Penulis: John Wood
Penterjemah: Iskandar Syah Ismail
Menariknya Naskah Ini:
Nampaknya ini adalah book review pertama untuk tahun 2023. Maaflah sebab Patung Beruang tidak mampu untuk update disini semenjak beberapa bulan lepas. Rasa macam sudah penuh saja sawang labah-labah di sini, hehehe..
Jujurnya, naskah Leaving Microsoft to Change the World ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya ketika July 2022 namun disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan dan kekangan masa, baru hari ini Patung Beruang berpeluang untuk berkongsi disini.
Leaving Microsoft to Change the World adalah pengalaman sebenar John Wood, salah seorang pihak pengurusan tertinggi Microsoft namun kemudiannya nekad melepaskan jawatannya agar beliau boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada misi kebajikannya.
Segala-galanya bermula ketika pengembaraannya di pergunungan Himalaya, Nepal. Ketika di sana, John berpeluang melawat sebuah sekolah yang daif. Sedang bersiar-siar melihat persekitaran sekolah, John meminta untuk melihat perpustakaan sekolah tersebut. Namun, apa yang berlaku selepas itu sangat mengejutkan beliau kerana perpustakaan sekolah yang ditemuinya adalah hanya sebuah bilik dan didalam bilik tersebut terdapat sebuah almari yang berkunci.
Guru besar mengatakan semua buku-buku perpustakaan disimpan didalam almari berkunci tersebut untuk mengelakkan ia rosak atau pun hilang. Amat menyedihkan apabila melihat jumlah dan genre buku-buku yang ada. Kebanyakkannya adalah sumbangan dari para pendaki yang pernah sampai ke situ, makanya ada antara buku-buku yang ada di perpustakaan itu tidak sesuai untuk dibaca oleh para pelajar sekolah itu.
Guru-guru di sekolah itu meminta John untuk kembali semula ke sekolah itu dan membawa buku-buku yang lebih sesuai untuk para pelajar mereka. John berjanji untuk menunaikan permintaan tersebut. Maka, beliau mula menghantar email kepada kaum keluarga dan kenalannya untuk meminta sumbangan bahan bacaan yang sesuai untuk kanak-kanak.
Dalam beberapa minggu, jumlah sumbangan bahan bacaan yang diterima sangat banyak sehingga hampir memenuhkan ruang garaj di rumah ibu ayahnya. Malah, ada juga yang menyumbangkan wang ringgit demi membantu misi John. Kini, bermulalah perjalanan Room to Read, sebuah organisasi yang membina perpustakaan, sekolah dan menyediakan biasiswa jangka masa panjang untuk pelajar perempuan di negara-negara membangun.
Naskah Leaving Microsoft to Change the World ini merakam emosi suka duka dan cabaran getir John Wood mencapai ketenangan hidup melalui jalan pendidikan. Membaca naskah ini membuatkan Patung Beruang terfikir, adakah kehidupan yang kita lalui setiap hari ini memberi makna kepada insan lain?
Atau mungkin, ia hanyalah satu proses untuk mencapai material kita sahaja?
Jika dilihat dari mata kasar, tiada yang kurang dalam kehidupan John Wood. Berjawatan tinggi disebuah organisasi antarabangsa yang ternama, gaji yang lumayan, kemudahan kediaman dan kenderaan mewah disediakan syarikat, mempunyai teman wanita yang sama-sama berada di puncak dunia korporat, menunggu masa yang sesuai untuk hubungan mereka melangkah ke fasa seterusnya, dikelilingi network yang high worth, segala-galanya ternampak sempurna.
Tetapi kelebihan atau mungkin kesempurnaan material itu tidak mampu mendatangkan satu rasa kepuasan dengan kehidupan yang dikecapinya. John sering bertanya pada dirinya, adakah apa yang dilakukannya ini memberi impak positif pada orang lain. Jika ya, bagaimana? Dan jika belum, apa lagi yang perlu dilakukannya untuk menghasilkan jawapan "Ya"?
Terima kasih John Wood kerana sudi merakamkan kisah peribadi ini untuk tatapan masyarakat luar. Dan terima kasih juga Iskandar Syah kerana terjemahan yang sangat bagus sehingga Patung Beruang terasa seperti sedang mendengar kisah ini dari mulut John Wood sendiri. Walaupun naskah ini tebal i.e. 468 mukasurat, tetapi apabila sudah mula membaca, sukar sekali untuk Patung Beruang berhenti. Jika boleh, ingin terus membaca dan membaca sehingga ke mukasurat terakhir.
Dan akhir sekali, Patung Beruang sering katakan pada diri sendiri dan juga mereka yang rapat, buku sebenarnya adalah barang mewah. Jika ketika zaman kanak-kanak, ibu bapa mampu membelikan anda buku selain dari buku sekolah, anda adalah kanak-kanak yang sangat beruntung. Kerana di luar sana, ada berjuta kanak-kanak yang teringin untuk membaca buku tetapi mereka tidak mampu. Bukan saja buku cerita, buku sekolah juga mereka tidak mampu. Tidak mampu kerana kekangan kewangan, kemudahan dan mungkin juga kerana keupayaan untuk membaca yang sangat terbatas. Makanya, jika dari zaman kanak-kanak sehingga kini anda menjadi seorang dewasa, anda masih lagi mampu membeli buku dan tetap membeli buku, panjatlah sebanyak-banyak kesyukuran kepada Yang Maha Kaya. Sesungguhnya, anda memang insan yang beruntung....
No comments:
Post a Comment