Showing posts with label Norden Mohamed. Show all posts
Showing posts with label Norden Mohamed. Show all posts

Sunday, July 3, 2016

Book Review: Maaf Cakap 2 Mengurus Perasaan Agar Tidak Perasan

Tajuk: Maaf Cakap 2    Mengurus Perasaan Agar Tidak Perasan 


Penulis: Norden Mohamed



Menariknya Buku Ini:



Buku ini adalah volume ke-2 untuk Siri Maaf Cakap, Mengurus Perasaan Agar Tidak Perasan. Untuk volume ke-2 ini, penulis membariskan 106 cerita yang dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu:


  • Motivasi
  • Sosial
  • Sumber Manusia
  • Bisnes
  • Dunia Akhbar
  • Minda 


Penulis membuka buku ini dengan kisah pertama yang bertajuk "Apa-Apa Yang Ada Pada Nama". Didalam kisah ini penulis membawa kita bagaimana ada pelbagai nama yang digunakan di media sosial, ada yang menggunakan nama sendiri, ada yang nama samaran. Ada juga yang siap dengan pangkat sekali. Ada yang menggandingkan nama mereka dengan hobi mereka serta tidak kurang juga yang menggandingkan nama dengan syarikat atau organisasi mereka. Dari dahulu hingga sekarang, kita sering berjumpa dengan nama yang sama. Maka, bagaimana hendak membezakan antara satu sama lain?? Gelaran pun diberikan. Ada yang digelar kerana kehebatannya dan kelebihannya, ada juga yang digelar kerana kekurangannya. Ada juga yang digelar kerana keunikkan yang dimilikinya. Selain itu, masyarakat sering memandang tinggi pada mereka yang mempunyai pangkat dan gelaran diawal nama seseorang individu itu. Maka, tidak hairanlah ada orang sanggup bermati-matian berusaha untuk memiliki pangkat dan gelaran, hatta ada yang sanggup mendapatkannya dengan cara menipu atau memalsukan pangkat dan gelaran tersebut. Dan setelah dimiliki, mereka berasa sangat berkecil hati jika orang disekeliling tidak memanggil mereka bersama-sama dengan pangkat dan gelaran. Dunia oh dunia... 

Ilmu adalah satu perkataan yang sangat tinggi nilainya. Namun, adakah disebabkan ketinggian nilainya itu, maka wajar untuk ilmu itu disimpan dan hanya menjadi rahsia mutlak kita sahaja? Lalu, apabila kita meninggalkan dunia ini, ilmu itu turut terkubur bersama-sama dengan jasad kita. 

Pada waktu dahulu, sesiapa yang belajar seni silat, pasti sering mendengar kalimah ini, 

"Guru hanya akan mengajar 9 per 10 sahaja gerak langkah kepada muridnya. Baki 1 langkah, akan disimpannya bagi mengelakkan murid melawan guru."

Tetapi, patutkah keadaan ini berterusan?

Dan apabila tiba giliran si murid tadi bergelar guru, tatkala dia hendak mengajar gerak langkah kepada anak muridnya, pasti dia turut menyimpan 1 langkah seperti yang diamalkan oleh gurunya sebelum itu. Dan akhirnya, apabila generasi silih berganti, tiada lagi gerak langkah yang boleh diajar kerana kesemuanya telah disimpan oleh guru-guru sebelum itu. Adil kah perlakuan ini?

Namun kini jika diteliti, banyak sahaja kajian-kajian yang dibuat, artikel-artikel atau buku-buku yang ditulis bagi menyampaikan ilmu. Tidak percaya?

Lihatlah, berapa banyak buku-buku yang terhasil bagi membicarakan tentang kehebatan syarikat automotif terkemuka dunia, Toyota. Begitu juga bagaimana jatuh bangun Jack Ma dan Alibabanya. Bagaimana uniknya Steve Jobs dalam membangunkan Apple sehingga menjadi trend di seluruh dunia. Bagaimana hebatnya pemikiran Tun Dr Mahathir dalam mengemudi pentadbiran negara tetapi dalam masa yang sama, sifat sayangkan bangsa Melayu, begitu menebal. Tidak kurang juga asam garam perjuangan Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela ketika hayat mereka.  Begitulah serba sedikit inti pati kisah ke-2, Sudah Tiada Rahsia Lagi. 


