Sunday, November 29, 2020

Tahun 2020 dan Covid-19 Yang Berterbangan

Assalamualaikum wbt.. 

Lamanya Patung Beruang tidak mencatat kisah kehidupan di sini. Entry yang ada sebelum ini semuanya adalah Book Review. Kisah buku-buku yang sempat Patung Beruang habiskan pembacaannya dalam waktu-waktu ini.  

Hanya tinggal sehari saja lagi untuk kita melangkah ke bulan Disember, bulan terakhir di tahun 2020. 

Apa yang menarik di tahun 2020 ini?

Ada kemajuan yang sangat hebat seperti yang kita bayangkan di zaman sekolah dulu? Bangunan pencakar langit dan futuristik? Robot di sana sini? Teknologi dan machine menggantikan manusia? Kereta-kereta yang cantik dan berterbangan di atas kepala? 

Tidak.. hehehe.. 

Yang ada di tahun 2020, yang boleh dijadikan modal untuk bercerita pada anak cucu nanti (jika ada rezeki dan panjang umur) adalah virus Covid-19 yang berterbangan. 

Terbangnya virus ini menyerang seluruh dunia sehingga sempadan negara ditutup, kapal-kapal terbang parking teratur di lapangan-lapangan terbang antarabangsa. Sempadan negara ditutup menyebabkan aktiviti pelancongan terhenti. Hotel-hotel banyak yang mengecilkan operasi atau mungkin ditutup terus kerana tidak mampu bertahan. Hanya mengharapkan pelancong tempatan. Namun, masih tidak mampu untuk menampung keseluruhan kos operasi. 


Terbangnya virus ini juga menutup sempadan negeri. Menyebabkan ibu bapa terpisah dengan anak-anak. Suami terpisah dengan isteri. 


Jalan raya lengang. Hatta, jalan pergi dan pulang dari kerja, keluar dan masuk KL. 

Perjalanan ke pejabat di waktu pagi sangat tenang. Jika biasanya perjalanan memakan masa 40 ke 60 minit, kini hanya 20 minit saja. Kereta laju meluncur di MEX highway terus ke Jalan Tun Razak. 

Jika cuaca sejuk selepas hujan, dapat dilihat pemandangan awan atau kabus yang menutupi puncak KLCC, TRX dan juga Menara PNB yang sedang dalam pembinaan itu. Pemandangan yang sangat cantik dan membuatkan kita rasa kagum dengan keindahan ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. 


Terbangnya virus ini menyebabkan cara kerja kita berubah. Jika dahulu, pekerja dikehendaki datang ke pejabat setiap hari, dari Isnin ke Jumaat, kini hanya beberapa hari saja dalam seminggu. Selebihnya, pekerja di kehendaki berkerja dari rumah. 

Mesyuarat yang biasanya dihadiri satu kampung dan memakan masa berjam-jam, kini kebanyakkan dilakukan secara online, di tempat duduk masing-masing atau dari rumah saja. 

Suka tidak suka, kita kena hadap dan adaptasi norma baru ini. Akhirnya ia menyebabkan kita jadi lebih kreatif dalam memastikan output dapat diselesaikan dalam waktu yang sepatutnya walaupun cara dan lokasi kerja berubah. 


Terbangnya virus ini juga membataskan aktiviti diluar rumah. Jika dahulu, gemar makan di luar atau berjalan-jalan di shopping complex, kini tidak lagi. Beli sahaja barang basah dan masaklah dirumah. Lagi jimat dan lagi sihat. Dalam masa yang sama, boleh juga memperbaiki skil didapur, hehe.. Tidaklah sehebat chef di hotel 5 bintang, tetapi Insya-Allah, masih boleh dimakan dan mengenyangkan. 

Berjalan-jalan di shopping complex? No.. 
Sekarang, jika barang tersebut boleh dibeli secara online, beli sajalah. 
Cuma bahayanya online, dia akan terus tolak dari e-wallet kita. Jika tidak pandai mengawal perbelanjaan, tahu-tahu budget sudah defisit. Alamak!!!!



Lebih masa di rumah bermakna kita dapat beribadah dengan lebih tenang. Tiada tergesa-gesa seperti dikejar anjing. Selepas solat, boleh berwirid, berdoa dan meluah rasa pada-Nya. 

