Showing posts with label cerita kehidupan. Show all posts
Showing posts with label cerita kehidupan. Show all posts

Friday, July 31, 2026

Tentang Si Putih Yang Tercalar

Rabu, 29 July - Petang 

Patung Beruang pulang dari pejabat dengan hati yang masih sarat. Marah, geram, kecewa. Fikiran melayang entah ke mana. 

Mungkin kerana terlalu sibuk melayan emosi sendiri, Patung Beruang terlupa bahawa memandu juga memerlukan hati yang hadir. 

Ketika hendak keluar dari parking office, Si Putih bergesel dengan ramp parking. 

Bunyi geseran itu cukup untuk membuatkan Patung Beruang sedar bahawa diri ini baru melakukan kesilapan.. Adoiii...


Keluar saja dari parking office, hujan turun dengan lebat. Patung Beruang terus memandu pulang.

Tibanya di rumah, barulah Patung Beruang turun dan melihat keadaan Si Putih. 


Ada kesan calar. Ada juga kemek kecil di bahagian bawah pintu belakang sebelah pemandu. 

Patung Beruang hanya memandang seketika. 

Anehnya...
Diri ini tak marah.

Bukan kerana Si Putih ini tidak berharga. 
Tetapi kerana Patung Beruang tahu bagaimana ia berlaku.



Bukan salah ramp parking.
Bukan salah hujan. 
Dan bukan salah sesiapa. 

Ia berpunca dari diri sendiri yang memandu tanpa focus. 


Patung Beruang ambil gambar lalu hantarnya kepada Engineer Bear. He asked me, "Marah tak?"

Patung Beruang tersenyum sendiri. 
"Tak marah pun."


Kerana kadang-kadang, apabila kita tahu kesilapan itu berpunca daripada diri sendiri, marah tidak akan mengubah apa-apa. Yang tinggal hanyalah menerima. Menerima bahawa setiap pilihan ada akibatnya. Menerima bahawa setiap emosi yang tidak dijaga mungkin akan meninggalkan kesan. 

Sama seperti calar pada Si Putih.
Ia mungkin boleh dibaiki. Tetapi ia juga menjadi peringatan. 
Bahawa ketika hati sedang berkecamuk, mungkin perkara terbaik yang boleh kita lakukan bukanlah memaksa diri untuk terus bergerak. 

Sebaliknya... 
Berhenti seketika. 
Tarik nafas. 
Dan pastikan hati sudah kembali tenang, barulah kembali memegang stereng. 


Malam itu, perbualan kami bersambung.
Engineer Bear pula menghantar sekeping gambar SUV miliknya. Ada kesan kemek. Ada juga calar kecil. Katanya, sehingga hari ini masih belum sempat dihantar ke bengkel. 

Patung Beruang pula bertanya sama ada dia marah? 

Engineer Bear menjawab dengan tenang; 
"Tak juga. Sebenarnya, saya pun tak tahu siapa yang langgar. It happened bila kereta ini diparking di luar rumah. Mungkin Allah nak lindungkan daripada sesuatu yang lebih besar."


Diri terdiam seketika. Betapa berbezanya manusia melihat sebuah musibah. 
Ada yang hanya nampak calar. Ada yang memilih untuk melihat perlindungan di sebalik calar itu. Kadang-kadang, kita terlalu cepat melihat apa yang hilang, sehingga terlupa mensyukuri apa yang masih Allah pelihara. 


Entah mengapa, selepas itu topik perbualan berubah begitu saja. 
Daripada cerita tentang kereta... 
Engineer Bear bertukar cerita pula tentang kisah ekonomi, steel industry, hot and cold commissioning, furnace, water circulation dan pelbagai lagi istilah teknikal. 
Patung Beruang tersenyum sendiri dan hanya menjadi pendengar yang baik. 

Mujur kami hanya berbual melalui telefon. 
Kalau berdepan, dan kebetulan ada white board di sebelah, rasanya Engineer Bear sudah pun capai marker dan mula melukis rajah demi rajah dengan penuh semangat, hehehe...

Begitulah manusia. 
Apabila bercakap tentang sesuatu yang benar-benar diminatinya, sukar untuk menyembunyikan keterujaan itu.
Patung Beruang dapat membayangkan semangatnya ketika bercerita. 


Manusia memang aneh. Hidup juga aneh. 
Kadang-kadang kita memulakan perbualan dengan kisah sebuah calar pada kereta. Namun akhirnya, kita pulang dengan sebuah pelajaran tentang kehidupan. 

Barangkali....
Yang membuatkan hidup terasa berat bukanlah kerana terlalu banyak perkara yang berlaku. 
Tetapi kerana terlalu banyak perkara yang kita harapkan berlaku mengikut kehendak kita. 

Manusia dan expectation memang sukar dipisahkan.
Kita mengharapkan perjalanan yang lancar. Kereta yang sentiasa elok. Rancangan yang menjadi. Kerja yang dipermudahkan. Hubungan yang sentiasa baik. 
Sedangkan...
Hidup tidak pernah berjanji begitu. 


Semakin dewasa, Patung Beruang belajar bahawa salah satu kemahiran yang paling sukar adalah manage expectation. 
Bukan bermaksud no expectation. 
Tetapi... 
Belajar meletakkan expectation pada tempatnya. 
Kerana apabila kita meletakkan expectation terlalu tinggi terhadap sesuatu, kita juga sebenarnya sedang membuka ruang untuk kekecewaan yang sama besarnya. 

Tidak salah untuk ada expectation. 
Tetapi jangan sampai expectation tersebut membuatkan kita lupa bahawa Allah SWT  sentiasa mempunyai perancangan yang lebih baik daripada apa yang mampu kita fikirkan. 

Mungkin hari ini kita diuji dengan sebuah calar. Mungkin esok kita diuji dengan sesuatu yang lebih besar. Dan mungkin juga, apa yang kita anggap musibah hari ini sebenarnya adalah cara Allah melindungi kita daripada sesuatu yang jauh lebih berat. 


Akhirnya, kita hanya mampu berdoa semoga Allah SWT sentiasa mempermudahkan segala urusan kita. 

Dipermudahkan setiap amanah yang sedang kita pikul.
Dipermudahkan segala urusan mereka yang setiap hari berusaha memberikan yang terbaik untuk keluarga, organisasi, dan orang disekeliling. 

Semoga Allah mengurniakan kesabaran ketika berdepan dengan cabaran. 

Melapangkan dada apabila sesuatu tidak memenuhi expectation kita. 
Menguatkan hati untuk terus berusaha tanpa berputus asa. 
Dan mengurniakan kita kebijaksanaan untuk melihat hikmah di sebalik setiap ketentuan-Nya. 

Kerana boleh jadi...

Apa yang tidak menjadi seperti yang kita harapkan, sebenarnya adalah yang terbaik menurut perancangan Allah...

Ayat 216, Surah Al-Baqarah:
"....dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." 


Monday, July 27, 2026

Retrospektif: Tentang Jakarta, Masa dan Sebuah Kepulangan

Ada perjalanan yang berakhir apabila pesawat mendarat. Ada pula perjalanan yang secara teknikalnya sudah selesai, tetapi sebahagian daripada kita masih belum benar-benar pulang. 

Jakarta kali ini rasanya begitu. 

Patung Beruang sudah kembali ke Kuala Lumpur. Luggage sudah dikosongkan. Baju-baju sudah dibasuh dan dikeringkan. Laptop sudah kembali dibuka. Alarm pagi kembali berbunyi dan kehidupan seorang corporate slave pun kembali seperti biasa. 

