Showing posts with label karya terjemahan. Show all posts
Showing posts with label karya terjemahan. Show all posts

Sunday, June 21, 2026

Book Review: Pippi Longstocking


Tajuk: Pippi Longstocking

Penulis: Astrid Lindgren

Penterjemah: Sue Oshin

Menariknya Naskah Ini: 

Alhamdulillah, Pippi Longstocking merupakan naskah ke-10 yang berjaya Patung Beruang habiskan pembacaannya untuk tahun ini. Naskah ini selesai dibaca pada minggu lepas ketika lunch hour di pejabat. 

Naskah ini Patung Beruang beli ketika PBAKL 2026 beberapa minggu yang lalu. Disebabkan ini karya diterjemahkan oleh salah seorang penterjemah kegemaran Patung Beruang, maka Patung Beruang decide untuk membaca karya ini terlebih dahulu walaupun masih banyak buku lain yang sedang beratur menunggu giliran, hehehehe.. 


Blurb: 

"Dunia membosankan dua orang adik-beradik, Tommy dan Annika terjungkir balik apabila mereka bertemu dengan jiran barunya, Pippi Longstocking. 

Pippi, anak aneh yang bertocang liar dengan rambut merah, tanpa ibu bapa untuk memberitahu apa yang perlu dilakukan, tinggal bersama seekor kuda di depan rumahnya dan sentiasa teruja untuk membawa mereka daripada satu kembara kepada satu kembara yang lain." 


Pippi Longstocking ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun yang tinggal bersendirian di Villa Villekulla, sebuah rumah lama yang terletak di dalam kebun yang luas. Dia tidak mempunyai ibu dan ayah, dan keadaan ini menyenangkan dirinya kerana tiada sesiapa yang akan menyuruhnya tidur ketika dia sedang asyik bermain. Juga tiada siapa yang akan menghalangnya daripada melakukan perkara-perkara yang menyeronokkan. 


Ibunya meninggal dunia ketika Pippi masih lagi bayi. Ayahnya pula adalah seorang kapten kapal. Pippi mengikut ayahnya belayar hingga suatu hari kapal mereka dihentam badai yang dasyat dan ayahnya hilang di lautan. 

Sejak itu, jika ada yang bertanya tentang ibu dan ayahnya, Pippi akan menjawab yang ibunya adalah seorang malaikat dan ayahnya adalah raja dari sebuah pulau kanibal, yang jauh di tengah lautan. 


Sebelum hilang, ayahnya telah membeli sebuah rumah lama bernama Villa Villekulla dengan harapan mereka dapat tinggal disitu bersama apabila dia sudah tua dan tidak lagi mampu mengharungi lautan. Namun, apabila ayahnya hilang di lautan, Pippi nekad untuk meninggalkan kapal ayahnya dan tinggal berseorangan di Villa. 

Ada dua benda yang Pippi bawa sebaik saja turun dari kapal. Seekor monyet kecil yang diberi nama Nilsson, iaitu hadiah daripada ayahnya, dan sebuah peti besar yang dipenuhi dengan kepingan emas. 

Pada hari yang sama Pippi sampai ke Villa Villekulla, dia membeli seekor kuda dengan menggunakan beberapa kepingan emas yang dimilikinya. 


Di sebelah Villa Villekulla terdapat sebuah taman dan rumah lain. Di rumah itu tinggal sepasang suami isteri yang mempunyai 2 orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Yang lelaki bernama Tommy dan anak perempuan bernama Annika. 

Tommy dan Annika merupakan anak yang baik, dibesarkan dengan baik, dan patuh. Mereka berdua sering bermain di taman mereka, tetapi mereka juga berharap untuk memiliki kawan sepermainan. 


Pertama kali Tommy dan Annika melihat Pippi, mereka berasa dia adalah gadis luar biasa. Rambutnya berwarna seperti lobak merah, ditocang kemas dengan dua ikatan ketat yang menjulur keluar. Hidungnya berbentuk seperti kentang yang berukuran kecil dan dipenuhi  dengan bintik-bintik. Mulutnya sangat lebar, dengan deretan gigi yang putih lagi kuat. Gaunnya pula lain dari yang lain.

Tetapi perkara yang lebih menarik perhatian Tommy dan Annika adalah seekor monyet yang duduk di atas bahu kecil Pippi. Monyet tersebut memakai seluar berwarna biru, jaket kuning, dan topi jerami putih. 


Kehadiran Pippi yang luar biasa mengubah kehidupan Tommy dan Annika. Bersama Pippi, mereka melalui pelbagai pengembaraan yang aneh, lucu dan kadangkala tidak masuk akal, tetapi sentiasa mengujakan. 

Pippi bukan sahaja terkenal kerana kekuatan fizikalnya yang luar biasa, malah kerana imaginasinya yang tidak terbatas, keberaniannya menghadapi cabaran dan caranya melihat dunia yang sangat berbeza daripada orang lain. 



Membaca karya klasik dari Sweden ini seperti membawa Patung Beruang kembali ke zaman kanak-kanak. Zaman ketika dunia terasa luas dan penuh kemungkinan. Ketika itu, hidup hanyalah tentang bermain, berimaginasi, dan menikmati hari-hari yang berlalu tanpa perlu memikirkan soal kerjaya, ekonomi, politik atau pelbagai kerumitan kehidupan orang dewasa. 

Walaupun ada ketika Patung Beruang berasa geram dengan kenakalan dan sikap Pippi yang terlalu bebas serta kurang menghiraukan peraturan dan adab, tidak dapat dinafikan bahawa watak ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Di sebalik segala kelakuannya yang luar biasa, terselit pelbagai pengajaran yang masih relevan sehingga hari ini. 


Sayangi dan Terima Diri Sendiri : Pippi tidak pernah malu dengan dengan penampilannya yang berbeza. Dia menerima dirinya seadanya dan tidak membiarkan pandangan orang lain menentukan nilai dirinya. 

Berani Mencuba Perkara Baharu : Bagi Pippi, setiap hari ialah peluang untuk mencuba sesuatu yang baharu. Keberanian untuk keluar daripada kebiasaan sering membuka ruang kepada pengalaman yang tidak pernah kita jangkakan. 

Hormati Perbezaan : Setiap orang mempunyai latar belakang, pengalaman dan cara hidup yang berbeza. Apa yang dianggap normal bagi seseorang mungkin kelihatan asing bagi orang lain. Pippi mengingatkan kita supaya tidak terlalu cepat menghukum. 

Raikan Kehidupan Dengan Penuh Rasa Syukur : Walaupun hidupnya tidak sempurna dan penuh kehilangan, Pippi tetap memilih untuk melihat dunia dengan rasa ingin tahu, kegembiraan dan penghargaan terhadap perkara-perkara kecil di sekelilingnya. 

 


Naskah Pippi Longstocking mungkin ditulis untuk kanak-kanak, tetapi naskah ini turut menyimpan banyak pesan buat pembaca dewasa. 

Kadangkala, apabila usia semakin bertambah, kita terlalu sibuk menjadi orang dewasa sehingga terlupa bagaimana rasanya menjadi kanak-kanak. Pippi Longstocking mengingatkan kita bahawa sedikit keberanian, imaginasi, dan kegembiraan mungkin adalah perkara yang kita perlukan untuk terus menikmati perjalanan hidup ini. 

Disebabkan pesanan itulah, watak Pippi Longstocking masih terus diingati sehingga hari ini....

Book Review: Pustakawan Berkeldai


Tajuk: Pustakawan Berkeldai 

Penulis: Fakir Baykurt 

Penterjemah: Balqis Rashid

Menariknya Naskah Ini: 

Ini merupakan naskah ke-9 yang berjaya Patung Beruang habiskan tahun ini, Alhamdulillah. 

Sebenarnya, naskah ini telah selesai dibaca pada bulan lepas. Namun, disebabkan kesibukan yang tidak dapat dielakkan, baru hari ini Patung Beruang berpeluang untuk berkongsi tentangnya. Maaf atas kelewatan ini.... 

Yang lebih melucukan, naskah ini dibeli ketika PBAKL 2025.  Selepas setahun berada dalam simpanan, akhirnya tiba juga giliran untuk membacanya. 

Masalahnya, PBAKL 2026 pula baru sahaja melabuhkan tirainya beberapa minggu lepas. Dan seperti tahun-tahun sebelumnya, Patung Beruang tetap pulang dengan beberapa buah buku baharu. Hm.. rasanya jumplah buku yang masih belum dibaca, malah plastic pembalutnya pun belum dibuka, sudah mencecah sekitar 30 - 40 buah. 

Nampaknya, Patung Beruang kena "berpuasa" daripada membeli buku untuk tempoh beberapa bulan akan datang. Entah berjaya atau tidak, itu cerita lain pula, hehehe... 


Pustawakan Berkeldai mengisahkan Dimitrios Katsikas, seorang lelaki muda dari Larisa, Greece datang ke Urgup, Anatolia. Dimitrios lepasan bidang teologi dan falsafah di Universiti Thessaloniki. Kini, dia adalah pensyarah muda di universiti yang sama, mengajar Sejarah Tamadun dan Seni Bina. 

Kedatangan Dimitrios ke Urgup adalah demi mencari asal-usul keluarganya, yang berasal dari tanah bersejarah itu sebelum berhijirah ke Greece. 

Ketika di Urgup, dia berkenalan dengan Aziz Guzelgoz atau lebih dikenali sebagai Aziz Baba, seorang tokoh berpengaruh dikawasan itu. Aziz memperkenalkan Dimitrios dengan ayahnya, Mustafa Guzelgoz, atau lebih dikenali sebagai "Pustakawan Berkeldai". 