Hari Rabu ini, in shaa Allah, umat Islam di Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilifitri. Hari pertama di bulan Syawal. Hari kemenangan pada umat Islam. Pada hari ini, pasti ada sesi kunjung-mengunjung ke rumah-rumah sanak-saudara dan handai taulan. Saling bermaafan sesama sendiri, berbual, bergelak ketawa mengeratkan silaturrahim, serta menjamu selera tetamu yang datang. 

Namun...

Dalam kerancakkan kita berbual, bertanya khabar, janganlah komunikasi atau perbualan kita itu disulami atau dipenuhi dengan sesi memakan daging saudara sendiri. 

Kelakar bukan??

Baru sebentar tadi, kita saling menghulurkan tangan, bermaafan.. Kini, elok sahaja kaki ini melangkah keluar dari rumahnya, atau elok sahaja si polan meninggalkan rumah kita, kita pun mula lah mengumpat si polan ini. Mula lah bercerita kisah-kisah yang mengaibkannya, kisah-kisah yang tidak tentu hujung pangkalnya atau bahasa "lembutnya" memfitnah, memaki hamun dan mencarut tak tentu pasal. 

Sudah banyakkah pahala yang kita kumpulkan ketika Ramadhan hari itu, sehingga kita rasa tidak sayang langsung dengan pahala tersebut, dan ia dibazirkan atau dibuang begitu sahaja dengan cara melakukan dosa lidah sewenang-wenangnya? 

Kasihannnnnnnn....
Kita ini tidak ubah seperti si miskin yang suka membazir..
"Pahala Yang Disia-Siakan"....



Kesimpulannya, Patung Beruang rasa lebih puas menikmati karya Norden Mohamed volume 2 ini, berbanding volume 1 dahulu. Penuh dengan cerita-cerita yang berkisar kehidupan seharian kita. Ada yang boleh dijadikan panduan, dan ada juga patut dijadikan sempadan. Seperti biasa, Patung Beruang kedekut untuk berkongsi banyak kisah di blog ini kerana ia tidak adil buat si penulis. Oleh itu, nasihat Patung Beruang, miliki buku ini dan teliti lah sendiri kisah-kisah menarik yang ada disini..

Adios... :) 

Friday, February 27, 2015

Book Review: Maaf Cakap - Nasihat Segar Agar Kita Sedar

Tajuk: Maaf Cakap - Nasihat Segar Agar Kita Sedar

Penulis: Norden Mohamed

Menariknya Buku Ini:
Kelmarin, buku ini selamat Patung Beruang selesaikan pembacaannya. Sebenarnya, Patung Beruang pun tidak ingat bila Patung Beruang beli buku ini. Ketika Patung Beruang housekeeping rak buku dalam bilik ini, awal December hari itu, terjumpa buku ini, elok tersusun di rak buku tersebut. Dan yang bagusnya, buku ini masih lagi berbalut plastik, heheh...

Hm.. itulah, kadang-kadang rasa macam Patung Beruang ni beli buku ikut nafsu. Nampak je buku menarik terus nak beli. Tetapi, tak sedar yang di rak buku itu, masih ada lagi buku-buku yang belum dibaca. Adoi.. membazir itu kan amalan Syaitan, huhu...

Buku Maaf Cakap ini sebenarnya mengandungi 111 artikel pendek yang ditulis sebagai nasihat kepada pembaca. Kesemua artikel ini disusun di dalam 5 Bahagian iaitu: 
  • Motivasi
  • Sosial
  • Sumber Manusia
  • Bisnes
  • Politik
Penulis memulakan karya dengan artikel pertama yang bertajuk Perihal Tiga Jenis Usia. Artikel ini menyentuh mengenai usia biologi, usia psikologi dan usia spiritual. Usia biologi adalah usia kita sebenar yang diukur dengan nombor. Umur setahun, 2 tahun, 27 tahun, 32 tahun, 55 tahun dan seterusnya. Usia psikologi pula adalah pemikiran dan perangai kita. Seperti kata penulis ini, di sekeliling kita ini ramai je orang dewasa yang berperangai kebudak-budakkan. Tidak kira lah ahli politik ke, businessman ke, atau golongan profesional. Dan usia spritual pula lebih kepada pendekatan kita untuk menguruskan kematian dan memulakan hidup di alam seterusnya. Mungkin dengan cara mula mendekatkan diri kepada Pencipta, mula merangka wasiat agar yang ditinggalkan tidak kesusahan dan mula melihat kehidupan duniawi ini dari perspektif yang berbeza. 

