Showing posts with label Hamka. Show all posts
Showing posts with label Hamka. Show all posts

Friday, May 14, 2021

Book Review : Margaretta Gauthier

Tajuk : Margaretta Gauthier 

Penulis : Hamka 

Menariknya Naskah Ini : 

Ini adalah naskah terjemahan Buya Hamka yang sering Patung Beruang nampak iklannya di media sosial. Cuma baru awal tahun ini Patung Beruang berpeluang untuk memilikinya. 

Naskah ini mengambil masa lebih kurang 24 jam untuk Patung Beruang habiskan pembacaannya. Cuma, Patung Beruang ambil masa lama sangat untuk siapkan Book Review. Bukan tidak menarik tetapi Patung Beruang seperti hilang minat untuk membaca dan menulis.

Situasi pandemik kali ini benar-benar sangat mencabar mental Patung Beruang. Ditambah lagi dengan keadaan semasa syarikat. Tenaga fizikal, mental dan psikologi Patung Beruang seolah-olah habis disedut oleh syarikat, sehingga Patung Beruang rasa helpless. Bila di rumah, kalau tidak mengadap laptop atas urusan kerja, Patung Beruang hanya akan berbaring di atas katil sambil memeluk teddy bear. Ada 3 ekor teddy bear di atas katil itu. Pilih saja lah mana yang berkenan di hati. 

Hampir setiap malam Patung Beruang akan berkongsi cerita dengan Imran. Selang beberapa hari Patung Beruang akan telefon Ibu pula untuk meluah perasaan. Siap dengan package menangis lagi. Pergi kerja menangis, di tempat kerja menangis, balik kerja menangis, di rumah menangis, sedang solat menangis, sedang berdoa menangis, sedang baca Al-Quran pun menangis. Sangat melelahkan dan menyakitkan.... hm....


Baiklah, kita tinggalkan sebentar kisah Patung Beruang. Jom kembali ke karya Hamka ini. 


Margaretta Gauthier adalah karya terjemahan dari naskah asal yang ditulis pada tahun 1848 oleh Alexandre Dumas Junior, seorang penulis Perancis. Setelah itu, naskah ini diterjemahkan ke bahasa Arab oleh sasterawan Mesir bernama Mustafa Lutfi al-Manfaluti. 

Buya Hamka telah mengambil naskah terjemahan bahasa Arab yang telah diringkaskan dan disesuaikan dengan pembaca Muslim, untuk beliau terjemahkan ke bahasa Indonesia pula. 

Margaretta Gauthier adalah seorang wanita muda dan cantik yang hidup dalam kemiskinan. Sudah berusaha sehabis baik untuk mencari sesuap rezeki namun nasib tidak berpihak kepadanya. 

Kecantikkannya dicemburui oleh wanita lain dan digilai oleh para lelaki. Malangnya kecantikkan itu tidak mampu memberi pekerjaan halal kepada Margaretta. Akhirnya dia terpaksa menjual maruah dirinya demi mendapatkan secebis roti untuk mengalas perut dan sepasang kain untuk menutup tubuhnya. Margaretta sangat kecewa sehingga bersumpah untuk membenci lelaki. Lelaki yang dijadikan Tuhan dengan tanggungjawab untuk melindungi makhluk lain yang lebih lemah, rupa-rupanya tidak lah boleh diharap sepenuhnya. 

Setelah terjun ke lembah hina, kehidupan Margaretta berubah 180 darjah. Di kota Paris, dirinya dilimpahi dengan kemewahan, wang ringgit, perhiasan batu permata dan pakaian yang cantik. Makan minumnya di restoran mewah. Telinganya dihujani kata-kata manis dan pujian dari lelaki-lelaki hartawan. Walau tubuhnya disentuh berkali-kali, Margaretta nekad untuk tidak menyerahkan hati dan perasaannya kepada lelaki-lelaki itu. Baginya mereka itu tidak layak untuk dicintai dan menyintai. 

Kehidupan yang serba mewah dan gah dipandangan mata insan lain tidak mampu mengisi kekosongan hati dan jiwa Margaretta. Seringkali hatinya terusik tatkala melihat pekerja dan penjaga rumah agamnya itu bermesra bersama pasangan mereka. Walau mereka tidak sekaya Margaretta, tetapi keikhlasan kasih sayang mereka jelas terpancar. Sesuatu yang sehingga kini masih jauh dari jangkauan Margaretta. 

