Showing posts with label terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM). Show all posts
Showing posts with label terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM). Show all posts

Sunday, December 15, 2024

Book Review: Mana Abah Kucing?


Tajuk: Mana Abah Kucing?

Penulis: Che Soo Ismail

Menariknya Naskah Ini: 

Kumpulan cerpen ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya malam tadi, Alhamdullilah... Naskah ini mempunyai 18 buah cerpen yang mengangkat tema hal-hal kekeluargaan. Seperti yang tercatat di blurb, ceritanya mewakili kehidupan dan budaya golongan awam atau "orang kecil" yang selalu tertinggal dalam perkembangan sejarah sosial negara. 


Cerpen ke-2 yang bertajuk Cinta Terlarang membawa pembaca dengan watak Hidayah, seorang gadis muda yang berpelajaran tinggi tetapi sanggup menjadi orang gaji di kediaman Dato' Nasrullah. Banglo tersergam indah itu hanya dihuni pasangan Dato' dan Datin, serta anak tunggal mereka Nasrul Hakim. Kehadiran Hidayah sebagai orang gaji telah mengubah suasana di banglo tersebut. Hidayah dilayan baik oleh Dato' dan Nasrul Hakim pula jatuh hati dengan gadis yang baik ini. Hanya Datin saja yang sentiasa melayan Hidayah dengan kasar dan dingin, walau gadis tersebut berusaha keras untuk mengambil hatinya. Melihat Nasrul Hakim yang bersungguh-sungguh ingin memperisterikan dirinya, membuatkan Hidayah nekad untuk berterus-terang dengan keluarga ini tentang identiti sebenar dirinya dan mengapa dirinya tidak akan boleh menjadi suri hati Nasrul Hakim. 


Penulis juga mengangkat tema sumbang mahram melalui cerpen Mana Abah Kucing? Suasana dirumah Boy pada suatu hari sangat haru-biru. Hujan yang turun di luar membuatkan emak kucing sibuk membawa masuk anak-anaknya seekor demi seekor ke dalam rumah. Ketika bisingnya hujan dan bisingnya emak dan anak-anak kucing, bilik kakaknya, Nur Zalina juga turut bising dengan kehadiran music yang membingitkan telinga. Pintu bilik tetap dikunci dari dalam walau puas Ibu dan Boy mengetuk pintunya. Nur Zalina, anak gadis yang sedang meningkat remaja, secara tiba-tiba menukar corak pemakaiannya dari jeans dan skirt kepada baju kurung. Ibu merasakan itu adalah perubahan yang baik sehinggalah pada petang itu, segala-galanya dirasakan salah. Music yang bingit dari bilik Nur Zalina hanyalah untuk menutup kuat jerit tangisnya tatkala seorang bayi yang comel lahir dari rahimnya, diatas katil berseorangan tanpa kehadiran Ibu, Ayah atau pun suami. Manakan ada suaminya kerana bayi tersebut berkongsi ayah yang sama dengan Nur Zalina dan Boy. 


Patung Beruang juga suka dengan cerpen Pulut Lemak Pisang Benggala yang membawa tema orang agama yang sombong dan merasakan dirinya lebih mulia dari keluarga fakir miskin dikampungnya. Kesombongan itu membuatkan dirinya tidak jujur dan ikhlas dalam mengajar Al-Quran pada muridnya yang miskin. Dan kesombongan itu dibalas Allah tatkala orang agama dan keluarganya menjejakkan kaki ke Mekah yang akhirnya menyebabkan dia hilang akal. 


Kumpulan cerpen yang memaparkan kisah masyarakat disekeliling kita. Ada ceritanya seperti mencubit diri ini, terasa seperti ditegur depan-depan. Terima kasih penulis untuk naskah yang menarik dan penuh dengan pengajaran... 

Sunday, September 29, 2024

Book Review: Mengopi Bersama Ayah


Tajuk: Mengopi Bersama Ayah

Penulis: Rafi Harumin

Menariknya Naskah Ini: 

Ini adalah antara buku-buku yang Patung Beruang beli ketika PBAKL 2024 beberapa bulan lepas. Jujurnya Patung Beruang sudah melihat naskah ini di booth ITBM sejak beberapa tahun dahulu. Tetapi nampaknya 2024, baru ada rezeki Patung Beruang untuk memilikinya. 


Naskah Mengopi Bersama Ayah membawa pembaca kepada kisah kehidupan seorang anak muda bernama Hadi. 

Hadi adalah anak bongsu dari 3 orang adik-beradik. Mempunyai abang sulung dan kak ngah. Ayahnya seorang penjawat awam dan Ibu pula suri rumah. Anak bongsu yang manja tetapi nakal, seringkali menjadi penghibur hati Ibu Ayah, namun ada masanya tercabar juga kesabaran kedua orang tua. 

Naskah dimulakan dengan kisah kehidupan Hadi dimasa kecil. Kelahiran yang sangat membahagiakan kedua orang tuanya sehingga Ayah berazam untuk menjadikan Hadi sebagai teman mengopinya di waktu lapang. 

Sedari kecil Hadi sudah terbiasa dengan minuman kopi O. Malah, seawal sarapan pagi sebagai pengalas perut. Diwaktu petang, bersama-sama Ayah menikmati kopi O air tangan Ibu, sambil mendengar Ayah bercerita atau bernasihat. 


Kehidupan di masa kecil, dalam keluarga yang biasa-biasa, banyak memberi ilmu kehidupan kepada Hadi. Ayah bertungkus-lumus bekerja dan belajar, demi kenaikan pangkat. Kesibukan Ayah menyebabkan Hadi terasa hati. Apalah yang difahami oleh seorang anak kecil tentang betapa perlunya Ayah mengukuhkan keadaan kewangan keluarga demi kesejahteraan dan masa depan pendidikan anak-anak?


Penceritaan diteruskan sehingga Hadi menginjak remaja, seterusnya dewasa dan bekerjaya. Lumrah anak muda, darah panas dan emosi mudah dijentik. Hadi juga tidak terkecuali. Namun personaliti Ibu yang sangat tenang dan mendamaikan, seringkali menjadi air sejuk yang memadamkan gejolak kemarahan didalam jiwa Hadi. Sayang, usia Ibu tidak panjang. Ibu akhirnya meninggal dunia dan terlepaslah beliau dari kesakitan kanser yang dihidapinya. 

Kini, cuma tinggal Ayah dan anak-anaknya. Tidak mudah untuk Ayah hidup tanpa suri disisi. Anak-anak sudah dewasa dan mempunyai haluan kehidupan sendiri. Tinggal Ayah bersendirian dirumah lama, ditemani kenangan silam. 


Mengopi Bersama Ayah adalah kisah kehidupan yang biasa-biasa tetapi berjaya menimbulkan nostalgia kepada pembaca. Kisah seorang anak kampung, membesar dalam keluarga yang harmoni, didikan Ibu Ayah yang teguh pegangan agama dan disiplin dalam menuntut ilmu dan kisah pelbagai ragam di kejiranan kampung. 

Setelah dewasa, hidup seakan seperti robot. Gigih berlari mencari rezeki di tengah-tengah hutan batu, sehingga adakalanya terlupa wujudnya orang tua yang kesepian, setia menanti kepulangan anak cucu di kediaman kampung halaman. 


Seperti yang tercatat di blurb, 

"Air kopi, kalau diminum berseorang tanpa teman, nikmatnya hanya secawan itulah sahaja. Tetapi kalau diminum berteman, apatah lagi teman yang cukup akrab, pastinya kenikmatan rasa kopi dan aromanya akan berganda. Kopi yang berkualiti dan harum aromanya jika diterjemahkan dan diapresiasikan dalam bentuk bacaan, nescaya seluruh naskah itu akan semerbak hingga menjadi bualan khalayak pembaca."


Terima kasih penulis untuk nostalgia yang membahagiakan kalbu... 

Sunday, July 14, 2024

Book Review: Orang Kecil


Tajuk: Orang Kecil

Penulis: Akiya

Menariknya Naskah Ini: 

Alhamdulillah, ini adalah naskah ke-3 karya Akiya yang berjaya Patung Beruang selesaikan pembacaannya. 

Naskah Orang Kecil ini adalah buah tangan dari PBAKL 2024. Macam yang Patung Beruang pernah kongsikan disini, tulisan Akiya memberi pendedahan kepada pembaca mengenai suku kaum Semai dengan lebih meluas. Oleh sebab itu, setiap kali Patung Beruang ternampak karyanya di kedai buku, Insya-Allah Patung Beruang akan berusaha untuk memilikinya. 


Untuk naskah ini, pembaca dibawa mengenali Kampung Ulu Sungai Kepayang yang asalnya adalah milik suku kaum Semai dalam daerah Batang Padang, di negeri Perak. 

Berpuluh-puluh tahun lamanya orang Semai berkampung disini. Mereka membina keluarga dan keturunan, hidup dan matinya disini. Mereka berusaha bersungguh-sungguh membangunkan kampung ini. 

Kampung Ulu Sungai Kepayang berjiran dengan kampung orang Melayu. Hidup sejahtera dan aman-damai sebagai jiran tetangga. 

Kini, Kampung Ulu Sungai Kepayang diduduki generasi ketiga. Sayangnya generasi ketiga ini hidup mereka seperti bangkai bernyawa. Tidak bersemangat dan sudah hilang jati diri. Mereka mabuk dengan kemewahan yang sedia ada. Lelakinya tidak segan silu untuk menjadi samseng atau pun tahi dadah. Yang perempuan pula tidak segan silu untuk mengandung anak luar nikah. Adakah ini harga yang perlu dibayar atas nama nikmat kemerdekaan? 

