Showing posts with label Bahruddin Bekri. Show all posts
Showing posts with label Bahruddin Bekri. Show all posts

Sunday, February 4, 2024

Book Review: Penulis Yang Disayangi Tuhan


 Tajuk: Penulis Yang Disayangi Tuhan

Penulis: Bahruddin Bekri

Menariknya Naskah Ini: 

Masih panas, baru keluar dari oven, naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaanya kurang sejam yang lepas. 

Penulis Yang Disayangi Tuhan membawa pembaca mengenali Usamah, seorang lelaki bujang yang merupakan penulis sepenuh masa. 

Bagi Usamah, menulis itu ertinya mencipta sesuatu daripada kosong kepada sesuatu yang punyai rasa yang mengusap-usap hati. Rasa yang kita kenali sebagai emosi. 


Usamah telah menulis 3 buah novel. Novel pertamanya sangat laris sehingga dia menjadi kaya-raya. Usamah nekad untuk menjadi penulis sepenuh masa. Novel kedua Usamah ibarat teguran dari Tuhan. Novel keduanya menerima kritikan keras dari pengkritik novel termasyur tanah air iaitu Joe Penapi. Kritikan itu memberi kesan kepada jualan novel keduanya. 

Tanpa berputus asa, Usamah menulis novel ketiga. Rupanya novel ketiga ini juga menjadi sasaran kritikan Joe Penapi. Kemuncaknya, syarikat penerbitan yang menerbitkan kesemua novelnya mengalami kerugian ratusan ribu ringgit dan syarikat terus gulung tikar. 


Wang simpanan Usamah semakin menipis sehingga dia terpaksa berpindah menyewa di kawasan setinggan. Kawasan penempatan yang daif dan banyak dihuni oleh warga asing. Semangat dan minat menulis Usamah juga sama menipis. Dirinya buntu memikirkan apa lagi cara untuk mencari wang saku. 


Usamah bertemu dengan Johari Salim, seorang penulis legenda untuk membantunya bangkit semula. Johari Salim menetapkan syarat pada Usamah untuk bertemu dengan 5 orang bekas penulis hebat bagi mengetahui rahsia mereka. Di sepanjang pertemuan, Usamah dibenarkan untuk bertanya hanya 1 soalan iaitu: 

"Mengapa kamu lakukan apa yang kamu lakukan sekarang?" 


Insan pertama yang Usamah perlu bertemu adalah Dato' Zulkifli bin Rashid. Namun, Usamah telah melanggar syarat Johari Salim dimana beliau telah bertanya lebih dari 1 soalan kepada Dato' Zulkifli. 

Dato' Zulkifli mengupah Usamah untuk mengajar anak perempuannya, Dinie Nurul Iman untuk menjadi seorang penulis kerana merasakan ada bakat yang terpendam dalam diri gadis tersebut. Hakikatnya, ada rahsia besar yang melingkari keluarga ini yang terhasil dari kasih sayang yang tidak berbelah bahagi sesama ahli keluarga.


Rohayat Syah adalah insan kedua yang ditemui Usamah. Seorang bekas penulis buku komedi yang secara tidak langsung mempersendakan ibu bapa orang lain. Bagi menebus dosa-dosanya, Rohayat Syah kini tinggal di kampung, menjaga ibunya yang uzur. 


Insan ketiga pula adalah Ramudin,  bekas penulis untuk sebuah majalah keluarga. Ramudin ditugaskan untuk menulis di ruangan kauseling perhubungan. Bagi Ramudin, apabila sesuatu perhubungan itu ditimpa badai bermakna sudah tiada lagi kesefahaman. Makanya, jalan terbaik adalah berpisah saja. Tanpa disedari, nasihatnya ini sebenarnya menyebabkan banyak silaturrahim yang putus, banyak perkahwinan yang musnah. 


Lokman Aziz adalah insan keempat yang perlu Usamah lawati. Lokman Aziz terkenal sebagai penulis yang hebat dalam dunia perniagaan dan pelaburan. Mempunyai sentuhan magis untuk menarik kekayaan sehingga terlupa Yang Maha Kaya untuk segenap alam ini. Lokman Aziz tersentak apabila ditanyakan soalan apakah mata wang yang akan digunakan di akhirat nanti? 


Penulis gosip di majalah hiburan, Fatimah Jaafar adalah insan kelima yang dinamakan oleh Johari Salim untuk Usamah lawati. Wanita ini dulunya sangat gemar dengan gosip kerana baginya artis adalah milik masyarakat. Segenap inci yang berlaku dalam kehidupan artis itu harus diwar-warkan kepada orang awam. Jika tiada gosip, Fatimah sendiri yang akan mencipta gosip tersebut. 

