Showing posts with label Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Show all posts
Showing posts with label Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Show all posts

Saturday, July 29, 2023

Book Review: Ma Oon Rizal, Cikgu Malaysia di Finland

 


Tajuk: Ma Oon Rizal, Cikgu Malaysia di Finland

Penulis: Hasrizal Abdul Jamil

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada minggu lepas, Alhamdulillah. Ma Oon Rizal membawa pembaca kepada pengalaman sebenar kehidupan Ustaz Hasrizal dan keluarga di sebuah negeri salji bernama Finland. 


Perkara yang menarik hati Patung Beruang terhadap naskah ini adalah kerana ia ditulis dari kaca mata seorang Muslim, seorang suami, seorang ayah, seorang anak, seorang pendidik dan seorang warganegara Malaysia yang sangat mencintai negaranya sendiri. 


Kehidupan di luar negara lebih-lebih lagi negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam adalah sangat mencabar. Cabaran dari segi budaya dan pegangan hidup, persepsi orang tempatan terhadap warga asing, persepi terhadap umat Islam,  taraf sosioekonomi, kesukaran mendapatkan bahan mentah halal, kesukaran untuk menjadi Muslim yang baik, kesukaran untuk sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam,  dan 1001 cabaran lain yang ada kalanya tidak terfikir dek akal ini. 


Adalah satu langkah yang bijak apabila penulis mengumpulkan artikel-artikel beliau dalam 4 kumpulan yang berbeza didalam naskah ini iaitu: 

  1. Melihat Finland dari Malaysia
  2. Melihat Malaysia dari Finland
  3. Melihat Finland dan Malaysia Dari Rumah 
  4. Finland, Malaysia dan Rumah yang Tuhan Serukan
Dengan 4 kumpulan ini, pembaca akan lebih memahami halatuju penulisan beliau. 


Antara beberapa petikan dari naskah ini yang Patung Beruang suka adalah: 
  • Integrasi subjek adalah untuk membantu guru menyampaikan personal value mereka kepada pelajar. Pendidikan bukan untuk melahirkan pekerja. Tetapi ia adalah untuk mencari personal value masing-masing. Agar pendidikan membantu meneroka makna (meaning). 
  • Tanpa mengajar manusia tentang makna dan tujuan, anda hanya menghasilkan raksasa. Setiap peradaban dahulu faham bahawa pembelajaran adalah untuk menghasilkan manusia yang lebih baik, pembelajaran bukan untuk menghasilkan wang yang lebih banyak, tapi untuk menghasilkan manusia yang lebih baik. 
  • Faktor utama keberkesanan sistem pendidikan Finland adalah: 
  1. Komitmen Kepada Kesaksamaan (Equity). Siapa pun murid itu, apa sekalipun latar belakang keluarganya, dimana sekali pun dia tinggal, peluang untuk berjaya baginya adalah sama di semua sekolah kerana semua sekolah mendukung sistem yang menjadikan pendidikan sebagai hak asasi untuk semua insan. 
  2. Guru-Guru Cemerlang. Di Finland tiada anugerah guru cemerlang. Semua gurunya cemerlang. Guru yang kurang cemerlang, hidup dalam ekosistem yang mempengaruhinya untuk cemerlang. Yang tidak suka menjadi guru, tidak menjadi guru di sebuah negara bernama Finland. 
  3. Kebertanggungjawaban Profesional (Professional Accountabiility). Di Finland, tiada sebarang peperiksaan awam berpusat sepanjang persekolahan murid. Satu-satunya peperiksaan awam berpusat di Finland adalah di penghujung alam persekolahan mereka di gred 12, iaitu peperiksaan "matrikulasi" untuk mendapatkan tempat di institusi pendidikan tinggi. Penaziran guru-guru pula dimansuhkan seawal akhir 1970-an. Disini, guru yang berintegriti mengajar juga berintegriti mentaksir pelajar masing-masing seperti yang sepatutnya. 