Walaupun digelar kampung orang ulu, kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka. Segala kemudahan asas seperti sekolah rendah, dewan orang ramai, jalan raya berturap tar, bekalan elektrik dan air 24 jam sehari, semuanya ada. 


Long, seorang ketua keluarga yang sangat mementingkan pelajaran anak-anaknya. Long tidak mahu anak-anaknya buta huruf seperti dirinya. Long sedar yang sangat sukar untuk hidup dizaman ini jika anak-anaknya tidak berpelajaran. Long nekad, dia sanggup berusaha sehabis daya demi memastikan anak-anaknya dapat bersekolah. 

Long mempunyai 3 orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Anak sulungnya bernama Baki sudah berumur 18 tahun, merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Baki belajar di sebuah sekolah menengah di Pekan Sungkai. 


Batin Dulah dan anak-anak kampung tidak pernah meminta usaha-usaha pembangunan dalam Kampung Ulu Sungai Kepayang. Ketika Yang Berhormat berusaha memastikan projek dewan rakyat dikampung itu siap, Batin Dulah bertanya apa gunanya dewan rakyat itu? Batin Dulah dan anak-anak buahnya masih tercari-cari rasional pembinaan sekolah, jalan berturap tar dan dewan rakyat di kampung mereka. Mungkin Yang Berhormat atau pegawai-pegawai kerajaan terlupa untuk menjelaskan dengan sehabis baik faedah-faedah kemudahan tersebut kepada mereka. Atau mungkin juga orang-orang kerajaan ini menganggap orang kampung akan tahu sendiri sebab-musabab semua ini berlaku. Sayangnya...


Long dan anak-anak kampung menganggap Kampung Ulu Sungai Kepayang akan menjadi milik mereka untuk selama-lamanya. Kehidupan kampung yang tenang dan tenteram akan berkekalan. Long tidak tahu, orang luar sedang berusaha untuk mengambil tanah rizab kampung ini untuk dimajukan dengan tanaman kelapa sawit. Ya, ladang kelapa sawit hendak dibuka disitu. Selain itu, balak-balak yang ada didalam hutan dara itu juga menjadi igauan orang-orang diluar sana. Sayang, Long dan anak-anak kampung tidak sedar yang tanah nenek moyang mereka ini sedang diintai kapitalis kejam diluar sana. 


Seman adalah biras Long. Tiba-tiba saja Seman datang kerumah Long dan mengajak Long untuk membunuh Kok Ling. Kok Ling adalah lelaki Cina bekerja dengan Dato' Ah Kow. Seman naik angin bukan kepalang apabila traktor Kok Ling masuk ke dalam kawasan tanah Seman dan merosakkan pokok-pokok yang ada. Pokok-pokok durian, petai, manggis, cempedak, nangka, rambutan, mata kucing semuanya telah rosak angkara traktor Kok Ling. 

Selama seminggu traktor Kok Ling menolak tanah, membersih kiri dan kanan jalan masuk ke kampung. Batin Dulah bertanya pada Kok Ling, siapa yang mengarahkannya membersihkan tanah-tanah tersebut? Kata Kok Ling, Tauke Ah Kow yang menyuruhnya. 

Batin Dulah rasa gembira kerana ada tauke Cina yang prihatin dengan keadaan kampung orang asli. Sudi membaiki jalan di kampung. Tidak perlulah ada YB atau orang kerajaan. Batin Dulah mudah percaya dengan apa yang didengarnya dari Kok Ling. Terlalu lurus dan naif sehingga terlupa tidak semua orang luar itu mempunyai hati yang lurus dan naif seperti kaum Semai. 


Tauke Ah Kow sedar kekayaan yang dimilikinya membolehkan dia membeli sesiapa saja termasuklah orang kampung dan orang kerajaan. Peduli lah dengan pokok-pokok orang kampung yang rosak. Peduli lah dengan sungai yang tercemar kesan dari pembuangan tanah dan saki-baki diesel. Peduli lah alam sekitar yang rosak. Yang penting bagi Ah Kow adalah untung yang besar di masa hadapan. 

Ah Kow mengupah Sani untuk memecah-belahkan anak-anak buah Batin Dulah. Sani orang luar tetapi berkahwin dengan wanita suku kaum Semai. Bagi Sani, orang-orang Semai ini tidak setaraf dengannya. Hanya orang pekan, orang bandar dan kontraktor-kontraktor saja yang layak untuk berkawan dengan Sani. 

Sani mudah gelap mata dengan gula-gula dari Ah Kow. Dia terlupa, orang Semai sangat menitik-beratkan tanah warisan nenek moyang mereka. Orang Semai juga sangat kukuh ikatan kekeluargaan mereka. Mereka tidak mudah terpedaya dengan Sani, apatah lagi Ah Kow. Bagi mereka, warisan harus dipertahankan sehabis daya. Mati berjuang lebih mulia daripada mati berpeluk tubuh. 



Gaya penulisan Akiya seperti biasa sangat straightforward. Ayat-ayatnya pendek. Oleh itu, walaupun naskah ini mempunyai 200 mukasurat, momentum membaca sangat laju. 

Akiya dan penulisan yang jujur memang tidak dapat dipisahkan. Ending Orang Kecil ini mendadak. Ibarat sedang berjalan dan terus terjun ke dalam gaung yang paling dalam. Kelam dan sedih, namun realistik......

Sunday, April 3, 2022

Book Review: Nur' Ain: Isteri Buruh Paksa


Tajuk: Nur' Ain: Isteri Buruh Paksa

Penulis: Adly Azamin

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini sebenarnya Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada bulan January  atau February hari itu. Dek kerana kekangan masa, baru kini Patung Beruang dapat kongsikan kisah naskah itu disini. 


Nur' Ain: Isteri Buruh Paksa membawa pembaca ketika zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Nur' Ain adalah watak seorang wanita muda yang berani dan bijak, lahir dalam keluarga yang kaya dan terhormat di Kampung Tanjung Bayan, pinggir Hutan Melintang, Perak.

Baru beberapa hari bergelar isteri kepada Khairi, tanpa diduga Khairi ditangkap oleh askar Jepun angkara fitnah Bujang, pengkhianat bangsa. Bujang sakit hati apabila Khairi, pemuda dari luar kampung yang berjaya memiliki Nur'Ain dan bukan dirinya. Oleh itu, Bujang menggunakan hubungan rapatnya dengan Jepun, menyebarkan berita yang Khairi adalah bahaya pada askar Jepun serta patut ditangkap dan dijadikan buruh paksa. 

Selepas Khairi ditangkap, tinggallah Nur' Ain seorang diri menguruskan ladang kelapa milik keluarganya. Kemakmuran tanaman milik keluarga Nur' Ain menjadi sumber rezeki kepada penduduk kampung. Selain dari menguruskan ladang, Nur' Ain juga berjualan di pasar pagi dan disana juga Nur' Ain berpeluang untuk mengetahui perkembangan semasa pemerintahan tentera di Tanah Melayu. Nur' Ain berharap agar suatu hari nanti perang akan  berakhir dan suaminya, Khairi akan pulang ke Tanjung Bayan. 


Adam, adalah seorang askar yang ditugaskan untuk datang ke Hutan Melintang bagi memerhatikan perkembangan tentera Jepun disana. Adam memang dilahirkan dan menetap beberapa tahun di Hutan Melintang kerana arwah ayahnya adalah bekas pegawai tinggi kerajaan disana. Rumah agam yang tersergam indah dan cantik di sana adalah milik arwah ayahnya. 

Kini, setelah beberapa tahun, Adam pulang semula ke Hutan Melintang dan mendiami rumah tersebut. Kedatangan Adam tidak disenangi oleh Bujang yang sedari awal bercita-cita untuk memiliki dan mendiami rumah agam tersebut walaupun sedar dirinya tiada langsung pertalian terhadap rumah itu.

Kebencian Bujang terhadap Adam memuncak pada suatu petang apabila Bujang dan konco-konconya datang menyerang Adam dirumah tersebut. Bujang menuduh Adam menyimpan radio dan mengugut untuk melaporkannya kepada askar Jepun. Setelah puas membelasah Adam, Bujang dan konco-konconya membakar rumah tersebut. 

Adam sempat menyelamatkan barang-barang peribadinya dan lari menyelamatkan diri. Dia diselamatkan oleh orang kampung Tanjung Bayan dan diterima bekerja di ladang kelapa Nur' Ain. 

Keperibadian Adam yang rajin dan sangat menghormati orang lain menyenangkan orang-orang kampung Tanjung Bayan. Tiada sesiapa tahu identiti sebenar Adam kerana kebenaran itu boleh membahayakan nyawanya jika diketahui askar Jepun. 


Adam dan Nur' Ain sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu walau dengan cara yang berbeza. Perjuangan mereka bukan saja membuka mata penduduk kampung tetapi juga askar Jepun dan pegawai tinggi mereka...

Friday, February 4, 2022

Book Review: Sebalik Yamashita dan Percival


Tajuk : Sebalik Yamashita dan Percival 

Penulis: Shaari Isa

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini Patung Beruang selesai baca pada petang tadi. Alhamdulillah. Rasanya kurang seminggu juga lah Patung Beruang berjaya sudahkan pembacaannya. 

Sebalik Yamashita dan Percival membawa pembaca kepada suasana di Tanah Melayu dan Singapura pada tahun 1940. Ketika itu, Jepun menyerang Tanah Melayu dan Singapura serta merampas pentadbiran jajahan ini dari British.  

