Sunday, January 31, 2016

Book Review: Beduk Diketuk Lagi, Volume 2

Tajuk: Beduk Diketuk Lagi, Volume 2

Penulis: 

  1. Ustaz Pahrol Mohd Juoi
  2. Kartunis Nik Wafdi
Menariknya Buku Ini:

Buku Beduk Diketuk Lagi, Vol. 2 (BDL) ini sebenarnya telah Patung Beruang sudahkan pembacaannya beberapa bulan yang lepas. Lepas habis baca je, Patung Beruang terus simpan buku ini dikampung. Itulah sebabnya Book Review untuk buku ini agak lambat sedikit. Maaf lah ye... :) 

Ustaz Pahrol membuka pengembaraan BDL ini dengan kisah seorang pakcik pemandu teksi yang sangat menyayangi pekerjaannya. Beliau memahami konsep bekerja itu adalah satu ibadah. Dimana jika kita bekerja kerana mengarapkan ganjaran dan imbuhan, kita akan berhenti setelah mendapatnya. Tetapi jika kita mengaggap pekerjaan kita itu satu ibadah, kita akan terus melakukannya dengan senang hati kerana kita sedar, ibadah itu tiada pencen. Beliau sedar yang beliau tiada kepandaian lain selain dari memandu teksi. Maka, beliau meneruskan pekerjaan beliau dengan harapan beliau dapat memberi manfaaf kepada manusia lain, selari dengan hadis Rasulllah s.a.w. Aktiviti sehariannya dimulakan seawal pagi selepas subuh agar beliau boleh habis kerja awal, dan menumpukan pada aktiviti pengisian rohani diwaktu malam. Subhanallah, beliau ini mengamalkan apa yang disebut didalam Al-Quran, 
"Maka apabila engkau telah selesai (daripada satu urusan) bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)"

Begitu kisah seorang pemandu teksi biasa yang sangat luar biasa didalam Beduk 1: Hati Seorang Pemandu Teksi.

Perasan tak kita, sekarang ni setiap kali solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha, pasti masjid akan sentiasa dipenuhi dengan ramai jemaah yang datang. Tua muda, lelaki dan wanita, kanak-kanak dan remaja, semuanya excited datang memeriahkan rumah Allah.  Tetapi, yang menghairankan, pada hari yang sama, jemaat solat Subuh dan Zohor sangat berkurangan. Seolah-olah seperti jemaah yang datang untuk solat Sunat itu, tiba-tiba muncul di mukim tersebut bagi memeriahkan solat Sunat. Dan selepas itu, semuanya menghilang secara tiba-tiba.  Sedih bukan kerana ia kelihatan seperti kita lebih mengutamakan berjemaah untuk solat Sunat berbanding berjemaah untuk solat Fardhu yang lebih digalakkan oleh Yang Maha Esa dan Rasulullah s.a.w.  

Ketika khutbah sedang dibacakan, berapa ramaikah jemaah yang khusyuk mendengar intipati khutbah yang disampaikan? Biasa saja kita melihat jemaah leka menatap smartphone masing-masing, atau berbual dan bertegur sapa sesama sendiri juga sedang terlentuk-lentuk menahan ngantuk. Jika begini lah sikap kita, tercapaikah matlamat sebenar solat Sunat dan penyampaian khutbah itu? 

Jemaah yang hadir kesemuanya berpakaian cantik dan kemas belaka, bersopan santun dan menutup aurat. Tetapi adakah aurat tersebut tetap terjaga setelah selesainya solat Sunat Aidilfitri atau Aidiladha? Adakah auratnya masih terpelihara tatkala kaki ini melangkah keluar dari masjid?  Adakah aurat itu tertutup hanya kerana destinasinya adalah masjid sedangkan apabila keluar ke tempat lain, aurat dibuka dengan sewenang-wenangnya dengan alasan fesyen? Jika begitu lah yang terjadi, kita ini sedang mempermain-mainkan hukum yang Allah telah tetapkan kepada hamba-Nya.  Begitulah serba sedikit persoalan yang dilontarkan oleh penulis dalam Beduk 2: Sendi Agama Itu Syariat. Bukan Adat