Adakah Finland negara yang sempurna? 
Tidak. 
Disebalik kecemerlangan sistem pendidikan mereka, negara ini berdepan dengan kelemahan struktur keluarga. Adalah suatu perkara yang biasa untuk seorang anak atau anak-anak membesar bersama dengan ibu saja. Single parent disebabkan perceraian, digantung tidak bertali, anak yang terhasil dari hubungan tanpa nikah menyebabkan figura bapa itu dianggap sangat bernilai pada generasi muda disana. 


Selain itu, kurangnya komunikasi didalam keluarga juga menyebabkan anak-anak ini dahagakan perhatian. Mereka berusaha menonjolkan kelebihan masing-masing disekolah demi mendapat secebis pujian dari guru-guru atau orang dewasa lain. Ia mungkin nampak seperti tiada apa, tetapi itulah petanda anak-anak ini ketandusan baja emosi dan psikologi mereka. 


Tulisan Ustaz Hasrizal kebiasaannya luaran nampak santai, hakikatnya intipati dan terma yang digunakan membawa pembaca untuk berfikir dengan lebih mendalam. Begitu juga dengan naskah ini. Banyak artikel ditulis menyedarkan kita di luar sana, ada banyak sistem yang lebih baik yang boleh dijadikan panduan. Namun, ia juga tidak sempurna kerana ada harga yang patut dibayar, ada pengorbanan yang dituntut demi memastikan kelangsungan sistem tersebut. Tidak salah untuk kita melihat dan mengambil iktibar, demi kebaikan generasi akan datang. 


Oh ye, bagi mengendurkan sedikit ketegangan ketika meneliti naskah ini, Ustaz Hasrizal selitkan beberapa resipi masakan yang simple tetapi menarik. Masakan yang dimasak dibumi Finland untuk santapan keluarga. 


Naskah yang menarik untuk dibaca dan diteliti isi kandungannya.... 

Monday, July 6, 2020

Book Review : Jalan Sehala

Tajuk : Jalan Sehala

Penulis : Hasrizal Abdul Jamil

Menariknya Naskah Ini : 

Sudah lama Patung Beruang tidak meneliti naskah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Jadi bila tiba-tiba beliau menghasilkan karya terbaru, teruslah Patung Beruang memburu di kedai buku. 

Jalan Sehala memaparkan 34 buah artikel kritis penulis terhadap pemanduan hidup seseorang manusia. Dalam kehidupan ini, mata dan akal harus sentiasa bekerjasama dalam meneliti setiap kejadian baik di hadapan, belakang, kiri dan kanan kehidupan, dan dalam masa yang sama kita tetap berusaha untuk focus dengan jalan hadapan. 

Tatkala mata ini mula meneliti naskah ini, di peringkat Mukadimah lagi Patung Beruang sudah tertarik hati. Manakan tidak, penulis bercerita bagaimana semakin meningkat usia beliau, pendengaran beliau semakin merosot. Bukanlah bermakna beliau menjadi pekak dan hilang pendengaran, tetapi lebih kepada beliau kurang peka dengan apa yang diperkatakan oleh masyarakat sekeliling. Selain itu, beliau juga menyedari yang berkata-kata pada zaman ini bukan lagi natijah fikiran, sebaliknya lebih kepada kurangnya berfikir sebelum menukil perkataan. 

Naskah ini bukanlah tulisan kosong semata-mata. Artikel yang terkandung didalamnya menceritakan pendapat dan pandangan kritis penulis, yang adakalanya bertentangan dengan majoriti. Namun, jika diteliti dengan lebih mendalam, apa yang ditulis itu benar walaupun amat pahit untuk ditelan. 

Artikel Berpelajaran Tidak Berpendidikan membawa kita kepada isu kegagalan sistem pendidikan kita dalam berfungsi melahirkan modal insan sebagaimana yang diharapkan oleh negara. Isu ini bukanlah isu baru kerana ia pernah dipaparkan dalam Buletin Utama ketika tahun 2009. Ya, sudah 10 tahun berlalu namun isu ini sepertinya masih jauh lagi jalan penyelesaiannya. 