Artikel seterusnya yang menarik perhatian Patung Beruang adalah artikel ke-4, Jangan Mimpi Untuk Berjaya. Siapa yang tidak mahu berjaya?? TIADA. Semua orang mesti hendak berjaya. Tetapi, adakah kita tahu resepi sebenar untuk berjaya? Dan jika kita tahu, adakah kita mengikuti resepi tersebut? Atau mungkin kita sendiri yang mencipta resepi terbaru untuk kejayaan itu? 

Jika kita dengar Si A itu berjaya menjadi seorang novelis, sehingga pendapatan mencecah 5 angka sebulan. Selepas itu, pasti ramai yang berduyun-duyun akan cuba untuk menulis novel dan bercita-cita untuk menjadi seperti Si A. Kesudahannya, lahirlah banyak novel-novel yang genre, jalan cerita, tajuk dan mungkin gaya bahasa lebih kurang sama macam novel karya Si A. Adakah pembaca akan membeli karya-karya yang ditiru itu? Mungkin ya. Tetapi, lama-kelamaan pembaca akan bosan kerana ia tiada ORIGINALITY. Lantas, pembaca kembali kepada karya-karya Si A kerana disitulah trend itu bermula. Dan Si A juga, apabila menyedari ramai penulis dan bakal penulis yang cuba untuk menjadi sepertinya, sudah pastilah beliau akan meningkatkan kualiti penulisannya sehingga sukar diikuti atau ditiru oleh si peniru tadi. Dan formula yang sering kita dengar, "Product with high quality will receive higher demand", pasti dapat memancing semula perhatian pembaca. Jadi kesimpulannya, kita perlu mencipta kejayaan tersebut bukannya meniru kejayaan orang lain dan bermimpi ia akan menjadi milik kita. 

Semalam Patung Beruang pergi ke shopping complex. Hajat dihati hendak membeli lipstik dan beberapa keperluan peribadi lain. Lipstik yang ada ni hanya tinggal sekali pakai saja sebelum habis terus. Mesti akan ada orang yang bertanya, 

  "Hi, tak kan lah Patung Beruang cuma ada sebatang lipstik sahaja? Perempuan kan biasanya ada berbatang-batang, dengan berbagai colour lagi" 

Ya, memang Patung Beruang cuma ada sebatang lipstik sahaja dan sebotol kecil Vaseline. Sedih kan? hehehe... Dulu, Patung Beruang ada simpanan lipstik (maksudnya lebih dari 1 lah ye) dengan pelbagai colour, dari pelbagai jenama. Sebut sahaja Body Shop, Maybeline, Avon, In2It dan sebagainya. Tapi, kesudahannya, lipstik tersebut banyak yang tidak dipakai dan akhirnya tersimpan didalam bekas solek selama bertahun-tahun sampailah expired. Harus diingat, barang make up ni expiry date dia adalah 3 years from manufacturing date. Adakah Patung Beruang terus membuangnya selepas 3 tahun? Oh tidak!!!! Patung Beruang masih lagi menyimpannya sehinggalah tahun ke-5 dan ke-6. WHAT??? Yes, TAHUN KE-5 DAN KE-6, barulah Patung Beruang membuang mereka. Alasannya, SAYANG.... 

Patung Beruang yakin, ramai lagi manusia diluar sana pun begitu juga. Kita terlalu sayang untuk membuang sesuatu sehingga kita menyimpannya bertahun-tahun, walaupun mungkin ia sudah tidak berguna lagi atau pun memang tidak boleh digunakan lagi. 

Cuba lihat, pasti ada buku-buku sekolah kita atau anak-anak kita yang masih disimpan di rak buku atau mungkin didalam stor sedangkan kurikulum sekolah sudah lama bertukar. Bagaimana dengan bil-bil elektrik, Astro, air dan Unifi yang sudah kita bayar berbulan-bulan atau bertahun-tahun dulu, tapi masih lagi kita gantungkannya ditempat bil, untuk dibuat pameran. Cuba pula periksa peti sejuk kita. Berapa banyak ubat yang dah expired tapi masih lagi disimpan? Jika dimakan, sudah tentu penyakit lain pula yang akan datang. Mayonis, kaya, sos pasta dan sos tiram yang kita beli pada tahun 2012 dulu pun masih lagi elok tersimpan dalam peti sejuk. Boleh makan lagi ke?? SAYANGNYA kita nak buang mereka.. Kesudahannya, jadilah Kita Penyimpan Sampah Terhormat, seperti yang terkandung didalam buku ini artikel ke-16.