Beduk 4: Menutup Aurat Tetapi Hati Jahat pula membawa kita kepada persoalan mengapa terdapat segelintir wanita yang sangat baik, jujur dan amanah, tetapi auratnya masih tidak terjaga dengan sempurna. Namun, terdapat juga wanita yang menutup aurat seperti yang disyariatkan, tetapi tingkah laku dan kata-kata yang keluar dari mulutnya tidak menggambarkan ciri-ciri seorang muslimah yang baik. Kata-katanya penuh dengan dusta dan fitnah, suka mengadu domba, mengumpat dan mencaci orang lain hatta ahli keluarga sendiri. Alangkah sedihnya melihat insan sebegini kerana dia sebenarnya sedang menipu orang disekeliling dan lebih malang lagi, dia juga sedang menipu diri sendiri. Bagi mereka ini, tuntutan menutup aurat sudah ditegakkan, Alhamdulillah. Tinggal satu lagi, tuntutan memperbaiki akhlak. Itu yang perlu dilaksanakan. Tiada gunanya kita mendapat pahala kerana menutup aurat, tetapi dalam masa yang sama kita juga mendapat dosa kerana mengumpat dan menfitnah orang lain. Maka, akhirnya apakah bekalan yang tinggal untuk dibawa mengadap Yang Maha Esa? Sia-sia sahaja hidup didunia ini berpuluh tahun jika akaun akhirat kita berjumlah kosong ataupun lebih malang lagi, negatif .. Nauzubillah min zalik.. 

Beberapa tahun lepas, umat Islam di Malaysia digemparkan dengan kisah penemuan DNA babi dalam coklat jenama terkenal. Apa lagi, semua orang berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan, menyuarakan amarah kepada syarikat pembuat coklat juga kepada agensi yang mengawalselia status HALAL di negara ini. Kemuncaknya jualan coklat jenama tersebut jatuh merudum. Terlalu ketara kesan boikot yang dijalankan oleh umat Islam dinegara ini. Ye, dalam soal makan minum, "babi" adalah satu nama yang sangat digeruni oleh umat Islam kerana status Haramnya. 

Tetapi yang anehnya, umat Islam yang galak memboikot jenama coklat ini, adalah orang yang sama, yang sering mencuri tulang dan curi masa dipejabat. Mereka adalah orang yang sama yang memberi dan menerima rasuah. Mereka orang yang sama yang sanggup menipu tender, sanggup menggadaikan kualiti projek, membazirkan duit rakyat hanya kerana tuntutan untuk mengisi kantung sendiri dengan sepenuh-penuhnya. 

Pelik bukan? Rasuah itu diberi dan diterima dengan sewenang-wenangnya. Duit yang sama digunakan untuk memberi anak isteri makan. Duit yang sama diberikan juga kepada ibu bapa dikampung. Duit yang sama digunakan untuk membeli kereta atau rumah, melancong didalam atau ke luar negara. 

Tetapi, mengapa kita tak galak untuk memboikot gejala rasuah sebagaimana kita galak memboikot coklat yang didakwa mengandungi DNA babi?? Mungkin bagi kita rasuah itu lebih bersih dari babi... atau mungkin juga kerana ia sudah sebati dengan kita sehingga kita rasa tidak bersalah walau sekelumit. Beduk 34: DNA Rasuah vs DNA Babi. 


Akhir kata, buku BDL Vol.2  ini sebenarnya mengandungi 36 kisah yang menarik untuk tatapan kita. Ia mengupas cara kehidupan seharian kita, perilaku kita, pemikiran dan juga level iman kita. Bagi Patung Beruang, volume 2 ini lebih menarik dan lebih sedap dari volume 1 dulu. Tahniah Ustaz Pahrol kerana berjaya menghasilkan buku yang santai tetapi sangat bermanfaat dan menjentik pemikiran dan emosi pembaca. Kartun-kartun karya Nik Wafdi yang menghiasi setiap kisah didalam buku ini pula sangat bersesuaian dengan kisah yang disampaikan, mencuit hati dan memberikan nilai santai pada buku ini. Buku yang menarik dan bagus untuk dikongsi dengan pembaca diluar sana :)

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...