Tapi entah kenapa, rasanya seperti ada sebahagian kecil jiwa yang masih tertinggal di Jakarta. Mungkin kerana terlalu banyak yang dilihat, dirasakan, dan difikirkan sepanjang beberapa hari disana. Jauh berbeza ketika Patung Beruang pulang dari bercuti di Marriott Resort & Spa, Pulau Perhentian di bulan May hari itu. 


Jakarta dan Dua Wajah Kehidupan


Sepanjang beberapa hari berada di Jakarta, Patung Beruang menginap di Shangri-La. Selesa. Cantik. Mewah. Warm hospitality. 

Kemudian berjalan-jalan dan membeli-belah pula di Plaza Indonesia. Disitu, satu sisi Jakarta dipamerkan dengan begitu sempurna - butik-butik mewah, restoran cantik, manusia berpakaian kemas dan golongan berada yang menjalani kehidupan mereka seperti masyarakat kelas atasan dimana-mana kota metropolitan dunia. 

Sehingga ada masanya diri ini terlupa yang kita sedang berada di sebuah kota yang turut dihuni jutaan manusia dengan realiti kehidupan yang sangat berbeza. Kerana sebaik sahaja keluar dari hotel dan pusat membeli-belah, wajah Jakarta berubah. 

Di situlah wajah masyarakat marhaen terserlah dengan begitu jelas. Ada yang berniaga kecil-kecilan di tepi jalan. Ada yang bekerja di bawah panas matahari. Ada yang mencari rezeki dengan apa sahaja yang mereka mampu lakukan. Di celah-celah bangunan tinggi dan kereta mewah, ada kehidupan lain yang berjalan serentak - lebih sederhana, lebih keras dan mungkin lebih rapuh. 

Dua darjat kehidupan berada dalam kota yang sama. Kadang-kadang cuma dipisahkan oleh pintu kaca sebuah pusat membeli-belah. 

Patung Beruang tidak mahu menghakimi kekayaan. Dan tidak juga mahu meromantiskan kemiskinan. Rezeki setiap manusia memang tidak pernah sama. 

Tetapi perjalanan kali ini mempunyai cara tersendiri untuk memaksa diri ini melihat sesuatu yang selama ini mungkin hanya dibaca dalam laporan ekonomi dan statistik. 

Ketidaksamarataan mempunyai wajah. 

Dan apabila kita melihat wajah itu sendiri, angka-angka tiba-tiba terasa jauh lebih manusiawi. 


139 Kilometer dan 30 Minit


Dari Jakarta, Patung Beruang menaiki Whoosh ke Bandung. Return trip yang berlaku pada satu hari saja. Satu pengalaman yang cukup menarik. 

Jarak perjalanan itu sekitar 139 kilometer sehala. Lucunya, angka tersebut hampir sama dengan jarak dari pejabat Patung Beruang di Menara PNB ke rumah Ayah di Melaka. 

Bezanya? 

Perjalanan menaiki Whoosh mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit. Perjalanan ke rumah Ayah pula selalunya mencecah 2 hingga 2 jam setengah, hehehe.. 

Tiba-tiba 139 kilometer terasa begitu relatif. 

Duduk di dalam Whoosh membuatkan Patung Beruang terfikir betapa teknologi boleh mengubah persepsi manusia terhadap jarak dan masa. Sesuatu yang selama ini memerlukan berjam-jam perjalanan boleh dipendekkan kepada beberapa puluh minit sahaja. 

Mengagumkan.

Tetapi seperti banyak perkara tentang Jakarta yang Patung Beruang lihat sepanjang perjalanan kali ini, kekaguman itu datang bersama satu persoalan lain. 

Siapa sebenarnya yang mampu menikmati kemajuan tersebut?

Harga tiket Whoosh tidak membebankan kepada pelancong atau golongan berpendapatan selesa. Tetapi untuk masyarakat biasa yang Patung Beruang lihat mencari rezeki di jalanan Jakarta, teknologi sehebat itu belum tentu menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka. 

Di situlah paradoks pembangunan terasa begitu nyata. 

Kita boleh membina teknologi yang membawa manusia hampir 140 kilometer dalam masa setengah jam. Tetapi cabaran pembangunan bukan sekadar tentang seberapa pantas kita mampu bergerak ke hadapan. Mungkin persoalan yang lebih penting ialah:

Berapa ramai yang mampu bergerak bersama-sama? 


Afgan dan Sebuah Mesin Masa Bernama Lagu


Tujuan utama ke Jakarta kali ini sebenarnya jauh lebih sederhana. 

Afgan dan Erwin Gutawa Orchestra Concert. 

Tetapi siapa sangka sebuah orchestra concert boleh menjadi mesin masa yang membawa Patung Beruang kembali hampir 18 tahun ke belakang? 

Ada lagu yang apabila dimainkan, kita bukan sekadar mendengar melodinya. Kita teringat siapa diri kita ketika pertama kali mendengarnya. Teringat impian yang pernah kita ada. Insan-insan yang pernah hadir. Perkara yang pernah membuat kita tertawa. Dan perkara yang pernah membuat kita menangis. 

18 tahun. Banyak betul yang berubah dalam tempoh itu. 

Ada insan yang pernah kita fikir akan kekal, tetapi akhirnya menjadi kenangan. Ada impian yang tidak pernah menjadi kenyataan. Ada doa yang Allah jawab dengan cara yang langsung tidak kita jangka. Ada kehilangan yang pernah membuatkan kita fikir kita tidak akan mampu berdiri semula. 

Tetapi anehnya manusia, kita tetap berjalan. 

Malam itu, di tengah ramainya penonton, sambil mendengar lagu-lagu yang pernah menemani beberapa fasa kehidupan, Patung Beruang tiba-tiba terfikir: 

"Eh, jauh juga rupanya kita sudah berjalan."


Ilyana yang mendengar lagu-lagu Afgan 18 tahun dahulu tidak mungkin tahu apa yang bakal dilaluinya. Dan Ilyana yang mendengar lagu yang sama hari ini, sudah bukan lagi Ilyana yang sama. Ada lebih banyak luka. Ada lebih banyak kehilangan. Tetapi yang pasti, ada juga lebih banyak keberanian. Terima kasih Ilyana kerana masih bertahan.

"Gan, terima kasih kerana sudah menemani aku selama 18 tahun. Untuk kali ke-4, aku datang menikmati persembahan kamu. Aku mengenali kamu dari Singapura, bukannya Indonesia, bukannya Malaysia. Aku mengenali kamu disaat tiada siapa percaya pada bakat kamu, percaya pada genre yang kamu bawakan. Tapi aku tahu, kamu tidak mudah putus asa. And look at you now. All your hard work has paid off."


Jasad di Kuala Lumpur, Jiwa Masih di Jakarta

Kemudian tibalah hari pertama kembali bekerja. Dan untuk pertama kalinya sepanjang bekerja di sini, Patung Beruang tertinggal access card pejabat, hehehe..

Rupa-rupanya ketika menukar beg, Patung Beruang tertukar dengan beg yang menyimpan passport antarabangsa. Passport ada. Access card pejabat tak ada. Entah ke negara mana agaknya Patung Beruang bercadang hendak masuk pagi itu, huhu..

Maka berdirilah seorang Ilyana di hadapan pejabat sendiri sambil cuba memahami apa sebenarnya yang sedang berlaku dengan fungsi otaknya. 

Kesimpulannya mudah.

Jasad sudah kembali ke Kuala Lumpur. Tetapi jiwanya masih belum melepasi imigresen Jakarta, hehehe... 


Kemudian Hidup Kembali Menjadi Serius

Tetapi kehidupan mempunyai cara yang sangat pantas untuk membawa kita kembali ke bumi. 