Ketika Mustafa Guzelgoz menguruskan perpustakaan di Urgup, beliau telah membawa buku kepada penduduk di lebih dari 30 buah kampung dengan menggunakan keldai. Itulah asal-usul gelaran "Pustakawan Berkeldai" yang diberikan kepadanya. Kini, walaupun Mustafa sudah bersara, beliau masih dikenali dengan nama itu. 


Persahabatan Dimitrios dan Mustafa membuatkan Dimitrios banyak belajar sejarah masyarakat Urgup, termasuklah kisah hidup Mustafa sendiri. 

Mustafa mula bertugas sebagai penjaga perpustakaan pada 1 Julai 1944, dengan gaji 40 lira sebulan. Mustafa sangat gembira apabila dilantik sebagai penjaga perpustakaan di Urgup. Ini kerana dirinya dan isteri, Hanife sangat mencintai buku-buku. Mustafa juga banyak belajar dari Encik Kemal, seorang guru falsafah, berkenaan pemikiran-pemikiran baharu. Mustafa sedar betapa pentingnya buku-buku dalam membangkitkan kesedaran manusia dan bangsa. Kesedaran itu menyebabkan keinginan Mustafa untuk menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai pustakawan semakin membara. 


Ketika itu, rekod perpustakan menunjukkan terdapat 2,300 buah buku termasuk buku tulisan tangan, buku bercetak, dan buku-buku yang ditulis dalam tulisan lama. Malah, terdapat juga buku-buku lama yang dibuang ke dalam ruang bawah tanah, dan ini menyebabkan buku-buku itu terdedah kepada kelembapan. 

Demi menyelamatkan buku-buku lama dari terus rosak, Mustafa membentangkan permaidani dan cadar di atas padang, dan menyusun buku-buku yang lembap di bawah matahari. Dia menyusun buku-buku tersebut satu per satu, membuka halamannya, dan membalikkan jilid-jilidnya. Dalam sehari, Mustafa dapat mengeringkan 20 hingga 30 buah buku, dan dengan cara ini, dia dapat menyelamatkan kesemua buku-buku tersebut. 


Dalam kesibukan Mustafa bertugas sebagai pustawakan, dia juga diamanahkan oleh Pegawai Daerah untuk membentuk satu pasukan bola sepak daerah Urgup. Bagi menyemarakkan minat membaca dikalangan anak muda, Mustafa telah meletakkan syarat bahawa pemuda-pemuda yang ingin bermain dalam pasukan bola sepak daerah mereka mestilah datang ke perpustakaan dan membaca buku.  Mulanya cadangan tersebut dibangkang oleh para pemuda, tetapi akhirnya mereka sedar maksud permintaan Mustafa itu. Bagi Mustafa, gol bermula dari kepala, kemudian barulah kaki. Para pemain mesti menjaringkan gol dengan pemikiran dahulu, kemudian dengan kaki. 

Kini, para pemuda mula datang ke perpustakaan. Mustafa memberikan novel-novel yang mereka suka. Dia meminta mereka menceritakan apa yang telah mereka baca. Dia memeriksa sama ada mereka benar-benar faham apa yang telah dibaca. Setelah itu, Mustafa mendaftarkan mereka dalam pasukan bola sepak dan mula bermain perlawanan sesama sendiri. Setiap petang, mereka berlatih selama 2 jam. 

Ternyata strategi Mustafa berjaya. Pasukan bola sepak Urgup kini sering menang setiap kali berlawan dengan pasukan dari daerah lain. Kemenangan demi kemenangan yang dicapai menggembirakan hati Pegawai Daerah. Demi membalas jasa Mustafa, Pegawai Daerah membina sebuah perpustakaan baharu di Urgup, yang lebih besar, selesa dan teratur untuk kegunaan masyarakat. 


Di Urgup, hampir setiap kampung ada bilik rakyat. Bilik rakyat ini biasanya digunakan untuk mesyuarat bersama penduduk kampung, pusat aktiviti penduduk atau juga perpustakaan mini. Sayangnya, banyak bilik rakyat tidak diselenggara, sehingga menyebabkan ia terbiar begitu saja. Akhirnya, ada bilik rakyat yang telah bertukar menjadi kandang kambing atau lembu. 

Disebabkan ketiadaan suasana yang kondusif di bilik rakyat, Mustafa buntu untuk membawa buku kepada penduduk kampung. Setelah puas berfikir siang dan malam, tiba-tiba terlintas idea di fikirannya untuk membawa buku-buku ke kampung dengan menggunakan keldai. Dengan cara itu, dia boleh memupuk kebiasaan membaca di kalangan penduduk kampung. 

Pada lawatan pertama Mustafa bersama keldai yang mengangkut buku-buku, dia berjaya mengedarkan 10 buah buku di sebuah kampung, 17 buah buku di kampung lain, dan 28 buah buku di kampung berikutnya. Setiap buku yang diambil oleh penduduk kampung, Mustafa akan mencatat nama penduduk tersebut, nama keluarga, judul buku yang diambil, nama penulisnya dan tarikh buku diambil. Maka, lengkaplah daftar peminjam buku untuk perpustakaan bergeraknya. Inilah permulaan Mustafa digelar "Pustakawan Berkeldai". 


Lumrah kehidupan, pembaharuan yang dibuat pasti akan menimbulkan rasa kurang senang pada orang lain. Walaupun zahirnya apa yang dilakukan oleh Mustafa sangat bermanfaat kepada penduduk kampung di daerah Urgup, kejayaan dan populariti yang dikecapinya menimbulkan rasa dengki sesetengah pihak. 

Kemuncaknya apabila Mustafa dituduh menggelapkan duit yang disalurkan kerajaan, untuk kepentingan peribadi. Walaupun akhirnya tuduhan tersebut ternyata palsu, Mustafa tetap diminta bersara awal oleh pihak atasan dengan alasan untuk menjaga nama baiknya. 

Membaca bahagian ini membuatkan Patung Beruang terdiam seketika. 

Kadang-kadang, bukan kegagalan yang menjatuhkan seseorang. Sebaliknya, kejayaan dan keikhlasan itulah yang mengundang musuh yang tidak disangka-sangka. 



Pada pandangan Patung Beruang, Pustakawan Berkeldai bukan sekadar sebuah novel tentang seorang pustakawan. Ia sebenarnya mengangkat pelbagai isu sosial yang masih relevan sehingga hari ini. 

Antara perkara yang paling menarik perhatian ialah bagaimana ahli politik digambarkan sanggup melakukan apa sahaja demi meraih sokongan masyarakat. Hiburan, jamuan mewah, dan pelbagai "gula-gula" diberikan kepada rakyat, sedangkan usaha membangunkan ilmu, adab, dan pemikiran masyarakat sering diketepikan dengan alasan tiada peruntukkan kewangan. 


Selain itu, novel ini turut menyentuh isu akses pendidikan untuk wanita. Di sesetangah kampung, kaum wanita tidak dibenarkan ke perpustakaan kerana dianggap boleh mengundang maksiat akibat pergaulan antara lelaki dan wanita. Wujud juga kepercayaan bahawa wanita tidak perlu membaca kerana tugas mereka sekadar mengurus rumahtangga. 

Membaca bahagian ini membuatkan Patung Beruang bersyukur kerana pada masa kini, semua wanita berpeluang mendapatkan pendidikan dan mengejar ilmu tanpa mengira latar belakang sosial mereka. 


Oh ya, naskah ini juga mengingatkan pembaca bahawa minat membaca perlu dipupuk sejak kecil. Namun bagaimana kanak-kanak mahu mencintai buku jika bahan bacaaan yang sesuai untuk mereka hampir tiada? 

Mustafa tidak berputus asa. Beliau menulis surat kepada warga Urgup yang telah berhijrah ke Istanbul dan berjaya dalam kehidupan, memohon sumbangan buku-buku kanak-kanak untuk perpustakaan daerah. 

Usahanya berhasil. Sedikit demi sedikit, kotak-kotak buku mula tiba di Urgup, membuka peluang kepada anak-anak kampung untuk mengenali dunia melalui pembacaan. 

Jujurnya, ketika membaca bahagian ini, Patung Beruang teringat naskah Leaving Microsoft to Change the World, tulisan John Wood. Naskah ini pernah Patung Beruang kongsikan disini. Betapa pentingnya menyediakan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak dalam usaha masyarakat melahirkan generasi hebat dimasa hadapan. 



Secara keseluruhannya, Pustakawan Berkeldai merupakan sebuah naskah yang sarat dengan nilai cinta, persaudaraan, ketabahan, dan perjuangan. 

Ia mengingatkan kita bahawa perubahan besar tidak semestinya bermula dengan kuasa atau kekayaan. Kadangkala ia bermula dengan seorang insan biasa yang percaya bahawa sebuah buku mampu mengubah kehidupan manusia. 

Dan mungkin itulah pengajaran paling indah yang ditinggalkan oleh Mustafa Guzelgoz kepada kita semua.... 

Sunday, May 31, 2026

Book Review: Aku Bukannya Menyerah, Hanya Sedang Lelah (Edisi Bahasa Melayu)


Tajuk: Aku Bukannya Menyerah, Hanya Sedang Lelah

Penulis: Geulbaewoo

Penterjemah: Rafiza Ab Rahman

Cerita Patung Beruang: 

Sudah lama Patung Beruang tidak menulis disini.

Beberapa minggu kebelakangan ini Patung Beruang agak sibuk. Antara tugasan hakiki dan sampingan, usaha menyantuni stakeholders kerjaya dan peribadi setakat yang termampu, serta ikhtiar yang tidak pernah putus untuk menjadi hamba Allah dan manusia yang lebih baik. 