Pembaca dikenalkan dengan watak Richard Carter, pengurus ladang getah Dunlop yang bertempat di Sg Petani. Richard dan isterinya, Hazel, kedua-duanya adalah berasal dari England dan mendiami Tanah Melayu atas tuntutan kerja. 

Kehidupan pasangan suami isteri ini aman dan bahagia. Rumah banglo yang cantik, bersama-sama dengan tukang masak, orang gaji dan juga tukang kebun. Namun pasangan suami isteri ini menganut keimanan yang berbeza. Hazel berpegang pada mazhab Roman Katolik yang diketuai oleh Pope di Vatican, Rom.  Richard pula berpegang pada Gereja England yang diketuai oleh Archbishop of Canterbury. 

Pasangan Richard dan Hazel dikurniai seorang anak lelaki. Malangnya, anak itu meninggal dunia ketika baru berumur kira-kira setahun akibat jangkitan kuman pada paru-paru. 

3 kali seminggu, kediaman Richard dan Hazel akan dikunjungi oleh Jerry, seorang pembekal bahan-bahan mentah dan barang dapur seperti susu, telur, roti, buah-buahan dan sayur-sayuran. 

Jerry seorang peniaga yang cekap dan berbudi bahasa. Oleh itu, ramai pelanggannya terdiri dari orang Eropah yang berada di Pulau Pinang atau Kedah atas urusan pekerjaan atau perniagaan. Semua pelanggan dan orang yang berurusan dengan Jerry percaya yang Jerry berketurunan Tionghoa Hokkien. 

Namun, hakikat sebenarnya adalah Jerry itu berketurunan Jepun dan nama asalnya adalah Harada. Dia adalah pengintip yang bekerja di bawah arahan tentera Jepun secara rahsia. Kawasan intipan Jerry adalah seluruh kawasan di utara Semenanjung Tanah Melayu termasuklah Pulau Pinang. 

Sebenarnya ada beberapa orang ejen tentera Jepun yang bertaburan di lokasi-lokasi strategik. Mereka ini menyamar sebagai peniaga atau pekerja dalam pelbagai jenis cabang perniagaan dan pekerjaan. 


Di Pulau Pinang pula pada ketika itu, perkhidmatan feri yang menghubungkan tanah besar Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Pinang sudah wujud demi kemudahan masyarakat dan pihak pemerintah untuk berulang-alik antara 2 destinasi itu. Perkhidmatan feri ini dikendalikan seperti sebuah syarikat oleh sebuah lembaga milik pemerintah British. 

Pengurus syarikah feri pada masa itu adalah James Taylor, seorang rakyat Australia yang berasal dari Darwin. James lahir dari keluarga Katolik dimana ibu bapanya adalah pemimpin masyarakat dan pemimpin gereja Katolik di Darwin. James adalah anak sulung dan mempunyai seorang adik perempuan bernama Rosemary. 

James serasi dengan kehidupan di Pulau Pinang. Antara orang bawahannya yang sangat dipercayai adalah Mat Rani, seorang lelaki Melayu. Disebabkan kualiti kerja Mat Rani yang teratur dan licin, James melantik Mat Rani sebagai pengawas operasi di samping tugasnya sebagai pemandu feri. Dengan tanggungjawab baru itu, Mat Rani kini hanya bekerja dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang dan hari minggu adalah hari kelepasan untuknya. 

Mat Rani dan isterinya, Chik, dikurniakan seorang anak perempuan bernama Lina. Lina berada di Darjah Lima, Sekolah Perempuan Melayu Kampung Pantai. Lina seorang pelajar yang tekun dan bijak. Cita-citanya adalah untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Durian Daun, Melaka dan menjadi seorang guru.


Pada suatu hari, ketika Richard dan Hazel menaiki feri ke Pulau Pinang, kereta mereka mengalami kerosakan. James yang menyedari kesulitan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri ini telah meminta pekerjanya untuk membantu mereka dan dalam masa sama mempelawa pasangan ini untuk duduk di pejabatnya sehingga kenderaan mereka selesai dibaiki. 

Kesulitan yang menimpa pasangan Richard dan Hazel telah menyebabkan wujudnya bibit persahabatan antara mereka dan James. Lama-kelamaan, James merasakan yang hatinya tertarik pada Hazel. Namun James sedar yang perasaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana Hazel adalah isteri orang. 

Tanpa diketahuinya, Hazel juga menyimpan perasaan yang sama. Hazel rasa bersalah terhadap Richard. Oleh itu Hazel berterus terang tentang perasaannya kepada sahabat baiknya, Lily, seorang jururawat di Hospital Sg Petani, serta membuat pengakuan kepada paderi di gereja katolik yang menjadi rutin destinasinya bersama Lily, setiap hujung minggu. 


Dalam mengharungi kehidupan seharian, mereka turut menyedari yang peperangan bakal meletus di Tanah Melayu. Anggapan mereka makin kuat apabila teman lelaki Lily, iaitu Terrence Blake, seorang anggota tentera udara British, diminta membuat penerbangan bagi meninjau keadaan di perairan utara serta pantai timur Semenanjung Malaysia. Selain itu, Richard juga dihubungi oleh pegawai tentera British yang memaklumkan agar dirinya dan isterinya diminta bersedia untuk dibawa menaiki kereta api dan kapal laut untuk keluar dari Semenanjung Tanah Melayu sekiranya perang meletus. 


Tarikh 6 November 1941, Leftenan Jeneral Yamashita yang bertugas sebagai Panglima Angkatan Tentera Darat ke-25, telah menerima arahan untuk merancang, menyerang dan menawan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura. Jeneral Yamashita bukan calang-calang pegawai tentera Jepun. Dia sudah lama mahir dengan selok-belok peperangan seperti yang dipelajarinya dari buku The Art of War, tulisan Sun Szu yang ditulis pada tahun 400 SM. 

Dalam masa yang sama, Leftenan Jeneral Arthur Percival, Ketua Pemerintah Angkatan Tentera British yang berpangkalan di Singapura, menerima laporan yang kurang enak  tentang perkembangan ketenteraan Jepun di perairan utara Semenanjung Tanah Melayu. 

Tanggungjawab Jeneral Percival sangat besar merangkumi pertahanan Singapura, Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak, Borneo Utara dan Brunei. Perkembangan yang diterimanya sangat meresahkan kerana Jeneral Percival sedar kekuatan tentera British di dalam tangannya tidak cukup kuat. Mereka mempunyai tentera darat yang ramai tetapi pertahanan udara dan laut agak kurang kerana kebanyakkan aset tentera ditumpukan kepada kawasan lain yang lebih kritikal keadaannya berbanding Singapura dan Tanah Melayu. 


Seperti diduga, perang akhirnya meletus dan tentera Jepun berjaya menawan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura sehingga menyebabkan British menyerah kalah. Peralihan kuasa pentadbiran dilakukan daripada Jeneral Percival kepada Jeneral Yamashita. 

Bermulalah episod gelap tentera British dan masyarakat di Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. 

Hazel dan Lily selamat menaiki keretapi dan seterusnya kapal laut menuju ke Australia. Disana, mereka terpisah kerana Hazel dihantar untuk berkhidmat di gereja Katolik dan Lily pula untuk bertugas di hospital. 

Richard pula ditangkap dan dihantar menjadi buruk paksa di landasan keretapi Burma. 

Terence Blake berjuang bermati-matian dengan kemahirannya sebagai juruterbang tentera. Namun, nasib tidak sentiasa menyebelahinya. Pesawatnya ditembak tentera Jepun yang mengakibatkan rakan juruterbangnya meninggal dunia. 

Kebanyakkan rakyat British dan Eropah berjaya keluar dari Semenanjung Tanah Melayu. Mereka yang tidak berjaya keluar, akan ditangkap tentera Jepun dan dibunuh atau dijadikan buruh paksa. Namun, James terperangkap di Pulau Pinang. Sebelum itu, dihadapan matanya dia melihat bas sekolah yang membawa Lina dan rakan-rakan sekolahnya dibom oleh pesawat tentera Jepun. Lina akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan James. Berakhirlah hayat seorang kanak-kanak perempuan yang bercita-cita tinggi tetapi tidak kesampaian disebabkan kejamnya peperangan yang melanda. 

Adakah James akan menerima nasib seperti Richard? 

Atau mungkin lebih buruk dari itu? 



Ini naskah kedua yang berlatar belakangkan perang Jepun di Tanah Melayu yang Patung Beruang baca dalam masa 2 minggu ini. Sebelum ini, Patung Beruang berjaya selesaikan naskah bertajuk Nur'Ain: Isteri Buruh Paksa. Jika berkesempatan, nanti Patung Beruang tulis book review untuk naskah itu pula ye. 

Naskah ini mempunyai 340 mukasurat. Boleh dikatakan panjang juga. Naskah ini juga mempunyai beberapa watak utama seperti Richard, Hazel, James, Lily, Terence Blake, Mat Rani, Jerry atau Harada, Premlal (seorang askar India), Jong Su (orang Korea tetapi terpaksa menjadi askar Jepun), Ah Kee, Chia dan juga para pemimpin tentera British dan Jepun seperti Jeneral Percival dan Jeneral Yamashita.

Walaupun mempunyai watak-watak penting yang ramai, pembaca tidak akan hilang focus kerana penulis bijak memisahkan satu cerita dengan cerita yang lain. Susunan bab dan bahagian sangat teratur dan tidak membunuh momentum pembaca. 