Daripada konsert orchestra, percutian, Whoosh dan access card pejabat yang tertinggal, hari yang sama juga, Patung Beruang bersama Boss petang itu pergi ke Hospital Putrajaya untuk melawat ayah kepada salah seorang staff kami.

Hospital sentiasa mempunyai suasana yang membuatkan manusia melihat kehidupan daripada perspektif yang berbeza. 

Di situ, pangkat tidak penting. Jawatan tidak penting. Berapa banyak meeting dalam calendar pun tidak penting. 

Kerana apabila berhadapan dengan sakit dan kemungkinan kehilangan, kita semua akhirnya kembali menjadi manusia biasa. Seorang anak tetap seorang anak apabila melihat ayahnya sakit. Tidak kira berapa umur kita. 

Patung Beruang tahu perasaan itu. Mungkin kerana pernah berada di tempat yang sama, setiap kali melihat seseorang menjaga ayah atau ibunya yang sedang sakit, ada bahagian kecil dalam hati ini yang masih terusik. 

Ada pengalaman yang sudah berlalu. Tetapi tidak pernah benar-benar meninggalkan kita.


Bantuan Yang Tidak Sempat Sampai

Usai keluar dari bangunan Hospital Putrajaya, ketika di parking lot, Patung Beruang dapat text dari Husna, seorang sahabat yang aktif membuat kerja-kerja kebajikan di Utara. 

Text Husna sangat ringkas. Tentang seorang warga emas yang berada dalam senarai penerima bantuan kami. Kami sudah merancang untuk membantu. Namanya sudah ada. Keperluannya sudah dikenalpasti. Cuma bantuan itu belum sempat sampai. Kerana beliau terlebih dahulu pergi mengadap Yang Maha Pencipta.

Patung Beruang terkaku di dalam kereta. Lama memandang mesej tersebut. 

Kadang-kadang kita hidup seolah-olah masa sentiasa berada di pihak kita. Esok boleh. Minggu depan boleh. Nanti kita uruskan. Nanti kita telefon. Nanti kita datang. Nanti kita bantu. 

Tetapi kehidupan tidak pernah berjanji untuk menunggu sehingga segala perancangan kita selesai. 

Hari ini namanya tinggal sebuah ingatan. 

Dan tiba-tiba perkataan "nanti" terasa sangat mahal. 


Hujung Minggu dan Seorang Doctor Berusia 82 Tahun

Hujung minggu bersua kembali. Dan seperti rutin bulanan, Patung Beruang menemani Ibu bertemu Dr Tan. 


Cuma kali ini ada sedikit kelainan. 

Patung Beruang turut menyerah diri sebagai pesakit. Demam, batuk dan selesema yang dibawa pulang dari Jakarta nampaknya enggan berpisah dengan tuannya. 

Souvenir dari Jakarta, barangkali.

Tapi bukan jenis yang Patung Beruang minta, hehehe..


Dr Tan sekarang sudah berumur 82 tahun. Namun dia masih berada di kliniknya, merawat pesakit dan bertanya khabar seperti yang dilakukannya sejak berpuluh-puluh tahun dahulu.

Selepas pemeriksaan Ibu selesai, tiba pula giliran Patung Beruang.

Ketika hanya kami berdua di dalam bilik consultancy dan pemeriksaan sudah selesai, Dr Tan tiba-tiba berkata: 

"Your mother looks happier. Could be you children always with her every weekend." 

Patung Beruang tersenyum.

"Yes, Dr. We rotate every weekend to make sure there'll always be someone accompanying her." 

Dr Tan mengangguk.

"Could be she's done with her grieving?"

"Hopefully Dr. Like you said before, it is a process and we have to go through it."

"Young lady, you need to take care of yourself too. Stay healthy physically and mentally. So you can look after her."


Patung Beruang hanya tersenyum dan mengangguk. 

Entah kenapa, ayat yang begitu sederhana terasa lain. 

Pada ketika itu, insan berusia 82 tahun yang berada di hadapan Patung Beruang bukan lagi sekadar seorang doctor yang sedang merawat pesakitnya. Dia seorang doctor yang sudah terlalu lama mengenali sebuah keluarga. Seorang sahabat kepada Ayah dan Ibu. Dan untuk beberapa ketika, terasa seperti seorang ayah sedang menasihati seorang anak:

"Jaga diri baik-baik."


Sebuah Cerita Yang Bermula 43 Tahun Dahulu

Tiba-tiba Patung Beruang teringat sesuatu yang pernah Ibu ceritakan. Kali pertama Ayah membawa Ibu bertemu Dr Tan adalah untuk membuat pemeriksaan bagi mengesahkan bahawa Ibu sedang mengandung. Mengandungkan anak pertama mereka. Anak itu ialah Patung Beruang. 

43 tahun dahulu. Knowing Dr Tan, Patung Beruang boleh bayangkan lelaki itu pada suatu ketika dahulu memandang seorang wanita muda yang baru mengetahui dirinya mengandung lalu berpesan;

"Jaga diri baik-baik. Jaga kandungan baik-baik." 

Ayah, Ibu dan Dr Tan juga tidak mungkin tahu bahawa bayi kecil di dalam kandungan itu akan membesar, melalui bermacam-macam cerita kehidupan dan, 43 tahun kemudian, duduk pula di hadapan doctor yang sama. 

Bezanya kali ini, Ayah sudah tiada.

Dan bayi yang dahulu Dr Tan minta Ibu jaga baik-baik itu kini sudah menjadi seorang wanita berusia 43 tahun yang menjaga Ibu. 

Lucu betul perjalanan masa. 

Seolah-olah sebuah bulatan yang akhirnya bertemu semula pada titik yang sama. 

Dahulu Dr Tan berpesan kepada Ibu supaya menjaga Patung Beruang. 

43 tahun kemudian, doctor yang sama berpesan pula kepada Patung Beruang supaya menjaga dirinya sendiri agar dia mampu terus menjaga Ibu.

Betapa cepatnya masa berlalu....


Ada insan yang hadir dalam kehidupan kita bukan kerana pertalian darah. Tetapi apabila mereka berada di situ cukup lama, mereka akhirnya menjadi sebahagian daripada sejarah sebuah keluarga. 

Terima kasih, Dr Tan. 

Kerana menjadi family doctor kepada Ibu dan Ayah selama berpuluh-puluh tahun. Kerana menjaga kesihatan mereka. Kerana bukan sekadar menjadi doctor, tapi turut menjadi sahabat mereka. Bertukar-tukar cerita tentang anak-anak. Tentang kehidupan. Tentang kebun durian. Tentang perkara-perkara kecil yang mungkin tidak pernah tercatat dalam mana-mana rekod perubatan, tetapi menjadi sebahagian daripada sebuah persahabatan yang panjang. 

Dan apabila Ayah akhirnya pergi, Dr Tan masih berada di situ. 

Menemani Ibu dan kami melalui episod kehilangan itu. Memerhatikan proses dukanya. Dan sesekali mengingatkan anaknya bahawa untuk menjaga seorang ibu yang sedang belajar meneruskan kehidupan tanpa suaminya, anak itu juga perlu menjaga dirinya sendiri. 

Barangkali itulah bezanya seorang doctor yang sekadar mengetahui sejarah perubatan pesakit dengan seorang doctor yang mengetahui sejarah kehidupan pesakitnya. Yang satu membaca rekod. Yang satu lagi pernah berada di dalam sebahagian daripada ceritanya. 


Barangkali Inilah Erti Pulang

Apabila difikirkan kembali, mungkin perjalanan ke Jakarta kali ini bukan sekadar sebuah percutian. 