Ada banyak perkara yang berlaku sepanjang tempoh hiatus ini. Cuma Patung Beruang sendiri tidak pasti sama ada, ada rezeki atau tidak untuk berkongsi semuanya disini nanti. 

Maafkan diri ini kerana lama menyepi.

Alhamdulillah, Patung Beruang masih diizinkan bernafas. Masih mampu bangun setiap pagi dengan tersenyum dan semangat untuk memulakan hari yang baharu. 

Nikmat sebesar itu, apalagi yang hendak diri ini dustakan?



Minggu ini berlangsungnya PBAKL 2026. 

Hari Raya untuk bibliophiles, hooray..

Seperti biasa, setiap kali tibanya PBAKL, selain teruja melihat barisan buku-buku baharu yang diterbitkan, Patung Beruang juga tidak sabar untuk menghantar sebahagian koleksi peribadi ke donation box. 

Untuk program book donation tahun ini, temanya ialah Book Behind Bars, dimana buku-buku yang didermakan akan disalurkan ke penjara-penjara sebagai bahan bacaan buat para penghuni disana. 

Menarik, bukan? 

Memandangkan sasaran penerimanya terdiri daripada pelbagai lapisan usia, latar belakang, dan tahap pendidikan, genre buku yang boleh didermakan juga sangat pelbagai - daripada buku akademik, puisi, biography, religious, novel, travel, encyclopedia, motivational dan self-help. 

Sejurus melihat poster Book Behind Bars itu, Patung Beruang sudah terbayang buku-buku koleksi sendiri yang ingin dihantar ke sini. 

Tapi.... 

Tiba-tiba Patung Beruang teringat.

Alamak, masih banyak lagi book review yang tertunda disini. 

Adoiii.. 

Makanya, kita cubalah update seberapa banyak book review disini supaya buku-buku tersebut boleh berpindah kepada tuan baharu ye.

Yelah..

Tanpa book review, keberangkalian untuk Patung Beruang membeli semula buku yang pernah dibaca adalah sangat tinggi. 

Manusia bernama Ilyana ini, setiap kali stress saja, dia akan masuk kedai buku. Dan bila sudah masuk kedai buku, habislah. Rambang mata. Hilang pertimbangan.  Lupa dunia. 

Bila sudah membeli dan pulang ke rumah, berdiri di hadapan rak buku sambil berkata, "Laaa...  buku ini dah ada rupanya." 

Ish ish ish...



Menariknya Naskah Ini:

Naskah Aku Bukannya Menyerah, Hanya Sedang Lelah ini adalah naskah ke-23 yang Patung Beruang habiskan pada tahun 2025. 

Asalnya, sasaran bacaan hanyalah 12 buah buku setahun. Namun Alhamdulillah, jumlah sebenar yang berjaya dibaca melebihi 2 kali ganda dari sasaran tersebut. 


Naskah terjemahan dari Korea ini dibeli di Kinokuniya KLCC ketika Patung Beruang pulang dari pejabat. Sedang membelek satu demi satu buku di rak, Patung Beruang tertarik kepada naskah ini sebaik membaca blurb berikut: 

"Ada masa, semangat hilang tanpa sebab. Hari-hari terasa kosong, sedangkan semuanya masih sama. Usaha tetap ada, tapi diri tetap rasa kurang. Seolah-olah tidak pernah cukup, walau sudah terlalu banyak bertahan.

Naskah ini ditulis untuk jiwa yang perlukan ruang bernafas. Bukan jawapan kepada semua, tapi teman yang memahami - agar yang letih tahu, ada tempat untuk berhenti sekejap dan kembali kepada diri. 

Jika hari ini terasa berat tanpa sebab yang jelas, mungkin buku ini sedang menunggu untuk kamu pegang. Untuk menemani, bukan mengadili. Untuk hadir, walau hanya dalam diam." 


Dan ya...

Blurb itu berjaya membuatkan Patung Beruang membawa pulang buku ini. 


Naskah ini mengandungi 3 bahagian utama dan setiap bahagian itu ada tajuk-tajuk kecil yang menyokong initipatinya. 


Bahagian 1: Kamu Pasti Mampu Melakukan Banyak Perkara, Meskipun Terpaksa Jatuh dan Bangun Berkali-kali.

Dalam bahagian ini, penulis mengingatkan bahawa kehidupan sememangnya akan melalui fasa-fasa jatuh. 

Jatuhlah berapa ribu sekalipun, kita tetap perlu bangun kerana masih percaya bahawa hari esok boleh menjadi lebih baik daripada hari ini. 

Selagi kita masih bernafas, selagi itulah masih ada harapan. 

Harapan untuk impian yang bakal dicapai.

Harapan untuk masalah yang bakal diselesaikan. 

Harapan untuk menjadi diri sendiri dan hidup dengan bahagia. 

Kerana hakikatnya, selama masih ada harapan, manusia akan terus bertahan. 

Dan tiada yang lebih menyedihkan daripada jasad yang masih hidup, tetapi hatinya sudah lama mati. 


"Orang yang sering terluka adalah, orang yang terlalu ceria, terlalu keras pada diri sendiri, terlalu banyak berfikir supaya sentiasa berjaya, terlalu berusaha supaya berupaya memahami perasaan orang lain, terlalu pandai menahan perasaan dan emosinya naik turun secara berlebihan. 

Sejak kecil, dia perlu melakukan semua urusan secara bersendirian, seolah-olah dia sudah dewasa. Atas sebab itu, dia menderita sendiri, kerana terlalu mahu melakukan semuanya dengan baik dan tidak boleh salah.

Itulah tanda orang yang sering terluka.

Seandainya dia mendengar seseorang berkata padanya dengan bersemangat,

"Tentu saja kamu boleh menjadi diri sendiri, tidak perlu terlalu memaksa diri, hiduplah dengan bahagia."

Ada kemungkinan dia akan menangis..."



Bahagian 2: Untuk Kamu Yang Keletihan Kerana Sering Menanggung Semuanya Sendirian. 

Bahagian ini lebih banyak menyentuh tentang hubungan sesama manusia. 

Tentang keluarga. 

Persahabatan.

Percintaan.

Perpisahan. 

Dan segala emosi yang hadir bersamanya. 


Setiap hubungan pasti ada konflik. Itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan. 

Yang lebih penting ialah bagaimana kita menguruskan konflik tersebut, dan bagaimana kita memilih untuk kembali berbaik-baik setelah badai berlalu. 


"Jika kamu menganggap orang itu berharga, berdoalah dengan ikhlas supaya orang itu berjaya, berilah perhatian dan sokongan kamu kepadanya."

Petikan diatas itu ringkas. Tetapi sangat dalam. 



Bahagian 3: Perkara Yang Menunjukkan Jati Dirimu

Jika kita sendiri tidak mengenali diri kita, bagaimana mungkin kita mengharapkan orang lain mengenali siapa diri kita sebenarnya? 

Jika kita sendiri tidak menghargai diri kita, bagaimana mungkin kita mengharapkan penghargaan daripada orang lain? 

Bahagian ini banyak mengajak pembaca untuk kembali melihat ke dalam diri sendiri.

Menerima diri. 

Memaafkan diri. 

Dan menghargai keberanian dia yang telah bertahan selama ini. 

"Buat kamu yang tidak lagi menahan diri dan berjaya meninggalkan apa yang membuat kamu menderita, kamu memiliki keberanian yang luar biasa kerana mengambil keputusan yang hebat itu." 



Seperti yang tertulis pada blurb, anggaplah naskah ini sebagai seorang teman. 

Dan yes, itulah yang Patung Beruang rasakan sepanjang membacanya. 

Seolah-olah sedang duduk berdua dengan seorang sahabat yang sangat memahami. 

Patung Beruang bercerita. 

Dia mendengar. 

Tanpa menghakimi. Tanpa menyampuk. Tanpa meminta penjelasan.

Hanya hadir. 

Dan kadangkala, kehadiran yang tenang itu sudah cukup untuk membuatkan hati terasa lebih ringan. 


Patung Beruang masih ingat lagi. 

Naskah ini mula dibaca ketika berada di dalam MRT, dalam perjalanan pulang ke rumah di Equine. 

Ada beberapa bahagian yang terlalu dekat dengan diri sendiri. Terlalu dekat sehingga air mata hampir mengalir tanpa disedari. 

Cepat-cepat Patung Beruang mengesatnya. 

Tak mahulah penumpang lain nampak. Nanti mereka fikir Patung Beruang sedang putus cinta pula, hehehe... 


Tahun 2025 bukanlah tahun yang mudah. Jujurnya, ia antara tahun yang paling mencabar pernah dilalui. 

Seperti yang pernah Patung Beruang kongsikan sebelum ini, tahun itu adalah tempoh dimana diri ini sedang berusaha keras untuk kembali hidup sebagai manusia yang normal. 

Dan sepanjang proses tersebut, banyak emosi dilepaskan melalui buku-buku yang dibaca. 

Kerana kadangkala... Tidak semua perkara mampu diceritakan kepada manusia. 

Tambahan pula, Ilyana ini pandai menyembunyikan kesakitan disebalik senyuman. 

Masih boleh berfungsi. Masih boleh bekerja. Masih boleh ketawa. 

Maka ramai yang tidak menyedari bahawa sebenarnya dia sedang berjuang. 

Jadi kemana perginya segala rasa yang terbuku? 

Ke dalam buku.

Ke dalam diary. 

Ke dalam doa-doa yang dipanjatkan ketika sujud. 

Ketika membaca Al-Quran. 

Dan pada saat kegemaran Patung Beruang - memandu Si Putih sendirian. 

Hanya diri ini dan Allah. 

Momen yang sangat Patung Beruang hargai....



Berbalik kepada naskah ini. 

Secara keseluruhannya, ia sebuah bacaan santai yang sesuai menemani hari-hari yang terasa sedikit berat. 

