Showing posts with label Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim. Show all posts

Wednesday, September 5, 2018

Book Review: Rumah Sakit

Tajuk : Rumah Sakit

Penulis: Prof. Muhd Kamil Ibrahim

Menariknya Naskah Ini :

Prof. Muhd Kamil Ibrahim (Prof. Kamil) adalah antara penulis kegemaran Patung Beruang sejak bertahun-tahun dahulu. 

Patung Beruang pun tidak ingat ada berapa banyak naskah tulisan beliau yang Patung Beruang miliki dan baca. Dan seperti biasa, jika Patung Beruang terjumpa naskahnya, pasti Patung Beruang akan beli tanpa banyak berfikir. 



Naskah Rumah Sakit ini mempunyai 31 bab dan terbahagi kepada 3 bahagian iaitu:

Bahagian 1: Sakit & Rumah Sakit

Bahagian 2: Dia Mahu Saya Menangis 

Bahagian 3: Bertaubatlah.. Kita Semua Sakit 


Bahagian 1 lebih kepada perkongsian pengalaman Prof. Kamil tatkala diri dan keluarga tersayang diuji dengan ujian kesihatan yang ada kalanya datang secara tiba-tiba. 

Ujian kesihatan yang menuntut pengorbanan masa, wang ringgit, keselesaan dan 1001 nikmat kehidupan yang lain. Ujian kesihatan yang datang tanpa mengira waktu, usia dan status diri seseorang itu. 


Bahagian 2 membawa pembaca lebih dekat dengan konsep "rumah sakit" dan "pesakit" yang lain dari zahirnya yang kita faham. 

Bagi Prof. Kamil, dunia ini ibarat "rumah sakit", dan "pesakitnya" adalah kita, semua insan yang masih lagi bernyawa, masih lagi diberi kesempatan untuk menghirup udara di bumi Allah ini. 

Dan sebagai "pesakit", kita hanya akan dibenarkan pulang dari "rumah sakit" ini tatkala kematian datang menjengah. 

Tatkala itu, kita dibenarkan keluar dari "rumah sakit" ini untuk pertama dan terakhir kalinya. Tiada kali kedua atau ketiga atau seterusnya. 

Kita keluar dan mengucapkan selamat tinggal kepada semua "pesakit" yang masih ditahan di wad. 

Dalam masa yang sama, kita memohon maaf atas semua kesalahan dan kesilapan kita semasa kita berada di "rumah sakit". 
Kita mengharapkan belas ihsan dari "pesakit" lain agar mereka juga turut mendoakan kita. 
Mendoakan kesejahteraan kita untuk pengembaraan seterusnya. 
Dan yang paling penting, kita berdoa dan berharap agar dapat bertemu semula di Firdaus, menjalani kehidupan yang abadi. 



Secara keseluruhan, Patung Beruang insaf meneliti naskah ini. Naskah perkongsian kisah kehidupan dan juga medium menyebarkan dakwah dan kebaikkan. Saling ingat mengingati. 

Prof. Kamil mengingatkan kita yang ajal itu datang tanpa mengira usia. Muda atau tua, sihat atau sakit. Sampai masanya, kita pasti discaj dari "rumah sakit" ini, tanpa cepat atau lewat walau sesaat.

Namun, paling terkesan apabila kita dipanggil pulang dalam keadaan tiba-tiba. Tiada tanda, tiada petunjuk. 
Atau...
Mungkin hati ini terlalu buta untuk mengenalpasti petanda dan petunjuk yang telah diberikan seawal 100 hari sebelum tarikh pemergiaan kita....

Persediaan untuk discaj? 
Dunia ini memang tempat yang melekakan. 
Sehingga kita terlupa untuk menyiapkan bekalan kita ke sana. 
Kita leka dengan keseronokkan sementara.
Sehingga kita lupa kehidupan kekal disana. 

Semoga kita tidak termasuk didalam golongan yang pelupa ini. Aamiin...

Sunday, June 19, 2016

Book Review: Bila Hati Berkata.. Biar Hati Terasa

Tajuk: Bila Hati Berkata... Biar Hati Terasa

Penulis:
1. Bonda Nor
2. Muhd Kamil Ibrahim

Menariknya Buku Ini: 

Naskah Bila Hati Berkata.. Biar Hati Terasa (BHBBHT) ini sebenarnya telah Patung Beruang sudahkan pembacaannya beberapa bulan lepas. Cuma baru sekarang Patung Beruang berpeluang untuk menulis Book Review.