Artis bertelagah sesama sendiri? Pedulikan. 

Rumahtangga artis runtuh? Bukan urusannya. 


Benarlah, hidayah itu milik Allah. Dia berhak untuk memberi hidayah pada sesiapa saja hamba-Nya, tanpa mengira masa dan tempat. Dan tatkala hidayah menjelma, mereka mula rasa takut dengan tulisan-tulisan lampau dan mula terbayang kerosakan yang telah berlaku kesan dari tulisan mereka itu...



Di kawasan setinggan tempat Usamah tinggal, jiran-jiran yang terdiri dari pendatang asing tanpa izin warga Indonesia berminat untuk mengenali Usamah dengan lebih rapat. Tujuannya adalah agar Usamah boleh melindungi mereka daripada terus menjadi mangsa peras ugut. 

Pelbagai cara dilakukan oleh jiran-jiran Usamah yang diketuai oleh Ahamad Rani, untuk mengambil hatinya. Jemputan makan bersama, program abang & kakak angkat serta yang paling menarik sekali adalah meminta Usamah untuk mengajar Adinda Aisyah, Suparno dan John Stalone menjadi penulis. 



Pada Patung Beruang, novel Penulis Yang Disayangi Tuhan ini sangat berbeza dengan novel-novel yang ada di pasaran. Selain mengangkat kisah Usamah untuk bangkit semula selepas 2 novelnya dikritik teruk, naskah ini juga berkongsi ilmu dengan pembaca berkenaan teknik-teknik menulis. Tidak kira lah untuk menulis cerpen, novel atau puisi. 

Penulis berkongsi tentang apa itu plot, bagaimana untuk menyusun dan mengembangkan plot, jenis-jenis watak, istilah - istilah penting dalam teknik menulis seperti cliffhanger, konflik, foreshadowing, teknik "show don't tell" dan macam-macam lagi. 


Jujurnya, ayat-ayat dalam naskah ini juga sedap-sedap belaka. Antara ayat kegemaran Patung Beruang adalah: 

1. Penulis ialah manusia yang lihai berpura-pura. Penulis mampu menuliskan bahagia pada saat hatinya derita. Penulis tega mengukirkan cinta pada ketika hatinya benci.   (Nota: Lihai bermaksud pandai)

2. Penulis juga ialah manusia yang dekat dengan neraka. Mereka sudah melangkahkan sebelah kaki ke neraka saat menuliskan sesuatu yang jelik dan menghitamkan hati pembaca, ataupun menuliskan benci yang memusnahkan bahagia. (Nota: Ya Allah, ayat ini betul-betul buat Patung Beruang tersentak. Patung Beruang tidak pernah terfikir sampai begini sekali, huhuhu...) 

3. Menulis tanpa motivasi seperti minum air kosong semasa tidak haus. 

4. Apa sahaja yang kita susun dan bina sekarang, tetap akan runtuh nanti. Namun apa yang membuatkan kita tetap menyusun dan membinanya, bukan kerana mahu melihat ia runtuh, tetapi kerana ia harapan untuk melihat sesuatu yang indah walaupun sebentar. 

5. Rasa sedih, kecewa dan marah kepada kritikan itu perkara biasa kerana itu fitrah manusia. Malah, semua rasa itu perlu ada dalam diri manusia, sebelum dia mampu meletakkan diri dalam situasi sabar. Sabar tidak wujud sebelum wujudnya rasa marah, kecewa dan sedih, tetapi ia wujud sesaat selepas wujudnya perasaan marah, kecewa dan sedih. 


Akhir sekali, perkara yang buat Patung Beruang tersentuh dengan novel ini adalah penulis mengajak pembaca untuk berfikir sebentar apakah nilai pekerjaan yang kita lakukan sekarang ini disisi Tuhan? 

Adakah pekerjaan kita hanya menghasilkan nilai ekonomi semata-mata? 

Atau ia juga memberi nilai tambah kepada manusia / makhluk lain di muka bumi ini? 


Oleh itu, apa kata kita duduk sejenak dan berfikir jawapan kepada soalan keramat Johari Salim:

"Mengapa kamu lakukan apa yang kamu lakukan sekarang?" 

Jawablah soalan ini seolah-olah: 

  • Soalan ini bertindak sebagai plot. 
  • Soalan ini untuk sebab. 
  • Soalan ini untuk akibat.


