Friday, February 4, 2022

Book Review: Sebalik Yamashita dan Percival


Tajuk : Sebalik Yamashita dan Percival 

Penulis: Shaari Isa

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini Patung Beruang selesai baca pada petang tadi. Alhamdulillah. Rasanya kurang seminggu juga lah Patung Beruang berjaya sudahkan pembacaannya. 

Sebalik Yamashita dan Percival membawa pembaca kepada suasana di Tanah Melayu dan Singapura pada tahun 1940. Ketika itu, Jepun menyerang Tanah Melayu dan Singapura serta merampas pentadbiran jajahan ini dari British.  

Pembaca dikenalkan dengan watak Richard Carter, pengurus ladang getah Dunlop yang bertempat di Sg Petani. Richard dan isterinya, Hazel, kedua-duanya adalah berasal dari England dan mendiami Tanah Melayu atas tuntutan kerja. 

Kehidupan pasangan suami isteri ini aman dan bahagia. Rumah banglo yang cantik, bersama-sama dengan tukang masak, orang gaji dan juga tukang kebun. Namun pasangan suami isteri ini menganut keimanan yang berbeza. Hazel berpegang pada mazhab Roman Katolik yang diketuai oleh Pope di Vatican, Rom.  Richard pula berpegang pada Gereja England yang diketuai oleh Archbishop of Canterbury. 

Pasangan Richard dan Hazel dikurniai seorang anak lelaki. Malangnya, anak itu meninggal dunia ketika baru berumur kira-kira setahun akibat jangkitan kuman pada paru-paru. 

3 kali seminggu, kediaman Richard dan Hazel akan dikunjungi oleh Jerry, seorang pembekal bahan-bahan mentah dan barang dapur seperti susu, telur, roti, buah-buahan dan sayur-sayuran. 

Jerry seorang peniaga yang cekap dan berbudi bahasa. Oleh itu, ramai pelanggannya terdiri dari orang Eropah yang berada di Pulau Pinang atau Kedah atas urusan pekerjaan atau perniagaan. Semua pelanggan dan orang yang berurusan dengan Jerry percaya yang Jerry berketurunan Tionghoa Hokkien. 

Namun, hakikat sebenarnya adalah Jerry itu berketurunan Jepun dan nama asalnya adalah Harada. Dia adalah pengintip yang bekerja di bawah arahan tentera Jepun secara rahsia. Kawasan intipan Jerry adalah seluruh kawasan di utara Semenanjung Tanah Melayu termasuklah Pulau Pinang. 

Sebenarnya ada beberapa orang ejen tentera Jepun yang bertaburan di lokasi-lokasi strategik. Mereka ini menyamar sebagai peniaga atau pekerja dalam pelbagai jenis cabang perniagaan dan pekerjaan. 


Di Pulau Pinang pula pada ketika itu, perkhidmatan feri yang menghubungkan tanah besar Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Pinang sudah wujud demi kemudahan masyarakat dan pihak pemerintah untuk berulang-alik antara 2 destinasi itu. Perkhidmatan feri ini dikendalikan seperti sebuah syarikat oleh sebuah lembaga milik pemerintah British. 

Pengurus syarikah feri pada masa itu adalah James Taylor, seorang rakyat Australia yang berasal dari Darwin. James lahir dari keluarga Katolik dimana ibu bapanya adalah pemimpin masyarakat dan pemimpin gereja Katolik di Darwin. James adalah anak sulung dan mempunyai seorang adik perempuan bernama Rosemary. 

James serasi dengan kehidupan di Pulau Pinang. Antara orang bawahannya yang sangat dipercayai adalah Mat Rani, seorang lelaki Melayu. Disebabkan kualiti kerja Mat Rani yang teratur dan licin, James melantik Mat Rani sebagai pengawas operasi di samping tugasnya sebagai pemandu feri. Dengan tanggungjawab baru itu, Mat Rani kini hanya bekerja dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang dan hari minggu adalah hari kelepasan untuknya. 

Mat Rani dan isterinya, Chik, dikurniakan seorang anak perempuan bernama Lina. Lina berada di Darjah Lima, Sekolah Perempuan Melayu Kampung Pantai. Lina seorang pelajar yang tekun dan bijak. Cita-citanya adalah untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Durian Daun, Melaka dan menjadi seorang guru.


Pada suatu hari, ketika Richard dan Hazel menaiki feri ke Pulau Pinang, kereta mereka mengalami kerosakan. James yang menyedari kesulitan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri ini telah meminta pekerjanya untuk membantu mereka dan dalam masa sama mempelawa pasangan ini untuk duduk di pejabatnya sehingga kenderaan mereka selesai dibaiki. 

Kesulitan yang menimpa pasangan Richard dan Hazel telah menyebabkan wujudnya bibit persahabatan antara mereka dan James. Lama-kelamaan, James merasakan yang hatinya tertarik pada Hazel. Namun James sedar yang perasaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana Hazel adalah isteri orang. 

Tanpa diketahuinya, Hazel juga menyimpan perasaan yang sama. Hazel rasa bersalah terhadap Richard. Oleh itu Hazel berterus terang tentang perasaannya kepada sahabat baiknya, Lily, seorang jururawat di Hospital Sg Petani, serta membuat pengakuan kepada paderi di gereja katolik yang menjadi rutin destinasinya bersama Lily, setiap hujung minggu. 