Sekadar menjadi ruang untuk melepaskan apa yang terbuku di hati. 

Cuma ada beberapa bahagian yang terasa agak dark. Suram. Kelam. 

Seakan-akan membawa pembaca menyelami jurang emosi yang dalam. 

Namun, perkara itu tidaklah mengejutkan kerana nuansa sebegitu memang sering ditemui dalam karya penulis Jepun dan Korea. 

Secara tidak langsung, ia juga mencerminkan beban emosi dan tekanan psikologi yang sedang dihadapi oleh masyarakat disana. 

Dan mungkin...

Itulah sebabnya naskah ini terasa sebegitu manusia... 

Monday, April 20, 2026

Book Review: 100 Hari Di Sebuah Restoran Tanpa Menu

Tajuk: 100 Hari Di Sebuah Restoran Tanpa Menu
Penulis: Cheong Ye
Penterjemah: Shafiqah Azman

Menariknya Naskah Ini:

Ini adalah naskah ke-6 yang Patung Beruang selesai membaca untuk tahun ini, Alhamdulillah. 

Momentum membaca selepas BAC meeting di penghujung March, agak perlahan. 
Peristiwa kehilangan ahli keluarga terdekat, tugasan dipejabat yang menunggu untuk diselesaikan, proses pencarian staff baru yang bermula dari meneliti semua CV yang masuk, intervew sessions yang berhari-hari, memilih calon terbaik untuk dilantik, semuanya memperlahankan mood membaca Patung Beruang. 

Apapun, Patung Beruang usahakan juga untuk membaca sebentar terutama ketika lunch hour ataupun sebelum tidur, sebagai escapism. Risau pula tengok buku-buku yang belum dibaca, semakin banyak di rumah. 


Blurb:
“Bolehkah makanan menyembuhkan luka lama?

Selamat datang ke Restoran Mulmangcho; sebuah restoran kecil namun menunya tidak pernah tetap. Pemiliknya, Mun Mangcho, percaya bahawa makanan yang tepat mampu menyembuhkan jiwa.

Setiap pelanggan yang datang akan menerima masakan khas sesuai dengan luka yang dibawa.

Tetapi, restoran ini hanya akan beroperasi selama 100 hari. Mangcho perlu pastikan restoran ini berjaya untuk membuktikan kepada ibunya bahawa dia layak mewarisi restoran keluarga mereka.

Apakah hidangan terbaik untuk seorang pelanggan yang takut anjing?
Apa pula masakan sesuai untuk seseorang yang rasa terhina hanya kerana tidak sukakan kimchi?

Dalam usaha merawat hati pelanggan melalui makanan, Mangcho turut menemukan ketenangan dalam dirinya sendiri.

Tetapi… mampukah Mangcho menyembuhkan setiap jiwa yang singgah?
Adakah 100 hari itu cukup untuk dia berjaya?”
 


Mung Mangcho, gadis berusia 20-an, anak tunggal kepada pasangan mendiang Encik Mun Jeongwon dan Puan Geum Gwibi. Pasangan ini mengusahakan Restoran Geum Gwibi, sebuah restoran exclusive yang terletak di Seohwa-dong, Mapo-gu. 

Di restoran ini, tiada menu utama, tiada juga menu tetap. Malah, restoran ini beroperasi sepenuhnya berdasarkan tempahan. Pelanggan tidak akan diterima jika tidak membuat tempahan sekurang-kurangnya seminggu lebih awal.

Nampak pelik bukan?
Adakah konsep pelik Restoran Geum Gwibi ini boleh bertahan?

Realitinya, Restoran Geum Gwibi telah mencipta kisah kejayaan luar biasa. Tanpa sebarang francais, ia mampu mencapai pendapatan bulanan yang tinggi. Tempahan untuk bulan depan dan bulan seterusnya sudah penuh.

Syarat kejayaan Restoran ini sangat sederhana. Restoran ini menghidangkan sajian penuh yang disesuaikan khusus untuk setiap pelanggan. Sama ada masakan Korea, Barat, Jepun, atau Cina – hidangan khas disediakan mengikut cita rasa individu yang membuat tempahan.

Disebabkan itu, pelanggan perlu mengisi borang tempahan yang agak rumit sebelum berkunjung. Mereka perlu menjawab soalan-soalan seperti rasa dan aroma yang digemari, peristiwa yang dialami baru-baru ini, nilai yang dihargai semasa waktu makan, makanan zaman kanak-kanak yang membawa kegembiraan, kenangan atau luka lama yang ingin diatasi.

Kesimpulannya, Restoran Geum Gwibi menyediakan servis pemulihan hati. Prinsip utamanya adalah menyembuhkan dan menenangkan perasaan pelanggan.


 
Selepas kematian suami, Puan Geum Gwibi menguruskan restoran ini bersendirian. Kini, apabila anak gadisnya, Mung Mancho meningkat dewasa, dia merasakan sudah sampai masanya untuk si gadis mengambil alih Restoran Geum Gwibi. 

Namun, sebelum Mung Mancho boleh diiktiraf sebagai pemilik baharu kepada Restoran Geum Gwibi, ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh gadis itu seperti:
1. Mung Mancho perlu mendapatkan tandatangan daripada 7 pelanggan dengan mengurus sebuah restoran sementara selama 100 hari.
2. Untuk mendapatkan tandatangan tersebut, dia perlu membantu pelanggan mengubah tabiat pemakanan mereka. 
3. Tugas ini hanya merangkumi tabiat pemakanan yang bersifat psikologi, bukan alahan fizikal. 
4. Nama restoran sementara ini ialah Restoran Mulmangcho dan tugasnya adalah sebagai pengurus restoran serta tukang masak utama. 
5. Pelanggan yang terlibat tidak boleh terdiri daripada rakan atau ahli keluarga. 
6. Jika perlu, dia boleh mendapatkan nasihat daripada Puan Geum Gwibi, tetapi tidak boleh terlalu bergantung padanya.
 

Kini bermulalah misi 100 Hari Restoran Mulmangcho dimana pelanggan perlu berkunjung sebanyak 2 kali. Kunjungan pertama adalah untuk berkongsi cerita supaya Mung Mancho tahu apa masalah yang dihadapi pelanggannya. Dan kunjungan kedua barulah untuk menikmati hidangan yang Mung Mancho sediakan.

Pelanggan pertama Restoran Mulmangcho adalah seorang lelaki dewasa berusia 30 tahun bernama Byun Yuhyeon. Masalah pemakanan yang dihadapinya adalah dia tidak makan kimchi, walaupun dia orang Korea.

Pelanggan kedua pula lelaki berumur awal 30-an bernama Nakwon. Dia bekerja sebagai pegawai di sebuah agensi kerajaan. Seorang yang peramah, suka menonton filem di Netflix dan menulis ulasan filem, laksana seorang pengkritik filem tegar. 

Masalah yang dihadapi oleh pelanggan kedua ini adalah dia tidak makan jokbal. Puncanya kerana bekas teman wanitanya sangat menyukai hidangan itu sehingga mereka akan memakannya setiap kali bertemu. Kini, selepas berpisah, hidangan itu hanya mengingatkan dia tentang kisah cinta yang terputus di tengah jalan. Oleh itu, Nakwon mengambil keputusan untuk mengharamkan dirinya dari memakan hidangan tersebut kerana baginya mustahil untuk makan jokbal sambil tersenyum atau ketawa.
 
 

Baiklah, cukup disini Patung Beruang kongsikan kisah dari naskah ini. 
Naskah ini setebal 439 mukasurat. Tebal sungguh kan? hehehe…

Bagi Patung Beruang, cerita ini sangat santai dan dialognya juga santai. Terasa seperti berbual dengan sahabat karib. Tetapi dalam perbualan itu, masih ada sisa-sisa luka yang cuba untuk diselindungkan.
 
Antara petikan yang Patung Beruang suka adalah:

  • "Boleh ke saya senyum….ketawa … sambil makan jokbal ini?” Dalam nada suaranya, aku dapat rasa getar yang cuba disorokkan. Dan di sebalik getar itu, ada luka yang masih tak tertutup sepenuhnya.
  • Saat aku terima tandatangan yang kedua daripadanya, perasaan dalam dada jadi bercampur baur. Ada rasa puas, rasa lega, rasa bangga… Tetapi disebaliknya, ada satu rasa yang lebih dalam. Rasa terharu yang tak terucap, kerana malam ini dia akhirnya memilih untuk melangkah – walau hanya setapak – dalam perjuangannya melawan kenangan yang menyakitkan.
  • Alangkah bagusnya kalau lebih ramai orang seperti staf tadi wujud di dalam dunia ini. Yang sudi buat baik walaupun tak kenal siapa kita. Yang tetap senyum dan cakap, “Datang lagi nanti,” walaupun tahu aku masih belajar menjadi manusia yang lebih baik.
  • Rasa bersalah kerana tak mampu memberi yang terbaik hingga menganggap diri sebagai pesalah – bukanlah sesuatu yang asing bagi aku. Mungkin itu perasaan ibu terhadapku selama ini. Kesedihan yang datang, apabila kita percaya kitalah punca seseorang pergi terlalu awal….sebenarnya masih belum benar-benar hilang daripada kami. Ia terus tinggal diam, di sudut paling sunyi dalam hati.
  • Bahu Whimin dari tadi terlipat ke dalam, seolah-olah tak mahu sesiapa nampak kewujudan dirinya. Tetapi aku tahu, di sebalik bahu yang membongkok itu, ada macam-macam yang dia sedang tanggung. Awan gelap di atas kepalanya terasa makin berat. Aku pandang semula hujung jarinya yang tak duduk diam. Jari yang kelihatan keras dan kasar itu, mungkin dahulu pernah bebas menari di atas tali gitar. Tetapi sekarang, gitar pun dah tak ada. Dan bersama gitar itu, kebebasan dia pun hilang.
  • Rasa gelisah bukanlah sahabat baik kepada rasa yakin, tetapi selalunya, ia datang beriringan. Walaupun seseorang itu hidup dalam suasana yang stabil, kalau harga dirinya rendah, setiap hari dia akan dihurung rasa bimbang. Sebaliknya pula bagi orang yang yakin pada diri sendiri, mereka tak akan mudah goyah walau hidup dalam serba kekurangan. Rasa risau pun boleh jadi pendorong untuk mereka terus hidup.
  • Apabila kamu ada impian, itu ibarat kamu bina satu kincir angin dalam hati. Ia takkan bergerak sendiri. Kena ada angin yang kuat dan tanah yang cukup luas untuk bertapak.