Seperti diduga, naskah terbitan ITBM jarang mengecewakan. Termasuklah naskah ini juga. Banyak fakta sejarah yang dikongsikan didalam naskah ini. Pembaca bukan saja diajak menyelami kisah peperangan tetapi juga kisah kehidupan masyarakat ketika zaman perang yang merentasi bangsa, agama, budaya dan cara hidup serta pemikiran. Walaupun ceritanya panjang namun Patung Beruang rasa seronok menikmati pengembaraan ini.... Alhamdulillah... 

Saturday, November 6, 2021

Book Review : Wasiat Dari Langit Eropah


Tajuk : Wasiat Dari Langit Eropah 

Penulis : Dayana Chacho 

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya petang semalam. Alhamdulillah... 

Tahun ini momentum pembacaan Patung Beruang sangat teruk. Momentum mencatat book review disini juga teruk. Harapnya dua bulan terakhir ini Patung Beruang dapat aktif kembali. Aktif membaca dan aktif berkongsi book review. Aamiin... 


Wasiat Dari Langit Eropah membawa pembaca kepada penulis muda, berusia 24 tahun bernama Anis Malisa. Seorang anak tunggal yang tinggal berdua dengan ibunya, Puan Rosminah Samsuddin. 

Anis terpilih untuk mengikuti program Kembara Penulis Muda ke Kota London, anjuran ITBM. Di dalam Kembara ini, Anis berkenalan dengan penulis muda yang lain seperti Ain Hana, Hisyam, Daniel dan Ranjit. 

Pelbagai kisah menarik dialami oleh para penulis muda ini sepanjang kembara mereka. Tidak lupa, mereka juga dibawa menjelajah tempat-tempat menarik di Kota London, serta di dedahkan dengan kehidupan seharian warga kota yang sentiasa sibuk ini. Semuanya demi memberi pengalaman baru agar dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk menghasilkan karya yang lebih hebat. 

Lawatan ke National Gallery adalah antara lawatan yang sangat ditunggu-tunggu oleh Anis. Sebagai seorang pencinta seni, Anis sangat teruja menatap koleksi lukisan-lukisan yang dipamerkan di National Gallery itu. 

Sedang leka menikmati lukisan-lukisan karya hebat dari para pelukis, Anis terpaku dengan sebuah lukisan potret wajah seorang wanita bertudung dan di pangkuannya dilukis pula seorang bayi yang sedang digendong. Wajah wanita tersebut seperti wajah wanita campuran Asian. Entah mengapa, hati Anis tiba-tiba sayu dan hiba melihat kesedihan potret wajah wanita itu. Hati Anis kuar bergetar mengatakan wanita itu adalah wanita Melayu. Tandatangan di potret ini menyatakan pelukisnya bernama Abdullah alias Robert.

Pertemuan dengan potret wanita Melayu di National Gallery itu menimbulkan seribu persoalan di fikiran Anis. Malah, potret itu berada di dalam ingatannya berhari-hari. Tika malam pula, Anis akan diganggu dengan mimpi yang sama, berulang-ulang. Dan semuanya berkisar kepada pasangan suami isteri yang terpaksa berpisah kerana kejadian yang diluar kawalan mereka. 

Adakah wujud ikatan atau perkaitan antara lukisan tersebut dan Anis? 

Apa sebenarnya yang ingin Allah tunjukkan pada gadis ini tatkala dia diterima menyertai kembara jelajah ini? 


Naskah Wasiat Dari Langit Eropah ini adalah sebuah naskah yang ringan. Patung Beruang seronok menikmatinya terutama apabila penulis berkongsi pengalaman mereka melawat lokasi menarik di Kota London seperti: 

  • Hyde Park, tempat untuk berehat, berjalan-jalan menikmati alam sekitar dan juga untuk sesiapa yang ingin berucap didepan orang ramai; 
  • Bayswater,  tempat mencari souvernir yang murah-murah sehingga pelancong atau pengembara rambang mata; 
  • Whiteleys, pusat membeli-belah yang kedudukan tangga membelakangkan arah pintu masuk utama; 
  • Restoran "Tuk Din"; antara restoran yang terkenal di kalangan rakyat Malaysia yang berkunjung ke London; 
  • Pusat membeli-belah Primark; 
  • Tower Bridge, Eyes of London dan macam-macam lagi. 
Teringat pula ketika waktu Patung Beruang menjelajah di sana bersama keluarga pada tahun 2018. Menariknya travel di sana adalah pengangkutan awam yang sangat menyeluruh dan reliable. Kami hanya memandu dari homestay terus ke stesen tube terdekat, dan selepas itu kami menggunakan tube saja untuk berjalan seharian. Cuma bila kami berada di Lancaster,  barulah kami memandu kereta apabila hendak kemana-mana, walaupun untuk pergi makan atau dobi, hehe.. 


Selain dari perkongsian tempat-tempat menarik di sana, Patung Beruang juga tertarik dengan misteri potret lukisan Abdullah alias Robert. Bagaimana sebuah potret wanita Melayu boleh berada di ruang pameran National Gallery? Cuma pada pendapat Patung Beruang, pengakhiran kisah ini sedih.... 

"Orang yang suka merenung bintang akan akhirnya menemui bintang di dalam dirinya. Orang itu akan menemui cahaya bintang itu di dalam dirinya sebagaimana dia melihat cahaya bintang di dada langit."  - mukasurat 7

Thursday, August 12, 2021

Book Review : Embargo


Tajuk : Embargo 

Penulis : Zahari Affandi 

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada hujung minggu lepas. Alhamdulillah. 

Embargo bermaksud perintah larangan atau sekatan. Jika dari sudut ekonomi, embargo mempunyai beberapa definisi khusus seperti: 

1. Perintah yang melarang kapal-kapal dari atau masuk ke pelabuhan. 

2. Larangan mengeksport dagangan ke sesebuah negara. 

3. Perintah, tindakan dan sebagainya yang menghentikan kegiatan perdagangan dengan sesebuah negara secara menyeluruh atau terbatas. 


Berbalik kepada naskah Embargo ini, pengertiannya lebih menyeluruh yang mencakupi peranan watak-watak yang ada ketika berdepan dengan sekatan, serangan, cubaan dan pergolakan dalam dunia politik, kehidupan beragama, bermasyarakat dan berkeluarga. 

Naskah Embargo ini mengisahkan Yang Berhormat Datuk Alang Bahadur yang gigih berusaha mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi sebuah parti politik terkemuka tanah air. 

Dalam usahanya untuk berbakti sehabis baik kepada masyarakat, Datuk Alang diuji dengan konflik keluarga, pengkhianatan dari orang kepercayaannya, serangan dari musuh politik serta juga penjenayah yang mengganggu keharmonian masyarakat dan pengundi di kawasannya. 

Dalam parti, Datuk Alang berdepan dengan pengikutnya yang suka mengambil kesempatan dan berperangai tin kosong. Kamal Intelek mengganggap dirinya sebagai orang kanan Datuk Alang. Namun, sikap, pemikiran dan pembawaan dirinya hanya menjadi kanser kepada kerjaya dan perjuangan politik Datuk Alang. Sikap Kamal Intelek yang suka mengampu dan pantas menyambar peluang untuk habuan dirinya sendiri menjengkelkan ramai pihak. 

Mujur Datuk Alang masih mempunyai orang kanan lain yang lebih berkualiti seperti Haji Badrul, Nawawi, Imam Haji Siraj dan juga generasi muda yang berpotensi menjadi pelapis pemimpin seperti Wan Muhammad. 

Kejayaan Datuk Alang memajukan Kubang Itik dari sebuah kampung kecil yang hanya ada pokok getah saja kepada pekan yang mampu menjana ekonomi sendiri menjadikan Datuk Alang adalah aset kepada penduduk dan pengundi disana. 

Kubang Itik bukan calang-calang kawasan Parlimen. Mempunyai kegiatan ekonomi yang rancak hasil dari aktiviti pertanian, penternakan, perusahaan kecil dan sederhana telah membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk tempatan sekaligus mengekang penghijrahan ramai anak muda ke luar bandar. Selain itu, kebajikan dan pendidikan masyarakat juga tidak dilupa. Koperasi yang ditubuhkan berjaya diuruskan dengan sebaik mungkin dan pulangannya dapat dinikmati oleh semua ahli yang berdaftar. Pendidikan anak-anak dari peringkat pra sekolah sehingga ke pendidikan menengah dan pengajian tinggi dititik beratkan. 

Lumrah kejayaan yang dikecapi pasti dicemburui oleh mereka yang tidak sehaluan. Kubang Itik diuji dengan aktiviti jenayah dan kegiatan haram yang melibatkan orang tempatan dan juga orang luar seperti Ali, Wahab dan Ah Tat. Jahatnya mereka bukan calang-calang sehingga melibatkan keganasan dan penggunaan senjata api. 

Dalam sibuk Datuk Alang menguruskan Kubang Itik dan kerjaya politik, anak lelakinya terpengaruh dengan fahaman pluralisme dan liberalisme. Pembabitan anak lelakinya itu seolah memberi durian runtuh kepada parti lain untuk menyerang Datuk Alang. Malah, satu-satunya anak perempuan Datuk Alang pula terlibat dengan gerakan militan Islamic State sehingga sanggup menggadaikan nyawa sendiri. 


Naskah Embargo ini pada pendapat Patung Beruang adalah sebuah naskah yang berpijak di bumi nyata. Selok belok politik tanah air, jatuh bangun ahli politik, permainan keji dan tikam-menikam yang ditulis menggambarkan situasi sebenar yang berlaku diluar sana. 