Terima kasih penulis untuk naskah yang penuh dengan ilmu dan mesej kesedaran, tetapi tetap menarik di mata pembaca. Alhamdulillah... 

Monday, August 7, 2017

Book Review: Padanya Ada Bahagia

Tajuk: Padanya Ada Bahagia

Penulis: 
1. Dr. Robiah K. Hamzah
2. Bahruddin Bekri

Menariknya Naskah Ini:

Naskah Padanya Ada Bahagia adalah sebuah naskah yang sesuai untuk pembaca yang ingin mengetahui tentang cara mendidik anak dan keluarga, belajar bersama-sama bagi menjadi ibu bapa yang lebih baik dan membentuk anak-anak yang terbaik. 

Naskah yang menarik ini mengandung 10 Bab yang penuh dengan maklumat serta contoh-contoh menarik iaitu:

1. Bahagianya Berkasih Sayang
2. Bahagianya Memahami
3. Bahagianya Akhlak Mulia
4. Bahagianya Berbaik Sangka
5. Bahagianya Kejujuran
6. Bahagianya Bersyukur
7. Bahagianya Berusaha
8. Bahagianya Menghormati
9. Bahagianya Beradap Sopan
10. Bahagianya Berlemah Lembut

Bab 1: Bahagianya Berkasih Sayang membawa pembaca kepada kisah Zahid, seorang anak yatim, elok budi pekerti dan akhlaknya namun dilahirkan didalam keluarga yang kurang berkemampuan. Kemiskinan keluarga membuatkan Zahid tidak banyak meminta-minta dari ibunya apatah lagi tatkala melihat kesusahan ibu membesarkannya dan 2 orang adiknya yang masih kecil. 

Pada suatu hari, Zahid dibuli oleh Mohsen dan rakan-rakannya, pelajar yang terkenal dengan kenakalan dan masalah disiplin. Oleh kerana tidak tahan dibuli, Zahid gagal mengawal kemarahannya dan akhirnya tercetuslah pergaduhan diantara mereka. Pergaduhan yang membawa mereka semua ke bilik Guru Besar. 

Sifat anak-anak yang beremosi, dahagakan perhatian dan kasih sayang, seringkali menyebabkan mereka mudah atau gemar berkelahi. Bagi mereka, ia adalah penyelesaian yang terbaik untuk sebarang perbezaan atau permasalahan yang dihadapi. Oleh itu, adalah penting untuk ibu bapa mengajar anak-anak untuk menerima perbezaan yang wujud dikalangan manusia dan memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pendapat. Pamerkan sikap menghormati pemikiran dan perasaan mereka. Dan yang paling penting, sentiasa mengingatkan mereka bahawa pergaduhan itu tidak akan mampu menyelesaikan masalah yang ada. Malah, ia merumitkan pula masalah yang sedia ada. 


Secebis Kain Perca membawa pembaca kepada sambungan kisah kenakalan Mohsen dan bagaimana Zahid menghadapinya dengan perilaku yang lebih rasional berbanding bergaduh mengikut emosi. Kejadian bermula apabila Mohsen mengejek Zahid tatkala terlihat Zahid memakai pakaian sukan yang mempunyai kesan jahitan perca di bahagian perut. Mohsen berterusan mengejek dan memprovokasi Zahid sedangkan Zahid hanya berdiam diri sambil menahan tangis. 

Akhirnya kelakuan kurang sopan Mohsen itu ditangkap oleh Cikgu Ben, Guru Besar sekolah dan lantas dipanggil masuk ke bilik Guru Besar. 

Begitulah ragam anak-anak. Memang biasa, anak-anak mengejek perkara-perkara atau perilaku yang berbeza dengan mereka. Malah, lebih merumitkan apabila mereka membuli rakan sebaya dengan cara ini juga. 

Buat anak-anak yang mengjadi mangsa ejekan, pasti hati sakit dan darah membuak-buak marah sehingga boleh mencetuskan pergaduhan atau tindakan kasar jika tidak dibendung. Oleh itu, penting untuk kita orang dewasa sentiasa menasihati anak-anak agar jangan membalas setiap ejekan yang diterima. Usah peduli mereka yang mengejeknya itu. Malah, jalan terbaik adalah beredar sahaja dari situasi atau individu tersebut. Mungkin terlihat seperti anak tersebut berada dipihak yang lemah. Tetapi hakikatnya, mereka berani. Berani untuk mengambil tindakan yang rasional tanpa menyakiti diri sendiri atau pihak lain. 
Bab 3: Bahagiannya Akhlak Mulia. 