Ramai bijak pandai sering merungut yang pelajar hari ini berpelajaran tetapi tidak berpendidikan. Manakan tidak, masyarakat mengukur kecemerlangan seseorang pelajar itu berdasarkan bilangan A yang terkumpul. Semakin banyak A yang tercatat di atas slip keputusan peperiksaan, semakin lebar senyuman ibu bapa dan para pendidik. 

Namun, adakah bilangan A itu penentu kepada kebolehan pelajar untuk survive dalam kehidupan? 
Adakah bilangan A itu menjadikan pelajar itu mempunyai critical thinking yang bagus? 
Atau mempunyai common sense yang bagus? 
Adakah bilangan A itu menjadikan pelajar tersebut insan yang merendah diri dan menghormati orang tua? 
Atau mungkin pelajar merasakan diri menongkat langit sehingga sombong dan terkurang ajar? 

Negara pernah diburukkan dengan kematian seorang pelajar perempuan berumur 12 tahun, yang membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam semua subjek UPSR nya. 
Namun, adakah masyarakat mengambil iktibar di atas kematian pelajar ini?
Adakah sistem pendidikan dirombak bagi memberi pendedahan kepada pelajar bahawa bilangan A bukanlah segala-galanya dalam kehidupan? 
Adakah mentaliti ibu bapa dan pendidik berubah dan sedar bahawa modal insan bukanlah bertujuan untuk melahirkan pekerja semata-mata? 

Modal insan seharusnya berupaya melahirkan generasi muda yang boleh berfikir dan mencipta idea. Generasi muda yang masih kaya dengan adab dan budi bahasa walau dimana pun mereka dan dengan siapa juga mereka berkata-kata....



Jenayah Pedofilia: Sudah Bersedikah Kita? membawa pembaca kepada hakikat perbezaan mentaliti dan kebolehterimaan masyarakat di Malaysia dan luar negara dengan jenaya pedofilia. 

Masyarakat Malaysia pernah dikejutkan dengan kes seorang pelajar tajaan sebuah badan kerajaan yang dijatuhkan hukuman penjara di United Kingdom kerana mengaku bersalah atas jenayah memiliki, menghasilkan dan mengedar ribuan imej dan video lucah kanak-kanak. 

Tetapi, reaksi penaja di Malaysia selepas kes tersebut lebih mengejutkan. 
Penaja mengambil keputusan untuk memberi peluang kedua kepada pelajar tersebut dengan membenarkannya untuk menyambung pengajian di institusi milik penaja sekembalinya ke tanah air nanti. 
Sepertinya jenayah seksual kanak-kanak itu bukanlah satu perkara yang serius. Memperjudikan keselamatan kanak-kanak demi seorang pelajar pandai. 

Dalam kes jenayah pedolifia ini pemangsa tidak mengenal rupa dan status. Mungkin zahirnya seperti orang surau, orang alim,  golongan terpelajar, pemuda atau pelajar nerd, namun didalamnya mempunyai kecenderungan seksual yang mengerikan. Mereka ini mentalnya sakit. Lebih malang, kesakitan mental ini boleh ditutupi dengan gaya luaran mereka, sehingga mangsa serta penjaga mangsa tidak berupaya mengesan bahaya yang sedang menanti di hadapan mata. 

Bagaimana ibu bapa boleh melindungi anak-anak daripada pedofilia?? 

Antaranya adalah dengan membina kepercayaan hubungan ibu bapa dan anak-anak sehingga mereka menjadi lebih senang untuk bercerita dan mengadu apa saja dengan ibu bapa berbanding orang lain. Selain itu, ibu bapa juga boleh mendidik anak-anak agar tidak menyimpan sebarang rahsia antara anak dengan orang dewasa yang lain. 

Ibu bapa mestilah sentiasa peka dengan gerak tubuh anak-anak yang mungkin menunjukkan rasa gelisah atau tidak selesa. Anak kecil tidak pandai berbohong. Jadi apa yang mereka tunjukkan itulah rasa sebenar diri mereka.

Ada banyak lagi tips yang penulis kongsikan dalam naskah ini mengenai cara ibu bapa untuk melindungi anak-anak kecil yang tidak berdosa ini. Tidak adil rasanya untuk Patung Beruang kongsikan semuanya disini...


