Penulis: Abdul Latip Talib
Sinopsis Novel Ini:
Di Wilayah Castilia, Isabella adalah puteri kepada Raja Don Juan II dan permaisuri Dona Isabella. Kelahiran Isabella disambut dengan meriah dimana Raja Don Juan II memerintahkan agar diadakan keramaian, dimana rakyat jelata dijamu dengan pelbagai makanan dan minuman, para pembesar istana, menteri dan ketua tentera pula akan diberi hadiah.
Namun, dalam kegembiraan Raja Don Juan II menyambut kelahiran Isabella, Castilia sebenarnya sedang kritikal dengan masalah kewangan mereka.
Oleh kerana ingin mengadakan keramaian seperti yang dititahkan oleh Raja Don Juan II, para pembesar istana terpaksa mengutip cukai lebih daripada rakyat Castilia yang kebanyakkan adalah golongan petani, penternak dan peniaga.
Dona Isabella adalah isteri ke-2 Raja Don Juan II. Isteri pertama bernama Maria dan perkahwinan Raja Don Juan II dan Maria hanya dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Raja Enrique. Setelah Maria meninggal dunia, barulah Raja Don Juan II memperisterikan Dona Isabella.
Tidak berapa lama selepas kelahiran Isabella, Donna Isabella mengandung lagi dan selamat melahirkan seorang putera pula, yang diberi nama Alfonso. Maka, kini Raja Don Juan II mempunyai 2 putera dan seorang puteri.
Namun, pada usia 48 tahun, Raja Don Juan II jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia. Setelah itu, Raja Enrique ditabalkan sebagai raja. Dan perlantikan ini tidak dipersetujui oleh Donna Isabella yang mengharapkan agar anaknya, Isabella ataupun Alfonso yang menjadi raja.
Perkara pertama yang dilakukan oleh Raja Enrique setelah menaiki takhta adalah dengan memaksa Dona Isabella dan kedua-dua anaknya mendiami istana lama yang terletak di belakang istana baru, serta melengah-lengahkan pembacaan wasiat Raja Don Juan II walaupun sering didesak oleh Dona Isabella.
Setelah pembacaan wasiat Raja Don Juan II dijalankan, Dona Isabella dan anak-anaknya diminta berpindah sekali lagi. Kali ini mereka diarahkan menetap di Arevalo, sebuah ladang pertanian keluarga mereka.
Raja Enrique pernah berkahwin sebelum kemangkatan Raja Don Juan II. Isteri pertama beliau adalah Blanca Navarre. Namun, perkahwinan tersebut hanya bertahan seketika. Setelah ditabalkan menjadi pemerintah Castilia, Raja Enrique berkahwin sekali lagi iaitu dengan Juana, adik kepada Raja Alfonso V Portugal. Juana kemudiannya dikenali sebagai Ratu Juana.
Pada awal pemerintahannya Raja Enrique, beliau disanjung oleh rakyat jelata kerana beranggapan Raja Enrique tidak sezalim bapanya. Namun, pemerintahan Raja Enrique semakin berubah, ekonomi negara semakin meleset dan rakyat mula memberontak. Dalam masa yang sama, Ketua Bishop Toledo iaitu Alfonso Carrillo de Acuna mula berpakat dengan Alberto, pengikutnya untuk menjatuhkan Raja Enrique dengan cara mendapatkan sokongan Isabella dan Alfonso. Ini kerana, Carillo dan Alberto menyedari yang hubungan Raja Enrique bersama dengan ibu tiri dan dua adik tirinya adalah tidak baik.
Perancangan Carillo dan Alberto tersebut sampai ke telinga Raja Enrique. Oleh itu, Raja Enrique merampas hak penjagaan Isabella dan Alfonso dari Dona Isabella dengan alasan Dona Isabella tidak waras, maka tidak layak menjaga anak-anaknya. Maka, bermulalah kehidupan Isabella dan adiknya di Segovia, sebuah kediaman yang besar dan cantik berbanding kediaman mereka di Arevalo. Isabella juga diberi pengasuh yang bernama Clara.
