Sunday, November 22, 2020

Book Review : 19 Hari Untuk Rasa Bahagia

Tajuk : 19 Hari Untuk Rasa Bahagia 

Penulis : The Faiz Ibrahim

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini Patung Beruang beli pada hari Jumaat, 13 November 2020 hari itu. Seperti biasa, bila Patung Beruang rasa sangat sedih atau stress especially melibatkan kerja, Patung Beruang akan berkunjung ke kedai buku dan membeli sebuah dua buku. Tetapi untuk hari itu, Patung Beruang beli 3 buah buku. Dan 2 buah darinya Patung Beruang berjaya habiskan ketika  masa hujung minggu tersebut. 

Naskah 19 Hari Untuk Rasa Bahagia ini adalah buku kedua yang Patung Beruang habiskan pembacaannya pada minggu lepas. 


Naskah ini membawa pembaca kepada kisah kehidupan penulis ketika di Tingkatan 6, sehinggalah tamat STPM, berjaya melanjutkan pelajaran ke UIA, tetapi akhirnya memutuskan untuk berhenti pengajian demi menjaga ibunya yang keseorangan. 

Seterusnya, bermulalah kisah dirinya berusaha mencari rezeki halal tanpa memilih pekerjaan, dan dalam masa sama menyambung pengajian secara jarak jauh. 

Membaca naskah ini seperti membaca diary. 
Kerana ia adalah catatan kehidupan dan kenangan antara penulis dengan ahli keluarganya terutama dengan arwah abahnya. 

Seperti diary kita atau diary sesiapa pun, catatan kehidupan yang terkandung didalamnya pasti ada kisah suka, duka, teruja, cemas, patah hati, kecewa dan 1001 emosi lagi. Begitu juga dengan naskah ini. 

Patung Beruang paling terkesan ketika membaca kisah penulis disaat arwah abah ditahan di hospital dan menghitung masa untuk pulang kepada Yang Maha Pencipta. Dan saat-saat untuk penulis bangkit semula selepas pemergian arwah abah juga meruntun hati. 

Pemergian arwah abah seakan membawa bersama semangat penulis. Tatkala STPM hanya tinggal beberapa hari saja lagi, penulis bergelut untuk bangkit dan meneruskan perjuangan beliau. Peperiksaan datang dan dilalui dengan hati dan jiwa yang kosong. 

Allah sudah berjanji seperti yang tercatat dalam Al-Quran. Setiap kesulitan itu pasti ada kesenangan selepasnya. Dan memang benar janji tersebut. Penulis berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang dalam STPM sehingga membolehkannya ditawarkan pengajian di UIA. Alhamdulillah.. 

Menuntut ilmu sehingga ke UIA, sebagai pelajar sepenuh masa, bermakna penulis terpaksa meninggalkan emaknya seorang diri di kampung. Sedangkan bertahun-tahun, rumah tersebut didiami lebih dari seorang. Perpisahan ini benar-benar memberi kesan kepada penulis dan emak tercinta.

Naskah yang santai ini sebenarnya mencerminkan kisah kehidupan kita. Pasti tidak sama 100%  tetapi kita boleh mengambil pengajaran terutama bagaimana untuk bangkit semula disaat kita berada di titik paling bawah dalam kehidupan ini. 

Bagaimana untuk kita terus bangkit setiap pagi dan berazam agar hari ini lebih baik dari semalam. 

Bagaimana untuk kita tidak berlama-lama dalam melayan perasaan sedih. 

Ya, perasaan sedih dan kecewa adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Manusia memang dilahirkan mempunyai emosi. Tidak salah untuk menangis. Keluarkan semua air mata dan rasa hati yang terpendam dengan sepuas-puasnya. Setelah itu, kita bangkit dan mula melangkah semula. Mungkin sukar diawalnya tetapi ia tidak mustahil. Melangkah dan terus melangkah sehingga akhirnya kita mampu untuk berlari semula. 

Melepaskan tidak bermakna melupakan. Kita melepaskan pemergian insan yang tersayang kerana kita sedar dia berada di tempat yang lebih baik. 

Tetapi, memori bersama, segala tunjuk ajar dan nasihat yang dicurahkan, masih kita pegang dengan kemas. Kita tidak akan sekali-kali melupakannya kerana dia berada di suatu sudut yang istimewa dalam hati kita. 


Naskah yang menarik untuk dibaca disaat kita rasa segala yang dirancang tidak sepertinya..... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...