Saturday, July 1, 2023

Book Review: Before The Coffee Gets Cold - Tales From The Cafe

Tajuk : Before the Coffee Gets Cold - Tales From The Cafe

Penulis : Toshikazu Kawaguchi 

Translator : Geoffrey Trousselot

Menariknya Naskah Ini: 

Teruk sungguh prestasi update Patung Beruang untuk tahun 2023 ini. Sudah masuk July, baru 3 buku yang dapat Patung Beruang kongsikan disini. 

Banyak saja buku yang selesai dibaca, tetapi entah mengapa terasa malas sangat hendak menaip sesuatu disini ini. Allahuakbar... sabar sajalah. 


Naskah Before the Coffee Gets Cold ini Patung Beruang beli di Tsutaya, kedai buku terkemuka di Bukit Jalil Pavilion. Alhamdulillah, rezeki Patung Beruang dapat memiliki naskah ini kerana beberapa hari sebelum itu Patung Beruang ada terbaca ulasan yang menarik mengenai naskah ini, di media sosial. 

Before the Coffee Gets Cold adalah novel asal berbahasa Jepun, dan telah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris. Novel ini mempunyai beberapa siri dan Tales From The Cafe adalah naskah kedua dalam siri ini. 


Didalam naskah ini, pembaca dibawa berjumpa dengan beberapa watak utama seperti: 

Kazu Tokita - seorang pelayan di Funiculi Funicula cafe. Kazu bertanggungjawab untuk menuangkan kopi kepada pelanggan yang ingin kembali ke masa silam.

Nagare Tokita - sepupu kepada Kazu, merangkap pemilik Funiculi Funicula cafe. Isteri Nagare meninggal dunia 6 tahun lepas, ketika melahirkan Miki Tokita. Kematian akibat sakit jantung. 

Miki Tokita - kanak-kanak perempuan berumur 6 tahun, anak kepada Nagare Tokita. 

Wanita bergaun putih - Digelar hantu. Dia akan duduk di cafe sepanjang hari di atas sebuah kerusi, sambil membaca buku. Setiap kali buku yang dibaca tamat ke helaian terakhir, Kazu akan mengambil buku tersebut dan menggantikannya dengan buku yang lain, sambil menghidangkan kopi panas kepada wanita ini. Kerusi yang diduduki oleh wanita ini sangat istimewa kerana kerusi itu boleh membawa sesiapa yang mendudukinya, ke masa lampau dan juga masa hadapan. Wanita ini akan bangun meninggalkan kerusi tersebut sehari sekali, tetapi tiada siapa pun tahu waktu bila dia akan bangun. Fakta yang mengejutkan adalah wanita ini sebenarnya ibu kepada Kazu. Beliau terperangkap di cafe ini kerana tidak berpeluang untuk kembali ke masa asal dalam waktu yang sepatutnya, ketika dia mengembara ke masa lampau untuk berjumpa suaminya yang telah meninggal dunia. Dan sejak dari kejadian itu, Kazu  berubah menjadi seoang gadis yang pendiam dan setia bekerja di cafe itu demi menemani wanita ini. 


Setiap pelanggan yang ingin kembali ke masa lampau mempunyai kisahnya yang tersendiri. Mereka hanya ingin berjumpa orang yang disayangi dan meluahkan apa yang terbuku, dan menyedari hanya itu yang termampu dilakukan kerana  mereka tidak boleh mengubah takdir. 


Gohtaro Chiba, seorang pemilik restoran makanan Jepun berhasrat untuk kembali ke masa lampau demi berjumpa sahabat karibnya, Shuichi Kamiya yang telah meninggal dunia 22 tahun lepas. Kematian Shuichi dan isterinya akibat kemalangan jalanraya meninggalkan anak tunggal mereka, Haruka yang baru berumur beberapa bulan, sebagai anak yatim piatu. Semenjak hari itulah, Gohtaro mengambil alih restoran makanan Jepun Shuichi, memajukannya dan juga membesarkan Haruka seorang diri. 

Kini Haruka sedang menghitung hari menjelang perkahwinannya. Gohtaro rasa berat hati dan sedih untuk melepaskan Haruka kerana khuatir masih adakah lelaki lain yang mampu menjaga dan melindungi Haruka sehabis baik seperti dirinya. Dalam masa yang sama, Gohtaro juga ingin Shuichi merasa bangga dengan Haruka dan menitipkan hadiah istimewa buat anak gadis itu. 

Gohtaro berharap agar dia dapat kembali ke masa lampau, berjumpa dengan Shuichi dan berkongsi berita gembira berkenaan Haruka. 



Selain kembali ke masa lampau, pengunjung juga boleh pergi ke masa hadapan jika berpeluang duduk di kerusi istimewa itu. 

Katsuki Kurata, disahkan mengidap cancer 3 tahun lepas dan doctor memberitahu yang dia hanya ada masa selama 6 bulan saja di dunia ini. Katsuki tidak sanggup berkongsi cerita tentang penyakitnya dengan Asami Mori, tunangnya kerana tidak mahu wanita itu bersedih. 

Katsuki meminta bantuan rakan mereka, Fumiko Kiyokawa, untuk membawa Asami ke Funiculi Funicula cafe, pada 3 tahun akan datang untuk menemuinya. Fumiko berjanji untuk menunaikan permintaan Katsuki itu dengan sebaik mungkin. Namun, seadainya 3 tahun akan datang, Katsuki masih lagi hidup, ataupun Asami sudah berkahwin dengan lelaki lain dan bahagia, Katsuki meminta Fumiko untuk membatalkan pertemuan tersebut. 

Tujuan permintaan Katsuki hanyalah untuk memastikan Asami tidak bersedih terlalu lama atas pemergiannya, dan berusaha untuk mencari kebahagiaan sendiri. Katsuki tidak mahu kematiannya menyebabkan wanita yang paling dicintainya itu berputus asa untuk hidup sehingga tidak mampu diselamatkan. 



Ini adalah naskah ke-2 terjemahan dari penulis Asia yang Patung Beruang baca pada tahun ini. Seperti penulis Korea, penulis Jepun juga sarat dengan emosi. 

Jangan risau, membaca naskah ini tidaklah sampai tahap menangis teresak-esak seperti buku Please Look After Mother, yang Patung Beruang kongsikan sebelum ini, hehe.. Tetapi masih mampu menghadirkan rasa sebak kerana banyak kisah dalam Before The Coffee Gets Cold ini berkisar tentang soal kasih sayang antara mak dan anak, sepasang suami isteri, sepasang kekasih serta sahabat karib. 

Naskah yang menarik untuk dibaca sebagai escapism sebentar dari realiti kehidupan yang menyesakkan. 


Oleh itu, jika anda diberi peluang untuk kembali ke masa lampau, siapakah yang ingin anda temui?

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...