Tuesday, April 23, 2024

Book Review: Senaskah Hidup


Tajuk: Senaskah Hidup

Penulis: Azzah AR

Menariknya Naskah Ini: 

Patung Beruang sering melihat ulasan yang menarik dari bibliophiles mengenai naskah ini. Satu demi satu ulasan yang dibaca menyebabkan Patung Beruang rasa tidak sabar untuk meneliti naskah ini. 


Patung Beruang mengambil masa lebih kurang 48 jam untuk menghabiskan naskah ini, Alhamdulillah. Jalan cerita yang menarik dan mendebarkan menyebabkan sukar untuk Patung Beruang menghentikan pembacaan selagi tidak sampai ke mukasurat yang terakhir. 


Senaskah Hidup membawa pembaca mengenali beberapa orang watak utama iaitu: 

Zarazeff: atau nama asalnya Zahra binti Razif adalah seorang novelis terkenal bertaraf jutawan. Semua karyanya laris seperti pisang goreng panas. Tiba-tiba, tanpa diduga, karya terbaru Zara dituduh plagiat dari tulisan penulis lain. Tuduhan itu merebak dengan cepat sehingga membenamkan kariernya. Caci maki dari pembaca dan orang awam sangat zalim. Zara jatuh terduduk sehingga mematikan minatnya untuk menulis. Dia hanya berkurung saja dirumah selama bertahun-tahun. 


Helmi: seorang lelaki yang bekerja keras demi mencari rezeki halal. Bekerja sebagai pengawal keselamatan dan juga penyelia kedai dobi. Seorang lelaki yang sederhana dan penuh dengan kasih sayang. Namun, jalan kehidupannya diuji dengan kematian seluruh ahli keluarganya di kampung, angkara perbuatan tidak berperi kemanusiaan manusia durjana. Helmi trauma sehingga dia memilih untuk hidup di jalanan. 


Fidel: CEO Sarang Publishing House, yang menerbitkan karya-karya Zarazeff. Fidel kehilangan isteri dan anak-anak sekelip mata, demi menutup rahsia besar ayahnya. Fidel buntu, tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada keluarganya. Di rumah, ibunya menjadi mangsa keganasan rumahtangga namun tiada apa yang mampu Fidel lakukan hanya kerana si ibu memilih untuk menjadi isteri yang taat demi mendambakan keredhaan suami, walaupun dirinya didera mental dan fizikal. 


Ketiga-tiga watak ini diuji dengan kehilangan yang berbeza. Dalam hingar bingar Kuala Lumpur, mereka berusaha keras mencari secebis ketenangan diri agar mampu bangkit meneruskan hari-hari yang mendatang. 


Jujurnya sudah lama Patung Beruang tidak menangis bila baca novel. Tetapi, Senaskah Hidup ini berjaya mengalirkan air mata Patung Beruang, teresak-esak di atas katil sambil memeluk Si Boyot. Ibarat menonton K-drama, novel ini sarat dengan emosi. Marah, kecewa, geram, sakit hati, jijik, sedih, teruja, semuanya bersatu dengan harmoni dalam satu naskah ini. 


Dalam banyak-banyak watak, Helmi adalah watak yang paling Patung Beruang suka. Atau mungkin simpati? Entahlah... 

Yang pasti, sengsaranya Helmi berdepan dengan Post Traumatic Stress Disorder ("PTSD") sangat berbekas di hati ini. Kita seolah-olah turut merasa kesakitan dan tekanan kuat yang dihadapi lelaki ini. Selain bergelut dengan PTSD, Helmi juga tercari-cari punca keluarganya dikhinati sedemikian rupa. Apa dosa besar yang telah keluarganya lakukan? Siapakah dalang disebaliknya? 

Sakit sungguh apabila dihukum tanpa kita sendiri tahu apakah kesalahannya...


