Friday, November 25, 2016

Book Review: Di Bawah Lindungan Ka'bah


Tajuk: Di Bawah Lindungan Ka’bah

Penulis: Hamka

Menariknya Buku Ini:

Baiklah, Patung Beruang sangat tidak sabar untuk kongsikan kisah buku ini disini. Buku ini masih lagi panas, dan tatkala menulis coretan ini, Patung Beruang masih lagi tersedu-sedan akibat menangis tatkala menatap setiap patah perkataan tulisan Hamka ini.

Aduh.. Penatnya bila kita membaca dan menangis dalam masa yang sama. Nak berhenti seketika pembacaan ini, tak mampu rasanya kerana hati ini berkobar-kobar untuk mengetahui kesudahan cerita ini. Maka, dengan air mata yang berjujuran ini, mata tetap setia meneliti keseluruhan naskah sehingga habis.

Di Bawah Lindungan Ka’bah mengisahkan Hamid, seorang lelaki yang kini berada di Mekah. Hamid adalah anak yatim piatu, yang membesar di Tanah Jawa. Ayahnya meninggal dunia ketika beliau berumur 4 tahun. Maka, tinggallah Hamid berdua bersama ibunya. Ibu membuat kuih-muih dan Hamid bertugas untuk menjualnya setiap hari, dari rumah ke rumah. Itulah sahaja sumber pendapatan yang mereka ada bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Mereka tinggal berjiran dengan sebuah keluarga kaya, diketuai oleh Engku Haji Ja’afar. Engku Haji Ja’afar dan isterinya, Mak Asiah serta anak tunggal mereka Zainab adalah hartawan yang sangat baik dan prihatin dengan jiran tetangga.

Engku Haji Ja’afar membiayai persekolahan Hamid agar anaknya Zainab mempunyai kawan untuk menemaninya ke sekolah. Maka, Hamid dan Zainab membesar bersama sehingga rapat seperti seorang abang dan adik perempuan. Setelah tamat persekolahan, Hamid menyambung pelajaran dalam bidang agama dan masih lagi dibiayai oleh Engku Haji Ja’afar.

Tidak berapa lama selepas itu, Engku Haji Ja’afar meninggal dunia. Mak Asiah, Zainab, Hamid serta ibunya sangat berdukacita. Namun, tanpa diduga, ibu Hamid pula menyusul, kembali ke Yang Maha Pencipta tidak berapa lama selepas itu.

Pemergian dua orang yang sangat rapat dan bermakna dalam hidup Hamid dalam waktu yang singkat sangat menyedihkan Hamid. Kini beliau tinggal sebatang kara didunia ini.

Pada suatu hari, Mak Asiah menjemput Hamid kerumahnya. Tujuannya hanya satu, untuk meminta pertolongan Hamid agar memujuk Zainab untuk menerima lamaran dari saudara sebelah Allahyarham Engku Haji Ja’afar. Mak Asiah berpendapat, adalah baik jika Zainab berkahwin kerana sekurang-kurangnya adalah lelaki yang dapat menjaga anak perempuannya serta dalam masa yang sama, harta Engku Haji Ja’afar akan tetap selamat dibawah jagaan dan pengurusan keluarga mereka.

Permintaan dari Mak Asiah itu diterimanya dengan berat walaupun hatinya sangat remuk. Hamid mencintai Zainab namun beliau tidak mampu meluahkannya kerana sedar jurang status yang besar antara beliau dan Zainab. Zainab adalah anak hartawan, dari keturunan yang hebat. Sedang Hamid hanyalah anak yatim piatu yang miskin dan kini tinggal sebatang kara tanpa saudara mara.

Memikirkan betapa beliau tidak akan sanggup melihat perkahwinan Zainab, Hamid nekad untuk merantau keluar dari kampungnya. Tatkala sampai di Medan, Hamid mengutus surat kepada Zainab, memohon maaf kerana pergi begitu sahaja serta memberi kiasan mengenai isi hatinya pada Zainab yang dipendam selama ini. Setelah itu, Hamid pun meneruskan perjalanannya sehingga akhirnya sampailah dia di Kota Mekah ini.

Kini, musim Haji bakal bermula. Jemaah dari seluruh dunia termasuk Tanah Jawa mula membanjiri Kota Mekah. Dan tanpa diduga, Hamid bertemu dengan Saleh, sahabat lamanya. Dalam pertemuan itu, Saleh memberitahu yang beliau telah bernikah dengan Rosna, sahabat karib Zainab.

Selepas 2 tahun meninggalkan kampung halaman, baru kini Hamid mendapat khabar berita mengenai Zainab, gadis yang dicintainya. Dari perkhabaran Saleh, Hamid mengerti yang Zainab juga menyintainya dan menderita apabila Hamid pergi tanpa khabar berita sehingga kini.

Kini Saleh dan Rosna nekad untuk menyatukan semula 2 hati yang terpisah ini, demi kasihnya mereka pada sahabat berdua. Namun, ternyata Allah mempunyai rancangan yang lebih baik buat Hamid dan Zainab.


Ceritanya Patung Beruang:

Ok, cukup disini synopsis untuk Di Bawah Lindungan Ka’bah ini. Kalau nak tahu kesudahan cerita ini, kenalah meneliti sendiri naskah ini.


Cerita ini sangat sedih. Hamka membawa pembaca menelusuri kehidupan seorang anak muda yang hidupnya sentiasa diselubungi kesedihan, sedari kecil hinggalah dewasa, meneliti isi hatinya yang kosong serta sedar diri dan kekurangannya. 

Penderitaan Hamid dan Zainab sangat meruntun jiwa. Dua insan yang saling menyintai namun tidak punya kekuatan untuk meluahkannya. Dan tatkala, ia terluah, segala-galanya sudah terlambat. 

Malangnya kisah cinta mereka ini. Hamka hanya memberi kesedaran kepada kita, si pembaca ini bahawa tidak semua cinta itu akan bersatu. Banyaknya adalah terkubur didalam hati masing-masing atau mungkin terkubur bersama jasadnya sekali. Dan itulah realiti kehidupan. Kita tidak selalunya dapat apa yang kita kehendaki. Aduhai.. penatnya Patung Beruang menangis. 

So, kalau rasa nak luahkan beban emosi yang tertanggung didalam jiwa tu, silalah baca naskah ini. Dan jangan lupa sediakan tisu disebelah ye. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...