Tamatnya naskah ini mendatang satu kepuasan kepada Patung Beruang. 
Puas dengan topik dan kupasan yang ada didalamnya.
Puas apabila berpeluang berfikir sesuatu perkara dari sudut yang lain pula. 

Jujurnya, ia adalah naskah yang berisi dan bagus sebagai santapan minda. Semoga berjumpa lagi Ustaz dengan naskah yang lain pula... 

Friday, October 2, 2015

Book Review: Tak Kenal Maka Tak Cinta, Berkomunikasi Menurut Hikmah Islam

Tajuk: Tak Kenal Maka Tak Cinta, Berkomunikasi Menurut Hikmah Islam

Penulis: Hasrizal Abdul Jamil

Ceritanya Patung Beruang:
Malam tadi selepas habiskan novel The Alchemist, Patung Beruang pun beleklah buku-buku yang baru dibeli kelmarin. 

Bila terpandang buku Ustaz Hasrizal ini, Patung Beruang pun terus balut kulit buku ini dengan plastik (supaya buku ini tidak cepat rosak dan memang hobi Patung Beruang pun suka balut buku, hehe) dan seterusnya mula lah membacanya. 

Masa tu, jam baru pukul 10.30 malam. Sambil baring atas katil dan peluk Bibi, dengan ditemani love songs dari LiteFM, Patung Beruang pun baca lah buku ini dari sehelai ke sehelai, dengan aman damainya.

Suasana yang sangat mendamaikan, dengan lagu-lagu romantik, malam yang sejuk dan tanpa disedari, Patung Beruang dah sampai ke muka surat terakhir. What???? 

Dan pada masa itu, jam baru pukul 11 malam, hehehe.. 

Yes, macam tak percaya pula kan? Yelah, selama ni karya Ustaz Hasrizal semuanya tebal-tebal dan mengambil masa beberapa hari untuk Patung Beruang habiskan pembacaanya. Tapi, kali ini, terbalik pula, hehe.. 

Menariknya Buku Ini:
Tak Kenal Maka Tak Cinta lain dari kebiasaan karya Ustaz Hasrizal. Jika selama ini, karya Ustaz Hasrizal penuh dengan coretan yang menyentuh perasaan, adakalanya menjentik ego dan lamunan kita, tetapi kali ini beliau bawakan pembaharuan dalam penyampaian idea beliau.

Tak Kenal Maka Tak Cinta disampaikan dalam bentuk bergambar, ilustrasi yang menarik dan mencuit hati tetapi dalam masa yang menyindir kita para pembaca. Ini kerana, gelagat yang dipaparkan adalah apa yang berlaku pada kita, atau mungkin disekeliling kita atau mungkin juga apa yang kita sendiri lakukan selama ini. 

Mesej yang disampai adalah pelbagai, dari soal komunikasi sesama ahli keluarga, empathy sesama manusia, keprihatinan kita kepada mereka yang berada di bawah tanggungjawab kita, cara menegur dan memperbetulkan, sifat sabar, keinginan untuk mencari hidayah dan pelbagai lagi. 

Dapat disimpulkan bahawa buku ini adalah salah satu medium dakwah yang santai, interaktif tetapi dalam masa yang sama boleh memberi impak yang besar kepada pembacanya. Yang pasti, pembaca tidak bosan untuk menelaah dari satu mukasurat ke satu mukasurat yang lain sehinggalah habis. 

Kesimpulannya, satu pembaharuan yang menarik dan segar dari Ustaz Hasrizal. Cuma, mungkin disebabkan kurangnya bilangan mukasurat, jadi Patung Beruang rasa seperti tidak puas untuk menghadam buah fikiran dan coretan beliau. Yang pasti, buku ini sesuai untuk semua lapisan pembaca dari kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa kerana isi kandungannya meliputi hampir keseluruhan aspek komunikasi kita seharian. 

p/s: Lepas ini, Patung Beruang bolehlah mula membaca buku baru yang lain pula. Ada banyak yang sedang menunggu giliran ini. Nikmatnya hidup ini, hehehe... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...