Kedua beradik ini mula menjalani kehidupan seperti puteri dan putera raja yang sebenar. Isabella diberi pendidikan asas seperti membaca, mengeja, menulis, tatabahasa, matematik, seni, catur, menari, sulaman, muzik dan keagamaan. Dia juga mempelajari kraftangan dan hal ehwal rumahtangga. Alfonso pula diajar berkenaan dengan hal ehwal politikyang berlaku dalam kerajaan. Isabella mula gemar membaca dan begitu menikmatinya minatnya itu.
Kehidupan Isabella dan Alfonso tidak seindah yang disangka. Isabella melihat kecurangan Ratu Juana sehingga Ratu Juana melahirkan anak perempuan, yang diberi nama Puteri Dona Juana. Taraf Isabella sebagai pewaris dinafikan apabila Raja Enrique melantik Puteri Dona Juana sebagai pewaris takhta.
Selain itu, Raja Enrique merancang untuk menjodohkan Isabella dengan Giron, seorang Penguasa Calavatra yang kejam dan zalim. Tujuannya adalah untuk memulihkan keadaan politik yang sedang bergolak dimana pihak pemberontak sedang berusaha untuk menjatuhkan Raja Enrique. Sebenarnya Giron bukanlah calon suami yang terbaik untuk Isabella memandangkan karektor beliau yang kasar, kurang ajar, pengamal rasuah dan sangat terkenal dengan kejahatannya. Namun, Raja Enrique tiada pilihan dan perkahwinan tersebut diteruskan. Isabella sangat kecewa dengan keputusan abangnya. Namun, beberapa hari sebelum perkahwinan mereka, Giron jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia.
Selepas itu, Raja John, pemerintah Aragon berhasrat untuk mengahwinkan puteranya iaitu Raja Ferdinand dengan Isabella bagi mengukuhkan ikatan 2 negara iaitu Aragon dan Castilia. Hasrat tersebut disokong sepenuhnya oleh Carillo, Ketua Bishop Toledo dan dipersetujui oleh Isabella. Malangnya rancangan ini ditentang oleh Raja Enrique, kerana beranggapan ia akan membuka peluang Isabella untuk merebut takhta darinya.
Perkahwinan Isabella dan Raja Ferdinand tetap diteruskan dan dengan itu, Raja Enrique mula dingin dengan adik tirinya. Maka, bermulalah kehidupan Isabella sebagai isteri kepada pewaris takhta Aragon.
Raja Enrique mula mengancam Isabella atas kedegilannya tersebut.
Adakah Castilia dan Aragon akan berperang kerana perkahwinan tersebut?
Atau Isabella akan berpindah ke Aragon, menetap disana dan melupakan sahaja asal usulnya di Castilia?
Dalam masa yang sama, adakah rakyat akan mempertikai status Puteri Dona Juana walaupun Raja Enrique telah melantiknya sebagai pewaris yang sah?
Membaca novel Isabella ini membawa kita ke abad 14 dimana pada masa itu kehebatan sesuatu kerajaan itu diukur dengan besar dan hebatnya angkatan tentera mereka, peperangan antara satu wilayah dengan wilayah lain berlaku akibat perebutan takhta dan kuasa, dan ancaman pemberontak yang sentiasa ada untuk menjatuhkan kuasa monarki.
Walaupun Isabella dilahirkan sebagai seorang puteri raja, tetapi kehidupannya tidak seperti puteri raja didalam Fairy Tales. Kematian ayah, dipisahkan dengan ibu ketika masih kecil, menghadapi kematian adiknya, Alfonso, dikhianati oleh abang tirinya, Raja Enrique membuatkan Isabella menjadi seorang puteri yang tabah. Ketua Bishop Toledo, Carillo sentiasa menyokong Isabella sehinggalah pada suatu masa, Carillo sendiri berpaling meninggalkannya apabila merasakan Isabella lebih banyak mendengar nasihat suaminya, Raja Ferdinand berbanding dirinya. Sokongan Carillo kepada Isabella sebenarnya lebih kepada untuk memastikan dirinya mendapat kuasa mutlak jika pada suatu hari Isabella diangkat menjadi Ratu. Betapa, manusia itu adakalanya memang tidak ikhlas dalam membuat kebaikkan sesama manusia....
No comments:
Post a Comment