Kesunyian dan kekosongan jiwa Margaretta telah menjejaskan kesihatannya. Maka, atas nasihat mereka yang arif, Margaretta pun pergi ke kawasan peranginan untuk berehat dan mengubati jiwanya. Ketika di kawasan peranginan itu, Margaretta berkenalan dengan seorang lelaki tua bernama Hertog Mohan. Hertog melihat wajah Margaretta yang seakan-akan wajah anak perempuannya yang meninggal dunia akibat sakit. Lelaki tua ini sangat teruja dan merasakan Tuhan seolah-olah telah mengembalikan mendiang anak perempuan kesayangannya ke dunia ini. 

Ikatan persahabatan Hertog dan Margaretta seperti perhubungan seorang ayah dan anak perempuan. Mereka saling bertukar-tukar kisah kehidupan yang lebih banyak dukanya berbanding gembiranya. Baru beberapa hari, kesihatan Margaretta semakin pulih dan wajahnya semakin berseri-seri. 

Ketika Margaretta menyatakan hasratnya untuk pulang ke kota Paris, Hertog sangat sedih. Hertog sedar kepulangan Margaretta ke sana akan memutuskan persahabatan mereka dan Margaretta akan kembali ke kelompok sahabat-sahabatnya disana. 

Hertog mencadangkan agar Margaretta meninggalkan pekerjaan dan kehidupan hinanya itu. Hertog akan menyediakan sebuah kediaman di tempat yang terpencil untuk Margeratta dan pembantunya tinggal. Dan Hertog juga memberi wang belanja kepada Margaretta. Syaratnya hanya satu, terima kedatangan Hertog setiap kali lelaki tua itu rindukan mendiang anak perempuannya. 

Margaretta bersetuju dengan cadangan Hertog. Bermulah perubahan kehidupan Margaretta. Dirinya tidak lagi berpindah dari tangan satu lelaki kepada lelaki yang lain. Hidup yang lebih aman, jauh dari hiruk-pikuk manusia dan jauh juga dari maksiat. Kehidupan sehariannya banyak dihabiskan dengan membaca akhbar dan buku. 

Namun hidup tidak bererti jika tidak diuji. Margaretta diuji sekali lagi apabila hadirnya seorang lelaki bernama Armand. Seorang pemuda dari latar belakang keluarga yang baik-baik. 

Namun adakah Armand sama seperti lelaki-lelaki hartawan yang banyak mengelilingi Margaretta sebelum ini? 

Atau mungkin dirinya seikhlas Hertog yang mengharapkan secebis kasih sayang dari Margaretta sebelum matanya tertutup selama-lamanya? 


Naskah Margaretta Gauthier ini membawa pembaca kepada suka duka kehidupan seorang wanita yang seperti layang-layang yang terputus talinya. Rupa parasnya cantik, budi bahasanya tersusun namun ia terbang tanpa arah yang dituju. Hanya mengikut kemana angin membawanya. 

Kehidupan mewah hanyalah perhiasan pandangan semata-mata dan tidak dapat menutup kemiskinan jiwanya. 

Margaretta hanya ingin hidup bahagia. Bahagia yang mempunyai pelbagai definisi dalam kehidupan seorang manusia. Bahagia yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit dan batu permata. Tetapi sejarah silamnya menutup ruang dan peluang kebahagiaan buat wanita ini. 

"Dia takut akan jatuh cinta, tetapi dia tidak tahu bahawa 'takut akan jatuh cinta' itulah cinta!"  

Wednesday, July 8, 2020

Book Review : Terusir

Tajuk : Terusir 

Penulis : Hamka 

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaan pada hari Sabtu lepas, ketika dalam kereta. Sebenarnya, ketika sedang jalan-jalan cari makan dengan parents, hehe.. 

Oleh sebab Patung Beruang duduk berseorangan di tempat duduk belakang, jadi Patung Beruang baca lah buku sementara kenderaan yang dinaiki sampai ke destinasi. Nerd sangat kan? hehehe... 

Terusir membawa pembaca kepada Mariah, seorang wanita anak yatim piatu yang bergelar isteri dan ibu. Perkahwinan Mariah dan Azhar tidak disenangi oleh keluarga Azhar disebabkan oleh perbezaan latar belakang dan status. 

Pada suatu hari, Mariah telah difitnah berlaku curang oleh keluarga mentuanya. Malangnya Azhar termakan fitnah tersebut dan terus menghalau Mariah keluar dari rumah dengan sehelai sepinggang. Selain itu, Azhar juga tergamak memisahkan Mariah dengan anak tunggal mereka, Sofyan. 

Puaslah Mariah merayu dan memujuk Azhar untuk bersatu semula. Berpucuk-pucuk surat dikirimkan Mariah namun tiada satupun dibalas Azhar. 