Secara umumnya, naskah ini membawa pembaca untuk mengenali watak Zahid, Mohsen dan rakan-rakan mereka. Setiap bab akan membawa kita dengan ragam dan perilaku mereka dimana ada pengajarannya yang tersendiri. Dari situ penulis akan menerangkan mengapa tindakan itu adalah yang terbaik atau tidak dari kanak-kanak tersebut. Dan penulis juga tidak lokek untuk berkongsi tips dan panduan berguna kepada pembaca bagi diaplikasikan andai keluarga sendiri yang berdepan dengan situasi demikian. 

Perkara menarik tentang naskah ini yang menarik perhatian Patung Beruang adalah susunan ceritanya adalah pendek-pendek belaka, dan selepas itu akan disusuli dengan penerangan dari penulis, tips dan panduan berguna. Jadi kelajuan pembacaan boleh dikatakan agak laju kerana sekejap sahaja sudah bertukar ke Bab yang baru. Selain itu, size font yang besar dan spacing yang lebar membuatkan pembaca selesa untuk menelaah naskah ini, terutama mereka yang bermata empat macam Patung Beruang ini, hehe... 

Jadi, walaupun Patung Beruang belum berkahwin dan juga tidak mempunyai anak, tidak salah untuk Patung Beruang menatap naskah yang bercorak parenting knowledge ini. Seronok je mencari ilmu baru. Manalah tahu kan, ada rezeki nanti bolehlah diaplikasikan didalam kehidupan sebenar. Aamiin.. 

Sunday, October 11, 2015

Book Review: Pilo Toq

Tajuk: Pilo Toq

Penulis: 
1. Op Zaharin
2. Azzam Supardi
3. Bahruddin Bekri

Menariknya Buku Ini:

Buku Pilo Toq ini baru sahaja Patung Beruang sudahkan pembacaannya pada pukul 3.30 petang tadi. Sebelum Patung Beruang tulis Book Review untuk The Last Lecture. 

Patung Beruang hanya ambil masa kurang dari 24 jam untuk selesaikan buku ini. Mula membaca pukul 9.30 malam semalam. Hah, jangan pula ingat Patung Beruang tak buat apa-apa ye, hanya baca buku sahaja. Salah tu.. Hari ni, Patung Beruang sempat je masak untuk lunch, sidai baju, angkat baju, kemas rumah sikit-sikit, baca paper heheh.. Then, barulah duduk membaca Pilo Toq ni.. 

Oklah.. habis cerita Patung Beruang.. Sekarang, jom kita tengok apa yang seronoknya Pilo Toq ni. 

Pilo Toq ini ditulis oleh 3 penulis yang berbakat dan sangat bersahaja. Bahagian pertama dimulakan dengan coretan dari Azzam Supardi. Gaya penulisan Azzam Supardi sangat santai dan banyak kisah mencuit hati yang dikongsi oleh beliau. Malah, ada banyak kisah yang berjaya membuatkan Patung Beruang tertawa sendiri ketika membacanya. 

Antara kisah yang Patung Beruang suka adalah Kelebihan Lelaki. Sebagai seorang yang addict dengan buku, duduk didalam kedai buku adalah ibarat seperti duduk didalam syurga. Ketika sedang menunggu isteri beliau yang sedang membeli-belah, penulis sempat membeli sebuah novel walaupun pada awalnya telah diingatkan oleh si isteri agar tidak membeli buku lagi. Bukan tak bagi sebab kedekut tetapi sebab masih banyak buku dirumah yang penulis belum lagi baca. Novel yang dibeli itu, disorokkannya didalam baju. Namun apabila ditanya si isteri, adakah beliau membeli apa-apa buku? Dengan pantas penulis menafikan sambil mencuit-cuit hidungnya sendiri. Dan tingkah-laku spontan itu memberi isyarat yang jelas kepada si isteri yang penulis sedang menyembunyikan sesuatu. Kantoi, heheh...   

Adakalanya kita sanggup berpura-pura seperti semuanya ok demi tidak mahu menyinggung perasaan orang lain. Penulis dan isteri baru pulang dari klinik dan singgah di restoran untuk mengisi perut. Penulis yang sedang kesakitan akibat gout terpaksa berjalan dengan tempang. Selepas makan, ketika hendak beredar, kaki penulis masih lagi terasa sakit dan ingin untuk jalan tempang semula. Tetapi tiba-tiba penulis ternampak seorang pak cik yang tempang sedang berjalan menuju ke meja sebelah. Untuk tidak mahu menyinggung perasaan pak cik tersebut, penulis gagahkan juga untuk berjalan seperti normal. Begitu hebat pengorbanan penulis seperti yang tercatat dalam Duka Demi Bahagia. 

