Sunday, October 11, 2026

Book Review: Tuhan, Maaf Kami Sedang Sibuk


Tajuk: Tuhan, Maaf Kami Sedang Sibuk

Penulis: Ahmad Rifa'i Rif'an

Penterjemah: Nor Mustaiqazah Juri


Menariknya Naskah Ini: 

Allahuakbar...

Lamanya Patung Beruang tak menulis disini. Rindu sangat nak mencoret tapi apa kan daya, masa tidak mengizinkan. 

Sepanjang Patung Beruang hiatus dari blog ini, ada beberapa buku yang sempat dihabiskan, Alhamdulillah. 

Ada juga macam-macam peristiwa yang berlaku, asam garam kehidupan yang setiap satunya memberi pengalaman kepada diri ini. Apapun, bersyukur kerana masih bernafas sehingga ke saat ini, Alhamdulillah...


Pagi ini baru Patung Beruang dapat duduk bertenang. Membaca dan menulis,  sambil ditemani secawan kopi latte dan seekor Dak Yot yang setia menunggu di tepi meja tulis ini. Untuk seorang introvert, bersendirian adalah moment yang paling ditunggu-tunggu. This is how I recharge. What a lovely morning..


Naskah ke-14 yang berjaya Patung Beruang selesaikan untuk tahun ini. 

Tuhan, Maaf Kami Sedang Sibuk ini Patung Beruang beli di PBAKL 2026. 

Hm.. Nampaknya, naskah ini berjaya memotong giliran membaca kerana ada banyak lagi buku-buku yang dibeli tahun-tahun dahulu, tetapi masih belum dibaca, hehehe.. 


"Tuhan, maaf, kami orang-orang sibuk. Kami takut akan azab neraka, tetapi sukar mencari waktu untuk mengerjakan amalan yang menjauhkan kami daripadanya. Kami berharap masuk syurga, namun hampir tiada masa untuk menyediakan bekal menuju ke sana."

Kita selalu berkata kita sibuk dengan kerja, kehidupan dan urusan yang tidak pernah selesai. Namun, sedar kah kita, semakin padat jadual kita, semakin terasa kosong jiwa ini?

Solat sekadar di celah-celah waktu yang berbaki. Sedekah pula apabila teringat. Zakat? Eh.. bukankah sudah bersedakah tadi? Baca Al-Quran? Ooo.. nanti Khamis malam Jumaat lah baru kita baca.

Itu belum lagi soal menjaga imej. Kita sentiasa ingin tampil dengan imej yang mempesona di hadapan manusia. Malu jika ternampak cacat-cela. Namun, dalam sunyi, kita tanpa rasa malu membuat dosa di hadapan Tuhan. Mencuri harta manusia, mencuri masa syarikat, mengadu-domba, menonton adegan yang tidak sepatutnya, semuanya dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Tetapi, Tuhan sentiasa melihat. 

Kita sentiasa ada alasan untuk mengenepikan urusan akhirat atas alasan kesibukan dunia. Sedangkan kita sendiri sedar matlamat utama kita adalah akhirat.


Penulis berkongsi tentang satu hadis Rasulullah SAW ini;

"Barang siapa bangn pada pagi hari dan hanya dunia yang difikirkannya, sehingga seolah-olah ia tidak melihat hak Allah SWT dalam dirinya, maka Allah SWT akan menanamkan 4 penyakit: 

1. Kebuntuan yang tiada penghujung.

2. Kesibukan yang tiada berkesudahan.

3. Keinginan yang tidak tercapai.

4. Khayalan yang tidak berpenghujung."

(Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abi al-Dunya, dan diriwayatkan dalam buku Ithaf al-Sadah al-Muttaqin Syarh Ihya 'Ulum al'Din)


Hadis ini buat Patung Beruang tersentak. 

Betapa ramai daripada kita yang ketika bangun tidur, perkara pertama yang kita buat adalah terus ambil handphone untuk melihat jika ada call atau mesej yang masuk. Betapa ramai yang celik saja mata, terus lihat media sosial untuk membaca perkembangan terkini dunia atau individu yang dikenali. Betapa ramai yang bangun saja, perkara pertama yang diingat adalah meeting apa ada hari ini? Siapa stakeholders yang nak jumpa? Tugasan apa lagi yang belum selesai? 

