Showing posts with label Pahrol Mohd Juoi. Show all posts
Showing posts with label Pahrol Mohd Juoi. Show all posts

Tuesday, January 13, 2026

Book Review: Perasaan Bukan Tuhan


Tajuk: Perasaan Bukan Tuhan

Penulis: Pahrol M. Juoi

Menariknya Naskah Ini: 

Ini adalah buku ke-24 yang berjaya Patung Beruang selesaikan pembacaan pada tahun 2025, Alhamdulillah...

Tapi, masih banyak lagi book review yang belum sempat Patung Beruang kongsikan disini. Maaf ye, Patung Beruang cubalah untuk update seberapa banyak, walau berapa lama pun masa diambil.


Naskah Perasaan Bukan Tuhan ini sebenarnya Ibu yang selesai membaca dulu ketika Disember hari itu. Ibu mula membaca pada hari Ahad, dan selesai pada hari yang sama, if I not mistaken. Ibu cakap, naskah ini sedap sangat dan dia rasa sebak sebab apa yang ditulis oleh Ustaz Pahrol sama seperti apa yang kami alami selepas pemergian Ayah.. 



Naskah ini mengajak pembaca berhenti seketika dan bertanya soalan yang sangat penting: 

"Siapakah sebenarnya yang kita ikuti dalam hidup ini - Tuhan atau perasaan kita sendiri?"

Melalui gaya penulisan yang lembut dan penuh hikmah, Ustaz Pahrol membongkar satu kekeliruan yang sering berlaku dalam kehidupan manusia moden: apabila perasaan diangkat menjadi penentu mutlak dalam membuat keputusan, hingga tanpa sedar menenggelamkan suara iman dan akal. 


Ustaz Pahrol menekankan bahawa perasaan adalah ciptaan Tuhan - ia perlu diurus, bukan ditaati sepenuhnya. Beliau mengingatkan bahawa banyak kerosakan dalam hubungan, ibadah, dan kehidupan berlaku bukan kerana manusia tiada agama, tetapi kerana terlalu tunduk kepada rasa: 

  • Rasa kecewa yang mematikan harapan
  • Rasa marah yang membenarkan kezaliman
  • Rasa sedih yang menghalalkan putus asa
  • Rasa cinta yang membenarkan dosa


Secara amnya, Perasaan Bukan Tuhan bukanlah buku yang memaksa pembaca berubah secara drastik. Ia lebih kepada sebuah cermin - jujur, tenang, dan kadang-kadang menyakitkan - tetapi perlu untuk kita lihat diri sendiri dengan lebih jelas. 

Naskah ini mengingatkan kita bahawa perasaan itu penting, tetapi ia bukan penentu kebenaran. Tuhanlah yang sepatutnya berada di tempat tertinggi, dan perasaan perlu tunduk kepada-Nya. 

"Kerana tidak semua yang kita rasa itu benar."

"Tidak semua yang menyakitkan itu zalim."

"Tidak semua yang selesa itu diredhai."

Kadang-kadang, apa yang Allah minta kita lakukan memang bercanggah dengan perasaan. Dan disitulah ujian sebenar ketaatan. 



Ustaz Pahrol menekankan bahawa perasaan perlu dipandu oleh iman. Iman perlu dipandu oleh ilmu. Ilmu pula perlu dipandu oleh wahyu. Namun, apabila susunan ini terbalik, hidup jadi serabut. Hati jadi penat. Jiwa jadi keliru - seperti bilik sunyi dalam ilustrasi kulit buku ini: kemas di luar, berselerak di dalam... 



Perasaan Bukan Tuhan mengingatkan Patung Beruang bahawa: 
Perasaan boleh menipu.
Perasaan boleh berubah.
Tetapi Tuhan tidak pernah berubah...

Dan hidup yang tenang bukanlah hidup tanpa perasaan, tetapi hidup yang meletakkan perasaan di tempatnya yang betul.

Kadang-kadang, bukan Tuhan yang jauh dari kita. 
Tapi, kita yang terlalu sibuk mendengar perasaan sendiri....

Thursday, April 20, 2017

Book Review: Satu Rasa Dua Hati

Tajuk : Satu Rasa Dua Hati 

Penulis : Pahrol Mohd Juoi

Menariknya Naskah Ini:

Naskah Satu Rasa Dua Hati adalah naskah karya Ustaz Pahrol yang Patung Beruang miliki semenjak tahun lepas. Untuk pengetahuan semua, naskah ini pertama kali diterbitkan dan dicetak pada tahun 2007. Dan sehingga tahun 2014, ia sudah dicetak sebanyak 8 kali. Wah... hebatnya.. 

