Sunday, December 25, 2016

Book Review: D.U.B.L.I.N

Tajuk: D.U.B.L.I.N

Penulis: Wan Nor Azriq

Menariknya Novel Ini:

Karya D.U.B.L.I.N ini berkisar kepada kisah Encik H, seorang penulis terkenal yang suka berjalan. Bagi Encik H berjalan adalah suatu seni dan dengan berjalanlah beliau akan mendapat ilham untuk berkarya. 

Encik H mempunyai seorang pembantu yang bernama Anita. Anita ditugaskan untuk menaip dan menyemak karya yang sedang Encik H usahakan iaitu novel bertajuk D.U.B.L.I.N. 

Pada mulanya, Anita merasakan Encik H adalah seorang lelaki yang memandang rendah pada wanita. Lelaki yang menganggap wanita hanya sebagai tempat pemuas nafsu sahaja. Lelaki yang mempunyai ego yang sangat tinggi. Dan pelbagai lagi tanggapan negatif. Sebenarnya Anita lebih terpengaruh kepada kata-kata Nazim, suaminya mengenai Encik H. 

Namun, hari demi hari Anita merasakan Encik H bukanlah seperti apa yang difikirkannya dahulu. Walaupun Encik H seorang lelaki yang pelik, namun beliau mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Encik H adalah genius didalam dunia sastera. Karyanya mempunyai kelas yang tersendiri. Dan mempunyai ramai peminat yang memujanya diluar sana. 

Disebabkan terlalu asyik dengan novel D.U.B.L.I.N, Anita merasakan yang dia termasuk didalam cerita novel tersebut. Encik H bergelut untuk menyudahkan karya tersebut tetapi Anita pula mempunyai 1001 persoalan yang timbul dibenaknya tatkala menatap dan menyemak karya yang belum siap ini. Dan kemuncaknya, apabila babak yang terkandung didalam novel tersebut mula terjadi didalam dunia realiti Encik H. 

Benarkah ia memang berlaku seperti apa yang ditulis didalam novel?

Atau mungkin Encik H sendiri yang terperangkap didalam karyanya, sehingga tidak mampu membezakan antara realiti dan khayalan? 


Naskah D.U.B.L.I.N ini ada dalam kelas yang tersendiri. Pada pendapat Patung Beruang, ia adalah satu karya sastera yang berat, yang menuntut pembaca untuk focus dan berfikir ketika menatap setiap patah yang tercatat didalamnya. 

Jujurnya, ini pertama kali Patung Beruang menatap karya sebegini. Cerita didalam cerita dan didalam cerita. Ye, ada 2 atau 3 cerita yang berbeza namun saling berkait. Dan ada kalanya, Patung Beruang juga seperti Encik H, bergelut untuk membezakan mana satu cerita utamanya, dan yang mana satu cerita didalam cerita. Oh peningnya......

Selain itu, Patung Beruang juga tertarik dengan nama-nama penulis agung dan hebat yang disebutkan didalam naskah ini, dan serba sedikit cerita tentang mereka. Ternyata penulis naskah ini adalah seorang peminat sastera yang tegar. 

Kesimpulannya, naskah ini unik, agak berat (untuk orang yang bukan sasterawan macam Patung Beruang ini) namun berbaloi untuk dibaca. Sekadar mencuba sesuatu yang lari dari kebiasaan dan menikmati dengan sepenuh hati.

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...