Kisah yang paling mencuit hati Patung Beruang adalah Silap Pegang dimana penulis terjalan bersama-sama dengan sekumpulan Bangla, sehingga kelibat beliau tidak disedari oleh si isteri yang setia menunggu di luar bank. Dan komen si isteri adalah "Patutlah tak perasan... muka hampir sama," hehehe... 

Bahagian ke-2 pula ditulis oleh Bahruddin Bekri. Jika coretan Azzam Supardi sebelum ini kebanyakkan kisah-kisah lucu yang membuatkan pembaca tersenyum atau tertawa sendiri, Bahruddin Bekri pula lebih selesa dengan kisah-kisah serius dan seram. 

Rezeki berkisar tentang masalah kewangan yang tiba-tiba melanda penulis pada bulan itu apabila laptopnya rosak. Dan Alhamdulillah, si isteri sudi untuk menghulurkan bantuan kewangan bagi meringankan beban penulis. Benarlah kata orang, bernikah itu menjemput rezeki. Oleh itu jangan takut untuk bernikah. Allah akan berikan rezeki untuk si isteri dan pasti suami juga akan dapat tempiasnya. 

Pulang pula membawa kisah seram apabila penulis dihantui mimpi yang sama selama tiga malam berturut-turut. Igauan itu terhenti apabila penulis dikejutkan oleh isterinya. Ketika hendak sambung tidur, penulis dikejutkan dengan bunyi ketukan di pintu bilik tidur. Pada mulanya, penulis tidak berminat untuk melayan ketukan itu. Tetapi, apabila ketukan tersebut semakin kuat, penulis pun membuka pintu bilik tersebut dan segera kelihatan si isteri sedang berdiri di depan pintu. Penulis mula kaget melihatnya apatah lagi apabila terlihat isteri yang sama juga sedang berada diatas katil didalam bilik tidur tersebut. Adoi... Siapa sebenarnya mereka ini??? Manusia kah atau .... 

Kisah yang paling Patung Beruang gemari dari penulis ini adalah Gelap. Penulis dan keluarga dalam perjalanan untuk pulang ke kota, setelah menghabiskan masa di kampung. Dalam perjalanan, tayar kereta mereka pancit di tengah-tengah kebun getah, dalam suasana gelap malam. Tiba-tiba penulis dan isteri didatangi seorang lelaki tua yang fizikalnya agak tidak masuk diakal. Dalam keadaan ketakutan, tanpa diduga muncul sebuah lori yang melalui jalan tersebut. Lori tersebut berhenti dan pemandunya membantu penulis untuk menukar tayar yang pancit itu. Selesai tugasan, pemandu lori bercerita tentang kelibat lelaki tua yang gemar mengusik pengguna jalan disitu. Khabarnya lelaki tua tersebut telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk melawat anak cucunya di kota. Namun kisah tersebut tidak tamat disitu sahaja. Apabila penulis memaklumkan kepada si pemandu lori yang lelaki tua itu baru sahaja mengusik beliau dan keluarganya, keadaan terus bertukar. Rupa-rupanya si pemandu lori juga sama keadaannya dengan orang tua tersebut..... huhuhu.. 

Bahagian ke-3 dan terakhir adalah nukilan dari Op Zaharin. Seperti mengembalikan semula mood Patung Beruang, banyak kisah-kisah yang dikongsi oleh penulis adalah kisah-kisah sweet dan mencuit hati. 

Penulis membuka catatan beliau dengan Nilai Kasih Sayang dimana cerita tentang trend lelaki yang tolong membawakan beg tangan teman wanita, tunang atau isteri mereka ketika sedang berjalan-jalan atau membeli-belah. Namun, seperti kebanyakkan lelaki macho yang lain, penulis berjaya untuk tidak membawa beg tangan isterinya yang bernama Mulan, kecuali ketika Mulan pergi ke ladies. Yes, pada pandangan peribadi Patung Beruang juga, kalau sayang macam mana pun, janganlah sampai tahap bawakan handbag pasangan kita. Kalau dia memang tak cukup tangan sebab bawa banyak barang-barang yang dibeli ataupun sebab dukung anak, apakata lelaki lah yang tolong bawakan barang-barang tersebut ataupun dukung anak, hehe..