Hairan kan? 

Bukankah tidur itu ibarat mati sebentar. 

Bermakna apabila kita sedar dari tidur, bermaksud Allah masih panjangkan usia kita. Masih beri kita peluang untuk bernafas lagi. 

Tapi.. mengapa perkara pertama yang kita buat apabila celik mata adalah memikirkan tentang dunia? Mengapa bukannya bersyukur pada Allah kerana "menghidupkan" kita kembali? Bersyukur kerana diri ini masih sihat tubuh badan, anggota badan yang cukup dan masih berfungsi. 

Manusia ini memang pelik bukan?


Naskah ini terbahagi kepada 4 bahagian:

1. Menata Hati, Memperindah Nurani:  

Bahagian 1 ini berperanan untuk menyedarkan pembaca tentang hakikat dan tujuan sebenar hidup kita di dunia ini. Sudah sampai masanya untuk kita sedar setiap apa yang kita lakukan di dunia ini sebenarnya boleh menjadi saham akhirat kita. 

Sibuk bekerja? 

Tiada mengapa. 

Niatkan kerja itu sebagai ibadah, lakukan seikhlas hati, sehabis baik. Apabila azan berkumandang, rehatkan minda, jiwa dan tubuh sebentar dengan solat. Akhirat dapat, dunia pun dapat. 


2. Rumahku, Syurgaku:

Bahagian ke-2 pula membawa pembaca bagaimana untuk membina rumahtangga yang diredhai agama. Perkahwinan tidak akan sentiasa aman dan damai. Pasti akan ada ujian. Tetapi bagaimana menghadapi dan menguruskan badai yang datang, itu yang lebih utama. 


3. Memancarkan Cahaya Syurga di Tempat Kerja.

4. Memperkukuh Semangat dan Visi Hidup.


Ada beberapa petikan yang Patung Beruang suka seperti: 

  • "Untuk apakah kita berdoa kalau semua sudah ditetapkan? Kalau kita memang ditakdirkan berjaya, tanpa doa pun kita akan berjaya." - Sebenarnya, konsep yang betul adalah berdoa pun merupakan takdir daripada Allah SWT. Jika Allah SWT berkehendak untuk menjauhkan keburukan dan melimpahkan kebaikan kepada hamba-Nya, maka akan diilhamkan kepada hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya. Dengan kata lain, Allah SWT menjadikan takdir doa itu sebagai faktor terjadinya takdir yang lain.
  • Ramai orang yang menjalani hidup dengan sehabis baik, tetapi tetap miskin kerana kurang bersyukur. Setelah menerima nikmat dan rezeki dari Tuhan, mereka memotong kabel yang menghubungkan mereka dengan Tuhan dengan cara kufur kepada-Nya. 
  • Mereka yang bersyukur biasanya tampak lebih bahagia serta menyenangkan ketika bergaul. 
  • Jika hati kecil kita sudah tiada rasa takut atau bersalah apabila setiap kali kita membuat dosa, kita harus berfikir sejenak. Ini kerana hukuman terberat bagi pendosa adalah perasaan tidak berdosa. Itu bermakna hatinya sudah mati akibat dari dosa-dosa yang terkumpul selama ini. 
  • Kesibukan seorang Muslim juga indah. Dalam kesibukan, dia terlatih untuk mengurus masa, mengatur jadual dan merapikan agenda. Jika ingin memberi amanah, berilah pada orang yang sibuk kerana dia lebih pandai mengatur waktu berbanding mereka yang terbiasa menganggur. 



Patung Beruang sengaja tinggalkan sinopsis bahagian 3 dan 4. Kalau nak tahu dengan lebih lanjut, kena lah baca naskah ini ye. 


Jujurnya, naskah ini tebal dan tidaklah terlalu santai. Patung Beruang ambil masa lebih sebulan juga untuk habiskan pembacaan. Ia adalah kombinasi kepada kisah kehidupan, agama, motivasi dan ilmiah. Tetapi masih lagi menarik untuk dibaca... Alhamdulillah...  

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...