 


Setelah beberapa kali membaca novel terjemahan dari Korea, Patung Beruang perasan yang lokasi seperti kedai buku, kedai serbaneka dan kini restoran pula sering menjadi rumah atau “tempat pulang”. Contohnya karya Selamat Datang ke Kedai Buku Hyunam-Dong atau pun Dallergut Dream Department Store.


Seperti kata Editor untuk naskah ini, karya-karya sebegini membawa pembaca menyelami perasaan yang lebih mendalam; tentang tujuan hidup, kerinduan, dan mungkin, kekesalan yang tidak pernah benar-benar selesai. 


Melalui suasana yang dekat dengan kehidupan seharian – kedai buku, pejabat pos, restoran – penulis menggambarkan betapa berharganya tempat-tempat kecil yang membuatkan kita selamat, terutama ketika hidup terasa berat.  


Luka kita kadang-kadang sangat kecil. Ia tidak membunuh kita, tetapi tak ubah seperti luka kecil di hujung jari yang cukup untuk membuat kita berasa terganggu sepanjang hari. Dan setiap dari kita pasti menyimpan luka seperti itu.... 


Sunday, June 15, 2025

Book Review: Pengirim Buku Dari Pintu Ke Pintu


Tajuk: Pengirim Buku Dari Pintu Ke Pintu (The Door-to-Door Bookstore)

Penulis: Carsten Henn

Penterjemah: Hasnita Shaari 

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini adalah naskah ke-10 yang berjaya Patung Beruang selesaikan pembacaannya untuk tahun ini, Alhamdulillah. 

Ketika melawat booth Biblio Press di PBAKL 2025, Patung Beruang memang sudah nekad untuk membeli naskah ini. Entah mengapa, terasa seperti naskah ini ada tarikan yang sendiri. Ternyata telahan Patung Beruang adalah tepat, hehe..


Pengirim Buku Dari Pintu Ke Pintu adalah karya terjemahan dari penulis German yang bernama Carsten Henn. Menurut petikan dari naskah ini, penulis pernah bertugas sebagai penyampai radio dan wartawan yang menulis tentang wain dan restoran, dan telah menerbitkan beberapa buah novel yang berjaya. 


Blurb: 

"Ada sebuah buku yang ditulis untuk setiap daripada kita .....

Carl mungkin sudah berusia 72 tahun, namun jiwanya masih muda. Setiap malam, dia berjalan dari pintu ke pintu, menghantar buku secara peribadi kepada pelanggan setianya, sambil memilih dengan teliti cerita paling sesuai untuk setiap seorang daripada mereka. 

Suatu malam, muncul seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun bernama Schascha. Petah dan penuh semangat, gadis kecil itu berkeras menemani Carl - malah cuba mengajarnya satu dua perkara tentang buku. 

Namun, apabila pekerjaan Carl di kedai buku mula terancam, mampukah lelaki tua itu dan gadis kecil berjaket hujan kuning itu mempertahankan cara hidup Carl - dan menyemarakkan semula keseronokkan membaca di bandar kecil Eropah mereka? " 



Carl Kollhoff dan kedai buku City Gate ibarat pasangan kembar. City Gate adalah kedai buku lama yang terletak di Jerman selatan. Carl berkhidmat di City Gate sejak berpuluh tahun dahulu, bersama dengan pengasasnya, Gustav Gruver, yang kini menghuni rumah jagaan Munsterblick. City Gate kini dalam tanggungjawab Sabine Gruber, anak perempuan Gustav. 

Bagi pelanggan City Gate, Carl bukan saja penjual buku tapi juga seseorang yang tahu apa buku yang terbaik untuk para pelanggannya secara peribadi. Kerap kali buku yang dicadangkan oleh Carl menepati selera pelanggan City Gate. Dan ini membuatkan para pelanggan lebih senang berinteraksi dengan Carl berbanding Sabine. 

Selain itu, Carl juga akan membalut setiap buku yang ditempah pelanggan, dengan sehabis baik sebelum menghantar sendiri ke rumah pelanggan tersebut. Perkhidmatan penghantaran peribadi ini telah mencetuskan satu hubungan platonik antara Carl dan para pelanggan setia City Gate. 


Munsterplatz adalah tempat paling sentimental buat Carl di kota kecil ini. Disini, setiap hari Carl akan menelusuri jalan berbatu buntar, dengan langkah perlahan dan teratur. Rutin hariannya ini menjadi nadi penting untuk penduduk kota kecil itu walaupun sangat sedikit yang mengenali Carl secara peribadi. 


Antara pelanggan setia Carl yang akan ditemuinya hampir setiap hari adalah: 

  • Christian von Hohenesch atau Carl gelarkannya sebagai Tuan Darcy (salah satu watak penting dalam novel Pride and Prejudice). Christian aka Tuan Darcy, berumur 37 tahun adalah orang terkaya di kota itu. Kekayaan keluarganya berasal dari perniagaan penyamakan kulit di tepi sungai kota sejak beberapa generasi. Beliau tidak perlu bekerja dan hanya membiarkan saham dan pelaburannya menjana pendapatan untuknya. Beliau adalah seorang lelaki yang tampan, tinggi, berambut hitam, dengan tulang pipi terbentuk dan dagu yang menarik. Sudah lama beliau tidak keluar rumah dan aktiviti sehariannya adalah membaca sehingga mampu menghabiskan sebuah buku sehari. Namun, entah mengapa raut wajahnya sentiasa kelihatan sedih atau lebih tepat lagi sunyi. 

  • Andrea Cremmen atau gelaran nama sastera diberikan Carl, Effi Briest adalah seorang wanita muda bertubuh lansing, dan berwajah jelita. Kejelitaannya itu membawanya kepada perkahwinan awal dengan Matthias, seorang lelaki berkerjaya dalam bidang insurans yang bekerja hingga larut malam dan hujung minggu. Pendapatan tinggi Matthias membuatkan pasangan muda ini mempunyai kehidupan yang selesa. Pada Carl, Andrea adalah seorang wanita yang mempesonakan namun memandangnya akan sentiasa mengundang perasaan sayu. Wanita menawan ini sentiasa menempah novel-novel emosi dan mempunyai pengakhiran yang tragis dan menyedihkan. Sangat ironi dengan pemandangan mata kasar manusia lain terhadap dirinya. Bagi Carl, Andrea mengingatkannya pada watak Effi Briest, watak utama dalam novel karya Theodor Fontane. Dalam novel tersebut, Effi adalah seroang wanita muda yang berkahwin terlalu awal, dan nasibnya tidak kurang tragis persis heroin dalam novel-novel yang sering dipesan Andrea. 

  • Dorothea Hillesheim adalah seorang wanita tua yang ceria, penuh semangat, dan gemar memakai stoking berlainan warna atau kasut yang tidak sepadan. Personaliti Dorethea mengingatkan Carl pada watak dalam buku cerita kanak-kanak - seorang gadis liar yang mencorakkan dunianya mengikut kehendaknya sendiri. Oleh itu, dia menggelarkan Dorothea sebagai Puan Longstocking. 

Mengapa Carl memberi nama gelaran pada setiap pelanggan setianya? 
Kerana bagi Carl, orang yang cintakan buku layak mendapat nama sastera. 


Kehadiran Schascha secara tiba-tiba dalam rutin Carl menyantuni pelanggan-pelanggan setianya menyedarkan Carl hakikat bahawa dia tidak benar-benar mengenali para pelanggannya. Personaliti Schascha yang ceria dan sangat prihatin dengan persekitaran telah membuka dimensi baru pada Carl dan juga para pelanggan setianya. 

Tuan Darcy yang dirasakan sangat misteri sebenarnya amat menghargai persahabatannya dengan Carl dan Schascha. Dua orang insan berbeza umur ini telah memberi pelbagai warna dalam kehidupan Tuan Darcy dalam masa yang singkat. 

Andrea yang sentiasa kelihatan anggun dan menawan rupanya menjadi mangsa kegananasan rumahtangga dan penderaan suaminya. Hanya dengan membaca novel-novel tragis, Andrea dapat berkongsi rasa sakit dan terlukanya. Namun, dengan kebijaksanaan Schascha dan pertolongan Sister Maria, penderitaan Andrea dapat ditamatkan. 

Puan Longstocking adalah bekas guru yang sangat berdedikasi. Jiwa pendidiknya masih kuat walaupun setelah bersara sekian lama. Kehadiran Hercules yang buta huruf tetapi masih memesan buku-buku dari Carl telah memberi motivasi baru pada Puan Longstocking untuk keluar dari zon selesanya. 



Tetapi perkara-perkara yang nampak menarik ini turut menarik musibah pada Carl. Persahabatan Carl dan Schascha mencetuskan kemarahan ayah Schascha sehingga membuatnya mengadu pada Sabine. Oleh itu, Carl dipecat serta-merta dari City Gate. 