Watak Datuk Alang digambarkan sebagai seorang ahli politik yang baik dan berprinsip, yang menceburi dunia politik dengan niat untuk membantu rakyat. Niat itu dikotakan sehingga tiada alasan untuk rakyat menolak kepimpinannya. Namun, dalam hidup ini, tidak semuanya indah belaka. Walau Datuk Alang dilihat berjaya di kawasan Parlimennya, terselit kegagalan dalam pengurusan keluarga kecilnya sendiri. Kegagalan itu terlalu mahal maharnya sehingga merenggut kesihatan isteri tersayang. 

Jujurnya Patung Beruang benar-benar menikmati naskah ini. Kisah yang nyata dan momentum pembacaan juga laju. Tiada cerita yang  meleret-leret atau pun membosankan. Tahu-tahu saja sudah tamat naskah yang mempunyai 396 mukasurat ini. Alhamdulillah.... 

Saturday, December 26, 2020

Book Review : Tiada Lagi Ketenangan (No Longer at Ease)

Tajuk : Tiada Lagi Ketenangan (No Longer at Ease)

Penulis : Chinua Achebe

Penterjemah : Nazel Hashim Mohamad

Menariknya Naskah Ini : 

Lamanya Patung Beruang tidak update Book Review disini. Maaflah ye, tiba-tiba hilang minat pula untuk berkongsi update walaupun ada saja beberapa buah buku yang Patung Beruang berjaya habiskan dalam tempoh senyap ini. 

Naskah terjemahan karya dari Nigeria ini Patung Beruang berjaya habiskan malam semalam. Patung Beruang mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskan naskah yang mempunyai 207 mukasurat ini. Puncanya lebih kepada tidak focus dengan pembacaan dan tergoda dengan buku lain yang lebih menarik. Hm... Sabar je lah kan.. 


Tiada Lagi Ketenangan membawa pembaca kepada watak utama iaitu Obi Okonkwo, lelaki muda yang berasal dari Umuofia, sebuah kampung Ibo di Timur Nigeria. Obi sangat beruntung kerana berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke Britain dengan ditanggung oleh Kesatuan Progresif Umuofia. 

Ketika diluar negara, Obi berkenalan dengan Clara, seorang wanita cantik tetapi gemar berdamping dengan lelaki kaya. Pada asalnya Clara tidak tertarik pun dengan Obi kerana merasakan lelaki itu tidak sepadan dan setaraf dengannya. Namun, keadaan bertukar apabila mereka berdua pulang ke Nigeria dan Obi ditawarkan jawatan pengurus peringkat pertengahan dalam pentadbiran kerajaan. 

Pada masa itu Nigeria masih lagi dibawah pemerintahan Britain. Maka, hampir kesemua pegawai atasan di jabatan kerajaan masih lagi terdiri dari rakyat Britain. Hanya segelintir saja rakyat tempatan yang berpeluang untuk menyertai perkhidmatan kerajaan untuk jawatan pegawai pertengahan. Selebihnya hanya memegang jawatan rendah. 

Sebagai seorang pegawai peringkat pertengahan, Obi tergolong dalam golongan elit pemerintah. Namun ia tidaklah seindah yang disangka. Obi terpaksa mengekalkan gaya hidup mewah demi memastikan dia layak untuk bergaul dengan rakan-rakan elit yang lain. 

Dari seorang yang membenci rasuah, kini Obi menjadi salah seorang pegawai yang menerima rasuah. Dia seolah-olah leka dengan tarikan wang ringgit sehingga mengorbankan prinsip dan masa depan sendiri. 


Naskah asal ini diterbitkan pada tahun 1960. Maknanya sudah 80 tahun usianya. Walaupun sudah lama diterbitkan tetapi kisah yang dipaparkan masih relevan dengan masa kini. 

Anak muda yang dihantar belajar ke luar negara, memikul tanggungjawab dan kepercayaan masyarakat, namun tersasar langkah apabila terkena kejutan budaya di luar sana. Duit biasiswa yang diterima adakalanya dihabiskan kepada aktiviti hiburan berbanding mencari ilmu dan pengalaman. 

Prinsip dan budaya yang dipupuk oleh keluarga selama bertahun-tahun, dengan mudah terhakis sedikit demi sedikit apabila menetap di bandar. Bandar besar yang menawarkan 1001 impian dan kehidupan yang indah tetapi kebanyakkannya hanya palsu. Keindahan dan kemewahan yang ditonjolkan itu hanyalah sebagai pemuas mata mereka yang dahagakan kebahagiaan hakiki. Hakikatnya, masih ramai lagi rakyat tempatan yang berjuang untuk hidup di bandar, tersepit dengan kerakusan manusia sama ada pemerintah, peniaga juga masyarakat setempat. 

Benarlah orang kata, wanita itu boleh menjadi tulang belakang dan penyokong paling kuat untuk seseorang lelaki itu berjaya. Tetapi wanita juga boleh menjadi sumber kehancuran untuk seorang lelaki. Kehancuran yang akhirnya membinasakan bukan sahaja lelaki tersebut tetapi juga insan lain yang mungkin tidak bersalah. 

Pada pandangan Patung Beruang, naskah ini sedap tetapi berat. Tidak sesuai untuk dibaca ketika santai. Oh ye, seperti biasa terjemahan ITBM tidak pernah mengecewakan. Terjemahan yang lancar dan membuatkan kita rasa seperti kita sedang meneliti naskah asal. Alhamdulillah.... 

Friday, May 1, 2020

Book Review : Cendekiawan Perang Dinasti Han

Tajuk : Cendekiawan Perang Dinasti Han

Penulis : Zamir Al-Muallif

Menariknya Naskah Ini :

Naskah yang baru saja Patung Beruang selesaikan pembacaannya malam tadi ini berkisar tentang seorang cendekiawan perang yang sangat hebat, bernama Zhuge Liang. 

Kisah bermula di China pada tahun 190 Masihi. Zhuge Liang adalah anak ke-4 dari 5 orang adik beradik. Mereka adalah anak yatim piatu dan dibesarkan oleh bapa saudaranya bernama Zhuge Xuan. 

Zhuge Liang berasal dari keluarga Jeneral Zhuge Feng. Ayahnya, Zhuge Gui, adalah Pemangku Gabenor Taishan sebelum beliau meninggal dunia. 

Sedari kecil, Zhuge Liang sangat cintakan ilmu. Tabiatnya yang suka membaca dan mengkaji sesuatu perkara membuatkan Zhuge Liang sering dijadikan bahan rujukan oleh ahli keluarganya dan juga masyarakat sekeliling. 

Pada suatu pagi, Zhuge Xuan dan 5 orang anak saudaranya ini kelam kabut berpindah dari rumah mereka di bandar Yangdu ke wilayah Jing. Perpindahan yang secara tiba-tiba itu berpunca daripada sekumpulan pemberontak yang diketuai oleh Cao Cao telah datang menceroboh wilayah mereka. Kegilaan Cao Cao yang mengetuai Kerajaan Cao Wei meluaskan empayar taklukannya adalah demi merampas takhta Maharaja Shao. Disebabkan gabenor wilayah Jing iaitu Liu Bao adalah sahabat lama Zhuge Xuan, maka dia merasakan adalah lebih selamat seandainya mereka sekeluarga berpindah ke sana. 

Kedatangan Zhuge Xuan dan anak-anak buahnya ke wilayah Jing disambut mesra oleh gabenornya, Liu Bao. Seterusnya, keluarga malang ini diberikan kediaman baru yang selesa oleh gabenor. Sayangnya Zhuge Xuan tidak panjang umur untuk melihat kejayaan anak-anak buahnya.

Beberapa tahun selepas kematian Zhuge Xuan, dua orang kakak Zhuge Liang telah mengahwini orang ternama. Adik - beradik lelaki yang lain iaitu Zhuge Jin, Zhuge Liang dan Zhuge Jun pula telah berpindah ke luar bandar kerana tidak mahu terjebak dalam perang politik yang melibatkan hulubalang-hulubalang di setiap wilayah pada ketika itu. 



Sebenarnya, pada waktu itu Empayar Han di China terbahagi kepada 3 kerajaan. 

Pertama, Kerajaan Cao Wei yang diperintah oleh Cao Cao. Kerajaan ini dikatakan yang paling berkuasa. Cao Cao berhasrat untuk merampas takhta maharaja dan seterusnya mengetuai seluruh China. 

Kedua, Kerajaan Wu atau Sun Wu yang diperintah oleh Keluarga Sun, diketuai oleh Sun Quan. 

Ketiga, kerajaan yang diperintah oleh keluarga Maharaja iaitu Keluarga Liu dan diketuai oleh Maharaja Shao. Kerajaan ini sepatutnya mempunyai hak dan kuasa mutlak ke atas negara China pada masa itu.  Selepas kematian Maharaja Shao, takhta maharaja diduduki oleh Maharaja Xian, warisnya yang masih muda. Disebabkan itu, ramai hulubalang termasuklah Cao Cao ingin mengambil kesempatan untuk merampas takhta maharaja. Situasi ini menggusarkan Liu Bei, bapa saudara Maharaja Xian. Liu Bei sedaya upaya berusaha untuk melindungi takhta tersebut agar Dinasti Han berkekalan. 

Meskipun ada 3 kerajaan berbeza di China, Maharaja Xian tetap mempunyai kuasa tertinggi dalam pentadbiran Empayar Han. 



