Penulis: Lily Haslina Nasir
Menariknya Naskah Ini:
Jika tidak silap, ini adalah novel ke-3 terbitan Karya Seni yang Patung Beruang miliki. Jujurnya, Patung Beruang agak cerewet dalam memilih penerbit untuk buku-buku yang dibeli. Entah mengapa, setelah membaca novel pertama bertajuk Di Atas Sayap-Sayap Malaikat dan yang kedua pula adalah Bisik Pada Langit, Patung Beruang merasakan karya terbitan penerbit ini mempunyai pelbagai genre mengikut selera pembaca yang berbeza-beza. Kedua-dua naskah Karya Seni yang awal itu, ada Patung Beruang kongsikan book review nya di blog ini.
Kalbu Pun Berzikir membawa pembaca mengenali ketabahan seorang isteri dan ibu yang bernama Norlia, dalam menempuh kehidupan yang serba mencabar.
Mengambil latar belakang sebuah negeri di Utara, Norlia adalah seorang gadis kampung yang naif. Pekerjaan sehariannya sebagai penoreh getah membuatkan Norlia biasa dengan kehidupan di kampung dan tidak terdedah dengan tipu daya manusia bandar.
Norlia terpaut hati dengan Ghafar, seorang lelaki yang tiba-tiba muncul di kampungnya sebagai seorang pelajar universiti yang sedang menjalankan kajian pertanian. Perkenalan yang singkat itu membawa mereka ke alam perkahwinan walaupun ia dilakukan secara terburu-buru dan kurang dipersetujui oleh keluarga Norlia.
Malangnya, Ghafar yang dikahwininya itu sebenarnya adalah anak orang kaya berasal Pulau Pinang, penganggur dan paling malang sekali apabila Ghafar juga adalah seorang penagih dadah. Seawal 24 jam rumahtangga yang dibina, Ghafar sudah menunjukkan siapa dirinya yang sebenar. Maka, bermulalah episod gelap Norlia dalam kehidupannya sebagai isteri.
Bertahun-tahun melayari alam rumahtangga, pasangan ini dikurniakan dengan 3 orang cahayamata iaitu Fatin, Maarof dan Riya. Kesusahan yang dialami oleh Norlia dalam mencari rezeki halal, keadaan Ghafar yang tidak pulang ke rumah bertahun-tahun, menyebabkan anak-anak ini matang sebelum usianya.
Fatin, seorang pelajar sekolah rendah, bijak, aktif dalam sukan dan disenangi oleh semua guru dan rakan-rakan. Cita-cita Fatin untuk menjuarai acara lumba lari dan seterusnya terpilih untuk belajar di sekolah sukan. Dia sedar hanya dengan ilmu saja dia boleh membantu meringankan beban kewangan Norlia dan memastikan adik-adik yang lain kekal bersekolah.
Malangnya, Fatin disahkan mengidap leukimia. Satu penyakit yang tidak pernah sangka akan wujud dalam keluarga Norlia. Norlia terduduk mengenangkan betapa anak yang diharapkannya kini berdepan dengan ujian yang berat, dan boleh pergi pada bila-bila masa saja.
Kegigihan dan semangat juang Fatin menarik perhatian Khairi, wakil NGO yang banyak membantu kanak-kanak yang mengidap penyakit kronik. Sedaya-upaya Khairi berusah untuk merealisasikan impian Fatin sebelum anak kecil ini menutup mata selamanya.
Pada pendapat Patung Beruang, naskah ini sangat berpijak di bumi nyata.
Watak Norlia, seorang gadis kampung yang tidak berpelajaran tinggi dan tersilap langkah apabila bersetuju untuk menikahi Ghafar, walaupun usia perkenalan mereka sangat singkat. Kesilapan itu berlarutan sehingga beranak-pinak dan Norlia terpaksa bertungkus-lumus bekerja demi memastikan anak-anaknya tidak kelaparan.
Watak Ghafar, anak orang kaya yang terjebak dengan dadah sehingga sanggup menipu keluarga sendiri, sanggup mengkhianati isteri dan anak-anak, malah sanggup mencuri duit sumbangan Fatin, menyedarkan pembaca betapa teruknya kesan dadah kepada manusia, termasuk ahli keluarga terdekat dan masyarakat. Penagih dadah ini pandai berpura-pura asalkan mereka memperolehi apa yang dihajati.
Patung Beruang paling tertarik dengan watak Maarof. Anak lelaki tunggal dalam keluarga Norlia. Boleh menjadi abang yang baik dan juga adik yang manja. Cuma, tatkala Fatin sakit, Maarof seakan terasa dipinggirkan apabila semua perhatian dan kehendak tertumpu pada Fatin. Lumrah perasaan seorang anak kecil, pasti ada terdetik sedikit rasa cemburu apabila apa yang diingini tidak kesampaian.
Penamat naskah ini agak menyedihkan. Tetapi Patung Beruang puas kerana penamatnya realistik.... Alhamdulillah...
No comments:
Post a Comment