Sobri. 
  4. Tohirin : Pernah dibuang sekolah kerana prestasi akademik yang sangat lemah. Namun, atas peri kemanusiaan, dia diterima kembali ke sekolah kampung itu, tetapi ditempatkan di tempat paling belakang. 
  5. Rusip : Seorang yang pengotor dan berbau menyebabkan tiada siapapun yang sudi untuk berkawan dengannya. 
  6. Handai : Seperti namanya, dia adalah seorang pengkhayal yang suka berandai-andai. Setelah dewasa, Handai sangat teringin untuk menjadi seorang pakar motivasi. Kesungguhannya untuk menjadi pakar motivasi menyebabkan dia sanggup mencetak kad namanya sendiri walau hakikatnya tiada satu organisasi pun yang menggunakan khidmatnya. 
  7. Nihe : Bersahabat baik dengan Junilah. Kedua-duanya malas tetapi suka melawa, suka berselfie. 
  8. Dinah : Sangat phobia dengan nombor menyebabkan Matematik menjadi subjek yang paling bermasalah buatnya. Sentiasa merah saja markah dalam kad laporannya. 
  9. Junilah : Bersahabat baik dengan Nihe. Sama seperti Nihe, Junilah juga gemar berdandan dan berselfie. 

Dimana-mana sekolah pasti ada pembuli. Disini juga tidak terkecuali. Sekolah ini mempunyai 2 geng pembuli. Satu geng dipanggil Trio Bastardin yang dianggotai oleh Jamin dan Tarib. Geng kedua pula adalah Duo Boron, iaitu pasangan Boron dan Bandar. 

Keempat-empat pembuli ini sangat nakal dan mangsa tetap buli mereka adalah Salud. Pantang bersua, pasti Salud akan dipukul dan ditendang sesuka hati.


Kini, kesemua pelajar-pelajar itu telah dewasa, berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Namun ikatan persahabatan 9 sekawan itu tetap utuh. 


Dinah kini menjadi penjual mainan kanak-kanak yang menjaja di kaki lima. Setelah suaminya terlantar akibat sakit, hanya ini saja sumber mata pencarian mereka sekeluarga. Berjualan setiap hari, berhujan berpanas, sering dikejar pihak berkuasa kerana berjualan di kaki lima bagaikan rutin kehidupan Dinah. 

Dalam kesempitan hidupnya itu, Dinah dikejutkan apabila anak perempuannya, Aini lulus peperiksaan sekolah tinggi dengan cemerlang sehingga dia ditawarkan peluang untuk melanjutkan pelajaran di Fakulti Perubatan di universiti. 

Tawaran melanjutkan pelajaran itu benar-benar menggembirakan Dinah sekeluarga. Namun, kegembiraan itu hanya sebentar tatkala Dinah menyedari bahawa keluarga mereka tidak mampu untuk membayar yuran pengajian Aini. Puas diusaha, cuba meminjam dari ahli keluarga, sanak saudara, dari koperasi dan bank, semuanya menemui jalan buntu.

Adakah pendidikan itu hanya untuk orang-orang kaya saja? Apa anak miskin seperti Aini, yang ayahnya terlantar sakit dan ibunya penjaja kaki lima, tidak layak untuk melanjutkan pelajaran? Tidak layak untuk menjadi seorang doktor? 

Tatkala 9 sekawan ini menyedari masalah kewangan yang dihadapi oleh Dinah, mereka sepakat untuk berusaha membantu dengan sedaya upaya. Apa jadi pun, Aini perlu sambung belajar di Fakulti Perubatan dan berusaha menjadi doctor pakar seperti yang sering diucapkannya. 

Namun, bagaimana 9 sekawan ini berusaha untuk menyelesaikan masalah kewangan ini? Mereka juga bukannya orang-orang kaya yang berpangkat dan ternama...



Mengapa Patung Beruang pilih naskah ini ketika di kedai buku hari itu?

Pertama, kerana ia adalah karya Andrea Hirata. Selepas pertama kali membaca karya beliau, Patung Beruang terus jatuh hati dengan penulis ini. Karyanya simple tetapi sarat dengan cerita kehidupan, cerita masyarakat, cerita rakyat marhaen yang dekat dengan kehidupan kita. Jika ingin tahu bagaimana struktur sosial masyarakat biasa di Indonesia, bacalah karya Andrea Hirata. 

Kedua, kerana Patung Beruang ternampak komen Dr Mazlee berkenaan naskah ini. Jika seorang ahli akademik dan ahli politik boleh meluangkan masa membaca karya ini, dan melontarkan komen terhadapnya, pasti ada sesuatu yang unik pada karya ini. Keunikkan yang mungkin tiada atau sukar untuk dijumpai pada karya lain. 

Komen Patung Beruang?

Naskah ini adalah kisah tentang orang-orang biasa. 
Orang kampung yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. 
Anak kampung yang mengimpikan kejayaan bagi mengubah nasib keluarga. 
Guru kampung yang berusaha berbakti dengan seikhlas hati sehingga adakalanya mencabar kesabaran sendiri. 
Orang awam yang melalui hari-hari biasa seadanya. 
Penjenayah kolar putih yang berusaha mengaburi mata pihak berkuasa dengan kegiatan halal mereka. 
Pihak berkuasa yang dahagakan deruan adrenalin ketika berhadapan dengan penjenayah, namun ia seakan mimpi yang tidak kunjung tiba. 

Cerita luar biasa yang tercetus dari orang-orang biasa..... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...