Wednesday, July 8, 2020

Book Review : Terusir

Tajuk : Terusir 

Penulis : Hamka 

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaan pada hari Sabtu lepas, ketika dalam kereta. Sebenarnya, ketika sedang jalan-jalan cari makan dengan parents, hehe.. 

Oleh sebab Patung Beruang duduk berseorangan di tempat duduk belakang, jadi Patung Beruang baca lah buku sementara kenderaan yang dinaiki sampai ke destinasi. Nerd sangat kan? hehehe... 

Terusir membawa pembaca kepada Mariah, seorang wanita anak yatim piatu yang bergelar isteri dan ibu. Perkahwinan Mariah dan Azhar tidak disenangi oleh keluarga Azhar disebabkan oleh perbezaan latar belakang dan status. 

Pada suatu hari, Mariah telah difitnah berlaku curang oleh keluarga mentuanya. Malangnya Azhar termakan fitnah tersebut dan terus menghalau Mariah keluar dari rumah dengan sehelai sepinggang. Selain itu, Azhar juga tergamak memisahkan Mariah dengan anak tunggal mereka, Sofyan. 

Puaslah Mariah merayu dan memujuk Azhar untuk bersatu semula. Berpucuk-pucuk surat dikirimkan Mariah namun tiada satupun dibalas Azhar. 

Hidup Mariah musnah sehingga akhirnya menyebabkan dia terjebak ke kancah pelacuran. 

Selepas berpuluh-puluh tahun, kini Azhar menyesali perbuatannya terhadap Mariah. Puas dicarinya wanita itu namun tidak ditemui. Dalam masa yang sama, Sofyan kini sudah dewasa dan berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang. Sofyan kini telah membuka firma guamannya sendiri. 

Tidak lama selepas itu, Sofyan menerima satu kes pembunuhan yang bakal dibicarakan di mahkamah. Demi menggalas tanggungjawab sebagai peguam bela, Sofyan berjumpa dengan anak guamannya bagi mengetahui sebab musabab berlakunya pembunuhan tersebut dengan lebih terperinci. Rupa-rupanya, anak guamannya adalah seorang wanita tua yang merupakan salah seorang pelacur di rumah pelacuran.

Pertama kali bertentang mata dengan Sofyan, wanita tersebut menyedari bahawa peguam bela muda ini adalah anaknya. Anak yang dikandungnya selama 9 bulan, kemudiannya dibesarkan sehingga berumur 4 atau 5 tahun, sebelum dirinya dipisahkan dengan anak kecil itu oleh suaminya, Azhar, hanya kerana racun fitnah. 

Bagi Sofyan pula, wanita tua ini sangat aneh. Perilaku dan tutur katanya seperti wanita yang datang dari keturunan yang baik-baik. Namun mengapa wanita ini tercampak ke lembah yang hina? Dan mengapa dia nekad untuk mencabut nyawa seorang lelaki lain, yang dikatanya akan merosakkan maruah orang-orang yang disayanginya? 



Seperti biasa, naskah tulisan Hamka sarat dengan emosi. Naskah Terusir ini juga tidak terkecuali. Penderitaan yang ditanggung Mariah selepas diusir keluar digambarkan dengan begitu teliti sehingga kita seperti ternampak-nampak kelibat dan air muka Mariah di hadapan mata. 

Dari satu segi, naskah ini menunjukkan betapa rapuhnya kaum wanita pada zaman itu. Ketiadaan kelulusan akademik dan latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan menyebabkan hidup mereka terumbang-ambing dan berakhir dengan kehancuran. 

Namun, dari satu segi yang lain, Hamka menunjukkan punca kehancuran hidup seorang wanita itu datangnya dari lelaki juga. Lelaki yang menyebabkan Mariah dihalau keluar, lelaki juga yang memisahkan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya, lelaki juga yang mengambil kesempatan diatas segala titik peluh Mariah, dan lelaki jugalah yang berazam untuk menghancurkan keturunan Mariah sehingga dirinya digelar pembunuh.... Sedihnya.... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...