Tajuk: Bila Hati Berkata... Biar Hati Terasa
Penulis:
1. Bonda Nor
2. Muhd Kamil Ibrahim
Menariknya Buku Ini:
Naskah Bila Hati Berkata.. Biar Hati Terasa (BHBBHT) ini sebenarnya telah Patung Beruang sudahkan pembacaannya beberapa bulan lepas. Cuma baru sekarang Patung Beruang berpeluang untuk menulis Book Review.
BHBBHT ini menghimpunkan 31 karya hebat nukilan Bonda Nor dan Prof. Kamil.
Prof. Kamil membuka catatan dengan menukilkan catatan pertama beliau kepada sahabatnya telah telah dipanggil pulang oleh Yang Maha Pencipta, akibat dari sakit kanser. Beliau pernah menjemput arwah ini bagi menyampaikan syarahan atau perkongsian bagaimana arwah melalui kehidupan harian setelah didiagnosis menghidapi penyakit kronik kanser. Kesungguhan dan ketabahan arwah sangat luarbiasa. Yang pasti, didalam Bab 1: Isyarat, Prof. Kamil mengulas mengenai kematian yang memang akan datang melawat semua makhluk yang hidup. Ada yang diberi isyarat atau petunjuk dengan hadirnya sakit yang kronik. Mereka melaluinya dengan tabah dan sepenuh hati. Namun, terdapat ramai yang tidak tahu dan tidak sedar bahawa masa mereka disini semakin suntuk. Oleh itu, janganlah kita lalai sehingga kita terlupa matlamat asal kita diciptakan oleh Yang Maha Esa.
Bab 2: Jauhi Prasangka pula Bonda Nor berkongsi cerita berkenaan ragam kehidupan manusia. Seluruh kehidupan kita ini merupakan ujian Allah swt biar apa pun yang berlaku. Kisah suka atau duka- tentu sekali merupakan satu putaran yang boleh menyemarakkan keadaan. Ujian boleh dipandang dengan kanta positif atau negatif. Pilihan di tangan individu. Namun yang pasti, apa yang kita fikir, itulah sebenarnya gambaran kecantikan atau keburukkan jiwa yang terzahir. Tanpa disedari, apa jua tindakan yang dilakukan oleh manusia lain, kita seringkali berprasangka buruk. Malah, ia sudah menjadi kebiasaan pada kita. Kita rasa resah, marah, benci dan adakalanya dendam tanpa terlebih dahulu menyelidiki perkara yang sebenar. Kita tidak berusaha mencari kebenaran tetapi kita menyebarkan pula keburukan.
Maka, apabila di Padang Masyar kelak,
Maka, apabila di Padang Masyar kelak,
- Sanggupkah kita menatap wajah mereka-mereka yang kita sakiti demi memohon kemaafan?
- Dalam lautan manusia tika itu, sanggupkah kita berusaha mencari mereka-mereka yang pernah kita fitnah, umpat dan keji ketika hidup dahulu sedangkan di dunia dahulu kita tidak kisah pun untuk memperbetulkan lidah kita ini?
Setiap pekerjaan yang kita lakukan memerlukan kesabaran. Selain kesabaran, ia juga memerlukan keredhaan dari insan-insan yang sepatutnya. Seorang isteri memerlukan keredhaan suaminya, seorang anak memerlukan keredhaan ibu bapanya. Tanpa keredhaan, adakalanya usaha kita hanya sia-sia. Tidak dibantu oleh Allah swt. Dan hati ini juga tidak tenang dengan apa yang kita lakukan. Didalam Bab 4: Bersabarlah, Bonda Nor berkongsi pengalaman beliau diawal penglibatan didalam bidang penulisan umum. Bagaimana beliau mempunyai idea yang menarik tetapi usahanya tidak membawa kemana-mana hanya kerana suaminya kurang memberi restu. Namun, setelah memohon petunjuk dan pertolongan dari Allah swt berulang kali, suaminya berjaya dipujuk dan diterangkan situasi sebenar, maka restu dari suami pun diperolehi. Selepas itu, Allah swt melorongkan segala usaha beliau sehingga novel pertamanya mendapat sambutan hangat dan berada di tempat teratas sebuah syarikat penjualan online yang terbesar. Baru dua bulan berada di pasaran, novel tersebut sudah mula dicetak lagi. Alhamdulillah.. Begitulah.. Ujian hati itu sangat berat. Ia tidak mudah seperti yang disangka. Ia menuntut kekuatan mujahadah. Justeru, setiap kali kita keliru, kembalilah kepada-Nya. Memohon keampunan dan panduan. In shaa Allah, Dia Maha Mendengar...
Tingkah-laku anak remaja seringkali menggusarkan orang dewasa. Adakalanya, tingkah-laku yang simple sahaja bagi mereka. Contohnya, tabiat memberi salam para pelajar kepada pensyarah. Prof. Kamil berkongsi bagaimana pendekatan psikologi dan keperibadian beliau, berjaya mengubah tabiat para pelajar yang rata-ratanya remaja, dari berat untuk memberi salam kepada mereka yang berlumba-lumba memberi salam tatkala berjumpa dan lebih menghormati para pensyarah mereka. Bagi Prof. Kamil, pendekatan memarahi dan menghukum bukanlah cara terbaik bagi memperbetulkan anak-anak remaja ini. Begitulah serba sedikit perkongsian dari Prof. Kamil dalam Bab 25: Anak Remaja.
Kesimpulannya, kesemua 31 Bab yang ada dalam buku ini sangat menarik untuk dibaca, dan diambil pengajaran. Ia membawa kita menyelusuri kehidupan seharian kita, suara hati kita, suara akal kita dan tindak-tanduk kita yang adakalanya tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang mengaku dirinya adalah umat Islam. Oleh kerana menariknya kisah-kisah yang dipaparkan didalam buku ini, maka, tidak adil untuk Patung Beruang kongsikan banyak kisah disini ye. Lebih baik pembaca memiliki dan membaca sendiri naskah ini.
Prof. Kamil adalah antara penulis tempatan kegemaran Patung Beruang, selain Ustaz Hasrizal, Ustaz Pahrol dan beberapa orang lagi. Gaya penulisan beliau yang santai tetapi padat dengan pengajaran, sentiasa merendah diri dan menyedari yang kita ini hanyalah insan lemah yang penuh dengan kekurangan. Sifat rendah diri yang ada didalam penulisan beliau turut menjentik hati kita sebagai pembaca. Sebab itu lah Patung Beruang suka mengumpul dan meneliti naskah-naskah beliau.
No comments:
Post a Comment