Bukan sekadar Afgan dan Erwin Gutawa. Bukan sekadar Shangri-La Jakarta, Plaza Indonesia, muzium-muzium, Whoosh, Bandung atau makanan yang sedap. 

Barangkali perjalanan ini datang untuk mengingatkan Patung Beruang tentang satu perkara:

Masa.

18 tahun boleh berlalu dalam beberapa buah lagu. 

139 kilometer boleh dipendekkan menjadi setengah jam dengan teknologi. 

43 tahun boleh terasa seperti sekelip mata apabila seorang doctor yang pernah memeriksa seorang ibu mengandung, kini merawat anak yang berada dalam kandungan tersebut. 

Sebuah kota boleh menunjukkan 2 kehidupan yang begitu berbeza hanya beberapa meter antara satu sama lain. 

Seorang ayah yang dahulunya kuat boleh suatu hari terbaring di hospital. 

Dan seseorang yang kita rancang untuk bantu boleh pergi sebelum tangan kita sempat sampai kepadanya. 


Mungkin itulah sebabnya sesekali kita perlu bermusafir. Bukan semata-mata untuk melihat tempat baharu. Tetapi supaya apabila kita pulang, kita melihat kehidupan lama kita dengan mata yang baharu. 

Lebih menghargai insan yang masih ada. Menemani selagi sempat. Membantu selagi boleh. Menghubungi selagi ada waktu. Memaafkan perkara yang tidak lagi berbaloi untuk dibawa. Mensyukuri rezeki tanpa membandingkan.


Patung Beruang sudah kembali ke Kuala Lumpur. Kembali kepada reality. Kembali kepada rutin dan kehidupan yang menunggu untuk diteruskan. 

Walaupun nampaknya jiwa masih mengambil masa sedikit lama untuk menyusul. 

Tak apa. Biar dia berjalan perlahan-lahan. 

Kerana akhirnya, perjalanan bukan sekadar tentang sejauh mana kita pergi, berapa banyak tempat yang kita lihat atau berapa banyak kenangan yang kita bawa pulang.

Tetapi perjalanan adalah cara untuk kita belajar melihat kehidupan dari sudut yang berbeza. 

Dan akhirnya kita akan sedar, sejauh mana pun kaki ini melangkah, perkara yang paling berharga adalah segalanya masih menunggu kita di rumah... 

Friday, July 24, 2026

Book Review: Jeda Jiwa


Tajuk: Jeda Jiwa

Penulis: Yaya Samad

Ceritanya Patung Beruang: 

Sebenarnya Patung Beruang rindu nak update book review disini. Masalahnya, sekarang ini Patung Beruang sedang membaca Sons of Fortune karya Jeffrey Archer. Sedap, memang sedap, tetapi baru separuh. Dengan momentum membaca sekarang, mungkin 2 minggu lagi baru habis. 

Ketika membelek buku-buku yang selesai dibaca sepanjang tahun 2025, Patung Beruang baru perasan yang naskah ini masih belum ada reviewnya. 

Oklah. Jomlah kita review sekejap, walaupun sudah hampir setahun naskah ini selesai dibaca. 

Dan mungkin, ada sebabnya review ini hanya ditulis sekarang. 

Kadang-kadang kita perlu sedikit jarak daripada sesuatu cerita sebelum benar-benar memahami kenapa cerita itu pernah begitu dekat dengan kita. 



Menariknya Naskah Ini: 

Blurb:

"Orang lain laju, Arqam. Kalau lambat, nanti tinggal belakang." - Encik Mazlan.

"Tapi kau ingat Arqam.. tak semua orang akan tunggu kau. Kadang-kadang, kau lambat sikit aje.. orang dah pilih orang lain." - Hakimi 


Dari luar, Ahmad Shahrul Arqam nampak sempurna. 

Dia, pelajar tahun akhir pergigian menahan tekanan yang datang dari klinik, dari harapan keluarga, dari sistem yang menghukum lebih daripada menyembuh. Dalam senyap, dia semakin tenggelam dalam keletihan - bukan keletihan fizikal, tapi keletihan jiwa yang tidak lagi tahu bagaimana mahu merasa "hidup". Dan, dia ditekan oleh keinginan abahnya, Encik Mazlan dan ketaksuban rakan sekubikelnya, Hakimi bagi mengejar kesempurnaan. 

Dan dalam kelelahan mengejar impian yang jauh, hadir 2 insan - yang menyelamatkan dirinya agar tidak terus jauh menghilang dari kehidupan seorang diri. 

Haikal. Pesakit walk-in Arqam yang rupa-rupanya pelajar perubatan. Ceria dan bersahaja, tapi menyimpan kemurungan yang dalam. Dia membuka minda Arqam agar tidak perlu berhempas-pulas seorang diri. 

Ameera Azwa. Pembantu kaunter separuh masa yang cuba memperlahankan hidup sendiri. Dalam mencari erti kehidupan, takdir menemukannya dengan Arqam dan akhirnya meletakkan mereka berdua dalam garis masa yang sama."


Ada beberapa petikan yang Patung Beruang suka dari naskah Jeda Jiwa ini seperti: 

  • "Terima kasih, nak. Allah aje boleh balas..." Kata-kata itu membuatkan dada Ameera terasa lapang. Sesuatu dalam dirinya mengendur perlahan. Walaupun hanya dengan satu nombor giliran, walaupun hanya satu senyuman, Ameera tahu hari ini dia ada beri makna pada kehidupan orang lain.
  • Selesai pemeriksaan ringkas itu, Haikal menyandarkan badan ke kerusi. Dia melipat tangan ke dada, sambil memandang Arqam yang sibuk menulis nota kecil pada memo pad. Seolah-olah ulser kecilnya amat dipedulikan Arqam. Sedangkan kehadirannya tidak pernah dihargai sesiapa selama ini. 
  • "Kerja kami di public health ialah bawa awareness. Analysis masyarakat, faham cara fikir orang dan cari cara paling tepat untuk sampaikan kesedaran. Dan dalam proses itu, saya belajar satu benda. Yang kadang-kadang, apa yang orang buat dalam sunyi lebih jujur daripada apa yang mereka cakap depan orang."
  • Ameera senyap. Rasa itu bukan sedih. Tetapi ada sesuatu yang lebih aneh daripada itu. Macam bercakap dengan orang dalam mimpi. Kita tahu dia kenal kita, kita pasti pernah bersua, tetapi pandangannya kosong seperti dia hidup dalam dunia yang berbeza ... dan kita tidak pernah wujud dalamnya.
  • Dan dia tahu... kata-kata itu, walaupun ringkas, walaupun mungkin tidak mengubah apa-apa, terasa seperti satu tempat kecil untuk berpaut. 
  • Arqam menundukkan wajah. Bahunya jatuh. Dan malam itu... dia sedar. Dia sedang berdiri di antara dua manusia yang paling dekat dengannya di dunia ini, Ibu dan Ayah... tetapi dia tetap rasa keseorangan. Ketika detik itu...  ada sesuatu yang sudah pun retak dalam dirinya. Perlahan-lahan. Tanpa bunyi. Dia sendiri tidak tahu sama ada retakan itu boleh ditampal semula, atau sebenarnya sudah pun pecah sepenuhnya.



Tentang Jeda yang Patung Beruang Perlukan

Tahun 2025, Patung Beruang banyak membaca buku-buku yang berkisar tentang keletihan, emosi yang terpendam, hakikat bahawa kehidupan tidak semuanya indah, serta beban-beban berat yang kadangkala kita sendiri tidak tahu bagaimana mahu meluahkannya kepada orang lain. 

Pemilihan buku-buku tersebut bukanlah kebetulan. 