Tidak cukup dengan pemecatan Carl, ayah Schascha telah menyerang dan menolak Carl sehingga lelaki tua itu jatuh cedera dan dirawat di hospital selama beberapa hari. 





Secara amnya, naskah ini santai tapi watak-watak didalamnya tidaklah sesantai yang disangka. 

Watak-watak seperti Carl, Schascha, Sabine Gruver, Tuan Darcy, Hercules, Andrea, ayah Schascha, Doktor Faustus etc. adalah gambaran manusia disekeliling kita. Carl rasa hidupnya sangat bermakna walaupun zahirnya tugasnya hanyalah membalut buku dan menghantarnya kepada pelanggan. Namun, bagi Carl, ia lebih dari itu. Buku ada kecintaan yang tersendiri. Setiap buku ada ceritanya dan setiap pelanggan juga ada ceritanya. 

Keikhlasan Carl dalam berkhidmat kepada pelanggannya menyebabkan hubungan mereka lebih dari sekadar penjual dan pembeli. Disaat Carl hilang dari radar, hampir keseluruhan kota kecil itu mencarinya walaupun akhirnya hanya Schascha yang berhasil menjumpai lelaki tua itu. 




Ada masa, Patung Beruang tersenyum melihat keletah Schascha dan perbualannya dengan Carl. Tetapi ada ketikanya, Patung Beruang rasa sebak terutama apabila Carl terlantar dihospital selepas ditolak ayah Schascha dan tiada sesiapa pun yang melawatnya disana. Titik yang paling rendah dalam naskah ini adalah ketika Carl sendiri hilang motivasi untuk hidup, berkurung dirumah dan menunggu masa untuk pergi buat selama-lamanya. 


Walaupun naskah ini adalah naskah terjemahan, namun kualiti terjemahan dari Biblio Press memang boleh diyakini. Pembacaan sangat lancar sehingga Patung Beruang terasa seperti berada di kota kecil di Jerman, sambil dikelilingi jiran-jiran bibliophiles. 

Seperti biasa, Patung Beruang suka menatap petikan-petikan menarik di dalam sesebuah naskah. Dan untuk Pengirim Buku Dari Pintu Ke Pintu, berikut adalah antara petikan kegemaran Patung Beruang:  

  • Carl tidak pernah berbohong. Sekali sebuah dusta dilepaskan ke dunia, ia tidak mungkin dapat ditarik kembali.
  • Buku-buku yang perlu dibaca berulang kali, sama seperti mutiara yang perlu dipakai untuk mengekalkan kilauannya, atau haiwan yang perlu dibelai untuk berasa disayangi. 
  • Orang sekarang semakin ramai yang tidak suka membaca. Padahal dalam setiap buku, kita akan jumpa manusia dan kisah mereka. Ada hati yang mula berdegup setiap kali seseorang membacanya, kerana buku itu telah menemui pembacanya. 
  • Apabila keseluruhan hidup tersusun seperti mekanisme jam yang halus, fungsinya akan terganggu walaupun kerana debu sekecil zarah. 
  • Membaca banyak tak menjadikan seseorang itu intelektual, sama macam makan banyak tak menjadikan seseorang itu gourmet. 
  • Aku seorang egotis - membaca semata-mata untuk keseronokkan sendiri, bukan untuk belajar tentang dunia. 
  • Kalau kamu adalah watak di dalam buku, kamu akan hidup selamanya. Selagi ada orang membacanya, kamu tetap wujud. 
  • Tidak melakukan rutin penghantaran buku memberikan kesan kepada hidup Carl seperti mencabut seketul batu kecil yang menyokong keseluruhan tembok. 



Adakah naskah ini sad ending? 
Hm... kenalah baca sendiri ye.. 

Yang pasti, Patung Beruang rasa berbaloi tidur hampir pukul 2 pagi tadi, semata-mata untuk menghabiskan naskah ini. Alhamdulillah... 

Wednesday, November 27, 2024

Book Review: Kronikel Sang Kucing Pengembara

 

Tajuk: Kronikel Sang Kucing Pengembara 

Penulis: Hira Arikawa 

Penterjemah: Iffah Syuqaira

Menariknya Naskah Ini: 

Nampaknya tahun ini Patung Beruang banyak membaca karya-karya terjemahan. Asalnya sekadar mencuba tetapi tidak sangka, serasi pula. Alhamdulillah... 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaanya hujung minggu lepas. 



Kronikel Sang Kucing Pengembara membawa pembaca kepada watak seekor kucing jantan bernama Nana. Nana sebenarnya adalah kucing jalanan dan tidak mempunyai nama. Pada awalnya, Nana suka tidur di atas wagon perak kepunyaan Miyawaki Satoru. Pertemuan pertama mereka berlangsung dengan harmoni apabila Satoru memberi Nana ayam goreng katsu untuk haiwan comel ini mengalas perut. Sejak tu, hampir setiap hari Satoru akan memberi Nana makan. 

Pada suatu hari, Nana dilanggar kereta dan cedera. Dengan bersusah-payah Nana berjalan ke kediaman Satoru demi meminta tolong. Satoru membawa Nana ke klinik haiwan dan bermula pada hari tu, Satoru memelihara Nana dan menganggapnya sebagai kucing peliharaan. 


Diam tak diam, sudah  5 tahun Nana tinggal bersama Satoru. Persahabatan antara kucing dan manusia ini sangat utuh sehingga mereka saling memahami antara satu sama lain. 

Kini, Satoru terpaksa melepaskan Nana kerana dirinya tidak akan mampu menjaga haiwan comel itu. Mereka berdua dengan menaiki wagon perak, mula mengembara demi 1 misi iaitu mencari penjaga baharu Nana. 



Calon pertama untuk penjaga baharu Nana adalah Sawada Kousuke. Satoru dan Kousuke adalah sahabat zaman kanak-kanak ketika sekolah rendah. Walapun kedua-dua lelaki ini sudah melepasi usia 30 tahun, persahabatan mereka masih lagi utuh. 

Satoru telah menghantar email kepada Kousuke meminta agar Kousuke mengambil kucing kesayangannya. Namun, tidak pula diceritakan didalam email tersebut mengapa Satoru membuat permintaan sedemikian. 

Sawada Kousuke sudah berkahwin namun belum mempunyai anak. Beliau mengusahakan studio gambar yang diwarisi dari ayahnya, Studio Gambar Sawada. Sejak kecil, hubungan Kousuke dan ayahnya tidak rapat. Ada saja perkara yang membuatkan mereka tidak sependapat. 

Ketika dizaman sekolah rendah, Kousuke dan Satoru telah menyelamatkan seekor anak kucing di dalam longkang. Anak kucing tersebut akhirnya dibela oleh keluarga Satoru dan diberi nama Hachi. Kousuke seringkali berkunjung ke rumah Satoru demi bermain-main dengan Hachi. 

Setelah ibu ayah Satoru meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, Satoru dijaga oleh adik perempuan ibunya, iaitu Mak Cik Noriko. Noriko yang merupakan seorang peguam, menetap di bandar lain. Oleh itu, Satoru terpaksa berpindah dan meninggalkan Kousuke. Oleh kerana pihak pengurusan di blok kediaman Noriko tidak membenarkan haiwan peliharaan, dengan berat hati Satoru menyerahkan Hachi untuk dijaga oleh pak cik jauhnya. 

Sayangnya sejak itu, Satoru tidak lagi berpeluang untuk berjumpa dengan Hachi dek kerana jarak yang jauh antara mereka. Namun, pak cik sentiasa mengirimkan gambar terkini Hachi demi mengubat kerinduan Satoru. 



Pertemuan semula Satoru dan Kousuke demi mencari penjaga Nana telah membuka peluang untuk kedua-dua sahabat bertukar cerita dan mengimbau kenanagan zaman persekolahan serta kenakalan mereka. 

Sayangnya, Nana tidak rela untuk Kousuke menjadi penjaga baharunya. Oleh itu, Satoru dan Nana meneruskan pengembaraan mereka untuk berjumpa dengan calon yang berikutnya. 




Destinasi kedua adalah sebuah perkampungan ladang yang perjalanan daratnya berjam-jam lamanya. Disana, Satoru berjumpa dengan rakannya ketika bersekolah menengah rendah, iaitu Yoshimine Daigo. 

Yoshimine Daigo seorang petani yang berjaya. Sedari kecil lagi, dia minat bercucuk-tanam terutama apabila berpindah dan menetap bersama nenek. 

Yoshimine adalah anak tunggal kepada pasangan korporat yang berjaya di Tokyo. Seorang anak yang baik. Namun, kedua ibu bapanya sangat sibuk bekerja sehingga mereka tidak mampu meluangkan masa walau sedikit pun untuk Yoshiminie. Bagi mereka, segala keperluan material Yoshimine sudah disediakan lebih dari cukup.  Oleh itu, mereka berharap agar Yoshimine boleh memaafkan mereka apabila sering ditinggalkan bersendirian di rumah.

Apabila ibu ayah Yoshimine bercerai, dia membuat keputusan untuk tinggal bersama nenek yang jauh dari Tokyo. Di perkampungan nenek ini lah Yoshimine berkenalan dengan Satoru. 


Tanpa diduga, kedua-dua remaja lelaki yang kehilangan ibu ayah ini rupanya sangat serasi. Satoru seorang yang matang dan pencinta haiwan, Yoshimine seorang yang serious, suka buat hal sendiri tetapi sangat berbakat dalam berkebun. Malah, nenek Yoshimine juga sudah menganggap Satoru seperti cucunya sendiri. 

