Penulis: Isa Kamari
Menariknya Naskah Ini:
Naskah ini Patung Beruang beli ketika hadir ke PBAKL 2022 hari itu. Karya pengarang Singapura dan juga penerima S.E.A Write Award 2006 ini membawa pembaca kepada watak "Aku", seorang lelaki, seorang suami, seorang anak dan seorang abang, yang berlatarbelakang keluarga Melayu yang tinggal di Singapura.
Aku diuji dengan konflik keluarga dimana ibu dan bapanya sudah tua dan tidak sihat, rumahtangga yang dibina pula berada di dalam keadaan neutral, bahagia pun tidak, berantakan juga tidak, serta salah seorang adik lelakinya menderita skizofrenia angkara najis dadah atau mungkin memang sudah ada didalam dirinya sebelum itu lagi.
Aku bukanlah lahir dalam keluarga yang senang, jauh sekali mewah dan berharta. Sedari kecil, Aku melihat kesusahan ibu dan bapa membanting tulang demi membesarkan anak-anak seramai 6 orang.
Zaman kanak-kanaknya, Aku sekeluarga tinggal di sebuah rumah berek. Dalam rumah tersebut hanya terdapat sebuah ruang tamu dan sebuah bilik tidur. Rumah berukuran sekitar 35 meter persegi didiami oleh 8 orang termasuk ibu dan bapa. Sangat sempit dan menyeksakan.
Di waktu pagi, ibu akan membawa adik-beradik Aku ke tapak semaian pohon-pohon di Malcolm Road. Aku tidak ikut kerana sesi persekolahannya di waktu pagi. Tapak semaian itu disewa oleh seorang tauke Cina daripada pemerintah. Ibu dan adik-beradik Aku yang lain kesana untuk mendapatkan upah memetik bunga melur. Ketika itu, upah satu peket kecil plastik bunga melur ialah 10 sen. Perjalanan antara rumah dan tapak semaian itu lebih kurang 1 kilometer. Dan itulah rutin harian mereka bagi mendapatkan upah sekitar 2 dolar kesemuanya.
Bapa pula bekerja sebagai tukang kebun di sebuah kondominium di Pandan Gardens. Bapa berbasikal ke tempat kerja dan akan pulang ke rumah ketika hampir waktu Maghrib.
Keadaan keluarga berubah menjadi lebih selesa apabila mereka berpindah ke rumah pangsa di Ang Mo Kio. Bapa telah membeli rumah pangsa tersebut yang berharga 17,000 dolar secara tunai, dengan duit simpanannya sendiri.
Rumah baru mereka lebih selesa dan bersih berbanding rumah berek. Namun, perbelanjaannya juga meningkat. Banyak bil penyelengggaraan dan juga biaya pembelajaran yang perlu dibayar. Apatah lagi anak-anak semua masih bersekolah. Bapa kini bekerja di sebuah kilang di Kallang Basin. Dan bapa masih setia berbasikal ke tempat kerja. Ibu pula mula bekerja sebagai pembantu rumah di Teachers Estate yang berdekatan.
Ibu dan bapa menaruh harapan yang tinggi agar Aku dan adik-beradik yang lain berjaya dalam pelajaran. Aku sendiri berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Kedua-dua adik perempuan pula telah lulus dalam peperiksaan O Level dan A Level masing-masing. Adik lelaki yang keempat serta yang bongsu juga lulus dalam peperiksaan masing-masing. Hanya, adik lelaki kedua terakhir, gagal teruk dalam peperiksaannya. Semua keluarga terkejut dan marah dengan kegagalannya sehingga bapa menampar kuat pipinya. Adik lelaki ini bertindak balas dengan mencarut dan meludah ke atas lantai. Satu kelakuan yang tidak pernah terduga akan berlaku di dalam keluarga Aku. Dan itulah titik permulaan perubahan adik yang seorang ini.
Dari seorang yang pendiam, dia berubah menjadi pemarah. Lari dari rumah. Terjebak dengan entah siapa-siapa saja diluar sana. Kutu rayau kah, budak - budak nakal kah, atau samseng mana.
Adik tidak mahu menyambung persekolahan. Malah, sudah pandai pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. Merepek entah yang bukan-bukan. Selepas itu, mula menggigil seperti tinggal di dalam peti sejuk. Dugaan apalah yang menimpa ibu dan bapa ini.
Kelakuan Adik ini sukar dijangka. Dia boleh saja berkurung di dalam bilik berhari-hari. Atau boleh saja berbual sopan dengan ibu, meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Tetapi adakalanya, tiba-tiba dia menjerit dan mengamuk. Habis semua dijerkah dan ditengking. Terpekik terlolong sehingga jiran-jiran memanggil polis untuk meleraikan keadaan.
Tiada apa yang boleh polis lakukan kecuali menasihati Aku dan keluarga untuk menghantar adik mendapatkan rawatan. Ternyata kehadiran adik mengganggu ketenteraman semua.
Ibu akhirnya meninggal dunia. Bapa juga.
Adik bersendirian dirumah. Rumah itu memang bapa sudah berpesan agar diberikan pada Adik, memandangkan keadaannya yang tidak rasional seperti anak-anak yang lain. Kini, Adik terasa semakin jauh. Seperti hidup didalam dunianya sendiri. Dia sudah tidak mengamuk seperti dahulu. Tetapi tutur bicaranya terlalu tinggi sehingga tidak terjangkau akal Aku. Entah apa pula yang merasuk Adik kali ini...
Naskah ini bahasanya cantik. Kisah Aku dan keluarga, disulami dengan puisi seperti untuk memberitahu pembaca isi hati watak didalam naskah ini.
Menyelusuri kisah pengidap skizofrenia dan pandangan individu disekeliling, menyedarkan Patung Beruang yang apa pun yang berlaku, apa pun keadaan kita, akhirnya hanya ibu bapa dan adik-beradik saja yang akan ada disamping kita. Mereka berusaha sedaya upaya menerima segala kelebihan dan kekurangan kita. Walau getir sekali pun, mereka cuba untuk menempuhinya.... Tetapi yang paling sakit adalah si pesakit itu sendiri. Sakit yang tidak mampu terungkap dan tidak mampu dikongsi dengan sesiapa pun....
No comments:
Post a Comment