Sunday, February 5, 2023

Book Review: Please Look After Mother


Tajuk: Please Look After Mother 

Penulis: Kyung-Sook Shin

Penterjemah: Chi-young Kim

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan petang semalam, beberapa minit sebelum azan Maghrib. Beberapa bulan lepas, Patung Beruang ternampak ahli dalam group bibliophiles berkongsi pengalaman mereka membaca naskah ini. Rata-rata bercerita yang naskah ini sangat menarik untuk diteliti. Kisah yang diungkapkan terasa seperti dekat di hati. Makanya, Patung Beruang masukkan naskah ini didalam wish list. 

Minggu lepas, ketika di Popular IOI City Mall, Crime Partner terserempak dengan naskah ini dan terus membeli. Kuasa Allah, walaupun Patung Beruang tidak pernah bercerita dengan Crime Partner tentang buku ini, Allah gerakkan hati dia untuk membelinya dan Patung Beruang juga berpeluang untuk membacanya. Alhamdulillah... 


Please Look After Mother membawa pembaca kepada kisah Mak bernama Park So-nyo, berumur 69 tahun yang terpisah dari suaminya (Ayah) dalam lautan manusia di Stesen keretapi bawah tanah Seoul. Kehadiran Mak dan Ayah ke Seoul adalah untuk melawat anak menantu dan cucu-cucu mereka di Seoul. Tetapi tanpa diduga, pasangan tua ini terpisah dan akhirnya hanya si Ayah saja yang selamat sampai ke rumah anak sulung mereka, Hyong-chol.

Anak-anak Mak mencari beliau diserata Seoul. Selain membuat laporan polis, mereka juga membuat risalah dan mengedarkannya kepada orang awam, terutama di Stesen Seoul, dengan harapan suatu hari nanti Mak akan ditemui. 

Hari berganti hari, minggu dan bulan, Mak masih tidak ditemui. Setiap kali mereka mendapat khabar dari orang awam yang mengatakan pernah melihat atau bertemu dengan Mak, mereka akan bergegas ke sana. Ada kalanya, panggilan tersebut adalah palsu tetapi ada beberapa kali, ia adalah kejadian sebenar. Mak ditemui di kawasan kediaman lama Hyong-chol, berjalan di taman, mencari satu demi satu kediamanan anaknya. Ada juga dimana Mak ditemui oleh seorang ahli farmasi, dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Kakinya luka teruk sehingga dijangkiti kuman akibat dari berjalan kaki terlalu jauh, dan Mak memakan sisa makanan yang dikutipnya dari tong sampah. 

Ahli farmasi itu merawat kaki Mak dengan cermat. Puas ditanya nama dan hala tuju perjalanan, namun Mak hanya membisu seribu bahasa. Mak kelihatan sangat letih dan pandangannya kosong. Tatkala ahli farmasi tersebut beredar sebentar untuk menelefon polis demi memaklumkan tentang penemuan Mak, Mak berlalu pergi. Puas dicari, kelibatnya sudah hilang dari pandangan. 


Kehilangan Mak memberi tamparan hebat pada Ayah, anak-anak dan juga kakak ipar Mak. Mereka mula mencari siapa Mak sebenarnya? Mengapa mereka seakan-akan tidak kenal Mak walaupun sudah berpuluh tahun Mak wujud dalam kehidupan mereka. Banyak rahsia Mak yang mula tersingkap sedikit demi sedikit. 


Hyong-Chol, anak sulung dalam keluarga dan sentiasa menjadi kebanggaan Mak. Sedari kecil, Hyong-Chol pintar didalam pelajaran. Mak mengharapkan agar Hyong-Chol menjawat jawatan Pendakwaraya apabila dewasa. Tetapi Hyong-Chol sedar yang kemiskinan keluarga ini akan menyukarkan laluan beliau untuk merealisasikan impian Mak itu. Makanya, Hyong-Chol nekad berhijrah ke Seoul, bermula kerja sebagai pengawal keselamatan sambil mengikuti kelas untuk sambung belajar. Hyong-Chol berusaha keras dalam pelajaran dan berjaya diterima bekerja di sektor korporat. Hyong-Chol mendaki satu demi satu tangga korporat sehingga membawanya ke jawatan tinggi yang menjamin kehidupan mewah dan selesa. Antara impian yang tidak mungkin Hyong-Chol lupakan adalah memiliki kediaman yang selesa di Seoul agar setiap kali Mak datang ke Seoul, beliau akan rasa selesa dan tidak lagi kesejukan. 