Naskah Satu Rasa Dua Hati ini memberi panduan kepada pasangan yang sudah berkahwin, atau bakal berkahwin bagi menimba ilmu rumahtangga agar mahligai yang dibina tidak runtuh ditengah jalan hanya kerana kesilapan diri sendiri. 

Naskah ini mengandungi 20 Bab yang disusun dengan menarik. Bermula dari bagaimana mencari pasangan yang terbaik dari sudut agama. Segala-galanya mestilah dimulakan dari diri kita sendiri. Jika kita hendak mencari pasangan yang baik, diri sendiri kenalah baik dulu. Itulah yang dikupas didalam Bab 1: Jadi Soleh Dapat Solehah. 

Masa bercinta, semua kehendak diturutkan. Apa sahaja diminta, pasti disediakan. Walau terpaksa mengikat perut, berjimat-cermat, semuanya dibutakan mata dengan alasan memberi pada yang tersayang. Namun mengapa apabila sudah berkahwin, sifat pemurah si lelaki bertukar menjadi kedekut dan berkira? Jika dulu semua keinginan si gadis dituruti. Kini, setalah berkahwin, setelah si gadis menjadi isteri, mengapa si lelaki iaitu suami mula berkira. Lupakah mereka bahawa sebaik-baik sedekah adalah sedekah kepada isteri? Lupakah mereka apabila mereka bersedekah kepada isteri, Allah akan melapangkan lagi pintu rezeki mereka. Jadi.. Janganlah berkira pada isteri. Dia sudah banyak berkorban semenjak dari saat dia bergelar seorang isteri. 

Dewasa ini ramai orang berlumba-lumba mengejar kekayaan, mencari kemewahan. Kerja siang dan malam. Sehingga sampai satu tahap, institusi keluarga dilupakan. Pasangan ditinggalkan, anak-anak terabai. Komunikasi bersama pasangan sangat terhad. Komunikasi bersama anak-anak jarang sekali. Luaran nampak hebat dan gah. Punya segala yang indah belaka. Harta berjuta, wang ringgit berkepuk. Namun, rumah hanyalah rumah. Sebagai tempat tinggal untuk penghuninya. Bukan sebagai kediaman yang menyenangkan dan mendamaikan. Rumah terasa panas walau suhu tercatat di air-cond adalah rendah. Sedih.. Namun, itulah realiti pada masa kini. Lantas, dimana kurangnya? Kurang material? Tidak mungkin. Kurang kasih sayang? Memang benar. Tapi, bukankah kasih sayang boleh dibeli dengan wang ringgit??? 

Setiap rumah itu adalah ibaratnya seperti sebuah masjid. Imarahkan masjid itu. Kukuhkan masjid itu. Suami sebagai imam buat isteri dan anak-anak. Kembalikan sinar Islam didalam rumah itu. Ketepikan sebentar kesibukan dunia, demi mencari kekayaan akhirat. Mulakan dengan perlahan-lahan, sehingga akhirnya ia sebati pada setiap ahli keluarga. In shaa Allah, rumah yang panas, akan bertukar menjadi kediaman yang menenangkan. Kediaman yang sentiasa dirindui oleh penghuninya. Aamiin.. 


Setelah diteliti naskah ini, Patung Beruang dapat simpulkan beberapa faktor yang menyebabkan naskah ini menjadi best seller dan masih bertahan sehingga kini walaupun setelah 10 tahun diterbitkan.
1. Naskah ini padat namun pengisiannya santai. Setiap topik dikupas secara santai tapi padat dengan ilmu dan teguran. Membuatkan pembaca tidak bosan. 

2. Penyampaian yang diselitkan dengan dialog dan mempunyai gaya penceritaan. Ye, ini bukan buku teks. Membaca naskah ini seperti kita membaca buku cerita atau kita seperti sedang berbual bersama insan lain. 

3. Diselitkan dengan karikatur yang menarik dan lucu. Nampak macam tidak ada makna tetapi wujudnya karikatur ini meringankan sedikit beban pemikiran pembaca.