Liu Bei mempunyai 2 orang sahabat karib bernama Guan Yu dan Zhang Fei. Ketiga-tiga mereka sangat akrab dan mereka telah bersumpah di Taman Pokok Pic sebagai adik-beradik walaupun mereka dilahirkan pada tahun yang berbeza dan dari keluarga yang berbeza. 

Guan Yu adalah seorang pahlawan yang handal bermain tombak, sangat digeruni oleh kawan dan lawan. Zhang Fei juga seorang pahlawan. Malah, Zhang Fei dikatakan mempunyai kekuatan 10,000 tentera dan kehadirannya di medan perang sering menimbulkan kegusaran pihak lawan. 

Guan Yu mencadangkan agar Liu Bei mencari seorang ahli strategi yang berbakat di wilayah Jing untuk dijadikan penasihat bagi membantu Liu Bei dalam merangka strategi pentadbiran dan juga peperangan. Ini kerana, walaupun Guan Yu dan Zhang Fei adalah pahlawan yang handal, namun mereka tidak pintar dalam mengatur strategi peperangan. 

Pada mulanya nama Xu Shu seorang ahli strategi perang, dicadangkan sebagai penasihat. Xu Shu pernah membantu Liu Bei menewaskan tentera Cao Cao ketika peperangan di daerah Xinye. 

Disebabkan kepintaran Xu Shu, Cao Cao telah menculik ibu Xu Shu dan memaksa dia untuk bekerja dengan Kerajaan Cao Wei. Oleh itu, Xu Shu terpaksa menolak pelawaan Liu Bei. Namun Xu Shu sedar ada orang lain yang berkali ganda lebih hebat dan pintar darinya untuk menjadi penasihat Liu Bei iaitu Zhuge Liang. 

Akhirnya berkat kesungguhan Liu Bei, Zhuge Liang bersetuju untuk menjadi penasihatnya serta merangka strategi agar takhta Dinasti Han kekal berkuasa.



Pemilihan Zhuge Liang sebagai penasihat Liu Bei ternyata tidak sia-sia. Kepintaran Zhuge Liang telah menghasilkan banyak kemenangan apabila mereka berperang dengan Kerajaan Cao Wei. 

Antara strategi yang paling menarik perhatian Patung Beruang adalah Zhuge Liang diminta untuk menyediakan 100,000 anak panah dalam masa 3 hari. Anak panah ini seterusnya akan digunakan untuk memerangi tentera Cao Cao. 

Namun Zhuge Liang tidak bercadang untuk mengarahkan pasukannya berpenat lelah menyiapkan 100,000 anak panah tersebut. Sebaliknya, beliau mengarahkan agar setiap sisi kapal-kapal mereka diikat dengan jerami. Pada hari ketiga, ketika waktu senja, kapal-kapal yang dipimpin oleh Zhuge Liang mula belayar ke arah pengkalan tentera Cao Cao. Cuaca ketika itu sangat berkabus sehingga tentera Cao Cao tidak menyedari kehadiran mereka sedari awal. 

Apabila sampai di hadapan pengkalan tentera Cao Cao, kapal-kapal Zhuge Liang membuat barisan dan menghadap ke sisi. Kemudian mereka memukul gendang dan berteriak dengan penuh semangat untuk menunjukkan kehadiran mereka kepada tentera lawan. 

Tatkala tentera laut Cao Cao menyedari kehadiran mereka, pasukan pemanah pun melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah kapal-kapal Zhuge Liang. Tentera Zhuge Liang pula terus memukul gendang sambil bersembunyi di dalam kapal mereka yang telah diikat dengan jerami. Tiada langsung tindak balas dari pasukan Zhuge Liang. 

Tembakan dari tentera laut Cao Cao menyebabkan hampir kesemua anak panah terpacak pada jerami yang telah diikat di kapal. Bagi memastikan kapal mereka sentiasa seimbang, tentera Zhuge Liang pun memusingkan kapal ke arah sisi yang satu lagi. Oleh itu, jerami yang terikat di kedua-dua sisi kapal tentera Zhuge Liang kini penuh dengan pacakan anak panah dari tentera Cao Cao. 

Akhirnya tentera Zhuge Liang pun pulang semula ke pengkalan mereka. Setiap kapal memperolehi 5,000 hingga 6,000 anak panah "sumbangan" dari tentera Cao Cao. Oleh kerana Zhuge Liang menghantar 20 buah kapal, maka kini mereka telah memperolehi antara 100,000 ke 120,000 anak panah percuma yang akan digunakan untuk memerangi kembali tentera Cao Cao. 



Impian Liu Bei dan Zhuge Liang untuk memastikan kelangsungan pemerintahan Dinasti Han tidak kesampaian apabila Cao Pi, waris dan pemimpin Kerajaan Cao Wei berjaya merampas takhta maharaja. 

Disebabkan itu, pemimpin lagi 2 buah kerajaan yang lain juga mengistiharkan diri masing-masing sebagai maharaja. 

Kini Era 3 Kerajaan pun bermula. China diperintah oleh 3 orang Maharaja pada satu masa yang sama iaitu Maharaja Liu Bei, Maharaja Sun Quan dan Maharaja Cao Pi. 



Naskah Cendekiawan Perang Dinasti Han ini mempunyai 315 muka surat. Walaupun ia adalah karya sejarah yang bersumberkan fakta, gaya penyampaian yang menarik membuatkan pembaca tidak rasa bosan. Malah momentum pembacaan sangat smooth dari awal sehingga penghujung naskah. 

Banyak perkara yang menarik perhatian Patung Beruang dalam naskah ini terutama melibatkan kepintaran Zhuge Liang. Mereka berperang bukan sekadar menyerang dengan pedang dan tombak buta-buta tetapi ada strategi tersendiri yang ada kalanya kita sendiri pun tidak terfikir wujudnya ketika zaman tersebut, contohnya menggunakan perang psikologi. 

Antara kata-kata Zhuge Liang yang menarik adalah: 

  • Bagi komander yang mahir dalam penggunaan taktik-taktik luar biasa, akalnya seluas langit dan sentiasa mengalir seperti sungai.
  • Perubahan strategi perang beredar terus menerus seperti peredaran matahari dan bulan serta kitaran 4 musim. 
  • Memahami 5 faktor dalam medan pertempuran akan menghasilkan pelbagai strategi yang berbeza. 5 faktor tersebut adalah doktrin, cuaca, bentuk muka bumi, pemimpin dan undang-undang.
  • Apabila pemerintah dan rakyat saling mempercayai, negara akan makmur. Apabila pemerintah dan rakyat saling tidak mempercayai, negara akan hancur. Apabila pemerintah mempercayai rakyat, tetapi rakyat menyalahgunakan kepercayaan itu, pemerintah hanyalah boneka semata-mata. Apabila rakyat mempercayai pemerintah, tetapi pemerintah menyalahgunakan kepercayaan itu, rakyat akan menderita. 

Cuma, ending naskah ini agak sedih, huhuhu...
But still Patung Beruang rasa puas selepas menelitinya sebab penamatnya adalah suatu realiti.
Terima kasih kepada penulis kerana menghasilkan karya yang sangat sedap...


Wednesday, April 22, 2020

Book Review : Anak Seorang Drebar

Tajuk : Anak Seorang Drebar 

Penulis : Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir 

Penterjemah : Amir Muslim 

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini adalah terjemahan dari buku asal yang bertajuk A Driver's Son. Patung Beruang tidak pernah tahu yang Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) telah menterjemahkan naskah ini ke Bahasa Melayu sehinggalah Patung Beruang terjumpa naskah ini di Pesta Buku Selangor awal bulan Mac hari itu. 

Naskah Anak Seorang Drebar ini sangat menarik dan Patung Beruang ambil masa lebih kurang 3 hari untuk habiskannya. Yelah, waktu siang sibuk bekerja. So, Patung Beruang akan mula membaca waktu petang sementara tunggu Maghrib, dan bersambung semula selepas Isyak. 

Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir adalah pengasas Sapura Holdings, sebuah gergasi korporat yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Antara intipati yang menarik dalam naskah ini adalah:
  • Tan Sri Shamsuddin adalah seorang anak tunggal. Ayahnya, En Abdul Kadir Mat adalah seorang drebar yang pernah bertugas di lombong, drebar kepada pegawai tinggi Polis dan juga pegawai British yang mengetuai perniagaan di Tanah Melayu. Ibunya, Pn Latifah Mohamad adalah seorang buta huruf. 
  • Beliau dilahirkan pada 19 Ogos 1931. Ketika itu, ayahnya bekerja sebagai drebar kepada seorang jurutera lombong berbangsa Inggeris yang bertugas di Osborne & Chappel Ltd., sebuah syarikat perlombongan di Lembah Kinta. Mereka sekeluarga tinggal di kuarters pekerja di Pekan Ipoh. 
  • Selepas jurutera lombong tersebut pulang ke England, ayahnya menjadi buruh am di sebuah lombong bijih timah dekat dengan Tronoh. Oleh itu, mereka sekeluarga pun berpindah ke rumah kongsi pekerja lombong. Di rumah kongsi tersebut, keluarga beliau adalah satu-satunya keluarga Melayu yang menetap disana. Selebihnya adalah keluarga Cina dan sebuah keluarga Punjabi. 
  • Tidak lama selepas itu, ayahnya mendapat kerja sebagai drebar lori di lombong bijih timah di Batu Gajah. 
  • Mereka sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur apabila ayahnya yang pada masa itu bertugas sebagai drebar James Park, ketua Cawangan Khas negeri Perak, diarahkan bertukar ke Kuala Lumpur. 
  • Di Kuala Lumpur, mereka sekeluarga tinggal di kuarters pekerja di banglo Park, yang terletak di Bluff Road (kini Bukit Aman). 
  • Beliau dihantar bersekolah pada tahun 1936 ketika berusia 5 tahun, di Sekolah Melayu Batu Gajah. Namun, sesi persekolahan tersebut tidak berjalan lancar disebabkan umur beliau yang sangat muda dibandingkan dengan rakan-rakan sekelas yang lain. Beliau berhenti dan menyambung semula persekolahannya setahun selepas itu. 
  • Pada 1938, ketika sudah menetap di Kuala Lumpur, beliau mula bersekolah di Sekolah Melayu Gombak Lane yang terletak kira-kira 1 kilometer dari rumahnya.
  • Selepas Park pulang ke England, ayahnya mendapat majikan baru iaitu Douglas Waring, pengerusi Anglo-Oriental (Malaya) Limited. Selepas itu, hubungan bertahun-tahun yang terjalin antara Waring dan ayahnya bukan saja sebagai majikan dan drebar tetapi sebagai sahabat. Malah, Waring memainkan peranan penting di dalam kehidupan Tan Sri Shamsuddin sekeluarga sehinggalah beliau mampu berjaya menjadi seorang jurutera bertauliah selepas pulang dari England. 
  • Ketika detik-detik akhir sebelum Jepun datang ke Malaya, keluarga Tan Sri berpindah ke Kampung Baru. Ayahnya pula menghantar Waring ke Singapura agar majikannya itu boleh pulang ke England dengan selamat. 
  • Namun, ketika di Singapura ayahnya menghadapi kesukaran untuk pulang ke Kuala Lumpur kerana Tambak Johor telah diletupkan oleh askar British bagi menyekat kemaraan Jepun. Oleh kerana kenderaan tidak lagi boleh melalui Tambak Johor, ayahnya terpaksa mengayuh basikal dari Singapura menuju ke Kuala Lumpur.
  • Ketika zaman Jepun, ayahnya bekerja sebagai drebar lori di Petaling Tin Limited, sebuah syarikat milik British tetapi telah diambil alih oleh kerajaan tentera Jepun. 
  • Antara peristiwa yang tidak dapat beliau lupakan ketika zaman Jepun adalah melihat deretan 20 kepala manusia yang disusun oleh tentera Jepun di atas rak papan di kawasan Chow Kit. Selain itu, beliau dan rakan-rakannya juga melihat bagaimana tentera Jepun memenggal kepala tawanan mereka. 
  • Selepas tamat peperiksaan Darjah 6, pada suatu hari, Jepun datang ke sekolah dan beliau bersama-sama dengan 11 lagi murid lelaki telah diarahkan naik ke trak dan dibawa pergi. Di pertengahan jalan, trak tersebut berhenti dan tiada satu pun askar Jepun yang mengawasi murid-murid itu. Maka, beliau bersama dengan beberapa orang rakannya telah turun dari trak dan melarikan diri. Rupa-rupanya, murid-murid tersebut akan dihantar ke New Guinea untuk dilatih sebagai askar untuk pasukan tentera Jepun, dan sebahagiaannya dihantar ke Tapak Kereta Api Maut untuk bekerja disana. 
  • Beliau mula bersekolah di Victoria Institution (VI) pada Januari 1949 dimana ketika itu beliau berusia 19 tahun, sedangkan rakan sekelasnya kebanyakkannya berusia 12 tahun. 
  • Pada tahun 1954, beliau tamat persekolahan di VI dan memperolehi Gred 1 dalam School Certificate Examination (SCE). Beliau mendapat 2 tawaran biasiswa iaitu:  dari Lembaga Biasiswa Pengajian Tinggi Melayu Perak untuk mengikuti bidang perubatan di Singapura.  Dan Jabatan Telekom untuk bidang kejuruteraan di England. 
  • Beliau mendaftarkan diri di Brighton Technical College, England dan juga menjadi anggota berstatus pelajar dengan Institute of Electrical Engineers. 
  • Tamat pengajian dan practical di England, beliau pulang ke Malaya dan mula bekerja di Telekom sebagai penolong pengarah di bahagian pentadbiran. Beliau adalah antara 4 jurutera Melayu di organisasi tersebut pada masa itu. 
  • Sepanjang berkhidmat di Telekom, beliau telah dihantar bertugas ke serata negeri seperti Pahang, Kelantan dan juga ke luar negara seperti Brunei dan Singapura. 
  • Pada Januari 1960, beliau berkahwin dengan Siti Sapura Husin, anak seorang doctor dan nama Sapura itu diabadikan di syarikatnya selepas beliau meninggalkan UMW.  
  • Rasuah adalah big no to him. Beliau pernah menarik balik permohonan pinjaman yang dihantarnya kepada sebuah institusi kewangan hanya kerana pegawai yang menguruskan permohonan tersebut meminta duit kopi. 

Tan Sri Shamsuddin adalah media shy businessman. Dan sifat media shy itu diteruskan juga kepada pewaris-pewarisnya yang menguruskan Kumpulan Sapura.  Sangat jarang cerita mengenai beliau dipaparkan di media. Oleh itu, naskah Anak Seorang Drebar bukan saja mengenai kisah beliau dari kecil sehinggalah sekarang, tetapi juga mengupas sisi lain dirinya sebagai seorang anak, suami, ayah dan majikan kepada beribu-ribu pekerja.

Episod jatuh bangun dalam kehidupannya bermula dari kecil lagi. Membesar di zaman perang Jepun, kemudian berjaya menyambung semula persekolahan ketika British memerintah semula. Walaupun umurnya telah meningkat, itu bukan penghalang untuk beliau belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga. 

Membaca naskah ini kita akan sedar yang betapa pendidikan dan ilmu itu  mampu mengubah nasib seseorang. Walaupun ayahnya seorang drebar, ibunya seorang buta huruf, ayahnya nekad untuk memastikan satu-satunya anak mereka ini menjadi seorang jurutera. Dan kegigihan serta usaha tanpa kenal penat lelah telah menjadikan anak ini bukan sahaja seorang jurutera tetapi juga seorang ahli perniagaan yang berjaya mewujudkan legasinya yang tersendiri...

Seperti biasa, kualiti terjemahan ITBM tidak perlu dipertikaikan lagi. Naskah yang mempunyai 440 mukasurat ini sangat smooth dan boleh menyebabkan kita duduk membacanya berjam-jam tanpa sedar... 

Tuesday, April 7, 2020

Book Review : Merentas Gerhana

Tajuk : Merentas Gerhana 


Penulis : Norhisham Mustaffa 



Menariknya Naskah Ini : 


Naskah Merentas Gerhana ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada petang Ahad hari itu. Naskah yang dibeli di Pesta Buku Selangor awal Mac hari itu, dijual dengan harga RM10 saja sebuah berbanding harga asal RM30.

Naskah yang mempunyai 346 mukasurat ini mengisahkan pergolakan politik di Kampung Pasak Tembaga apabila wakil rakyat mereka, Haji Lajiman meninggal dunia setelah bertarung nyawa lebih kurang dua bulan di hospital.

Kematian Haji Lajiman bukan saja meninggalkan balunya iaitu Hajah Raunah, anak-anaknya Mardiah dan adik-adiknya, tetapi juga penduduk DUN Pasak Tembaga yang sangat terkesan dengan kehilangan pemimpin yang baik dan disegani oleh kawan dan lawan.


Beberapa ketika sebelum kematian Haji Lajiman, beberapa individu dari Parti Ikatan Rakyat dan Negara (PARKITA) telah membuat satu pakatan sulit untuk menentukan siapakah yang layak untuk menjadi calon bagi menggantikan tempat Haji Lajiman. 

Pakatan sulit tersebut yang diketuai oleh Encik Murad telah mengadakan satu pertemuan rahsia yang dihadiri oleh Nik Kamaruddin selaku Ketua Pemuda Gugusan, Awang Johari Setiausaha Pemuda Gugusan, Muhammad Syaari dan Cikgu Fahmi sebagai AJK Gugusan, Wan Zulaiha Ketua Wanita Gugusan, Norfaizah Setiausaha Wanita Gugusan, Lebai Akil Pengerusi Tetap Gugusan, Haji Syaharuddin sebagai Bendahari Gugusan, Junaidi yang menjawat jawatan AJK Pemuda Gugusan dan beberapa individu lain yang bukanlah orang penting dalam Gugusan atau ahli Pemuda Gugusan. 

Peliknya pertemuan rahsia tersebut tidak dihadiri oleh Haji Ahmadon iaitu Timbalan Ketua Gugusan merangkap orang no. 2 selepas Haji Lajiman. 

Encik Murad memaklumkan yang Datuk Syawal, iaitu Setiusaha Perhubungan Negeri PARKITA meminta agar Encik Kadar Mahbub dilantik sebagai calon untuk menggantikan Haji Lajiman. 

Cadangan tersebut sangat memeranjatkan hadirin yang hadir kerana pertamanya, Haji Lajiman ketika masih lagi sedang bertarung nyawa di hospital. Adalah tidak adil untuk membincangkan isu pengganti beliau. Yang kedua, Encik Kadar Mahbub adalah orang luar dari kawasan Pasak Tembaga dan tidak pernah mengambil tahu perkembangan masyarakat Pasak Tembaga. Pencalonannya seolah-olah seperti tiada seorang pun penduduk Pasak Tembaga yang layak untuk menjadi pemimpin. Malah, pencalonan Kadar Mahbub juga seperti menafikan kewujudan Haji Ahmadon yang dilihat lebih layak berdasarkan senioriti dan pengalamannya dalam politik. 

