Sekadar untuk mengeluarkan apa yang terperangkap di minda ini.
Bukan tentang sesiapa.
Bukan juga tentang apa yang pernah berlaku.
Cuma tentang satu perkara yang Patung Beruang pelajari beberapa hari lepas -
"Adakalanya, manusia perlu cukup berani untuk berdepan semula dengan sesuatu yang pernah ditinggalkan. Untuk berjumpa kembali dengan seseorang dari masa lalu.
Bukan untuk membuka kembali luka lama.
Bukan untuk menghidupkan semula cerita yang telah selesai.
Tetapi supaya kita benar-benar sedar bahawa kita sudah berubah, sudah dewasa, dan sudah berada di tempat yang berbeza."
Ada masa dalam hidup, kita memilih untuk menutup sesuatu begitu rapat sehingga kita sendiri tidak lagi mahu menyentuhnya.
Kita terus berjalan.
Tahun berganti tahun.
Kita menjadi dewasa, membina kehidupan, mengumpul pengalaman, belajar tentang kehilangan, tentang kasih sayang, tentang manusia dan akhirnya tentang diri sendiri.
Sehinggalah..
Pada suatu hari, tanpa dirancang, masa lalu itu muncul semula di hadapan kita.
Dan anehnya..
Kali ini, ia tidak terasa seperti dahulu.
Mungkin kerana lukanya sudah sembuh. Mungkin kerana kita sudah belajar memandangnya dari perspective yang berbeza.
Atau mungkin.. kerana akhirnya kita sedar, kita sudah tidak berada di tempat yang sama.
Begitulah kehidupan.
Ada insan yang pernah begitu dekat dengan kita, tetapi akhirnya menjadi sebahagian daripada sejarah. Bukan kerana segala yang pernah berlaku itu tidak bermakna. Tetapi kerana hidup membawa kita ke persimpangan yang berbeza.
Dan apabila sampai di persimpangan itu, kita perlu cukup matang untuk menerima bahawa tidak semua jalan perlu kita tempuh bersama.
Patung Beruang percaya, ada perpisahan yang tidak memerlukan permusuhan. Ada penutup yang tidak memerlukan sesiapa menjadi penjahat. Dan ada janji yang terlalu bernilai untuk dimungkiri hanya kerana masa telah mengubah banyak perkara.
Terima kasih untuk segala ilmu selama berpuluh-puluh tahun ini.
Untuk segala pengalaman. Untuk segala perkongsian. Untuk segala cerita tentang kehidupan. Dan untuk kenangan yang terbina di waktu dahulu.
Kita akhirnya belajar bahawa tidak semua keputusan harus tunduk kepada kehendak hati. Ada ketika akal perlu menjadi compass yang menunjukkan arah. Dan iman menjadi sauh yang menahan kita daripada hanyut.
Jika suatu hari nanti takdir menemukan kita kembali, tanpa dirancang dan tanpa diduga, mungkin kita boleh bertegur sapa sebagai sahabat lama.
Duduk sebentar. Bercerita tentang kehidupan yang telah membawa kita ke jalan masing-masing, sambil menikmati secawan kopi.
Dan apabila kopi itu selesai, begitu juga cerita kita.
Kita bangun. Tersenyum. Kemudian melangkah pergi. Masing-masing menuju destinasi sendiri. Tanpa perlu menoleh kembali.
Bukan kerana kita lupa. Tetapi kerana kita sudah berdamai.
Ada perkara yang cukup untuk dikenang tanpa perlu perlu dimiliki semula.
Ada janji yang tidak perlu diulang untuk membuktikan bahawa kita masih memegangnya. Cukup dengan menunaikannya.
Dan yang terakhir sekali..
Ada pintu yang apabila ditutup dengan baik, tidak perlu kita buka lagi....


No comments:
Post a Comment