Saturday, November 12, 2016

Book Review: Bismillah Yang Hilang

Tajuk: Bismillah Yang Hilang

Penulis: Dr. Mohd Shafiee Hamzah

Menariknya Buku Ini:

Naskah Bismillah Yang Hilang ini menghimpunkan 30 buah kisah pendek berkenaan kehidupan seharian kita, adakah ia menepati kehendak syariat atau mungkin kita hanya membawa agama itu didalam solat sahaja. Usai sahaja solat, agama itu diletakkan sahaja di tepi dan kita menjalani hidup seperti tiada apa-apa, seperti hidup ini selamanya menongkat langit dan seperti tiadanya Syurga dan Neraka. 

Penulis membuka naskah denga kisah pertama yang bertajuk Rendang Dan Berbuah. Beliau membawa kita kepada situasi di sebuah pengajian pondok dimana guru bertanya pada para pelajar, 

   "Jika kamu diberi peluang untuk memilih satu kejadian Allah untuk mewakili wujudmu di bumi, apakah kejadian Tuhan yang kamu pilih?"

Soalan yang nampak ringkas namun sangat bijaksana. Pelbagai jawapan diterima dari para pelajar. Ada yang ingin menjadi pohon yang rendang, air sungai yang mengalir lembut dan matahari yang megah memancarkan cahayanya. Semuanya kerana beranggapan dengan menjadi makhluk sedemikian, mereka mampu memberi pertolongan dan manfaat kepada makhluk yang lain. 

Namun, akhirnya guru memberi jawapan yang walaupun niat mereka sangat murni, untuk memberi manfaat pada hidupan lain, mereka terlupa yang manfaat tersebut hanya dapat diberi jika mendapat izin Allah dan pertolongan-Nya jua. Ini kerana Allah yang Maha Esa adalah Pemberi Manfaat yang agung. Oleh itu, kita sebagai makhluk-Nya, jangan mudah berasa takbur dengan kelebihan dan keistimewaan kita sehingga melupakan Allah. Sebaliknya, tanamlah rasa syukur kerana Allah izinkan kita untuk memberi manfaat pada insan atau makhluk lain. 


Pernahkah kita berdepan dengan situasi sebegini;
  • Insan yang zahirnya nampak alim, pertuturannya nampak alim, namun tatkala berjumpa regunya, beliau mudah sahaja mengeluarkan kata-kata nista, memaki hamun sesuka hati, mengumpat dan menabur fitnah sesedap rasa.  
  • Jemaah berpusu-pusu keluar dari dewan solat di masjid, usai solat fardhu. Namun, ketika sedang memandu kenderaan untuk pulang ke rumah, jemaah tadi memandu melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain, serta memotong barisan tanpa segan silu. 
  • Remaja yang belajar di institusi agama, yang dikelilingi insan-insan yang baik akhlaknya, namun, tatkala pulang bercuti di rumah, dia senang sekali menonton video lucah atau melayari laman web porno melalui komputer riba. 
  • Gadis muslim yang bertudung litup, nampak sopan sahaja gayanya. Namun tatkala bersendirian didalam tandas, rokok dinyalakan dan asap pun berkepul-kepul keluar dari hidung, lagaknya seperti seorang profesional. 


Situasi diatas mungkin pernah berlaku dihadapan mata kita. Dan kita mula terfikir.. 
  • Mengapa tindak tanduk, perilaku, tutur kata tidak sepadan dengan imej yang dibawa?
  • Dimana silapnya? 
  • Adakah mereka berpura-pura sahaja?
  • Hipokrit kah? 
  • Atau mungkin kah imej agama itu hanya topeng semata-mata bagi mengaburi mata masyarakat diluar sana? 
  • Atau mungkin, agama itu hanya terletak pada imej, baju dan tudung yang labuh, serban yang melilit, solat di masjid, puasa, panggilan haji dan hajah, serta kenduri tahlil dan bacaan yasin?
Kisah ke-2, Bismillah Yang Hilang....

 
Apa matlamat kita hidup di dunia ini? Adakah semata-mata mencari harta setimbun gunung, atau mungkin mencari bekalan akhirat sebanyaknya? 

Jika ditanya, semua orang pasti ingin ke Syurga. Namun, tatkala ditanya apakah persediaan mereka untuk melayakkan mereka ke Syurga, pasti ada yang tertunduk malu. Atau mungkin ada yang megahnya bercerita perihal bagaimana mereka tidak pernah ketinggalan solat 5 waktu di masjid, bagaimana mereka setiap minggu menghadiri kuliah agama yang diajar oleh ustaz/ustazah dan bagaimana kayanya mereka sehingga mampu ke Tanah Suci berkali-kali. 

Kemudian, kita bertanya lagi, istiqamah kah amalan yang dilakukan itu? Ikhlas hanya untuk Allah, tanpa mengharap pujian dan sanjungan manusia? Tidak riak dan bangga diri? Tidak sombong sehingga memperkecilkan orang lain yang tidak kelihatan alim seperti mereka? Tidak mudah menghukum orang lain sebagai jahil? Atau memanggil mereka dengan kafir? Ahli neraka?  

Kemudian, kita bertanya lagi, hak suami, isteri, anak, ibu, bapa, ahli keluarga sudah ditunaikan? Hak jiran tetangga sudah ditunaikan? Hak sebagai pekerja/majikan sudah ditunaikan? Hak sebagai ahli masyarakat sudah ditunaikan? Hak sebagai saudara sesama Islam sudah ditunaikan? Hak sebagai hamba Allah sudah ditunaikan?

Kemudian, kita bertanya lagi. Sudah yakin yang kita ini ahli Syurga? Sudah yakin yang kita tidak akan disambar oleh api Neraka walau sekecil cuma? Sudah yakin yang kita tidak akan diheret oleh sesiapa pun untuk masuk ke Neraka bersama? 

Jika ingin ke Syurga, pastikan kita melalui jalan yang betul. Kekal istiqamah dengan tujuan dan matlamat kita. Banyak checklist yang kena diperhati. Banyak checklist yang kena tick. Jangan mulut sahaja berkata ingin ke Syurga namun perangai, pemikiran, hati, lidah, mata, kaki dan tangan seolahnya ingin ke Neraka. Kisah ke-11, Aku Juga Ingin Ke Syurga


Naskah Bismillah Yang Hilang Ini, Patung Beruang selesaikan dalam masa beberapa hari sahaja. Kisah-kisah yang ditulis pendek-pendek belaka namun sarat dengan pengajaran dan teguran buat diri yang berdosa, lalai dan jahil ini. Kulit hadapan nampak macam sempoi sahaja, lari dari kebiasaan buku-buku yang bercorak keagamaan. Namun isinya sangat menarik dan menjentik hati. 

3 comments:

  1. Terima kasih atas review kpd buku saya.. semoga bismillah akan sentiasa bersinar di hati..

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas review kpd buku saya.. semoga bismillah akan sentiasa bersinar di hati..

    ReplyDelete
  3. Sama-sama Tuan. Maaf andai ada kekurangan diatas review ini. Niat saya hanya ingin berkongsi buku yang bagus dengan semua agar mereka juga berpeluang untuk menimba ilmu dan pengalaman yang ada didalam karya Tuan ini. Semoga Tuan akan terus menghasilkan karya-karya hebat dimasa akan datang. Terima kasih.

    ReplyDelete

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...