Ia datang daripada episod kehilangan yang Patung Beruang sendiri sedang lalui ketika itu. 

Seperti yang Patung Beruang pernah kongsikan disini, tahun 2025 merupakan tahun diri ini bergelut untuk meneruskan hidup sehari-hari. 

I'm still a high-functioning person. 

Masih bangun pagi.

Masih pergi ke pejabat.

Masih menghadiri meeting. 

Masih menjawab email dan Teams. 

Masih tersenyum dan berbual seperti biasa. 

Dan masih melaksanakan setiap amanah yang diberikan sehabis baik. 


Tetapi..

Sebaik sahaja pintu kereta ditutup...

Atau apabila sampai sahaja di rumah.. 

This high-functioning girl would turn into a crying baby girl.

Seorang Ilyana yang hanya mampu menangis dan bertanya berulang-kali;

Why did this happen? 

What went wrong? 

What should I do just to feel like a human being again? 

How do I become the original version of Ilyana again? The girl who always calm. Optimistic. And somehow always looking forward to whatever life had waiting for her. 


Pada waktu itu, Patung Beruang rindukan diri sendiri.

Rindu pada versi diri yang boleh melihat hari esok tanpa rasa takut. 

Rindu bangun pagi tanpa perlu mengumpulkan kekuatan terlebih dahulu untuk sekadar menjalani satu hari lagi. 


Makanya, selain mengadu kepada Allah dan mencari ketenangan melalui bacaan ayat-ayat Al-Quran, Patung Beruang juga mula mencari teman melalui buku.

Anehnya, Patung Beruang tidak mencari cerita yang semuanya indah. 

Sebaliknya, Patung Beruang memilih naskah-naskah yang penuh luka - be it fiction or non-fiction. 

Kerana melalui cerita-cerita itu, Patung Beruang boleh meminjam sedikit kekuatan daripada watak-watak yang sedang berjuang. 

Melihat mereka jatuh.

Melihat mereka menangis. 

Melihat mereka hilang arah. 

Dan kemudian melihat mereka perlahan-lahan bangun semula. 

Daripada situ, Patung Beruang mula percaya bahawa mungkin masih ada harapan untuk hari esok. 

Bukan kerana penderitaan orang lain menjadikan kesedihan kita lebih kecil. Tetapi kerana kisah mereka mengingatkan bahawa manusia boleh terluka dengan begitu dalam, dan masih menemukan jalan untuk meneruskan kehidupan. 


Sedikit demi sedikit, Patung Beruang belajar untuk bernafas semula. 

I learned that healing is also a form of progress. 

That growth is not always fast, but it is still growth. 

Ada hari kita mampu berjalan 10 langkah.

Ada hari cuma satu. 

Dan ada hari kita tidak mampu bergerak ke mana-mana. 

Kita cuma duduk.

Bernafas.

Bertahan.

Dan rupanya, itu juga sebahagian daripada perjalanan. 



Kesimpulannya, Jeda Jiwa ini bukan kisah cinta. Ia sebuah kisah tentang manusia. 

Tentang keletihan yang kita pendam kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa. Tentang manusia yang kelihatan baik-baik sahaja kerana mereka masih datang bekerja, masih ketawa, masih membantu orang lain, dan masih menjawab, "I'm okay" apabila ditanya. 

Sedangkan di dalam diri, mereka sedang berjuang untuk tidak tenggelam.

Ia juga menyentuh tentang Major Depressive Disorder ("MDD") dan realiti individu yang masih mampu berfungsi dalam kehidupan sehari-hari walaupun sedang bergelut dengan kemurungan. 

They'll laugh with you. They'll help you. They'll show up when you need them. 

And sometimes, behind closed doors, they are fighting battles nobody knows about. 


Sebab itulah kita tidak pernah benar-benar tahu betapa beratnya kehidupan yang sedang dipikul oleh seseorang. 

Mungkin sebab itu juga kita perlu belajar menjadi sedikit lebih lembut sesama manusia. 

Kurangkan menghukum.

Kurangkan membandingkan.

Kurangkan berkata, "Orang lain boleh, kenapa kau tak boleh?"


Kerana tidak semua manusia sedang berlari di atas jalan yang sama. 

Ada yang sedang berlari. Ada yang berjalan. Ada yang merangkak. 

Dan ada yang sedang berhenti sebentar di tepi jalan, mengumpulkan semula serpihan dirinya sebelum mampu meneruskan perjalanan. 

Mungkin itulah yang Patung Beruang paling suka tentang tajuk naskah ini. 

Jeda Jiwa. 

Kerana kadangkala, yang kita perlukan bukan jawapan kepada semua persoalan hidup. 

Bukan juga seseorang yang datang menyelamatkan kita. 

Kadangkala kita cuma perlukan sebuah jeda. 

Ruang kecil untuk menangis.

Ruang untuk mengaku bahawa kita penat.

Ruang untuk tidak menjadi kuat buat seketika. 

Ruang untuk kembali mencari diri yang pernah hilang. 

Dan selepas itu...

Kita cuba bangun semula. Perlahan-lahan. Kerana hidup bukan tentang siapa yang paling cepat. 

Kadangkala, hidup cuma tentang bagaimana kita memilih untuk terus berjalan - walaupun langkah hari ini jauh lebih perlahan daripada semalam. 


And perhaps, taking a pause does not mean that we have given up. 

Sometimes, a pause is exactly what the soul needs... so it can find the courage to live again... 

Sunday, July 12, 2026

Barangkali, Tuhan Sedang Menulis Sesuatu ...


Beberapa hari lepas, Patung Beruang mendengar satu ceramah daripada Ustaz Wadi Anuar. Ada satu ayat yang membuatkan hati ini diam begitu lama. 

"Simpanlah dalam hati dan akal bahawa setiap qada dan qadar Allah adalah yang terbaik untuk dunia dan akhirat kita. Walaupun hari ini kita belum nampak hikmahnya."

Ayat itu terus bermain di fikiran sehingga ke hari ini. 



Selama ini, apabila berbicara tentang qada dan qadar, Patung Beruang sering memikirkan tentang kejadian-kejadian yang berlaku dalam kehidupan. 

Tentang kehilangan.

Tentang kegagalan.

Tentang rezeki.

Tentang ujian. 


Tetapi tadi, diri ini tiba-tiba terfikir....

Barangkali qada dan qadar itu bukan sekadar peristiwa yang Allah tetapkan. Barangkali ia juga tentang insan-insan yang Allah takdirkan untuk bersilang jalan dengan kita. 

Kerana bukan semua insan yang hadir dalam hidup kita ini datang secara kebetulan.

Ada yang hadir untuk menemani. 

Ada yang hadir untuk mengajar. 

Ada yang hadir untuk menguatkan.

Dan ada juga yang hadir ... hanya untuk mengubah sesuatu dalam diri kita buat selama-lamanya. 


Lalu hati ini bertanya kepada diri sendiri.

Mengapa Allah mempertemukan kita dengan orang-orang tertentu?

Mengapa ada insan yang hadir tanpa dirancang, namun meninggalkan jejak yang begitu dalam?

Mengapa ada pertemuan yang tidak pernah diminta, tetapi akhirnya mengubah cara kita memandang kehidupan? 


Patung Beruang tidak mempunyai jawapan. 

Mungkin... memang bukan semua persoalan di dunia ini perlu dijawab sekarang. Ada jawapan yang Allah simpan sehingga tiba waktunya. 

Mungkin esok. 

Mungkin bertahun-tahun lagi.

Atau mungkin hanya apabila kita kembali kepada-Nya. 


Barangkali selama ini kita terlalu sibuk bertanya,

"Ya Allah, mengapa Engkau temukan aku dengan dia?"