Persahabatan mereka berdua ibarat simbiosis. Satoru yang sering bersendirian dek kerana kesibukan Noriko sebagai peguam, menganggap Yoshimine dan nenek sebagai ahli keluarga baharunya. Nenek yang tidak pernah dimilikinya sebelum ini. Nenek pula rasa lega kerana kehadiran Satoru dianggap sebagai peneman Yoshimine dan pengubat hatinya yang terluka akibat perceraian ibu bapanya. Yoshimine pula yang selama ini sering ditinggalkan sendirian, terasa seperti mempunyai seorang abang atau adik dengan hadirnya Satoru. 


Kini, dua sahabat ini berjumpa semula tetapi dalam situasi yang berbeza. Nenek sudah meninggal dunia. Yoshimine tinggal bersendirian menguruskan ladangnya. Di rumah, Yoshimine ada seekor kucing oyen yang masih muda. Tetapi oyen ini sangat lembik berbanding Nana. Lagaknya seperti dia tidak bercita-cita pun untuk menjadi seekor kucing, hehehe...




Naskah yang mempunyai 267 muka surat ini Patung Beruang ambil masa hampir 3 minggu untuk selesaikan pembacaanya. 

Naskah yang membawa tema persahabatan, kasih sayang sesama ahli keluarga, pencinta haiwan, rasa sangat soothing saja bila membaca. Tapi.... jangan tertipu, hehehe.. 

Sebenarnya naskah ini penuh rencah. Ada satu ketika, Patung Beruang akan tersenyum atau tergelak sendiri ketika membaca dialog atau monolog Nana, si kucing yang bertuah itu. 

Pada ketika lain pula, Patung Beruang rasa sebak, sayu bila membaca hakikat kisah Satoru dan orang-orang disekelilingnya. Kisah hidup Satoru ini menyedihkan namun dia sangat optimist dan kuat untuk menjalani hari-hari mendatang. 



Seperti kebiasaanya, naskah terbitan Biblio Press tidak perlu dipertikaikan kualitinya. Walau ini adalah karya terjemahan, hasilnya sangat smooth dan terasa seperti kita sedang menatap naskah ini dalam bahasa asal. Alhamdulillah... 

Sunday, November 24, 2024

Book Review: Migrasi Yang Berlumpur (Thinking People)


Tajuk: Migrasi Yang Berlumpur (Thinking People)

Penulis: Jeong Young-Sun

Penterjemah: Shafiqah Azman

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaanya 2 minggu lepas. Jika tidak silap, Patung Beruang berjaya habiskan naskah ini dalam masa kurang 24 jam, Alhamdulillah. 

Pertama kali Patung Beruang jumpa naskah ini di Jualan Warehouse Iman Publication, di Iman Warehouse, Kajang. Bila baca blurb, terus rasa tertarik hati dan Patung Beruang nekad untuk membelinya. Ternyata, ia adalah keputusan yang tepat, Alhamdulillah...


Blurb: 

Korea Utara merupakan satu-satunya tempat pada abad ke-21 yang tidak ada kebebasan bergerak. Disebabkan itulah, ada rakyatnya yang nekad untuk melarikan diri ke Korea Selatan walaupun nyawa mereka menjadi taruhan. 

Protagonis buku ini, Juyeong, telah menghadiri temu duga di sebuah syarikat penerbitan. Di sana, dia bertemu dengan Ejen Perisikan Nasional Ko yang memerintahkan Juyeoung untuk memantau komen di internet. 

Selepas pilihanraya Presiden, Ko menawarkan pekerjaan kontrak kepada Juyeong di UNIWON, sebuah organisasi pendidikan penempatan semula yang membantu pembelot Korea Utara. Di sana, Juyeong bertemu dengan anak-anak Korea Utara yang telah melarikan diri ke Korea Selatan atas pelbagai sebab. 

Melalui kisah kanak-kanak seperti Suji yang datang ke Korea Selatan bagi mencari kebebasan dan Changju yang ingin mencari wang untuk bermain bola sepak, kita dapat memahami kehidupan kanak-kanak dari Korea Utara yang tidak hanya menderita kerana kesepian dan keterasingan di tempat asing, tetapi juga terpaksa membuktikan diri agar mereka dapat diterima oleh masyarakat Korea Selatan. Dalam masyarakat yang didorong oleh neo-realisme, kebebasan mereka terbatas. Label "pembelot Korea Utara" bagaikan sudah melekat pada diri kanak-kanak ini. 


Menariknya naskah ini adalah kerana prakatanya ditulis oleh Kim Sung Kyung, seorang pensyarah Universiti Pengajian Korea Utara dan tema tulisan beliau adalah "Pembahagian Kawasan, Perpecahan dan Pembelot Korea Utara". 

Perpecahan rakyat Korea memberi kesan luaran dan dalaman kepada penduduk mereka. Rakyat Korea Utara sering dilayan dengan dengan rasa tidak percaya dan orang Korea Selatan akan menjauhkan diri daripada mereka. 

Migrasi rakyat Korea Utara ke Korea Selatan sebenarnya tidaklah semudah yang disangka. Selain dari sunyi dan terasing di Korea Selatan, mereka juga terpaksa berusaha sehabis kuat untuk membuktikan yang mereka berguna di Korea Selatan. Di sini, label "Korea Utara" akan sentiasa melekat pada mereka. Mereka tidak boleh sesuka hati bercerita kisah kehidupan mereka. Oleh kerana mereka tidak mempunyai kelulusan dan kemahiran yang setara dengan rakyat Korea Selatan, pilihan pekerjaan juga sangat terhad dan mudah untuk menjadi mangsa ketamakan peniaga atau majikan yang kapitalis. 

Apabila rakyat Korea Utara tiba di Korea Selatan, mereka perlu tinggal di Hanawon atau Pusat Sokongan Penyelesaian untuk Pelarian Korea Utara, selama 3 bulan. Ini adalah untuk membantu mereka membiasakan diri di Korea Selatan dan mempelajari sistem kurikulum di negara ini. 


Naskah Migrasi Yang Berlumpur ini sedap tetapi dalam masa yang sama sangat menyesakkan. Penulis berjaya menyampaikan segala gejolak perasaan dan bebanan jiwa yang ada dalam setiap watak, i.e. Byung Uk, Seon Ju,  Suji dan Changju. 

Momentum cerita sangat laju sehingga Patung Beruang boleh membaca tanpa berhenti seolah-oleh seperti ingin sampai ke mukasurat terakhir seberapa cepat yang boleh. Semuanya demi mengetahui penamat cerita ini. 

Namun, penamat kisah ini bukan lah happy ending. Bukan juga sad ending yang melampau. Ia lebih kepada moto, "hidup ini perlu diteruskan walau apa pun yang anda hadapi. Berusahalah untuk teruskan perjalanan walau ada 1001 halangan yang menunggu di hadapan." 

Yang pasti, selepas tamat cerita ini, Patung Beruang sedar yang tajuk Migrasi Yang Berlumpur itu adalah tepat. Ibarat lumpur, walaupun sudah kering, kesannya pasti ada. Begitu juga dengan rakyat Korea Utara. Setelah bertahun-tahun mereka berhijrah dan berasimilasi dengan kehidupan di Korea Selatan, jati diri dan stigma sebagai rakyat Korea Utara akan tetap melekat pada mereka... 

Thursday, August 15, 2024

Book Review: Selamat Datang Ke Kedai Buku Hyunam-Dong


Tajuk: Selamat Datang Ke Kedai Buku Hyunam-Dong

Penulis: Hwang Bo-Reum

Penterjemah: Azzah AR

Menariknya Naskah Ini: 

Ini adalah naskah terkini yang baru saja Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada hari Ahad lepas. Secara amnya, Patung Beruang mengambil masa hampir 12 jam untuk menghabiskan naskah ini. 

Beberapa bulan lepas, ketika Patung Beruang dan Crime Partner berkunjung ke MPH TRX, Crime Partner tertarik dengan naskah ini yang berbahasa Inggeris dan terus membelinya. 

Naskah ini menjadi bualan hangat rakan-rakan bibliophiles dan jika dilihat di carta jualan, ia termasuk dalam kategori laris di peringkat antarabangsa. 

Setelah Crime Partner habis membacanya, naskah ini elok terletak di rak buku dan Patung Beruang berazam untuk membacanya satu hari nanti. Namun, tidak lama kemudian Patung Beruang terbaca pengumuman dari Cik Puan Azzah yang beliau telah menterjemahkan karya ini ke Bahasa Melayu. Wah.. bestnya. Patung Beruang nekad untuk memiliki naskah Bahasa Melayu sebagai penambah koleksi. 

Akhirnya, awal bulan hari tu, impian Patung Beruang untuk memiliki naskah terjemahan Bahasa Melayu ini tercapai tatkala berkunjung ke MPH DPulze. Alhamdulilah.. 

Baiklah, cukuplah cerita Patung Beruang. 

Sekarang, mari kita selami pula kisah Kedai Buku Hyunam-dong ini dan mengapa ia jadi bualan hangat di pasaran. 


Blurb: 

Kedai buku kecil itu satu perhentian yang sederhana, tersembunyi di dalam lorong kecil, tersudut di sebuah kejiranan di pinggir kota Seoul. Di sebalik pintunya, Yeongju dengan senyuman yang jarang pudar menguruskan segala-galanya dengan bantuan Minjun, barista yang mahir dalam seni kopi. 

Kedai Buku Hyunam-dong bukan sekadar tempat berteduh bagi tubuh, bahkan sebuah destinasi untuk berlabuh bagi jiwa-jiwa yang memiliki luka dan berasa kehilangan sebahagian daripada diri. Namun, membawa harapan dalam skala berbeza. 