Gelagat peniaga Melayu juga turut disentuh oleh penulis di dalam artikel yang bertajuk Sehandal-Handal Peniaga Melayu dan Yang Tak Berselera Di Medan Selera. Penulis membawa kita kepada pada masa kini sudah terdapat usahawan-usahawan Melayu yang berdiri megah di bandar-bandar besar dan ada juga yang telah masuk ke pusat membeli-belah ternama. Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan setanding dengan kualiti dari usahawan berbangsa lain. Dan kita berharap, perniagaan mereka akan berterusan bukan bertahun tapi berpuluh-puluh tahun, dari satu generasi ke generasi yang lain. Jika dilihat peniaga berbangsa Cina, perniagaan mereka biasanya bertahan lama dan mampu diwariskan kepada generasi muda. Jadi, sudah sampai masanya, peniaga Melayu juga begitu. 

Orang Melayu boleh berniaga dan berjaya dalam perniagaan dengan syarat mereka mempunyai attitude yang betul. Produk dan perkhidmatan mestilah berkualiti, harga berpatutan, hati dan keselesaan pelanggan diutamakan. Dan sentiasa berusaha untuk mencari ilmu dan pengalaman bagi memperbaiki prestasi. Tidak perlu lah hendak berbomoh atau berdukun, hendak menghantar santau atau memakai pelaris. Hanya menambahkan dosa sahaja. 

Kesimpulannya, terlalu banyak artikel yang menarik terdapat didalam buku ini. Artikel yang ditulis kena dengan kehidupan seharian kita. Dan mungkin kita juga salah seorang pelakunya, heheh..   Ia adalah satu teguran secara berhemah, yang In shaa Allah, tidak akan mencederakan emosi para pembaca (tapi kalau ada orang yang sentap lepas baca buku ini, Patung Beruang tak dapat nak tolong lah ye). 

Oklah, Patung Beruang tak nak lah kongsikan semuanya kerana bagi pendapat Patung Beruang membaca buku ini sendiri lebih puas dari membaca ulasan orang lain. Percayalah, anda tidak akan menyesal membacanya. So, cepat-cepatlah cari buku ini ye.. :)

Tuesday, January 27, 2015

Jangan Bercakap Seperti Orang Lain

Industri penerbitan buku tempatan kini berkembang dengan begitu pesat sekali. Penghasilan buku-buku pula memperlihatkan perkembangan yang amat memberangsangkan. Kegawatan ekonomi yang dikatakan menjejaskan beberapa sektor industri tidak mengheret industri penerbitan buku yang turut menggelonsor. 

Bagaimanapun, di sebalik kerancakan dan peningkatan jualan buku, kita masih tidak nampak kegilaan membaca dijadikan budaya. Kalau ada pun mereka yang minat membaca, golongan ini tidaklah ramai kalau dilihat dengan pandangan kasar. Masih tidak ramai yang membaca buku di dalam LRT, di taman-taman rekreasi ataupun di mana-mana tempat menanti seperti di bank atau di kaunter-kaunter jabatan kerajaan. 

Kehebatan siaran televisyen membuatkan mata kita terpaku ke skrin TV. Ia bukan sahaja mengambil alih masa untuk aktiviti riadah, komunikasi di dalam keluarga malah juga tabiat membaca. 

Siaran hiburan yang disertai dengan warna, bunyi dan suara membuatkan kita terpukau sehingga ramai di antara kita yang memperuntukkan sejumlah masa dalam sehari untuk menonton TV. Rancangan TV yang berbentuk pengetahuan pula, bila disiar dengan menggunakan kesan khas imej dan bunyi kian menjadikan kita asyik hingga kita mempunyai tanggapan bahawa kononnya kita sedang belajar dan bukan berhibur. Tanggapan ini juga mengurangkan minat seseorang untuk membaca. Padahal, aktiviti menonton apa bentuk siaran pun adalah sejenis aktiviti pasif dalam konteks meningkatkan kecerdasan minda dalam menganalisa sesuatu perkara yang dibentangkan. 

Bila kita memperkatakan mengenai tabiat membaca, mengapakah lazimnya ia bermaksud tabiat membaca buku? Bukankah membaca juga termasuk membaca majalah, akhbar malah membaca daripada sesebuah artikel di dalam laman internet? Bagi saya, terdapat kelainan kesan yang membezakan di antara membaca buku, akhbar, majalah mahupun daripada laman di internet. 

Apa yang dibaca di akhbar biasanya berbentuk berita atau maklumat. Maklumat belum tentu lagi menjadi pengetahuan. Lagi pula, berita-berita biasanya disiarkan dalam bentuk cebisan yang pendek-pendek. Ketika membaca sesebuah berita, ekor mata pula akan tertarik dengan berita berhampiran. Ini membuatkan seseorang yang menatap akhbar, tidak dapat menatapnya dengan penuh konsentrasi. 