Mak lahir dalam keluarga petani. Keadaan Korea yang sedang berperang ketika itu membuatkan keluarga mereka sentiasa hidup dalam kemiskinan dan ketakutan. Ibu Mak memaksa Mak untuk berkahwin dalam usia yang terlalu muda demi mengelakkan dirinya menjadi mangsa kerakusan askar Korea ketika itu. Makanya, semua impian dan cita-cita Mak berkubur begitu saja. 

Kehidupan selepas perkahwinan tidaklah seindah mana. Sedari awal, Mak bertungkus-lumus berkerja keras demi memastikan ada makanan untuk 4 orang anaknya. Jari-jemari Mak sangat ajaib. Apa pun pokok yang ditanamnya, pasti akan membuahkan hasil tuaian yang sangat sedap. Orang kampung sering memuji nasi yang terhasil dari padi yang ditanam oleh Mak, berbau harum dan sangat mengenyangkan sehingga mereka rasa lebih bersemangat untuk bekerja dan tidak terasa lelah pun selepas memakannya. Begitu juga dengan ternakan. Apa sahaja yang dibela Mak, pasti akan berkembang membiak dengan sihat. Kelebihan ini membuatkan Mak dan anak-anak jarang kelaparan. 


Dimanakan Ayah dalam perkahwinan Mak? Perkahwinan di usia muda membuatkan Ayah merasakan dia belum puas menikmati kehidupannya. Ayah biasa saja keluar rumah selama berbulan-bulan, merantau entah kemana, malah pernah membawa pulang seorang perempuan muda ke rumah yang lagaknya tidak ubah seperti teman wanita Ayah. 

Mak sudah lali dengan pemergian Ayah. Bagi Mak, ada atau tiada, sama sahaja kerana tanggungjawab kelangsungan hidup anak-anak terletak di bahu Mak. 

Anehnya, walau sejauh mana Ayah pergi, walau selama mana Ayah keluar, pada akhirnya Ayah tetap akan pulang ke rumah Mak. Kerana baginya, itu lah rumah, tempat tinggal Mak dan anak-anak. Itu rumah keluarga. Satu-satunya tempat yang boleh dituju tatkala hidup ini terasa seperti hilang arah. 



Naskah Please Look After Mother banyak memakan air mata Patung Beruang dan Crime Partner. 

Patung Beruang membaca naskah ini sehingga selesai, di ruang tamu rumah sambil ditemani Si Boyot. Semakin ke penghujung buku, semakin sedih dan meruntun hati jalan ceritanya. Sehingga akhirnya, Patung Beruang menangis tersedu-sedu di ruang tamu. Puaslah tekup muka dengan Si Boyot supaya esakan ini tidak terlalu kuat. Tetapi rupanya, Crime Partner dapat juga dengar tangisan Patung Beruang itu dari dalam bilik dia. Sabar je lah, huhuhu.. 

Naskah ini menceritakan 1001 rasa gembira, bahagia, kesedihan, patah hati,  kekecewaan, terkilan, bersalah seorang wanita yang bergelar Mak. 

Kita sering melihat figura Mak itu sebagai seorang wanita yang serba hebat, serba tahu, serba kuat dan serba segala-galanya. Namun, kita terlupa, seorang Mak itu, asalnya adalah seorang anak perempuan, seorang adik, seorang kakak, seorang teman. Dan apabila beliau menggalas jawatan Mak, semua peranan yang lain sebelum ini seperti dilupakan. 

Sedang hakikatnya, walaupun beliau sudah bergelar Mak, beliau masih memerlukan wanita lain yang bernama Mak baginya...


Semoga semua wanita yang bergelar Mak di luar sana sentiasa kuat dan tabah menghadapi kehidupan dunia ini. 

Terima kasih kerana menggalas jawatan Mak, sebuah jawatan yang sangat menuntut komitmen yang tinggi sehingga ke akhir hayat, tetapi dalam masa yang sama, sering tidak dihargai oleh pasangan dan anak-anak sendiri. 

Maaf kerana kami sering terlupa bahawa Mak juga adalah insan biasa yang mempunyai hati, perasaan, keinginan dan impian..... 


No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...