4. Topik yang diulas masa relevan sehingga kini. Topik tentang sukarnya mencari pasangan yang baik dari sudut Islam, saling memberi tanpa syarat, percintaan untuk pasangan lanjut usia yang adakalanya semakin suram, perubahan sikap, perangai dan imej pasangan, masalah emosi kaum wanita, masalah kewangan didalam keluarga, perbezaan sikap, minat dan pemikiran dengan pasangan dan macam-macam topik lagi lah.. 

Untuk pengetahuan semua, Ustaz Pahrol adalah antara penulis kegemaran Patung Beruang. Dan naskah ini membuktikan kehebatan pena beliau dalam memberi teguran buat kita semua. Selamat membaca... 

Sunday, January 31, 2016

Book Review: Beduk Diketuk Lagi, Volume 2

Tajuk: Beduk Diketuk Lagi, Volume 2

Penulis: 

  1. Ustaz Pahrol Mohd Juoi
  2. Kartunis Nik Wafdi
Menariknya Buku Ini:

Buku Beduk Diketuk Lagi, Vol. 2 (BDL) ini sebenarnya telah Patung Beruang sudahkan pembacaannya beberapa bulan yang lepas. Lepas habis baca je, Patung Beruang terus simpan buku ini dikampung. Itulah sebabnya Book Review untuk buku ini agak lambat sedikit. Maaf lah ye... :) 

Ustaz Pahrol membuka pengembaraan BDL ini dengan kisah seorang pakcik pemandu teksi yang sangat menyayangi pekerjaannya. Beliau memahami konsep bekerja itu adalah satu ibadah. Dimana jika kita bekerja kerana mengarapkan ganjaran dan imbuhan, kita akan berhenti setelah mendapatnya. Tetapi jika kita mengaggap pekerjaan kita itu satu ibadah, kita akan terus melakukannya dengan senang hati kerana kita sedar, ibadah itu tiada pencen. Beliau sedar yang beliau tiada kepandaian lain selain dari memandu teksi. Maka, beliau meneruskan pekerjaan beliau dengan harapan beliau dapat memberi manfaaf kepada manusia lain, selari dengan hadis Rasulllah s.a.w. Aktiviti sehariannya dimulakan seawal pagi selepas subuh agar beliau boleh habis kerja awal, dan menumpukan pada aktiviti pengisian rohani diwaktu malam. Subhanallah, beliau ini mengamalkan apa yang disebut didalam Al-Quran, 
"Maka apabila engkau telah selesai (daripada satu urusan) bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)"

Begitu kisah seorang pemandu teksi biasa yang sangat luar biasa didalam Beduk 1: Hati Seorang Pemandu Teksi.

Perasan tak kita, sekarang ni setiap kali solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha, pasti masjid akan sentiasa dipenuhi dengan ramai jemaah yang datang. Tua muda, lelaki dan wanita, kanak-kanak dan remaja, semuanya excited datang memeriahkan rumah Allah.  Tetapi, yang menghairankan, pada hari yang sama, jemaat solat Subuh dan Zohor sangat berkurangan. Seolah-olah seperti jemaah yang datang untuk solat Sunat itu, tiba-tiba muncul di mukim tersebut bagi memeriahkan solat Sunat. Dan selepas itu, semuanya menghilang secara tiba-tiba.  Sedih bukan kerana ia kelihatan seperti kita lebih mengutamakan berjemaah untuk solat Sunat berbanding berjemaah untuk solat Fardhu yang lebih digalakkan oleh Yang Maha Esa dan Rasulullah s.a.w.  

Ketika khutbah sedang dibacakan, berapa ramaikah jemaah yang khusyuk mendengar intipati khutbah yang disampaikan? Biasa saja kita melihat jemaah leka menatap smartphone masing-masing, atau berbual dan bertegur sapa sesama sendiri juga sedang terlentuk-lentuk menahan ngantuk. Jika begini lah sikap kita, tercapaikah matlamat sebenar solat Sunat dan penyampaian khutbah itu? 

Jemaah yang hadir kesemuanya berpakaian cantik dan kemas belaka, bersopan santun dan menutup aurat. Tetapi adakah aurat tersebut tetap terjaga setelah selesainya solat Sunat Aidilfitri atau Aidiladha? Adakah auratnya masih terpelihara tatkala kaki ini melangkah keluar dari masjid?  Adakah aurat itu tertutup hanya kerana destinasinya adalah masjid sedangkan apabila keluar ke tempat lain, aurat dibuka dengan sewenang-wenangnya dengan alasan fesyen? Jika begitu lah yang terjadi, kita ini sedang mempermain-mainkan hukum yang Allah telah tetapkan kepada hamba-Nya.  Begitulah serba sedikit persoalan yang dilontarkan oleh penulis dalam Beduk 2: Sendi Agama Itu Syariat. Bukan Adat. 