Sedangkan mungkin soalan yang lebih baik adalah,

"Ya Allah, apakah yang sedang Engkau ajarkan kepada aku melalui pertemuan ini?"


Barangkali Allah sedang mengajar kita erti sabar. 

Barangkali Allah sedang mengajar kita bahawa mengasihi seseorang tidak semestinya berakhir dengan memiliki. 

Barangkali Allah sedang mendidik hati ini supaya belajar mengasihi tanpa melampaui batas.

Dan barangkali... Allah sedang mengajar kita bahawa doa juga adalah bahasa kasih yang paling tulus. 


Ada insan yang Allah izinkan hadir dalam hidup kita, 

Ada yang berjalan bersama hingga ke penghujung jalan.

Ada yang sekadar singgah di satu persimpangan. 

Namun kedua-duanya tetap sebahagian daripada qada dan qadar yang membentuk siapa diri kita pada hari ini. 


Dan akhirnya...

Kita mungkin tidak memahami mereka sepenuhnya.

Tetapi melalui persilangan takdir itu, kita akan lebih memahami diri kita sendiri. 

Lebih mengenali kelemahan yang selama ini kita sembunyikan.

Lebih menghargai erti sabar yang tidak pernah kita pelajari di mana-mana. 

Lebih memahami bahawa kasih sayang tidak semestinya meminta untuk dimiliki.

Dan lebih menyakini bahawa setiap pertemuan yang Allah tuliskan, walau sesingkat mana sekalipun, sentiasa membawa sesuatu yang tidak pernah sia-sia. 


Semakin dewasa, Patung Beruang belajar bahawa setiap orang melalui perjuangannya sendiri. Ada perjuangan yang terlihat dihadapan mata. Tetapi lebih banyak perjuangan yang tidak pernah mereka ceritakan kepada sesiapa. 

Kadang-kadang, kita terlalu ingin membantu sehingga terlupa bahawa tidak semua perjuangan boleh dipikul oleh orang lain.

Ada waktunya, bantuan yang paling mahal bukanlah menyelesaikan masalah mereka. 

Tetapi menjadi ruang yang membuat mereka berasa dihormati.

Memberi kepercayaan ketika mereka sedang meragui diri mereka sendiri. 

Memberi sokongan moral ketika mereka sedang lelah. 

Memberikan ruang agar mereka mampu bernafas di tengah-tengah perjuangan yang sedang mereka hadapi. 

Dan apabila semua itu juga tidak mampu kita lakukan...

Kita masih mempunyai satu jalan yang tidak pernah tertutup.

Doa.

Mungkin doa itulah yang sedang memeluk mereka, ketika tangan kita tidak mampu. 


Kadang-kadang, kita ingin menjadi orang yang menjaga. Namun akhirnya kita sedar... kita tidak mampu.

Yang mampu menjaga hanyalah Allah swt. 

Dan mungkin... Itu lah cara paling tulus untuk mengasihi seseorang.


Lalu setiap kali hati ini terasa berat, Patung Beruang hanya mampu berbisik: 

"Ya Allah.. ada insan yang telah Engkau takdirkan bersilang jalan dengan kehidupanku. Maka aku titipkan dia dalam jagaan-Mu."

"Peliharalah dia dimana pun dia berada. Permudahkan setiap urusannya. Kurniakanlah kepadanya ketenangan hati, kebijaksanaan dalam setiap keputusan, dan rahmat-Mu dalam setiap langkahnya."


Mungkin... 

Itulah takdir yang sedang Allah ajarkan hati ini. Mengasihi tanpa memiliki. Menitipkan tanpa menggengam. Dan menemani melalui doa. 

Ada rasa yang Allah hadirkan.. bukan untuk mengikat kita kepada seorang insan. Tetapi untuk mengikat hati kita lebih erat kepada-Nya. 


Jika benar setiap qada dan qadar Allah adalah yang terbaik untuk dunia dan akhirat hamba-Nya.. maka hari ini, Patung Beruang memilih untuk berhenti bertanya,

"Mengapa?"


Sebaliknya, Patung Beruang ingin belajar berkata, 

"Ya Tuhan.. aku belum memahami takdir-Mu. Tetapi aku percaya kepada-Mu." 


Kerana mungkin... 

Suatu hari nanti...

Apabila perjalanan ini sudah jauh di belakang, dan hati ini akhirnya mampu tersenyum tanpa lagi menanggung segala persoalan, Patung Beruang akan memandang kembali ke persimpangan jalan itu lalu berkata, 

"Ya Allah.. rupa-rupanya melalui persilangan takdir itu, Engkau sedang menghadiahkan aku sebuah hati yang lebih lembut, lebih sabar, lebih mengenali diriku sendiri, dan akhirnya... lebih mengenali-Mu."


Dan andai ada doa yang selama ini hanya Allah menjadi saksi..

Biarlah ia terus menjadi rahsia antara seorang hamba dengan Tuhannya. 

Kerana mungkin..

bukan semua insan yang Allah hadirkan dalam hidup kita ditakdirkan untuk tinggal. 

Ada yang hadir hanya untuk menjadi asbab kita lebih mengenali hikmah-Nya. 

Lebih mengenali diri sendiri. Dan akhirnya.. lebih mengenali Tuhan.


Maka andai hari ini hikmah itu masih belum jelas... tidak mengapa.

Seorang hamba tidak perlu memahami seluruh perancangan Tuhannya untuk terus percaya kepada-Nya. 

Cukuplah dia terus melangkah.. 

Sambil memegang satu keyakinan: 

"Bahawa tidak pernah ada satu persilangan takdir yang sia-sia di sisi Tuhan..." 



Nota:

For the past 2 days, my social battery has been running low, huhuhu...

Semalam, Patung Beruang memandu ke Sg Ramal untuk appoinment bersama my personal masseur. Seperti biasa, sebelum sesi bermula dan selepas selesai, kami akan berbual seketika, sekadar bertanya khabar dan berkongsi cerita tentang kehidupan masing-masing. 

She keeps asking why Patung Beruang sanggup drive dari KL ke Sg Ramal hanya untuk berurut.

Jawapan Patung Beruang sentiasa sama.

Trust is built over years. 

Selagi masih diberi kudrat dan kesempatan, selagi itulah Patung Beruang akan berusaha berkongsi rezeki dengannya. Setakat drive 38 km (one way), yang memakan masa minimum 40 minit, apalah sangat.


Hari ini pula, Patung Beruang ada brunch session dengan my former Reg Plan team -  Yusri, Alia, Syu dan Dilla. 

Some of them, sudah bertahun-tahun Patung Beruang tidak berjumpa. 

Seronok rasanya dapat mengimbau kenangan lama, bertukar-tukar cerita, berkongsi pengalaman dan  latest news in corporate. Walaupun masa berlalu, ada persahabatan yang terasa seolah-olah tidak pernah berubah. 


Namun, apabila pulang ke rumah, barulah Patung Beruang terasa yang social battery ini hampir habis. 

Otak letih, tapi mata langsung tidak mengantuk. 

Makanya, Patung Beruang habiskan bacaan naskah How to Let Things Go, menulis book review dan menitipkan sedikit catatan hati di sini.

That's how I recharge.

Esok hari Isnin. 

A new week begins. 

Masa untuk kembali bekerja dan memberikan yang terbaik. Berusaha keras sebelum Patung Beruang terbang bercuti dengan hati yang tenang, hooray... 


Dear Afgan, see you very soon... 

Diam tak diam, sudah 18 tahun aku mengenali kamu. Aku harap kali ini kamu tidak ulang skrip sama seperti tahun-tahun dahulu ya, hehehe.. 

