Saturday, July 29, 2023

Book Review: Ma Oon Rizal, Cikgu Malaysia di Finland

 


Tajuk: Ma Oon Rizal, Cikgu Malaysia di Finland

Penulis: Hasrizal Abdul Jamil

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada minggu lepas, Alhamdulillah. Ma Oon Rizal membawa pembaca kepada pengalaman sebenar kehidupan Ustaz Hasrizal dan keluarga di sebuah negeri salji bernama Finland. 


Perkara yang menarik hati Patung Beruang terhadap naskah ini adalah kerana ia ditulis dari kaca mata seorang Muslim, seorang suami, seorang ayah, seorang anak, seorang pendidik dan seorang warganegara Malaysia yang sangat mencintai negaranya sendiri. 


Kehidupan di luar negara lebih-lebih lagi negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam adalah sangat mencabar. Cabaran dari segi budaya dan pegangan hidup, persepsi orang tempatan terhadap warga asing, persepi terhadap umat Islam,  taraf sosioekonomi, kesukaran mendapatkan bahan mentah halal, kesukaran untuk menjadi Muslim yang baik, kesukaran untuk sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam,  dan 1001 cabaran lain yang ada kalanya tidak terfikir dek akal ini. 


Adalah satu langkah yang bijak apabila penulis mengumpulkan artikel-artikel beliau dalam 4 kumpulan yang berbeza didalam naskah ini iaitu: 

  1. Melihat Finland dari Malaysia
  2. Melihat Malaysia dari Finland
  3. Melihat Finland dan Malaysia Dari Rumah 
  4. Finland, Malaysia dan Rumah yang Tuhan Serukan
Dengan 4 kumpulan ini, pembaca akan lebih memahami halatuju penulisan beliau. 


Antara beberapa petikan dari naskah ini yang Patung Beruang suka adalah: 
  • Integrasi subjek adalah untuk membantu guru menyampaikan personal value mereka kepada pelajar. Pendidikan bukan untuk melahirkan pekerja. Tetapi ia adalah untuk mencari personal value masing-masing. Agar pendidikan membantu meneroka makna (meaning). 
  • Tanpa mengajar manusia tentang makna dan tujuan, anda hanya menghasilkan raksasa. Setiap peradaban dahulu faham bahawa pembelajaran adalah untuk menghasilkan manusia yang lebih baik, pembelajaran bukan untuk menghasilkan wang yang lebih banyak, tapi untuk menghasilkan manusia yang lebih baik. 
  • Faktor utama keberkesanan sistem pendidikan Finland adalah: 
  1. Komitmen Kepada Kesaksamaan (Equity). Siapa pun murid itu, apa sekalipun latar belakang keluarganya, dimana sekali pun dia tinggal, peluang untuk berjaya baginya adalah sama di semua sekolah kerana semua sekolah mendukung sistem yang menjadikan pendidikan sebagai hak asasi untuk semua insan. 
  2. Guru-Guru Cemerlang. Di Finland tiada anugerah guru cemerlang. Semua gurunya cemerlang. Guru yang kurang cemerlang, hidup dalam ekosistem yang mempengaruhinya untuk cemerlang. Yang tidak suka menjadi guru, tidak menjadi guru di sebuah negara bernama Finland. 
  3. Kebertanggungjawaban Profesional (Professional Accountabiility). Di Finland, tiada sebarang peperiksaan awam berpusat sepanjang persekolahan murid. Satu-satunya peperiksaan awam berpusat di Finland adalah di penghujung alam persekolahan mereka di gred 12, iaitu peperiksaan "matrikulasi" untuk mendapatkan tempat di institusi pendidikan tinggi. Penaziran guru-guru pula dimansuhkan seawal akhir 1970-an. Disini, guru yang berintegriti mengajar juga berintegriti mentaksir pelajar masing-masing seperti yang sepatutnya. 

Adakah Finland negara yang sempurna? 
Tidak. 
Disebalik kecemerlangan sistem pendidikan mereka, negara ini berdepan dengan kelemahan struktur keluarga. Adalah suatu perkara yang biasa untuk seorang anak atau anak-anak membesar bersama dengan ibu saja. Single parent disebabkan perceraian, digantung tidak bertali, anak yang terhasil dari hubungan tanpa nikah menyebabkan figura bapa itu dianggap sangat bernilai pada generasi muda disana. 


Selain itu, kurangnya komunikasi didalam keluarga juga menyebabkan anak-anak ini dahagakan perhatian. Mereka berusaha menonjolkan kelebihan masing-masing disekolah demi mendapat secebis pujian dari guru-guru atau orang dewasa lain. Ia mungkin nampak seperti tiada apa, tetapi itulah petanda anak-anak ini ketandusan baja emosi dan psikologi mereka. 


Tulisan Ustaz Hasrizal kebiasaannya luaran nampak santai, hakikatnya intipati dan terma yang digunakan membawa pembaca untuk berfikir dengan lebih mendalam. Begitu juga dengan naskah ini. Banyak artikel ditulis menyedarkan kita di luar sana, ada banyak sistem yang lebih baik yang boleh dijadikan panduan. Namun, ia juga tidak sempurna kerana ada harga yang patut dibayar, ada pengorbanan yang dituntut demi memastikan kelangsungan sistem tersebut. Tidak salah untuk kita melihat dan mengambil iktibar, demi kebaikan generasi akan datang. 


Oh ye, bagi mengendurkan sedikit ketegangan ketika meneliti naskah ini, Ustaz Hasrizal selitkan beberapa resipi masakan yang simple tetapi menarik. Masakan yang dimasak dibumi Finland untuk santapan keluarga. 


Naskah yang menarik untuk dibaca dan diteliti isi kandungannya.... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...