BHBBHT ini menghimpunkan 31 karya hebat nukilan Bonda Nor dan Prof. Kamil. 

Prof. Kamil membuka catatan dengan menukilkan catatan pertama beliau kepada sahabatnya telah telah dipanggil pulang oleh Yang Maha Pencipta, akibat dari sakit kanser. Beliau pernah menjemput arwah ini bagi menyampaikan syarahan atau perkongsian bagaimana arwah melalui kehidupan harian setelah didiagnosis menghidapi penyakit kronik kanser. Kesungguhan dan ketabahan arwah sangat luarbiasa. Yang pasti, didalam Bab 1: Isyarat, Prof. Kamil mengulas mengenai kematian yang memang akan datang melawat semua makhluk yang hidup. Ada yang diberi isyarat atau petunjuk dengan hadirnya sakit yang kronik. Mereka melaluinya dengan tabah dan sepenuh hati.  Namun, terdapat ramai yang tidak tahu dan tidak sedar bahawa masa mereka disini semakin suntuk. Oleh itu, janganlah kita lalai sehingga kita terlupa matlamat asal kita diciptakan oleh Yang Maha Esa. 


Bab 2: Jauhi Prasangka pula Bonda  Nor berkongsi cerita berkenaan ragam kehidupan manusia. Seluruh kehidupan kita ini merupakan ujian Allah swt biar apa pun yang berlaku. Kisah suka atau duka- tentu sekali merupakan satu putaran yang boleh menyemarakkan keadaan. Ujian boleh dipandang dengan kanta positif atau negatif. Pilihan di tangan individu. Namun yang pasti, apa yang kita fikir, itulah sebenarnya gambaran kecantikan atau keburukkan jiwa yang terzahir. Tanpa disedari, apa jua tindakan yang dilakukan oleh manusia lain, kita seringkali berprasangka buruk. Malah, ia sudah menjadi kebiasaan pada kita. Kita rasa resah, marah, benci dan adakalanya dendam tanpa terlebih dahulu menyelidiki perkara yang sebenar. Kita tidak berusaha mencari kebenaran tetapi kita menyebarkan pula keburukan.

Maka, apabila di Padang Masyar kelak, 

  • Sanggupkah kita  menatap wajah mereka-mereka yang kita sakiti demi memohon kemaafan? 
  • Dalam lautan manusia tika itu, sanggupkah kita berusaha mencari mereka-mereka yang pernah kita fitnah, umpat dan keji ketika hidup dahulu sedangkan di dunia dahulu kita tidak kisah pun untuk memperbetulkan lidah kita ini?

Setiap pekerjaan yang kita lakukan memerlukan kesabaran. Selain kesabaran, ia juga memerlukan keredhaan dari insan-insan yang sepatutnya. Seorang isteri memerlukan keredhaan suaminya, seorang anak memerlukan keredhaan ibu bapanya. Tanpa keredhaan, adakalanya usaha kita hanya sia-sia. Tidak dibantu oleh Allah swt. Dan hati ini juga tidak tenang dengan apa yang kita lakukan. Didalam Bab 4: Bersabarlah, Bonda Nor berkongsi pengalaman beliau diawal penglibatan didalam bidang penulisan umum. Bagaimana beliau mempunyai idea yang menarik tetapi usahanya tidak membawa kemana-mana hanya kerana suaminya kurang memberi restu. Namun, setelah memohon petunjuk dan pertolongan dari Allah swt berulang kali, suaminya berjaya dipujuk dan diterangkan situasi sebenar, maka restu dari suami pun diperolehi. Selepas itu, Allah swt melorongkan segala usaha beliau sehingga novel pertamanya mendapat sambutan hangat dan berada di tempat teratas sebuah syarikat penjualan online yang terbesar. Baru dua bulan berada di pasaran, novel tersebut sudah mula dicetak lagi. Alhamdulillah.. Begitulah.. Ujian hati itu sangat berat. Ia tidak mudah seperti yang disangka. Ia menuntut kekuatan mujahadah. Justeru, setiap kali kita keliru, kembalilah kepada-Nya. Memohon keampunan dan panduan. In shaa Allah, Dia Maha Mendengar...