Wednesday, July 1, 2026

Apabila Orang Berhenti Bersuara


Semalam ketika Patung Beruang dalam interview session, tiba-tiba dapat text dari seorang stakeholder: 

"Ilyana, when can we have breakfast together? I want to catch up with you. Possible to meet tomorrow, 7.30am? See you at Lobby B1." 

Hm... 

Ini bukan lagi bertanya bila masa sesuai untuk breakfast session. Ini terus bagi tarikh dan masa sekali, hehehe... 

Memandangkan pagi ini Patung Beruang takde meeting or discussion, maka kami breakfast berdua. 

Stakeholder yang seorang ini, Patung Beruang namakannya "H". 


H ini sama juga seperti Patung Beruang, orang baharu dalam organisasi ini. Bezanya, H onboard beberapa bulan lebih awal. 

Pengalamannya pula tidak perlu dipertikaikan. Berpuluh-puluh tahun dalam industri oil and gas, pernah berkhidmat di beberapa syarikat besar yang workforce mereka adalah multi-racial. Sebab itulah setiap kali kami berbual, Patung Beruang suka ambil peluang bertanya tentang best practices di syarikat-syarikat terdahulu, khususnya berkaitan process, work culture and governance. 


Entah mengapa, sebaik saja menerima text tersebut, Patung Beruang terasa yang H sebenarnya ada sesuatu yang ingin diluahkan.

Dan ternyata... 

Gerak hati itu benar. 


Pagi ini, hampir sejam kami berbual sambil menikmati sarapan. 

Topiknya melompat dari satu perkara ke satu perkara yang lain. 

Bermula dari board room, C-suites, operations, support functions and pelbagai lagi isu yang sedang dihadapi. 

Namun, disebalik semua cerita itu, ada satu perkara yang paling Patung Beruang perasan. 

H kelihatan sangat penat.

Air mukanya dan body language nya tidak sama seperti beberapa bulan dahulu. 

Dulu, H hadir dengan semangat yang membara. Penuh idea. Penuh keyakinan. Teruja untuk memulakan satu perjalanan baharu. 


Tetapi pagi ini...

Patung Beruang melihat seorang insan yang kelihatan letih, seolah-olah sedang memikul beban yang terlalu berat. 

Ada satu ayat yang buatkan Patung Beruang terdiam: 

"Ilyana, this stuff is eating me alive. Like cancer. I don't know how much longer I can stay here." 


Sejujurnya... Patung Beruang faham. Cabaran di tempat sekarang memang sangat berbeza.

Bukan sekadar nature of business. Tetapi tentang system, process, people and work culture. 


Ketika bulan pertama Patung Beruang disini, I received an advice from a wise man: 

"Kita dari luar ini, kita rasa kita dah jumpa macam-macam di luar sana. We tell ourselves, nothing can surprise us anymore. But trust me... Here, you'll witness things that you never imagined possible. This place is full of surprises!" 

Pagi ini... Patung Beruang berkongsi kata-kata itu kepada H. 

Kerana hakikatnya, ramai antara kita datang dengan pengalaman yang luas. Dan sayang jika ia tidak digunapakai untuk memperbaiki situasi semasa. 


Patung Beruang faham kekecewaan H. 

Kita mungkin tidak mampu mengubah seluruh organisasi. Tetapi kita masih mampu memperbaiki our team, our department. We build a better work culture within our territory. Sedikit demi sedikit. 

Kerana.. Perubahan besar tidak pernah berlaku dalam sekelip mata. 

Rome was not built in a day. 

Ia memerlukan kesabaran. Konsisten. Dan kekentalan. 



Breakfast session today turut mengajar Patung Beruang satu perkara yang sangat berharga. 

Dalam kehidupan, sama ada dalam urusan peribadi mahupun dunia pekerjaan, kemahiran mendengar adalah satu kemahiran yang sangat penting. 

Mendengar bukan sekadar menunggu giliran untuk bercakap. 

Mendengar ialah memberi ruang kepada seseorang untuk menghabiskan fikirannya, meluahkan apa yang terbuku di hati dan merasakan bahawa suaranya benar-benar dihargai. 

H meluahkan apa yang dihadapinya. 

Kurangnya budaya mendengar dalam kalangan sebahagian stakeholders. 

Patung Beruang akui, perkara tersebut sebenarnya berlaku di banyak organisasi. 

Apabila percakapan seseorang sering dipotong, dipatahkan atau tidak diberi ruang untuk dihabiskan, lama-kelamaan mereka akan berhenti bercakap. Bukan kerana mereka sudah tiada pandangan. Tetapi kerana mereka merasakan pandangan mereka tidak lagi membawa makna. 

Dan apabila itu berlaku, komunikasi yang sepatutnya berlaku secara dua hala perlahan-lahan bertukar menjadi komunikasi sehala. 


Dalam mesyuarat atau perbincangan, apabila orang atasan atau team lead terlalu mendominasi perbualan, ahli-ahli pasukan biasanya akan memilih untuk berdiam diri. 

Mereka masih hadir dalam mesyuarat. Tetapi mereka tidak lagi benar-benar menyumbang. 

Itulah risiko yang paling besar!

Kerana apabila orang berhenti bersuara, mereka juga akan berhenti memberi amaran. 

Mereka tidak lagi berkongsi isu-isu yang sedang berlaku on the ground.

 Mereka tidak lagi memberitahu symptoms awal yang sedang muncul. 

Dan akhirnya, mereka hanya akan bersuara apabila "bom" sudah meletup. 

Pada ketika itu, pilihan yang tinggal hanyalah reactive actions, to cushion the impact. 

No more preventive.

Kadangkala, organisasi tidak memerlukan lebih ramai orang yang pandai bercakap. 

Sebaliknya.... 

Organisasi lebih memerlukan pemimpin yang tahu mendengar. 



Patung Beruang yakin breakfast session itu bukanlah yang terakhir. Akan ada lagi sessi-sessi seperti ini. 

Sebelum berpisah, Patung Beruang sempat berpesan pada H: 

"H, we both have our own deal with the devil. Yours is yours. Mine is mine. But one thing we have in common is ... we honour our promises. So let's finish what we started, no matter how long the road is. 1 year. 2 years. 3 years... However long it takes. It won't be easy, but some promises are worth every sacrifice." 


Hanya H yang memahami maksud sebenar kata-kata itu.

Dan Patung Beruang percaya.. 

Janji yang dibuat dengan penuh kesedaran tidak seharusnya ditinggalkan hanya kerana perjalanan menjadi sukar. 



Hari ini baru 1 July 2026.

Masih berbaki 6 bulan sebelum tirai 2026 dilabuhkan. 

Entah apa lagi yang bakal menanti sepanjang perjalanan ini, tiada siapa yang tahu. 

Namun selagi niat kita masih baik, selagi janji kita belum tertunai, dan selagi masih ada kekuatan untuk melangkah... Kita teruskan saja. 

Satu hari pada satu masa. 

Mudah-mudahan, apabila tiba penghujung nanti, kita bukan sahaja berjaya menyempurnakan amanah yang dipikul, tetapi juga tidak kehilangan diri sendiri dalam proses itu.... 

Tuesday, June 30, 2026

June 2026: Pulang Kepada Yang Menenangkan

June 2026 terasa seperti roller coaster buat Patung Beruang. Ada hari yang tenang. Ada hari yang mendebarkan. Ada hari pula yang membuatkan diri ini tersenyum sendirian sepanjang hari. 

Semuanya gara-gara BAC meeting pada 22 June 2026. 