Disini, mereka bersama-sama menemukan semula kilauan budi, empati dan solidariti yang mendamaikan dalam sebuah persahabatan. Buku-buku yang menghubungkan mereka, menyembuhkan luka. Dan perbualan-perbualan tulus penuh makna, mengingatkan bahawa tidak pernah terlewat untuk menamatkan plot lama dan memulakan kisah baharu dari halaman pertama. 



Yeongju, gadis muda yang bekerja di korporat, berkahwin dengan Changin, pekerja teknikal di syarikat yang sama. Kedua-duanya sangat serasi dan gila bekerja. Pasangan ini akhirnya memutuskan untuk berkahwin kerana yakin tiada orang yang lebih baik untuk mereka, kerana mereka saling memahami. 

Yeongju dan Changin, sama-sama beriringan memburu kejayaan. Kedua-duanya workholic, lebih sering berjumpa di kantin pejabat berbanding di dapur rumah. Seluruh syarikat tahu betapa berjayanya pasangan ini dalam mengendalikan pelbagai projek syarikat. 

Segala-galanya nampak sempurna sehingga pada suatu hari Yeongju mengalami simptom burnout yang sangat teruk. Yeongju bergegas mendapatkan nasihat dan rawatan dari pakar. Namun, keadaan tidak pulih sehingga Yeongju nekad untuk berhenti kerja dan ingin mengembara. Yeongju berusaha memujuk Changin untuk sama-sama bebas sebentar dari dunia korporat. 

Sayangnya Changin menolak permintaan Yeongju. Penolakan itu sangat menyakitkan sehingga Yeongju terasa yang tiada guna lagi perkahwinan mereka kerana Changin tidak berusaha untuk menjadi pasangan yang terbaik dalam apa jua situasi Yeongju. Rumahtangga yang aman damai mula retak dan akhirnya pasangan ini bercerai. 

Perceraian Yeongju dan Changin bukan saja menghilangkan Changin dalam hidupnya tetapi Yeongju juga dibuang ibu kandungnya sendiri kerana merasakan keputusan dan tindakan Yeongju itu salah. 

Yeongju bergelut dengan kesihatan mentalnya tanpa sokongan dari keluarga terdekat. 



Sedari kecil Yeongju sangat suka membaca. Baginya, perpustakaan dan kedai buku adalah dunia impiannya. Oleh itu, Yeongju nekad untuk kembali mencari dirinya dengan cara membuka kedai buku indie. Maka, lahir lah Kedai Buku Hyunam-dong, syurga baru Yeongju dalam usahanya untuk kembali bangkit dan melangkah dengan yakin dalam kehidupan baharunya. 

Kedai Buku Hyunam-dong bukan sekadar kedai buku biasa. Kedai ini dipenuhi dengan pelbagai buku-buku yang bagus dan bukan semata-mata buku yang laris dipasaran. Ini kerana bagi Yeongju buku-buku terlaris tidak semestinya bagus pengisiannya. 

Selain itu, pelanggan juga boleh membeli kopi, hasil tangan barista bernama Minjun, yang sangat berseni dan suka bereksperimen. 

Kedai buku ini sangat menenangkan dan para pelanggan akan sentiasa rasa dialu-alukan tatkala melangkah kaki ke dalam. Muzik yang lembut dan mendamaikan, warna dan pencahayaan yang menenangkan, bau biji kopi yang semerbak dan barisan buku-buku yang tersusun kemas seolah-olah menggamit pengunjung untuk menghabiskan masa disini tanpa risau. Jika penat berdiri, ada saja ruang yang diletakkan kerusi dan meja untuk pengunjung duduk dan membaca tanpa gangguan. 


Di dunia Kedai Buku Hyunam-dong, penghuninya bukan setakat Yeongju dan Minjun. Terdapat juga Mincheol, remaja lelaki yang tidak minat belajar dan tiada cita-cita tetapi dipaksa datang ke kedai ini oleh ibunya, Heeju untuk belajar mengenai kehidupan. Ternyata Heeju mengambil tindakan yang tepat apabila akhirnya Mincheol menyedari minatnya dan mula berusaha untuk mempunyai impian seperti orang lain. 

Heeju, seorang suri rumah dan antara pelanggan awal Kedai Buku Hyunam-dong. Wanita ini saksi betapa kuat dan tabahnya Yeongju untuk bangkit dari luka lamanya dan seterusnya tumbuh berkembang bersama-sama dengan Kedai Buku ini. 

Seungwu, seorang pengkritik bahasa dan kemudiannya menjadi penulis, juga tertarik dengan Kedai Buku tersebut ketika pertama kali menjejakkan kakinya. Yeongju meminati hasil tulisan Seungwu dan Seungwu pula meminati keperibadian Yeongju. Keserasian dan minat yang sama menyebabkan perhubungan mereka berkembang dari sekadar penulis dan penjual buku kepada persahabatan yang akrab, membibitkan rasa kasih sayang sesama mereka. 

Terdapat juga Jimi, pembekal biji kopi merangkap teman baik Yeongju. Wanita ini luarannya nampak keras namun dia diuji dengan perkahwinan parasit. 

Sangsu, lelaki ulat buku dan mula bekerja di Kedai Buku Hyunam-dong tatkala kedai tersebut mula mendapat sambutan hangat disebabkan pelbagai aktiviti berkaitan buku dan publisiti dari media mengenai kedai tersebut dan Yeongju sendiri. 



Mengapa Patung Beruang boleh selesaikan naskah ini dalam masa kurang dari 12 jam? Gigihkan? hehehe...  Kerana dari muka surat pertama lagi, naskah ini berjaya menambat hati Patung Beruang. Membacanya terasa warm, cozy, seperti kita mengenali kesemua watak yang ada dalam naskah ini. 

Setiap watak ada luka dan parut yang tersendiri. Tetapi melihatkan persahabatan dan empati yang ada pada setiap orang, seperti memberi harapan bahawa tidak mengapa jika hari ini sangat teruk untuk kita. Teruskan melangkah kerana hari esok pasti lebih baik. Langkahlah walau sekecil mana pun kerana langkah yang kecil itu adalah petanda kita masih berusaha untuk bergerak ke hadapan. 


Naskah ini juga mengandungi petikan dari banyak buku-buku lain, sebagai cara menunjukkan kecintaan Yeongju terhadap buku. Secara tidak langsung, ini juga petanda yang penulis asal naskah ini iaitu Hwang Bo-Reum juga adalah seoang pembaca tegar. Patung Beruang sangat tertarik dengan caranya berkongsi buku-buku yang bagus untuk pembaca sekalian. 


Oh ya, ayat-ayat dalam naskah ini juga sedap. Kualiti terjemahan Cik Puan Azzah sangat terserlah sehingga kita tidak terasa yang ini adalah naskah terjemahan. 

Antara ayat-ayat yang Patung Beruang suka adalah: 

  • Sepanjang pengembaraan dalam hidup ini, tidak mengapa jika kita menunjukkan sisi diri yang mudah terluka. 
  • Sebuah pekan tanpa kedai buku, bukanlah sebuah pekan. Boleh sahaja ia menggelar dirinya pekan. Namun, selagi tiada kedai buku di situ, ia sendiri tahu tiada sesiapa yang akan dapat dibodohkan. 
  • Apa yang dia perlukan bukanlah ayat motivasi yang berdegar-degar, sebaliknya sesuatu yang membuatkan tubuhnya berasa hidup. 
  • Air mata takkan berhenti. Namun, jika kita terasa mahu menangis, kita perlu menangis. Menahan air mata secara paksa hanya akan melambatkan penyembuhan luka. 
  • Keterpencilan memerdekakan kita, sebagaimana kesunyian memberikan hidup kita makna yang mendalam. 
  • Lama-kelamaan dia semakin memahami cara perempuan itu memperkaya hidup dengan berpindah-randah antara dua dunia, mengapungkan diri di awan pemikiran dan membumikan diri pada realiti. 
  • Penulisan adalah kerja yang saya mahu cuba lakukan. Jadi, daripada risau sama ada saya berbakat ataupun tidak, saya beritahu diri sendiri supaya mula menulis, buat sahaja. Saya mahu hidup begini sekurang-kurangnya sekali dalam hayat saya. 
  • Perkara yang menggerakkan hidup ke hadapan ialah keputusan. Terlintas di fikirannya, yang perlu dia lakukan bukanlah berputus asa, tetapi membuat keputusan untuk keluar dari jalan yang dilalui selama ini. 
  • Minju bertekad untuk menjadi seperti Seymour, tidak menyesali keputusan sendiri. Namun, hakikatnya yang dia perlukan bukanlah tekad tetapi keberanian. Keberanian supaya tidak goyah berhadapan dengan kekecewaan orang terhadap dirinya. Keberanian untuk teguh dengan kepercayaan dan pilihannya sendiri. 
  • Jangan kehilangan diri sendiri sama ada ketika bekerja ataupun tidak. Jika kerjaya kamu tidak menggembirakan ataupun tidak memuaskan hati, jika setiap hari kerja itu dirasakan sia-sia dan menyakitkan, maka carilah pekerjaan lain. 
  • Pekerjaan seperti makanan. Makanan yang kita makan setiap hari. Makanan yang mempengaruhi badan, fikiran, jiwa dan roh kita. 
  • Menempuh hari demi hari dengan baik, sama seperti menjalani kehidupan yang baik. 



Kesimpulannya, Patung Beruang harap sangat agar ramai yang dapat membaca naskah ini. Bacalah walaupun sekali, untuk kita lebih menghargai dan menikmati jalan kehidupan kita.

Terima kasih Cik Puan Azzah atas karya terjemahan yang sangat sedap ini. Alhamdulillah... 

Semoga satu hari nanti Patung Beruang akan berjumpa dengan Kedai Buku Hyunam-dong Patung Beruang sendiri, Aamiin... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...