Tingkah-laku anak remaja seringkali menggusarkan orang dewasa. Adakalanya, tingkah-laku yang simple sahaja bagi mereka. Contohnya, tabiat memberi salam para pelajar kepada pensyarah. Prof. Kamil berkongsi bagaimana pendekatan psikologi dan keperibadian beliau, berjaya mengubah tabiat para pelajar yang rata-ratanya remaja, dari berat untuk memberi salam kepada mereka yang berlumba-lumba memberi salam tatkala berjumpa dan lebih menghormati para pensyarah mereka. Bagi Prof. Kamil, pendekatan memarahi dan menghukum bukanlah cara terbaik bagi memperbetulkan anak-anak remaja ini. Begitulah serba sedikit perkongsian dari Prof. Kamil dalam Bab 25: Anak Remaja. 


Kesimpulannya, kesemua 31 Bab yang ada dalam buku ini sangat menarik untuk dibaca, dan diambil pengajaran. Ia membawa kita menyelusuri kehidupan seharian kita, suara hati kita, suara akal kita dan tindak-tanduk kita yang adakalanya tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang mengaku dirinya adalah umat Islam. Oleh kerana menariknya kisah-kisah yang dipaparkan didalam buku ini, maka, tidak adil untuk Patung Beruang kongsikan banyak kisah disini ye. Lebih baik pembaca memiliki dan membaca sendiri naskah ini. 

Prof. Kamil adalah antara penulis tempatan kegemaran Patung Beruang, selain Ustaz Hasrizal, Ustaz Pahrol dan beberapa orang lagi. Gaya penulisan beliau yang santai tetapi padat dengan pengajaran, sentiasa merendah diri dan menyedari yang kita ini hanyalah insan lemah yang penuh dengan kekurangan. Sifat rendah diri yang ada didalam penulisan beliau turut menjentik hati kita sebagai pembaca. Sebab itu lah Patung Beruang suka mengumpul dan meneliti naskah-naskah beliau.   

Sunday, January 18, 2015

Book Review: Bersyukur Saat Diuji

Tajuk:  Bersyukur Saat Diuji

Penulis: Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim

Menariknya Buku Ini:

Ini adalah buku ke-2 tulisan Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim (Prof. Kamil) yang Patung Beruang baca selepas buku Usahawan Akhirat. 

Buku ini mengandungi 30 bab yang menyentuh berbagai ujian yang beliau dan kita juga pernah atau sedang alami dalam kehidupan seharian ini. 

Bab 1: Erti Suatu Ujian hingga Bab 6: Baju dan Kasut, didalam buku ini menceritakan tentang erti sebuah ujian dan bagaimana ujian itu diberikan kepada kita, selaku hamba yang serba lemah dan jahil ini. Prof. Kamil memulakan penceritaan didalam buku ini dengan perkongsian detik-detik bagaimana beliau sekeluarga diuji dengan bencana banjir yang melanda Segamat, Johor pada tahun 2011. 

Bagi sesetengah tempat, banjir adalah masa untuk penduduk disana bersuka-ria, berpesta air. Ramai sanggup keluar rumah semata-mata untuk melihat dan bermain air sesama sendiri. Namun, jika banjir yang melanda terlalu hebat, setinggi rumah, harta benda semua ditenggelami, dimanakah lagi pestanya? Seperti petikan terjemahan ayat Al-Quran dari surah Al-An'am yang dicatatkan didalam buku ini, "Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir dibawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?" (Al-An'am 6:6).

Bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita menghadapi ujian kemusnahan seperti banjir ini? Adakah dengan meratap dan memarahi alam (dalam kata lain, takdir) kerana mendatangkan kerosakan kepada harta benda kita? Atau dengan berhempas pulas menyelamatkan harta benda, membersihkan segala kekotoran, membaik pulih apa yang patut, dan kemudian teruskan hidup seperti biasa? 

Patung Beruang tertarik dengan peristiwa yang Prof. Kamil catatkan dalam Bab 4: Ujian Untuk Siapa? Beliau berkongsi kisah dimana sibuknya dan profesionalnya sukarelawan yang datang membantu untuk mencuci kediaman tetapi malangnya tidak solat, walaupun telah diajak oleh Prof. Kamil dan isterinya. Masya-Allah, sedihnya hati ini apabila membaca kisah ini. 