Paling seronok, sempat membaca Al-Quran barang sehelai 2 selepas waktu solat. Ia menjadi rutin harian yang sangat menenangkan.  

Terbangnya virus ini juga menyebabkan diri mempunyai lebih masa untuk membaca buku-buku dalam simpanan. Tetapi juga menyebabkan diri ini lebih kerap membeli buku, hehe.. 


Tipulah kalau kata Patung Beruang tidak rasa stress ketika musim pandemic ini. Stress nya, Allah saja yang tahu. Terutama ketika waktu-waktu genting, nak finalise report, nak mengadap Board Committee meeting yang berturut-turut, ad-hoc yang bersilih ganti. 

Menambahkan lagi stress bila kita tak dapat kerjasama dari individu atau pihak yang sepatutnya. Pihak yang sepatutnya membantu, bantuannya tidak mampu memuaskan hati kita. Kemuncaknya, kita tertanya sendiri, mengapa kita disini? Adakah kita berada di tempat yang salah? 
Mengapa mereka tidak boleh berfikir atau bertindak seperti sepatutnya? 
Takkan benda simple macam ini pun tak boleh nak nampak? 

Ia adalah detik-detik yang benar-benar menguji kesabaran diri ini. Sekaligus mencalarkan kesihatan mental sendiri. Tidur malam yang terganggu, menangis ketika sedang solat, menangis ketika sedang membaca Al-Quran, menangis sendirian di awal pagi, menangis di dalam kereta tatkala pergi dan pulang dari kerja, menangis di telefon sambil meluah perasaan. 

Hati memberontak tetapi tidak terluah. Jika terluah pun, hanya sekelumit cuma dan hanya pada insan tertentu sahaja. Yang pasti, hanya Allah yang tahu segala cerita. 

Dalam sebulan, entah berapa kali kedai buku dikujungi. Dan setiap kunjungan itu pasti pulang dengan beberapa buah buku. 

Kedai buku adalah tempat kegemaran Patung Beruang terutama apabila diri ini sedang tertekan, sedih, kecewa atau marah. Melangkah saja kedalam kedai buku terasa seperti diri ini dipeluk oleh buku-buku yang banyak tersusun di rak. 

Kedai buku yang mana? Terdapat 3 buah kedai buku kesukaan Patung Beruang dalam jarak kurang 10km dari rumah. Jadi, pilih saja kedai mana mengikut kata hati pada ketika itu. 

Macam-macam jenis buku yang dibeli. Kemuncaknya adalah tatkala buku-buku mengenai  kesihatan mental, buku-buku motivasi ketika diri sedang jatuh, yang menjadi pilihan. 

Baca dan baca, tenggelam didalam setiap patah perkataan yang tercetak diatas kertas. Membaca sebagai terapi. Memujuk diri agar bersabar. Memujuk diri mengingatkan bahawa ujian Allah datang sebagai tanda kasih-Nya pada kita. Memujuk diri dengan janji Allah seperti yang tercatat dalam Al-Quran; "Setiap kesusahan itu pasti akan diikuti dengan kesenangan." 

Ia tidak mudah, tetapi boleh untuk bangkit semula.... 
Bantuan Allah datang dalam pelbagai bentuk. Dan bantuan Allah datang ketika saat yang tepat, tidak cepat dan tidak lewat. 

Makanya, jika melihat Patung Beruang kerap update buku yang baru selesai dibaca atau book review yang berduyun-duyun, ketahui lah bahawa itu juga salah satu cara untuk Patung Beruang bertenang. 
Bertenang mental, fizikal dan emosi. 
Bertenang dari dunia yang melelahkan. 
Bertenang dari manusia yang menyesakkan. 


Apa lagi yang akan berlaku sehingga 2020 melabuhkan tirai?
Hanya Allah swt sahaja yang tahu.
Kita, sebagai hamba-Nya, teruskan kehidupan dengan sehabis baik, mengumpul bekalan akhirat sebanyak mungkin. 
Semoga virus Covid-19 ini segera pergi dari kehidupan kita. 
Walau banyak kepahitan, masih terselit banyak hikmah disebaliknya.... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...