Hidup Mariah musnah sehingga akhirnya menyebabkan dia terjebak ke kancah pelacuran. 

Selepas berpuluh-puluh tahun, kini Azhar menyesali perbuatannya terhadap Mariah. Puas dicarinya wanita itu namun tidak ditemui. Dalam masa yang sama, Sofyan kini sudah dewasa dan berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang. Sofyan kini telah membuka firma guamannya sendiri. 

Tidak lama selepas itu, Sofyan menerima satu kes pembunuhan yang bakal dibicarakan di mahkamah. Demi menggalas tanggungjawab sebagai peguam bela, Sofyan berjumpa dengan anak guamannya bagi mengetahui sebab musabab berlakunya pembunuhan tersebut dengan lebih terperinci. Rupa-rupanya, anak guamannya adalah seorang wanita tua yang merupakan salah seorang pelacur di rumah pelacuran.

Pertama kali bertentang mata dengan Sofyan, wanita tersebut menyedari bahawa peguam bela muda ini adalah anaknya. Anak yang dikandungnya selama 9 bulan, kemudiannya dibesarkan sehingga berumur 4 atau 5 tahun, sebelum dirinya dipisahkan dengan anak kecil itu oleh suaminya, Azhar, hanya kerana racun fitnah. 

Bagi Sofyan pula, wanita tua ini sangat aneh. Perilaku dan tutur katanya seperti wanita yang datang dari keturunan yang baik-baik. Namun mengapa wanita ini tercampak ke lembah yang hina? Dan mengapa dia nekad untuk mencabut nyawa seorang lelaki lain, yang dikatanya akan merosakkan maruah orang-orang yang disayanginya? 



Seperti biasa, naskah tulisan Hamka sarat dengan emosi. Naskah Terusir ini juga tidak terkecuali. Penderitaan yang ditanggung Mariah selepas diusir keluar digambarkan dengan begitu teliti sehingga kita seperti ternampak-nampak kelibat dan air muka Mariah di hadapan mata. 

Dari satu segi, naskah ini menunjukkan betapa rapuhnya kaum wanita pada zaman itu. Ketiadaan kelulusan akademik dan latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan menyebabkan hidup mereka terumbang-ambing dan berakhir dengan kehancuran. 

Namun, dari satu segi yang lain, Hamka menunjukkan punca kehancuran hidup seorang wanita itu datangnya dari lelaki juga. Lelaki yang menyebabkan Mariah dihalau keluar, lelaki juga yang memisahkan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya, lelaki juga yang mengambil kesempatan diatas segala titik peluh Mariah, dan lelaki jugalah yang berazam untuk menghancurkan keturunan Mariah sehingga dirinya digelar pembunuh.... Sedihnya.... 

Friday, November 25, 2016

Book Review: Di Bawah Lindungan Ka'bah


Tajuk: Di Bawah Lindungan Ka’bah

Penulis: Hamka

Menariknya Buku Ini:

Baiklah, Patung Beruang sangat tidak sabar untuk kongsikan kisah buku ini disini. Buku ini masih lagi panas, dan tatkala menulis coretan ini, Patung Beruang masih lagi tersedu-sedan akibat menangis tatkala menatap setiap patah perkataan tulisan Hamka ini.

Aduh.. Penatnya bila kita membaca dan menangis dalam masa yang sama. Nak berhenti seketika pembacaan ini, tak mampu rasanya kerana hati ini berkobar-kobar untuk mengetahui kesudahan cerita ini. Maka, dengan air mata yang berjujuran ini, mata tetap setia meneliti keseluruhan naskah sehingga habis.

Di Bawah Lindungan Ka’bah mengisahkan Hamid, seorang lelaki yang kini berada di Mekah. Hamid adalah anak yatim piatu, yang membesar di Tanah Jawa. Ayahnya meninggal dunia ketika beliau berumur 4 tahun. Maka, tinggallah Hamid berdua bersama ibunya. Ibu membuat kuih-muih dan Hamid bertugas untuk menjualnya setiap hari, dari rumah ke rumah. Itulah sahaja sumber pendapatan yang mereka ada bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Mereka tinggal berjiran dengan sebuah keluarga kaya, diketuai oleh Engku Haji Ja’afar. Engku Haji Ja’afar dan isterinya, Mak Asiah serta anak tunggal mereka Zainab adalah hartawan yang sangat baik dan prihatin dengan jiran tetangga.