Artikel didalam majalah pula, meskipun lebih panjang, namun ia belum juga dapat memberi kesan yang mendalam terhadap si pembaca. Pembaca mungkin memperoleh maklumat dan juga pengetahuan asas mengenai apa yang dibacanya tetapi ia belum cukup untuk meningkatkan kecerdasan otak khususnya daya analisa terhadap sesuatu perkara yang dibentangkan. 

Membaca di laman-laman internet pula boleh memberi kelainan. Seseorang boleh melayari pelbagai laman yang berkaitan dengan apa yang diingininya. Namun, oleh kerana capaiannya begitu luas, seseorang itu perlu banyak menapis maklumat pula kerana sebahagian daripada apa yang diperoleh di laman web adalah sampah terhormat ataupun maklumat yang belum tentu ada kredibilitinya. 

Justeru itu, membaca buku adalah jawapan kepada tabiat membaca yang terbaik. Ambillah sebuah buku yang bagus dan tataplah. Apabila sehelai demi sehelai halaman diselak, ia adalah sebuah perjalanan yang panjang. Ertinya, ia adalah satu senaman minda yang lama. Jika membaca akhbar adalah umpama lari jarak dekat, membaca majalah mahupun melayari internet adalah larian jarak jauh, membaca buku pula adalah satu maraton. 

Bila membaca buku, otak dilatih untuk menumpukan fikiran terhadap sesuatu dalam jangka masa yang panjang. Ini adalah kerana, sesebuah buku lazimnya hanya membicarakan sesuatu topik dengan mendalam. Ia berbeza dengan akhbar dan majalah yang memaparkan sesuatu yang berbentuk selayang pandang. Kerana itu, bila membaca buku, kita menjadi lebih kreatif dan analitikal. 

Seorang penulis buku sebenarnya menurunkan apa yang berselirat di dalam mindanya di atas kertas. Fikiran itu disusun semula dari segi struktur ayat, nahu dan bahasa agar mudah difahami oleh si pembaca. Justeru itu, bila kita membaca sesebuah buku, kita juga sedang menjalin perhubungan psikik dengan si penulis. Penulisnya tiada di sisi, tetapi tulisannya lah yang kita tatap. Apa yang diteliti adalah pemikirannya yang sudah tersusun. 

Setelah kita membaca halaman terakhir dan menutup bukunya, kita juga sebenarnya sudah menghadam sebahagian daripada minda si penulis. Bayangkan, penulis mungkin mengambil masa lebih setahun untuk menyiapkan tulisannya. Kita hanya mengambil masa semalam untuk meratah apa yang dihidangnya!

Secara literal, kita boleh berfikiran seperti si penulis seandainya kita membaca buku-bukunya. Tentu sekali bila kita membaca pelbagai jenis buku dari pelbagai penulis, kita juga sebenarnya "berkawan" dengan mereka. Cara berfikir kita juga akan turut berubah dan terlahir ketika bergaul. 

Jika kita rajin memerhati, kita akan mendapati seseorang yang rajin membaca biasanya bukan berbual, tetapi berbicara. Dia tidak memperkatakan hal-hal klise bila bercakap. Selepas bertanya khabar secara berbasa basi, dia akan memperkatakan perkara di sebalik cerita dan berita. 

Dia tidak akan bercakap mengenai calon manakah yang akan menang dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, tetapi apakah nilai-nilai yang dipegang oleh parti-parti yang bertanding. Dia tidak akan memperkatakan mengenai gempa di Padang, tetapi apa yang berlaku di kerak laut kepulauan Tonga. Dia tidak akan memperkatakan mengenai bencana alam, tetapi mesej yang TUHAN hendak sampaikan kepada kita. Pertuturan kita menggambarkan apa yang kita baca. Kalau kita malas membaca, apa yang kita cakap itu sama seperti orang lain!

Artikel ini dipetik dari Bab "Jangan Bercakap Seperti Orang Lain", karya Norden Mohamad di dalam bukunya "Maaf Cakap - Nasihat Segar Agar Kita Sedar." Patung Beruang tertarik sangat dengan artikel ini setelah membacanya buat pertama kali. Jujurnya, Patung Beruang bersetuju 200% dengan pandangan beliau ini. Ya, apa yang keluar dari mulut kita, mencerminkan siapa diri kita.  

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...