Selain itu, babak Ji Ah meluah perasaan dengan ibunya juga turut berbekas dihati ini. Membaca dialog dan aura persekitaran dua-beranak ini cukup menggambarkan bagaimana cederanya emosi mereka berdua. Dalam hubungan dua-beranak ini, tiada istilah siapa benar dan siapa salah. Hubungan ibu dan anak terlalu suci untuk saling menunding jari atas situasi yang berlaku. Manusia itu lumrahnya penuh dengan jangkaan dan emosi. Tersilap mengurus salah satu atau keduanya, pasti mengundang kemarahan, kesedihan dan kekecewaan. 


Seperti naskah Penulis Yang Disayangi Tuhan, karya Bahruddin Bekri, Senaskah Hidup juga membawa pembaca kepada dunia perbukuan. Banyak ilmu yang dikongsikan disini seperti:

  • Cara penerbitan buku serta tugas dan tanggungjawab team disebalik penghasilan sesebuah buku itu bermula dari penulis, editor, penerbit, marketing team etc. 
  • Prosedur menghantar manuskrip ke syarikat penerbitan dan tips untuk melindungi hak cipta manuskrip. 
  • Cara mengira royalti buku. 

Berikut adalah beberapa petikan dari naskah ini yang Patung Beruang sangat suka: 
  • "Van Gogh kata, malam lebih banyak warna berbanding siang." 
  • "Kau hanya nampak yang dia mengamuk. Kau tak nampak di belakang dia ada kesabaran yang terlalu lama diperam. Di sekeliling dia ada terlalu banyak kebodohan." 
  • "Kita paling terluka oleh orang yang kita paling sayang. Sebab, kita terlalu mengharapkan orang yang kita sayang tu sentiasa membahagiakan kita. Jadi, secara luar sedar, kita menuntut kasih sayang kita dibalas dengan kebahagiaan." 
  • "Sayidatina Asiah dijodohkan dengan Firaun, bukan kerana lelaki itu baik. Tetapi kerana Firaun adalah suami yang terbaik untuk dijadikan asbab Asiah dijamin syurga. Baik dari perspektif berbeza." 
  • "Reda hanya akan berlaku apabila kita memahami bahawa semua hal mempunyai hikmah. Reda bukan bermaksud menyerah kalah. Reda ialah kita menerima takdir Allah dan dalam masa yang sama berusaha supaya takdir itu tidak berulang dan tidak pula sehingga menjadikan kita lebih buruk." 
  • "Orang-orang yang kita katakan kurang bernasib baik ini, sebab kita menilai mereka dari segi material. Sedangkan tak mustahil hidup mereka lebih baik daripada kita. Lebih bahagia daripada kita. Mereka tak perlu bayar hutang rumah, kereta, tak perlu bela gajet, tak sakit kepala dengan perangai orang di media sosial." 
  • "Sebagai penulis, kadang-kadang saya fikir dah banyak benda dalam dunia ini yang saya tahu. Maklumlah, banyak buat research. Rupa-rupanya, saya terlalu memandang ke langit. Hingga tak pernah nampak kelibat rumput yang dipijak. Mungkin sebab itulah apabila saya jatuh, saya bukan sekadar terduduk. Saya terhumban terus ke jurang. Dan sukar untuk bangkit." 


Usai Senaskah Hidup ini, terdapat satu rasa kepuasan yang sukar untuk Patung Beruang gambarkan. Terasa seperti 48 jam yang sangat berbaloi. Korbankan masa rehat dan masa tidur demi sebuah buku. 


Naskah yang sangat sedap, ayat-ayat tersusun dan cantik membuatkan ianya sampai terus ke hati. Jalan cerita yang menarik sehingga membuatkan pembaca sukar untuk menghentikan pembacaan. Terlalu banyak ilmu yang dikongsi penulis didalam naskah ini. Ilmu buku dan juga ilmu kehidupan. 


Naskah yang sesuai dibaca oleh semua peringkat umur, tanpa mengira latar belakang. Percayalah, selepas membacanya kita pasti akan melihat kehidupan ini dari pandangan yang berbeza. Terima kasih Cik Puan Azzah atas naskah yang sangat hebat ini. Alhamdulillah... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...