Engku Haji Ja’afar membiayai persekolahan Hamid agar anaknya Zainab mempunyai kawan untuk menemaninya ke sekolah. Maka, Hamid dan Zainab membesar bersama sehingga rapat seperti seorang abang dan adik perempuan. Setelah tamat persekolahan, Hamid menyambung pelajaran dalam bidang agama dan masih lagi dibiayai oleh Engku Haji Ja’afar.

Tidak berapa lama selepas itu, Engku Haji Ja’afar meninggal dunia. Mak Asiah, Zainab, Hamid serta ibunya sangat berdukacita. Namun, tanpa diduga, ibu Hamid pula menyusul, kembali ke Yang Maha Pencipta tidak berapa lama selepas itu.

Pemergian dua orang yang sangat rapat dan bermakna dalam hidup Hamid dalam waktu yang singkat sangat menyedihkan Hamid. Kini beliau tinggal sebatang kara didunia ini.

Pada suatu hari, Mak Asiah menjemput Hamid kerumahnya. Tujuannya hanya satu, untuk meminta pertolongan Hamid agar memujuk Zainab untuk menerima lamaran dari saudara sebelah Allahyarham Engku Haji Ja’afar. Mak Asiah berpendapat, adalah baik jika Zainab berkahwin kerana sekurang-kurangnya adalah lelaki yang dapat menjaga anak perempuannya serta dalam masa yang sama, harta Engku Haji Ja’afar akan tetap selamat dibawah jagaan dan pengurusan keluarga mereka.

Permintaan dari Mak Asiah itu diterimanya dengan berat walaupun hatinya sangat remuk. Hamid mencintai Zainab namun beliau tidak mampu meluahkannya kerana sedar jurang status yang besar antara beliau dan Zainab. Zainab adalah anak hartawan, dari keturunan yang hebat. Sedang Hamid hanyalah anak yatim piatu yang miskin dan kini tinggal sebatang kara tanpa saudara mara.

Memikirkan betapa beliau tidak akan sanggup melihat perkahwinan Zainab, Hamid nekad untuk merantau keluar dari kampungnya. Tatkala sampai di Medan, Hamid mengutus surat kepada Zainab, memohon maaf kerana pergi begitu sahaja serta memberi kiasan mengenai isi hatinya pada Zainab yang dipendam selama ini. Setelah itu, Hamid pun meneruskan perjalanannya sehingga akhirnya sampailah dia di Kota Mekah ini.

Kini, musim Haji bakal bermula. Jemaah dari seluruh dunia termasuk Tanah Jawa mula membanjiri Kota Mekah. Dan tanpa diduga, Hamid bertemu dengan Saleh, sahabat lamanya. Dalam pertemuan itu, Saleh memberitahu yang beliau telah bernikah dengan Rosna, sahabat karib Zainab.

Selepas 2 tahun meninggalkan kampung halaman, baru kini Hamid mendapat khabar berita mengenai Zainab, gadis yang dicintainya. Dari perkhabaran Saleh, Hamid mengerti yang Zainab juga menyintainya dan menderita apabila Hamid pergi tanpa khabar berita sehingga kini.

Kini Saleh dan Rosna nekad untuk menyatukan semula 2 hati yang terpisah ini, demi kasihnya mereka pada sahabat berdua. Namun, ternyata Allah mempunyai rancangan yang lebih baik buat Hamid dan Zainab.


Ceritanya Patung Beruang:

Ok, cukup disini synopsis untuk Di Bawah Lindungan Ka’bah ini. Kalau nak tahu kesudahan cerita ini, kenalah meneliti sendiri naskah ini.


Cerita ini sangat sedih. Hamka membawa pembaca menelusuri kehidupan seorang anak muda yang hidupnya sentiasa diselubungi kesedihan, sedari kecil hinggalah dewasa, meneliti isi hatinya yang kosong serta sedar diri dan kekurangannya. 

Penderitaan Hamid dan Zainab sangat meruntun jiwa. Dua insan yang saling menyintai namun tidak punya kekuatan untuk meluahkannya. Dan tatkala, ia terluah, segala-galanya sudah terlambat. 

Malangnya kisah cinta mereka ini. Hamka hanya memberi kesedaran kepada kita, si pembaca ini bahawa tidak semua cinta itu akan bersatu. Banyaknya adalah terkubur didalam hati masing-masing atau mungkin terkubur bersama jasadnya sekali. Dan itulah realiti kehidupan. Kita tidak selalunya dapat apa yang kita kehendaki. Aduhai.. penatnya Patung Beruang menangis. 

So, kalau rasa nak luahkan beban emosi yang tertanggung didalam jiwa tu, silalah baca naskah ini. Dan jangan lupa sediakan tisu disebelah ye. 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...