Membuat kerja-kerja pejabat ketika berada dirumah bukan lah satu tabiat yang baik (walaupun hakikat sebenarnya Patung Beruang pun selalu buat, huhu)... Tapi adakalanya, keadaan mendesak dan kita tiada pilihan melainkan membawa ia pulang ke rumah untuk disiapkan pada malam itu juga. Namun, jika asyik sangat mengadap kerja tu, nanti pasangan bising pula. Mula lah kata yang dia dimadukan dengan computer atau laptop. Tapi bak kata penulis dari coretannya yang bertajuk Madu, lebih baik dimadukan dengan computer dari dimadukan dengan Maya Karin, heheh..  Nasib badan lah... 

Dalam berpuluh-puluh kisah yang dikongsikan oleh 3 orang penulis di dalam Pilo Toq ini, ada satu kisah yang sangat menyentuh hati Patung Beruang dan kisah ini adalah kisah yang palingggggg Patung Beruang suka. Kisah ini adalah kisah ke-2 terakhir didalam Pilo Toq.  Hari Kasih Sayang menukilkan kerinduan penulis dan Mulan kepada anak mereka Asyran. Ya Allah, jika sepanjang membaca Pilo Toq ini Patung Beruang banyak tersenyum dan tertawa sendiri, tetapi membaca kisah yang satu ini, air mata Patung Beruang mengalir tanpa disedari. 

NoorJay, you are such a strong woman, dear. 
Moga Allah beri yang terbaik untuk dirimu dan keluarga, Aamiin... 

Oklah, Patung Beruang tak nak cerita panjang lebar tentang Pilo Toq. Buku yang sangat menarik dan sangat sesuai untuk dibaca oleh semua orang. 

Oh ye, ada 2 perkara menarik tentang buku ini yang boleh diberi perhatian oleh penulis dan penerbit diluar sana, walaupun ia nampak simple tapi sebenarnya memberi impak yang besar iaitu:
  • Susunan cerita yang menarik perhatian pembaca dan mengekalkan momentum pembaca. Sebagai seorang pembaca, apabila memontem pembacaan kita konsisten, kita tak kan sedar yang pembacaan kita beralih dari satu mukasurat ke mukasurat yang lain, dari satu kisah ke satu kisah yang lain. Kita rasa seronok je nak baca dan tak nak berhenti pun. Dan inilah kekuatan Pilo Toq dimana pada malam semalam, hanya dalam tempoh 1 jam, Patung Beruang berjaya membaca hampir separuh isi kandungannya. Tanpa Patung Beruang sedar pun, huhu.. 
  • Saiz font yang besar dan spacing yang lebar. Orang yang suka membaca, dia akan membaca dimana sahaja dan dalam apa jua keadaan. Macam Patung Beruang, jika waktu siang, Patung Beruang suka membaca sambil duduk di atas sofa. Cahaya matahari yang terang dari luar cukup untuk memberi pencahayaan kepada Patung Beruang. Tetapi, jika waktu malam terutama waktu hendak tidur, Patung Beruang biasanya akan membaca sambil baring atas katil, sebelah tangan peluk Bibi dan sebelah tangan pegang buku, dan the best part is Patung Beruang tak buka pun lampu bilik. Hanya mengharapkan cahaya yang datang dari lampu yang terang di luar rumah. (Sekarang mesti dah tahu kan, kenapa Patung Beruang asyik kena marah bila setiap kali jumpa optometrist, huhuhu..) Bukan lah nak jimat bil elektrik, tapi sebenarnya malas nak bangun untuk tutup suis lampu nanti, heheh... Jadi, bila saiz font dan spacing sesebuah buku tu besar dan lebar, ia sangat memudahkan untuk Patung Beruang membaca dan terus membaca walaupun dalam keadaan pencahayaan yang kurang. 
Baiklah, rasanya dah panjang lebar Patung Beruang tulis tentang Pilo Toq ini. Naskah yang berjaya membawa senyum, tawa, seram, serius, terharu dan simpati, diadun dengan baik dan menjadi satu hidangan yang sangat lazat untuk dinikmati oleh pembaca.... 

p/s: NoorJay dear, congratulations to your husband and his team for a such good book that able to entertain readers. Kalau Patung Beruang masih lagi di Dayabumi, nak juga minta tolong dapatkan autograph dari 3 jejaka ini, heheh... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...