Penulis: Fakir Baykurt
Penterjemah: Balqis Rashid
Menariknya Naskah Ini:
Ini merupakan naskah ke-9 yang berjaya Patung Beruang habiskan tahun ini, Alhamdulillah.
Sebenarnya, naskah ini telah selesai dibaca pada bulan lepas. Namun, disebabkan kesibukan yang tidak dapat dielakkan, baru hari ini Patung Beruang berpeluang untuk berkongsi tentangnya. Maaf atas kelewatan ini....
Yang lebih melucukan, naskah ini dibeli ketika PBAKL 2025. Selepas setahun berada dalam simpanan, akhirnya tiba juga giliran untuk membacanya.
Masalahnya, PBAKL 2026 pula baru sahaja melabuhkan tirainya beberapa minggu lepas. Dan seperti tahun-tahun sebelumnya, Patung Beruang tetap pulang dengan beberapa buah buku baharu. Hm.. rasanya jumplah buku yang masih belum dibaca, malah plastic pembalutnya pun belum dibuka, sudah mencecah sekitar 30 - 40 buah.
Nampaknya, Patung Beruang kena "berpuasa" daripada membeli buku untuk tempoh beberapa bulan akan datang. Entah berjaya atau tidak, itu cerita lain pula, hehehe...
Pustawakan Berkeldai mengisahkan Dimitrios Katsikas, seorang lelaki muda dari Larisa, Greece datang ke Urgup, Anatolia. Dimitrios lepasan bidang teologi dan falsafah di Universiti Thessaloniki. Kini, dia adalah pensyarah muda di universiti yang sama, mengajar Sejarah Tamadun dan Seni Bina.
Kedatangan Dimitrios ke Urgup adalah demi mencari asal-usul keluarganya, yang berasal dari tanah bersejarah itu sebelum berhijirah ke Greece.
Ketika di Urgup, dia berkenalan dengan Aziz Guzelgoz atau lebih dikenali sebagai Aziz Baba, seorang tokoh berpengaruh dikawasan itu. Aziz memperkenalkan Dimitrios dengan ayahnya, Mustafa Guzelgoz, atau lebih dikenali sebagai "Pustakawan Berkeldai".
Ketika Mustafa Guzelgoz menguruskan perpustakaan di Urgup, beliau telah membawa buku kepada penduduk di lebih dari 30 buah kampung dengan menggunakan keldai. Itulah asal-usul gelaran "Pustakawan Berkeldai" yang diberikan kepadanya. Kini, walaupun Mustafa sudah bersara, beliau masih dikenali dengan nama itu.
Persahabatan Dimitrios dan Mustafa membuatkan Dimitrios banyak belajar sejarah masyarakat Urgup, termasuklah kisah hidup Mustafa sendiri.
Mustafa mula bertugas sebagai penjaga perpustakaan pada 1 Julai 1944, dengan gaji 40 lira sebulan. Mustafa sangat gembira apabila dilantik sebagai penjaga perpustakaan di Urgup. Ini kerana dirinya dan isteri, Hanife sangat mencintai buku-buku. Mustafa juga banyak belajar dari Encik Kemal, seorang guru falsafah, berkenaan pemikiran-pemikiran baharu. Mustafa sedar betapa pentingnya buku-buku dalam membangkitkan kesedaran manusia dan bangsa. Kesedaran itu menyebabkan keinginan Mustafa untuk menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai pustakawan semakin membara.
Ketika itu, rekod perpustakan menunjukkan terdapat 2,300 buah buku termasuk buku tulisan tangan, buku bercetak, dan buku-buku yang ditulis dalam tulisan lama. Malah, terdapat juga buku-buku lama yang dibuang ke dalam ruang bawah tanah, dan ini menyebabkan buku-buku itu terdedah kepada kelembapan.
Demi menyelamatkan buku-buku lama dari terus rosak, Mustafa membentangkan permaidani dan cadar di atas padang, dan menyusun buku-buku yang lembap di bawah matahari. Dia menyusun buku-buku tersebut satu per satu, membuka halamannya, dan membalikkan jilid-jilidnya. Dalam sehari, Mustafa dapat mengeringkan 20 hingga 30 buah buku, dan dengan cara ini, dia dapat menyelamatkan kesemua buku-buku tersebut.
Dalam kesibukan Mustafa bertugas sebagai pustawakan, dia juga diamanahkan oleh Pegawai Daerah untuk membentuk satu pasukan bola sepak daerah Urgup. Bagi menyemarakkan minat membaca dikalangan anak muda, Mustafa telah meletakkan syarat bahawa pemuda-pemuda yang ingin bermain dalam pasukan bola sepak daerah mereka mestilah datang ke perpustakaan dan membaca buku. Mulanya cadangan tersebut dibangkang oleh para pemuda, tetapi akhirnya mereka sedar maksud permintaan Mustafa itu. Bagi Mustafa, gol bermula dari kepala, kemudian barulah kaki. Para pemain mesti menjaringkan gol dengan pemikiran dahulu, kemudian dengan kaki.
Kini, para pemuda mula datang ke perpustakaan. Mustafa memberikan novel-novel yang mereka suka. Dia meminta mereka menceritakan apa yang telah mereka baca. Dia memeriksa sama ada mereka benar-benar faham apa yang telah dibaca. Setelah itu, Mustafa mendaftarkan mereka dalam pasukan bola sepak dan mula bermain perlawanan sesama sendiri. Setiap petang, mereka berlatih selama 2 jam.