Patung Beruang juga teringat berkenaan komen beberapa orang sahabat yang terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan ketika banjir di Pantai Timur baru-baru ini. Cerita sama juga yang dibawa. Ada individu yang dilanda musibah, tetapi masih lagi angkuh untuk tidak mahu bersujud kepada Yang Maha Pencipta. Berbagai alasan diberi. Wahai sahabat-sahabat sekalian, bersolatlah walau dalam hati ini rasa terpaksa. Bersolatlah kerana itulah tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya. Bukankah namanya pun "hamba"? Maka, selayaknya lah kita kena berbakti kepada Dia yang memiliki kita, walau dalam apa keadaan sekalipun. Betullah nukilan Prof. Kamil, beliau merasakan ujian banjir dan kemusnahan harta benda adalah ujian yang besar. Tetapi, hakikatnya ramai lagi yang masih berdepan dengan ujian yang lebih besar dari itu.  

Setiap ujian yang Allah beri pada kita, pasti ada kemanisannya. Sama ada kita menyedarinya atau pun tidak. Mungkin manisnya ketika ujian itu melanda. Dan mungkin juga manisnya apabila berakhirnya ujian tersebut. Prof. Kamil telah berkongsi di antara kemanisan dalam ujian yang beliau sekeluarga hadapi adalah kuatnya ikatan ukhwah sesama saudara Muslim, seperti dicatatkan didalam Bab 6: Baju dan Kasut. Juga turut diceritakan mengenai tawaran untuk berhijrah ke Madinah al-Munawarrah yang diterima selepas peristiwa banjir itu, Bab 8: Menghitung Nikmat Allah hingga Bab 10: Ilmu. Ya Allah, hebatnya kuasa dan perancangan-Mu terhadap kami, hamba-Mu yang lemah ini. 

Dalam kehidupan seharian, kita tidak terlepas dengan berbagai ujian. Ujian itu bukan sahaja musibah, bencana, kemiskinan, kesusahan, kegagalan atau kesakitan. Tetapi, harta yang banyak juga adalah ujian. Tubuh badan yang sihat juga adalah ujian. Keluarga yang bahagia juga adalah ujian. Pangkat yang besar juga adalah ujian. Ilmu dan kepandaian yang kita miliki juga adalah ujian. Pendek kata, kehidupan dan juga kematian itu sendiri adalah ujian. Tetapi, berapa ramaikah antara kita yang menyedari bahawa kita ini sebenarnya sedang diuji? Jika kita sedar, apakah yang telah kita lakukan untuk menghadapinya dengan sebaik mungkin, agar kita dapat markah yang tertinggi disisi-Nya? Markah yang tidak kita nampak dengan mata kasar. Berbagai ujian yang kita hadapi sehari-hari ini dikupas dengan menarik sekali oleh Prof. Kamil dalam Bab 15: Ujian Tidur sehinggalah Bab 28: Mampukah Kita. 

Kesimpulannya, buku ini sangat dekat dengan Patung Beruang kerana setiap perkara yang dikupas, sangat dekat dengan kehidupan kita sehari-hari. Tanpa kita sedari, ada antara per perilaku yang kurang elok atau tidak sepatutnya, yang diceritakan didalam buku ini, turut menjadi tabiat kita sehari-hari. Dan kadang-kala, kita tak rasa bersalah atau rasa berdosa pun apabila melakukannya. Dan ada juga antara lintasan-lintasan hati yang nakal, turut pernah singgah di lubuk hati kita ini. Bacalah naskah ini kerana apa yang dipaparkan adalah ibarat cermin kepada diri kita sendiri. 

Ya Allah, maafkan hamba-Mu yang lemah dan jahil ini. Sesungguhnya masih banyak lagi perkara yang perlu hamba-Mu ini perbaiki demi kelangsungan hidup di akhirat kelak. Kami ini tidak layak masuk ke syurga-Mu ya Allah, tetapi kami juga tidak sanggup untuk masuk ke neraka-Mu. Malunya kami ini kepada-Mu, ya Allah..

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...