Saturday, December 10, 2016

Book Review: Room

Tajuk: Room

Penulis: Emma Donoghue

Menariknya Novel Ini:

Room mengisahkan Jack, seorang budak lelaki berumur 5 tahun, yang tinggal didalam sebuah bilik dibawah tanah bersama-sama dengan ibunya, yang dipanggil Ma. 

Ma, berumur 26 tahun telah diculik oleh Old Nick, seorang lelaki psiko ketika Ma berumur 18 tahun. Ma dikurung oleh Old Nick didalam sebuah bilik dan dijadikan hamba seks. 

Sepanjang menjadi tawanan Old Nick, Ma telah melahirkan 2 orang bayi. Bayi pertama yang dilahirkan adalah perempuan tetapi meninggal dunia ketika proses kelahiran dan mayatnya ditanam oleh Old Nick dibawah pokok berdekatan dengan bilik kurungan itu. Dan bayi kedua pula adalah Jack. 

Semenjak dikurung, Ma tidak pernah keluar dan kini Jack juga mengalami pengalaman yang sama. 

Kehidupan seharian mereka dihabiskan dengan menonton televisyen, membaca buku dan bermain sesama sendiri. Old Nick akan datang melawat setiap 2 atau 3 hari untuk membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan kelengkapan diri buat Ma dan Jack. 

Setiap kali Old Nick datang, Ma akan menyembunyikan Jack didalam almari. Tujuannya adalah supaya Old Nick tidak mengganggu Jack. Dan Jack akan tertidur didalam almari tersebut sepanjang malam. Maka disebabkan itu, Old Nick tidak pernah melihat wajah Jack semenjak beliau dilahirkan sehinggalah berumur 5 tahun.

Suatu hari Ma berhasrat untuk melarikan diri dari cengkaman Old Nick. Namun dia memerlukan bantuan Jack walau menyedari anaknya baru berumur 5 tahun. Dengan perancangan yang rapi dan tipu helah dimana Jack berpura-pura sakit sehingga meninggal dunia, Ma telah mendesak Old Nick untuk membawa Jack keluar dari bilik kurungan tersebut dan seterusnya mengembumikannya di suatu kawasan yang jauh. 

Perancangan mereka menjadi kenyataan apabila ketika berada diluar, Jack berjaya melarikan diri dengan terjun dari pickup yang dipandu oleh Old Nick. Kejadian tersebut disaksikan oleh orang awam dan Jack berjaya diselamatkan dan seterusnya diserahkan kepada polis. 

Seperti dijangka, polis menyerbu bilik kurungan Old Nick dan berjaya menyelamatkan Ma. Old Nick pula ditahan dan didakwa atas jenayah penculikan yang dilakukannya. 

Kes Ma dan Jack mendapat liputan hangat dari media dan masyarakat. Kini Ma dan Jack ditempatkan di sebuah hospital mental agar pakar perubatan dan psikologi dapat membantu mereka untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar. 

Ma juga berjaya disatukan semula dengan keluarganya. Namun, penyatuan tersebut agak janggal kerana sepanjang Ma tiada, ibu bapanya bercerai dan kini masing-masing ada pasangan baru. Ibu, bapa tiri dan adik lelaki Ma menerima Jack dengan senang hati sebagai salah seorang ahli baru dalam keluarga mereka. Namun ayah kandung Ma tidak dapat menerima Jack. Baginya, Ma terlalu muda untuk mempunyai anak dan Jack hanya akan menyekat kebebasan dan kejayaan hidup Ma dimasa akan datang. 

Kini Ma dan Jack telah terlepas dari cengkaman Old Nick. Namun, kehidupan di luar tidak semudah yang mereka sangka. Terutama Jack, kanak-kanak yang tidak pernah berinteraksi dengan manusia lain selain Ma, dan tidak pernah melihat serta merasa suasana diluar bilik kurungan. Segala-galanya serba baru buat Jack. Ma dan Jack tertekan untuk menyesuaikan diri mereka. 

Adakah terlepas dari Old Nick satu keputusan yang tepat buat Ma dan Jack?


Ceritanya Patung Beruang

Room menjadikan Jack, seorang kanak-kanak berumur 5 tahun sebagai narrator. Oleh itu, buku ini ditulis dari perspektif dan pandangan Jack. 

Melalui Room Patung Beruang menyelami pemikiran Jack yang pada mulanya sangat selesa dengan kehidupannya didalam bilik kurungan bersama dengan Ma. Bagi Jack, cuma beliau, Ma dan Old Nick sahaja manusia yang wujud di dunia ini. Dan segala-galanya yang dilihat di televisyen adalah tidak benar. 

Namun, bila keluar sahaja dari bilik kurungan, Jack merasakan yang dunia luar terlalu complicated, aneh dan sangat memeningkan kepalanya. Terlalu ramai manusia, terlalu banyak benda baru yang tidak pernah dilihatnya, terlalu banyak bunyi yang pelik dan terlalu banyak reaksi manusia yang tidak dapat diterima oleh akalnya. 

Jack adalah kanak-kanak yang pintar. Walaupun hidup didalam bilik kurungan, beliau boleh membaca dan menulis seperti kanak-kanak lain. Malah, sangat berbudi bahasa. Ini menunjukkan Ma mahu yang terbaik buat Jack walaupun ada masanya beliau rasa seperti hendak hidup sendiri tanpa Jack. 

Banyak emosi didalam Room ini. Namun emosi yang paling meruntun hati Patung Beruang adalah apabila Jack terpaksa hidup dirumah ibu dan ayah tiri Ma sedangkan Ma pula masih ditahan di hospital mental. Puncanya, Ma tertekan sehingga cuba untuk membunuh diri. Ma cuba untuk lari dari realiti. Maka sebab itulah tempoh rawatannya di hospital mental dipanjangkan. Dan Jack pula terpaksa belajar untuk hidup sendiri bersama orang yang baru dikenalinya. Melakukan segala-galanya sendiri. Walau ibu dan ayah tiri menerima Jack seadanya namun Jack menyedari yang kehidupan yang sempurna buat Jack dan Ma adalah mereka hidup bersama berdua sahaja. 

Novel Room ini terlalu strong, maksudnya pembaca akan terperangkap didalam Room itu sendiri walaupun setelah buku ini habis dibaca. Dan itulah yang Patung Beruang alami, huhu. Jack terperangkap didalam kepala ini berhari-hari sehingga Patung Beruang stress kerana asyik terbayangkan suasana dan keadaan Jack dan Ma, terbayang betapa beratnya bebanan seorang kanak-kanak berumur 5 tahun untuk meneruskan hidupnya diluar bilik kurungan, dialam realiti. Adoiiiiiiii....

Tidak hairanlah Room ini dinobatkan sebagai Best Book of the Year oleh New York Times Review. Sangat berbaloi untuk dibaca namun kena bersedia untuk terperangkap didalam penjara Emma Donoghue untuk seketika.... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...