Monday, July 6, 2020

Book Review : Jalan Sehala

Tajuk : Jalan Sehala

Penulis : Hasrizal Abdul Jamil

Menariknya Naskah Ini : 

Sudah lama Patung Beruang tidak meneliti naskah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Jadi bila tiba-tiba beliau menghasilkan karya terbaru, teruslah Patung Beruang memburu di kedai buku. 

Jalan Sehala memaparkan 34 buah artikel kritis penulis terhadap pemanduan hidup seseorang manusia. Dalam kehidupan ini, mata dan akal harus sentiasa bekerjasama dalam meneliti setiap kejadian baik di hadapan, belakang, kiri dan kanan kehidupan, dan dalam masa yang sama kita tetap berusaha untuk focus dengan jalan hadapan. 

Tatkala mata ini mula meneliti naskah ini, di peringkat Mukadimah lagi Patung Beruang sudah tertarik hati. Manakan tidak, penulis bercerita bagaimana semakin meningkat usia beliau, pendengaran beliau semakin merosot. Bukanlah bermakna beliau menjadi pekak dan hilang pendengaran, tetapi lebih kepada beliau kurang peka dengan apa yang diperkatakan oleh masyarakat sekeliling. Selain itu, beliau juga menyedari yang berkata-kata pada zaman ini bukan lagi natijah fikiran, sebaliknya lebih kepada kurangnya berfikir sebelum menukil perkataan. 

Naskah ini bukanlah tulisan kosong semata-mata. Artikel yang terkandung didalamnya menceritakan pendapat dan pandangan kritis penulis, yang adakalanya bertentangan dengan majoriti. Namun, jika diteliti dengan lebih mendalam, apa yang ditulis itu benar walaupun amat pahit untuk ditelan. 

Artikel Berpelajaran Tidak Berpendidikan membawa kita kepada isu kegagalan sistem pendidikan kita dalam berfungsi melahirkan modal insan sebagaimana yang diharapkan oleh negara. Isu ini bukanlah isu baru kerana ia pernah dipaparkan dalam Buletin Utama ketika tahun 2009. Ya, sudah 10 tahun berlalu namun isu ini sepertinya masih jauh lagi jalan penyelesaiannya. 

Ramai bijak pandai sering merungut yang pelajar hari ini berpelajaran tetapi tidak berpendidikan. Manakan tidak, masyarakat mengukur kecemerlangan seseorang pelajar itu berdasarkan bilangan A yang terkumpul. Semakin banyak A yang tercatat di atas slip keputusan peperiksaan, semakin lebar senyuman ibu bapa dan para pendidik. 

Namun, adakah bilangan A itu penentu kepada kebolehan pelajar untuk survive dalam kehidupan? 
Adakah bilangan A itu menjadikan pelajar itu mempunyai critical thinking yang bagus? 
Atau mempunyai common sense yang bagus? 
Adakah bilangan A itu menjadikan pelajar tersebut insan yang merendah diri dan menghormati orang tua? 
Atau mungkin pelajar merasakan diri menongkat langit sehingga sombong dan terkurang ajar? 

Negara pernah diburukkan dengan kematian seorang pelajar perempuan berumur 12 tahun, yang membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam semua subjek UPSR nya. 
Namun, adakah masyarakat mengambil iktibar di atas kematian pelajar ini?
Adakah sistem pendidikan dirombak bagi memberi pendedahan kepada pelajar bahawa bilangan A bukanlah segala-galanya dalam kehidupan? 
Adakah mentaliti ibu bapa dan pendidik berubah dan sedar bahawa modal insan bukanlah bertujuan untuk melahirkan pekerja semata-mata? 

Modal insan seharusnya berupaya melahirkan generasi muda yang boleh berfikir dan mencipta idea. Generasi muda yang masih kaya dengan adab dan budi bahasa walau dimana pun mereka dan dengan siapa juga mereka berkata-kata....



Jenayah Pedofilia: Sudah Bersedikah Kita? membawa pembaca kepada hakikat perbezaan mentaliti dan kebolehterimaan masyarakat di Malaysia dan luar negara dengan jenaya pedofilia. 

Masyarakat Malaysia pernah dikejutkan dengan kes seorang pelajar tajaan sebuah badan kerajaan yang dijatuhkan hukuman penjara di United Kingdom kerana mengaku bersalah atas jenayah memiliki, menghasilkan dan mengedar ribuan imej dan video lucah kanak-kanak. 

Tetapi, reaksi penaja di Malaysia selepas kes tersebut lebih mengejutkan. 
Penaja mengambil keputusan untuk memberi peluang kedua kepada pelajar tersebut dengan membenarkannya untuk menyambung pengajian di institusi milik penaja sekembalinya ke tanah air nanti. 
Sepertinya jenayah seksual kanak-kanak itu bukanlah satu perkara yang serius. Memperjudikan keselamatan kanak-kanak demi seorang pelajar pandai. 

Dalam kes jenayah pedolifia ini pemangsa tidak mengenal rupa dan status. Mungkin zahirnya seperti orang surau, orang alim,  golongan terpelajar, pemuda atau pelajar nerd, namun didalamnya mempunyai kecenderungan seksual yang mengerikan. Mereka ini mentalnya sakit. Lebih malang, kesakitan mental ini boleh ditutupi dengan gaya luaran mereka, sehingga mangsa serta penjaga mangsa tidak berupaya mengesan bahaya yang sedang menanti di hadapan mata. 

Bagaimana ibu bapa boleh melindungi anak-anak daripada pedofilia?? 

Antaranya adalah dengan membina kepercayaan hubungan ibu bapa dan anak-anak sehingga mereka menjadi lebih senang untuk bercerita dan mengadu apa saja dengan ibu bapa berbanding orang lain. Selain itu, ibu bapa juga boleh mendidik anak-anak agar tidak menyimpan sebarang rahsia antara anak dengan orang dewasa yang lain. 

Ibu bapa mestilah sentiasa peka dengan gerak tubuh anak-anak yang mungkin menunjukkan rasa gelisah atau tidak selesa. Anak kecil tidak pandai berbohong. Jadi apa yang mereka tunjukkan itulah rasa sebenar diri mereka.

Ada banyak lagi tips yang penulis kongsikan dalam naskah ini mengenai cara ibu bapa untuk melindungi anak-anak kecil yang tidak berdosa ini. Tidak adil rasanya untuk Patung Beruang kongsikan semuanya disini...


Tamatnya naskah ini mendatang satu kepuasan kepada Patung Beruang. 
Puas dengan topik dan kupasan yang ada didalamnya.
Puas apabila berpeluang berfikir sesuatu perkara dari sudut yang lain pula. 

Jujurnya, ia adalah naskah yang berisi dan bagus sebagai santapan minda. Semoga berjumpa lagi Ustaz dengan naskah yang lain pula... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...