Setelah kematian Haji Lajiman dan Suruhanjaya Pilihanraya memutuskan perlunya diadakan pilihanraya kecil di DUN Pasak Tembaga, Encik Murad semakin galak melobi agar Kadar Mahbub dicalonkan untuk bertanding di dalam pilihanraya tersebut. 

Namun disaat-saat akhir, pimpinan PARKITA memutuskan agar Encik Murad sendiri yang bertanding didalam pilihanraya kecil tersebut sebagai calon PARKITA. 

Pada masa yang sama, Parti Ikhwan iaitu pembangkang DUN Pasak Tembaga meletakkan Haji Zubir sebagai calon mereka. Haji Zubir adalah ustaz muda berkelulusan Timur Tengah yang sangat aktif memberi kuliah di masjid-masjid Pasak Tembaga. 

Oleh kerana terdapat tentangan mengenai pencalonan Encik Murad sebagai calon PARKITA, beberapa orang kuat PARKITA nekad untuk mencalonkan Junaidi sebagai calon bebas di dalam pilihanraya kecil tersebut.

Pencalonan Junaidi memberi tamparan hebat kepada pimpinan PARKITA kerana menyedari Junaidi jauh lebih berkelayakkan jika dibandingkan dengan Encik Murad. PARKITA takut seandainya penduduk Pasak Tembaga akan memilih Junaidi berbanding Encik Murad. 

Oleh itu, PARKITA mula melancarkan serangan bagi menjatuhkan Junaidi. Serangan bermula dengan pujukan secara halus agar Junaidi menarik diri dan seterusnya dijanjikan jawatan Senator seadainya DUN Pasak Tembaga dimenangi oleh Encik Murad. Apabila pujukan halus tidak berjalan, mereka mula menyerang keperibadian Junaidi. Status Junaidi yang tidak berkahwin walaupun sudah menginjak pertengahan 30-an dijadikan modal oleh PARKITA. Fitnah terhadap Junaidi berleluasa. 

Selain itu, kilang membuat bihun yang dimiliki oleh Junaidi tiba-tiba terbakar di awal pagi. Orang ramai membuat spekulasi yang ini adalah perbuatan khianat. Namun Junaidi tetap tenang kerana baginya kerosakan yang dialami kilangnya itu akan dibayar pampasan oleh pihak insurans. Baginya, yang penting tiada seorang pun pekerjanya termasuklah pengawal keselamatan mengalami kecederaan kritikal disebabkan kebakaran tersebut. 

Dalam masa yang sama, beberapa individu penting dari Parti Ikhwan datang bersemuka dengan Junaidi. Calon dari Parti Ikhwan sanggup menarik diri dari pilihanraya kecil ini dengan syarat Junaidi menyertai Parti Ikhwan dan bertanding atas tiket Parti tersebut. Parti Ikhwan sedar yang Junaidi mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi pilihanraya tersebut. Maka, adalah lebih baik seadainya pilihanraya tersebut menjadi pertembungan 2 penjuru saja, iaitu PARKITA dan Parti Ikhwan. 



Naskah Merentas Gerhana ini menonjolkan ketaksuban orang Melayu terhadap dunia politik. Bagaimana ada yang sanggup menggadaikan prinsip, maruah dan harga diri atas nama politik. 

Tidak semua orang yang terlibat dalam politik itu jahat. Namun, disebabkan adanya golongan ini lah, inidividu lain yang mempunyai keperibadian dan niat baik dalam dunia politik sukar untuk survive. Kerana mereka yang baik ini seringkali dikhianati, difitnah dan dianiaya hanya kerana mereka tidak sehaluan dengan golongan yang lagi satu. 

Thursday, March 19, 2020

Book Review : Mahligai

Tajuk : Mahligai

Penulis : Nazrul Kama

Menariknya Naskah Ini: 
Sebenarnya Patung Beruang dah lama habiskan membaca naskah ini. Cuma tidak berkesempatan untuk Patung Beruang dokumenkan di sini. 

Mahligai membawa kita kepada suka duka keluarga Pak Tahir. Perkahwinan Pak Tahir dan isterinya, Mak Zaiton akhirnya terlerai tatkala masing-masing berusia lebih 60 tahun, dan usia perkahwinan pula melebihi 45 tahun. 

Perkahwinan Pak Tahir dan Mak Zaiton dikurniakan dengan 9 orang anak iaitu Rohaya, Abd Rashid, Jamilah, Rohani, Suhaimi, Hanafiah, Kamariah, Fatihah dan Muzaffar. 

Jamilah, anak ketiga, tinggal bersama dengan Pak Tahir dan Mak Zaiton. Wanita berumur 40 tahun, berkerja sebagai seorang guru dan belum berkahwin ini tinggal serumah dengan Pak Tahir dan Mak Zaiton. Oleh itu, segala yang berlaku pada pasangan tua ini pasti cepat dihidu oleh Jamilah.

Entah apalah yang merasuk Mak Zaiton, wanita ini tegas meminta cerai dari Pak Tahir walaupun sedar yang kehidupan rumahtangga mereka sudah masuk hampir 5 dekad, dikurniakan anak-anak dan cucu-cucu. 

Perceraian di usia emas bukanlah jalan penyelesaian yang bagus. Malah ia merumitkan lagi keadaan. Anak-anak tertanya-tanya, apa yang berlaku sebenarnya?

Anak-anak mula terfikir, adakah selama ini ibu bapa mereka tidak bahagia? Adakah kegembiraan yang ditunjukkan setiap kali anak cucu pulang ke kampung, hanyalah lakonan semata-mata? 

Mak Zaiton berkahwin pada usia yang sangat muda, iaitu 15 tahun. Mak Zaiton bukanlah hendak sangat berkahwin pada usia tersebut, namun Tok Wan, yang menguruskannya. 

Pada usia 15 tahun, Mak Zaiton masih lagi keanak-anakan. Akibat daripada perkahwinan, zaman remaja Mak Zaiton telah ditamatkan dengan cepat dan dijerut pula dengan tali perkahwinan. 

Perkahwinan tidak sentiasa menjanjikan keindahan. Tanggungjawab, masalah kewangan, anak-anak yang kian membesar, semuanya mendewasakan Mak Zaiton dalam masa yang singkat. Ditambah pula dengan sikap Pak Tahir yang kurang bertanggungjawab pada keluarga. Mak Zaiton terpaksa bertungkus lumus mencari nafkah bagi memastikan ada makanan untuk disuap ke mulut anak-anak. 

Punca perceraian Pak Tahir dan Mak Zaiton bermula 6 bulan lepas, selepas mereka sekeluarga pergi merisik untuk bakal pasangan hidup Suhaimi, anak ke-5 mereka. 

Tiada siapa pernah menduga majlis merisik tersebut bakal membongkar rahsia yang terpendam selama 30 tahun sekaligus meleraikan ikatan perkahwinan Pak Tahir dan Mak Zaiton, malah turut memadam mimpi dan impian Suhaimi. 

Pak Tahir menyedari kekhilafannya di zaman muda yang menyebabkan Suhaimi lahir ke dunia. Namun, dia cuba menebus kesilapan tersebut dengan membawa pulang Suhaimi ke rumah dan meminta Mak Zaiton menjaganya seperti anak sendiri dengan alasan Suhaimi itu adalah anak angkatnya. 

Sebagai anak yang paling rapat, Jamilah buntu dengan keadaan ibu bapanya. Turut menambah kerunsingan apabila adik beradik lain mula mendesaknya untuk mengetahui sebab sebenar perpisahan tersebut. 

Suhaimi turut bersedih. Patutlah selama ini Pak Tahir begitu dingin dengannya.  Sedari kecil lagi amat sukar untuk Suhaimi memperoleh kasih sayang seorang ayah berbanding adik-beradik yang lain. Oleh sebab itu, Suhaimi lebih rapat dengan Mak Zaiton. Namun bila difikirkan semula, mungkin memang sengaja Pak Tahir meletakkan tembok antaranya dan Suhaimi. Mungkin tidak mahu rahsia terbongkar, ataupun mungkin dihantui rasa bersalah atas kesilapan lama. 



Naskah Mahligai ini, tajuknya menggambarkan pengisiannya. Mahligai yang kita nampak megah berdiri, rupanya terkandung 1001 cerita didalamnya. 

Pak Tahir dan Mak Zaiton ada konflik yang tersendiri. Dalam masa yang sama, anak-anak juga ada masalah kehidupan mereka sendiri. Yang berkeluarga, bergelut untuk mencukupkan semua keperluan hidup terutama anak-anak yang kian membesar. Hidup di bandar tidak menjamin kesenangan dan kemewahan seandaianya mereka hanya bekerja sebagai buruh atau pekerja rencam biasa. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Yang bujang, bergelut dengan tuntutan kerjaya dan tanggungjawab kepada orang tua. Segala urusan keluarga diletakkan sepenuhnya kepada dirinya hanya kerana dia belum berkahwin dan tidak mempunyai tanggungjawab lain. Apalah gunanya mempunyai adik-beradik jika tanggungjawab kepada orang tua hanya dipikul oleh seorang dua anak sahaja. Menambahkan kerumitan pula dengan bebanan emosi apabila dipandang sinis oleh orang sekeliling hanya kerana title "bujang" yang dipegangnya. 

Begitulah kehidupan. Apa yang dilihat secara luaran tidak semestinya sama dengan kenyataannya...

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...