Beduk 4: Menutup Aurat Tetapi Hati Jahat pula membawa kita kepada persoalan mengapa terdapat segelintir wanita yang sangat baik, jujur dan amanah, tetapi auratnya masih tidak terjaga dengan sempurna. Namun, terdapat juga wanita yang menutup aurat seperti yang disyariatkan, tetapi tingkah laku dan kata-kata yang keluar dari mulutnya tidak menggambarkan ciri-ciri seorang muslimah yang baik. Kata-katanya penuh dengan dusta dan fitnah, suka mengadu domba, mengumpat dan mencaci orang lain hatta ahli keluarga sendiri. Alangkah sedihnya melihat insan sebegini kerana dia sebenarnya sedang menipu orang disekeliling dan lebih malang lagi, dia juga sedang menipu diri sendiri. Bagi mereka ini, tuntutan menutup aurat sudah ditegakkan, Alhamdulillah. Tinggal satu lagi, tuntutan memperbaiki akhlak. Itu yang perlu dilaksanakan. Tiada gunanya kita mendapat pahala kerana menutup aurat, tetapi dalam masa yang sama kita juga mendapat dosa kerana mengumpat dan menfitnah orang lain. Maka, akhirnya apakah bekalan yang tinggal untuk dibawa mengadap Yang Maha Esa? Sia-sia sahaja hidup didunia ini berpuluh tahun jika akaun akhirat kita berjumlah kosong ataupun lebih malang lagi, negatif .. Nauzubillah min zalik.. 

Beberapa tahun lepas, umat Islam di Malaysia digemparkan dengan kisah penemuan DNA babi dalam coklat jenama terkenal. Apa lagi, semua orang berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan, menyuarakan amarah kepada syarikat pembuat coklat juga kepada agensi yang mengawalselia status HALAL di negara ini. Kemuncaknya jualan coklat jenama tersebut jatuh merudum. Terlalu ketara kesan boikot yang dijalankan oleh umat Islam dinegara ini. Ye, dalam soal makan minum, "babi" adalah satu nama yang sangat digeruni oleh umat Islam kerana status Haramnya. 

Tetapi yang anehnya, umat Islam yang galak memboikot jenama coklat ini, adalah orang yang sama, yang sering mencuri tulang dan curi masa dipejabat. Mereka adalah orang yang sama yang memberi dan menerima rasuah. Mereka orang yang sama yang sanggup menipu tender, sanggup menggadaikan kualiti projek, membazirkan duit rakyat hanya kerana tuntutan untuk mengisi kantung sendiri dengan sepenuh-penuhnya. 

Pelik bukan? Rasuah itu diberi dan diterima dengan sewenang-wenangnya. Duit yang sama digunakan untuk memberi anak isteri makan. Duit yang sama diberikan juga kepada ibu bapa dikampung. Duit yang sama digunakan untuk membeli kereta atau rumah, melancong didalam atau ke luar negara. 

Tetapi, mengapa kita tak galak untuk memboikot gejala rasuah sebagaimana kita galak memboikot coklat yang didakwa mengandungi DNA babi?? Mungkin bagi kita rasuah itu lebih bersih dari babi... atau mungkin juga kerana ia sudah sebati dengan kita sehingga kita rasa tidak bersalah walau sekelumit. Beduk 34: DNA Rasuah vs DNA Babi. 


Akhir kata, buku BDL Vol.2  ini sebenarnya mengandungi 36 kisah yang menarik untuk tatapan kita. Ia mengupas cara kehidupan seharian kita, perilaku kita, pemikiran dan juga level iman kita. Bagi Patung Beruang, volume 2 ini lebih menarik dan lebih sedap dari volume 1 dulu. Tahniah Ustaz Pahrol kerana berjaya menghasilkan buku yang santai tetapi sangat bermanfaat dan menjentik pemikiran dan emosi pembaca. Kartun-kartun karya Nik Wafdi yang menghiasi setiap kisah didalam buku ini pula sangat bersesuaian dengan kisah yang disampaikan, mencuit hati dan memberikan nilai santai pada buku ini. Buku yang menarik dan bagus untuk dikongsi dengan pembaca diluar sana :)

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...