Ternyata strategi Mustafa berjaya. Pasukan bola sepak Urgup kini sering menang setiap kali berlawan dengan pasukan dari daerah lain. Kemenangan demi kemenangan yang dicapai menggembirakan hati Pegawai Daerah. Demi membalas jasa Mustafa, Pegawai Daerah membina sebuah perpustakaan baharu di Urgup, yang lebih besar, selesa dan teratur untuk kegunaan masyarakat.
Di Urgup, hampir setiap kampung ada bilik rakyat. Bilik rakyat ini biasanya digunakan untuk mesyuarat bersama penduduk kampung, pusat aktiviti penduduk atau juga perpustakaan mini. Sayangnya, banyak bilik rakyat tidak diselenggara, sehingga menyebabkan ia terbiar begitu saja. Akhirnya, ada bilik rakyat yang telah bertukar menjadi kandang kambing atau lembu.
Disebabkan ketiadaan suasana yang kondusif di bilik rakyat, Mustafa buntu untuk membawa buku kepada penduduk kampung. Setelah puas berfikir siang dan malam, tiba-tiba terlintas idea di fikirannya untuk membawa buku-buku ke kampung dengan menggunakan keldai. Dengan cara itu, dia boleh memupuk kebiasaan membaca di kalangan penduduk kampung.
Pada lawatan pertama Mustafa bersama keldai yang mengangkut buku-buku, dia berjaya mengedarkan 10 buah buku di sebuah kampung, 17 buah buku di kampung lain, dan 28 buah buku di kampung berikutnya. Setiap buku yang diambil oleh penduduk kampung, Mustafa akan mencatat nama penduduk tersebut, nama keluarga, judul buku yang diambil, nama penulisnya dan tarikh buku diambil. Maka, lengkaplah daftar peminjam buku untuk perpustakaan bergeraknya. Inilah permulaan Mustafa digelar "Pustakawan Berkeldai".
Lumrah kehidupan, pembaharuan yang dibuat pasti akan menimbulkan rasa kurang senang pada orang lain. Walaupun zahirnya apa yang dilakukan oleh Mustafa sangat bermanfaat kepada penduduk kampung di daerah Urgup, kejayaan dan populariti yang dikecapinya menimbulkan rasa dengki sesetengah pihak.
Kemuncaknya apabila Mustafa dituduh menggelapkan duit yang disalurkan kerajaan, untuk kepentingan peribadi. Walaupun akhirnya tuduhan tersebut ternyata palsu, Mustafa tetap diminta bersara awal oleh pihak atasan dengan alasan untuk menjaga nama baiknya.
Membaca bahagian ini membuatkan Patung Beruang terdiam seketika.
Kadang-kadang, bukan kegagalan yang menjatuhkan seseorang. Sebaliknya, kejayaan dan keikhlasan itulah yang mengundang musuh yang tidak disangka-sangka.
Pada pandangan Patung Beruang, Pustakawan Berkeldai bukan sekadar sebuah novel tentang seorang pustakawan. Ia sebenarnya mengangkat pelbagai isu sosial yang masih relevan sehingga hari ini.
Antara perkara yang paling menarik perhatian ialah bagaimana ahli politik digambarkan sanggup melakukan apa sahaja demi meraih sokongan masyarakat. Hiburan, jamuan mewah, dan pelbagai "gula-gula" diberikan kepada rakyat, sedangkan usaha membangunkan ilmu, adab, dan pemikiran masyarakat sering diketepikan dengan alasan tiada peruntukkan kewangan.
Selain itu, novel ini turut menyentuh isu akses pendidikan untuk wanita. Di sesetangah kampung, kaum wanita tidak dibenarkan ke perpustakaan kerana dianggap boleh mengundang maksiat akibat pergaulan antara lelaki dan wanita. Wujud juga kepercayaan bahawa wanita tidak perlu membaca kerana tugas mereka sekadar mengurus rumahtangga.
Membaca bahagian ini membuatkan Patung Beruang bersyukur kerana pada masa kini, semua wanita berpeluang mendapatkan pendidikan dan mengejar ilmu tanpa mengira latar belakang sosial mereka.
Oh ya, naskah ini juga mengingatkan pembaca bahawa minat membaca perlu dipupuk sejak kecil. Namun bagaimana kanak-kanak mahu mencintai buku jika bahan bacaaan yang sesuai untuk mereka hampir tiada?
Mustafa tidak berputus asa. Beliau menulis surat kepada warga Urgup yang telah berhijrah ke Istanbul dan berjaya dalam kehidupan, memohon sumbangan buku-buku kanak-kanak untuk perpustakaan daerah.
Usahanya berhasil. Sedikit demi sedikit, kotak-kotak buku mula tiba di Urgup, membuka peluang kepada anak-anak kampung untuk mengenali dunia melalui pembacaan.
Jujurnya, ketika membaca bahagian ini, Patung Beruang teringat naskah Leaving Microsoft to Change the World, tulisan John Wood. Naskah ini pernah Patung Beruang kongsikan disini. Betapa pentingnya menyediakan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak dalam usaha masyarakat melahirkan generasi hebat dimasa hadapan.


No comments:
Post a Comment