Walaupun meeting hanya setengah hari, persiapannya memakan masa berminggu-minggu hingga kurang tidur, makan tidak teratur, dan terpaksa skip balik Melaka. 

Kali terakhir Patung Beruang pulang ke Melaka adalah 5 dan 6 June. Selepas itu, hanya Imran yang balik seorang. Hati ini rindu sangat pada Ibu dan juga pusara Ayah, tapi tuntutan kerja menyebabkan Patung Beruang ketepikan sebentar rasa rindu itu. 



Bila tidur terganggu, emosi pula turun naik, jerawat pun mula lah datang melawat muka ini. Paling ketara di bahagian dagu. Lepas itu, tangan ini pula gatal, suka usik jerawat itu. Tak pasal-pasal sudah ada parut. 

Jenuhlah Patung Beruang sapu aloe vera setiap malam tetapi nampaknya parut itu masih belum mahu mengalah. Makanya, bersabar sajalah ye, huhuhu... 



Apabila BAC akhirnya selesai, tiba-tiba rasa kosong pula. Dan mula terasa letih sangat. Flat. 

Hari itu, Patung Beruang balik tepat pukul 4.30 petang. Malam itu dapatlah Patung Beruang tidur awal, Alhamdulillah. 

Yang kelakarnya, walaupun semuanya sudah selesai, esoknya tetap juga terjaga pukul 3 pagi. Adoii.. Awalnya. 

Pattern terjaga pukul 3 pagi ini berlarutan hampir 4 ke 5 hari juga lah selepas BAC. Haish... Sekarang ini baru lah ok.



Sebaik tamat BAC, Patung Beruang terus apply cuti hari Jumaat. Hooray!!!

On that Friday, Patung Beruang cuma nak balik Melaka, luangkan masa puas-puas dengan Ibu sampailah hari Ahad. 


Hari Jumaat, apabila sampai di rumah Melaka sekitar tengahari, Ibu sedang leka mengait di ruang tamu. Wajah Ibu jelas terkejut kerana dia langsung tak tahu yang Patung Beruang cuti hari itu. 

Melihat Ibu mengait dengan tenang, jari-jarinya begitu lancar memintal benang, membuatkan hati ini terasa damai. Betullah... kadangkala kebahagiaan hadir melalui perkara-perkara yang paling sederhana. 

Petang itu, kami pergi menziarahi pusara Ayah. 

Ya Allah... rindunya diri ini pada Ayah. 


Sabtu dan Ahad pula diisi dengan dengan masa bersama keluarga. Bawa Ibu keluar mencari benang kait di kawasan Bunga Raya, membeli barang dapur di Lotus, pergi ke nursery untuk membeli tanah dan baja demi pokok-pokok kesayangan Ibu, menikmati durian IOI yang Abang hantar ke rumah, dan bersarapan di luar dengan Abang sekeluarga. Dapatlah Patung Beruang melayan kerenah Danish dan Ariff, Alhamdulillah.

Sudah lama rasanya Patung Beruang tidak dapat menikmati masa bersama keluarga dengan begitu tenang. 



Sebelum pulang ke KL pada hari Ahad, Patung Beruang singgah sekali lagi ke pusara Ayah. 

Kali ini, datang seorang diri. 

Rindu sangat hendak bercerita dengan Ayah. 

Banyak yang Patung Beruang luahkan pada hari itu. Tentang keluarga. Tentang kerja. Tentang BAC. 

Dan.... 

Tentang seseorang. 

Entah mengapa, hati ini benar-benar ingin bercerita kepada Ayah tentang dia. 

Mungkin kerana pada dirinya, Patung Beruang melihat beberapa nilai yang juga ada pada Ayah. Daripada cara berfikir, prinsip hidup, sehinggalah cara menghormati orang lain. 

Namun apa pun yang berlaku, Patung Beruang akan sentiasa berusaha menjaga adab dan batas. Is not easy, but i'll try. 

Walaupun Ayah sudah kembali kepada Yang Maha Pencipta, didikan yang ditinggalkan masih kukuh bertapak dalam hati ini. Itulah warisan paling mahal yang Ayah tinggalkan buat kami. 



Alhamdulillah, kini semuanya kembali normal. 

Fasa paling hectic di GIA sudah berlalu. Sekarang bolehlah kembali memberi focus kepada tugasan-tugasan semasa, menyelesaikan beberapa kerja admin yang masih berbaki, melayan interview sessions untuk mengisi kekosongan di department kami. 

Lewat petang semalam Patung Beruang menerima permintaan untuk membuat consultancy work daripada salah seorang stakeholder. Agak terkejut juga bila tiba-tiba diri ini diseru untuk datang ke biliknya. 

"I didn't know you personally, but I like you. I like your report. I really want you to help me ...."

Jujurnya Patung Beruang tidak tahu bagaimana untuk respons terhadap remarks dan request tersebut. Hanya mampu mengangguk hormat sambil mengucapkan "Thank you". 

Pulang dari bilik stakeholder tersebut, Patung Beruang berbincang dengan Boss. And Boss bersetuju untuk Patung Beruang menerima tugasan tersebut. 

Orang meminta tolong kerana mereka percayakan kita. 

Selagi termampu, Patung Beruang akan cuba membantu. 



Banyak kisah yang berlaku di June 2026 ini. Dan juga pelbagai emosi yang singgah ke hati ini. 

Mungkin kekuatan seorang anak bukan kerana dia tidak pernah penat. 

Bukan juga kerana dia tidak pernah menangis. 

Tetapi kerana, walaupun ayahnya telah kembali kepada Tuhan, dia masih berjalan berpandukan segala didikan yang pernah ayah tinggalkan. 

Kerana sesungguhnya, seorang ayah yang baik tidak pernah benar-benar pergi. Nilai yang ditinggalkannya akan terus hidup dalam diri anak-anaknya. 


Terima kasih Ayah kerana membesarkan saya menjadi seorang anak yang tabah menghadapi cabaran hidup. Terima kasih kerana mengajarkan bahawa amanah perlu dijaga, maruah tidak boleh dijual beli, dan prinsip tidak boleh dikorbankan hanya kerana keadaan menjadi sukar. 

Terima kasih Ibu kerana sentiasa memahami minat anakmu ini, memahami kesibukan kerja yang kadangkala membuatkan diri ini tidak mampu pulang sekerap yang diinginkan. Terima kasih kerana tidak pernah merungut, sebaliknya sentiasa menerima kepulangan ini dengan pelukan, senyuman, dan kasih sayang yang tidak pernah berubah. 


Semoga Julai 2026 nanti membawa lebih banyak ketenangan, lebih banyak senyuman, dan lebih banyak masa untuk keluarga, dan untuk buku-buku yang masih menunggu untuk dibaca. 

Oh ya, Patung Beruang sudah mula menghitung hari untuk my personal trip in next few days. Boss tanya, 

"Yana pergi pulau lagi ke?" 

Oh tidak.. 

Kali ini saya nak terbang merentas negara dan lautan, demi menikmati konsert orchestra dan juga melawat muzium-muzium yang menarik di sana. Nerd sangat kan? hehehehe.. 

Semoga dipermudahkan perjalanan dan percutian saya di bulan Julai ini, Aamiin.. 



And finally...

Buat seseorang yang sedang berjuang. 

Semoga Allah sentiasa mempermudahkan setiap langkahmu, melapangkan segala urusanmu, mengurniakan kesihatan yang baik, ketenangan hati, kebijaksanaan dalam membuat setiap keputusan, serta sentiasa memelihara dirimu walau dimana jua kamu berada. 

Semoga setiap perjuangan kamu, diberkati dan menjadi asbab kepada kebaikan di dunia dan di akhirat. 

Aamiin....

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...