Dalam mengharungi kehidupan seharian, mereka turut menyedari yang peperangan bakal meletus di Tanah Melayu. Anggapan mereka makin kuat apabila teman lelaki Lily, iaitu Terrence Blake, seorang anggota tentera udara British, diminta membuat penerbangan bagi meninjau keadaan di perairan utara serta pantai timur Semenanjung Malaysia. Selain itu, Richard juga dihubungi oleh pegawai tentera British yang memaklumkan agar dirinya dan isterinya diminta bersedia untuk dibawa menaiki kereta api dan kapal laut untuk keluar dari Semenanjung Tanah Melayu sekiranya perang meletus. 


Tarikh 6 November 1941, Leftenan Jeneral Yamashita yang bertugas sebagai Panglima Angkatan Tentera Darat ke-25, telah menerima arahan untuk merancang, menyerang dan menawan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura. Jeneral Yamashita bukan calang-calang pegawai tentera Jepun. Dia sudah lama mahir dengan selok-belok peperangan seperti yang dipelajarinya dari buku The Art of War, tulisan Sun Szu yang ditulis pada tahun 400 SM. 

Dalam masa yang sama, Leftenan Jeneral Arthur Percival, Ketua Pemerintah Angkatan Tentera British yang berpangkalan di Singapura, menerima laporan yang kurang enak  tentang perkembangan ketenteraan Jepun di perairan utara Semenanjung Tanah Melayu. 

Tanggungjawab Jeneral Percival sangat besar merangkumi pertahanan Singapura, Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak, Borneo Utara dan Brunei. Perkembangan yang diterimanya sangat meresahkan kerana Jeneral Percival sedar kekuatan tentera British di dalam tangannya tidak cukup kuat. Mereka mempunyai tentera darat yang ramai tetapi pertahanan udara dan laut agak kurang kerana kebanyakkan aset tentera ditumpukan kepada kawasan lain yang lebih kritikal keadaannya berbanding Singapura dan Tanah Melayu. 


Seperti diduga, perang akhirnya meletus dan tentera Jepun berjaya menawan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura sehingga menyebabkan British menyerah kalah. Peralihan kuasa pentadbiran dilakukan daripada Jeneral Percival kepada Jeneral Yamashita. 

Bermulalah episod gelap tentera British dan masyarakat di Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. 

Hazel dan Lily selamat menaiki keretapi dan seterusnya kapal laut menuju ke Australia. Disana, mereka terpisah kerana Hazel dihantar untuk berkhidmat di gereja Katolik dan Lily pula untuk bertugas di hospital. 

Richard pula ditangkap dan dihantar menjadi buruk paksa di landasan keretapi Burma. 

Terence Blake berjuang bermati-matian dengan kemahirannya sebagai juruterbang tentera. Namun, nasib tidak sentiasa menyebelahinya. Pesawatnya ditembak tentera Jepun yang mengakibatkan rakan juruterbangnya meninggal dunia. 

Kebanyakkan rakyat British dan Eropah berjaya keluar dari Semenanjung Tanah Melayu. Mereka yang tidak berjaya keluar, akan ditangkap tentera Jepun dan dibunuh atau dijadikan buruh paksa. Namun, James terperangkap di Pulau Pinang. Sebelum itu, dihadapan matanya dia melihat bas sekolah yang membawa Lina dan rakan-rakan sekolahnya dibom oleh pesawat tentera Jepun. Lina akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan James. Berakhirlah hayat seorang kanak-kanak perempuan yang bercita-cita tinggi tetapi tidak kesampaian disebabkan kejamnya peperangan yang melanda. 

Adakah James akan menerima nasib seperti Richard? 

Atau mungkin lebih buruk dari itu? 



Ini naskah kedua yang berlatar belakangkan perang Jepun di Tanah Melayu yang Patung Beruang baca dalam masa 2 minggu ini. Sebelum ini, Patung Beruang berjaya selesaikan naskah bertajuk Nur'Ain: Isteri Buruh Paksa. Jika berkesempatan, nanti Patung Beruang tulis book review untuk naskah itu pula ye. 

Naskah ini mempunyai 340 mukasurat. Boleh dikatakan panjang juga. Naskah ini juga mempunyai beberapa watak utama seperti Richard, Hazel, James, Lily, Terence Blake, Mat Rani, Jerry atau Harada, Premlal (seorang askar India), Jong Su (orang Korea tetapi terpaksa menjadi askar Jepun), Ah Kee, Chia dan juga para pemimpin tentera British dan Jepun seperti Jeneral Percival dan Jeneral Yamashita.

Walaupun mempunyai watak-watak penting yang ramai, pembaca tidak akan hilang focus kerana penulis bijak memisahkan satu cerita dengan cerita yang lain. Susunan bab dan bahagian sangat teratur dan tidak membunuh momentum pembaca. 

Seperti diduga, naskah terbitan ITBM jarang mengecewakan. Termasuklah naskah ini juga. Banyak fakta sejarah yang dikongsikan didalam naskah ini. Pembaca bukan saja diajak menyelami kisah peperangan tetapi juga kisah kehidupan masyarakat ketika zaman perang yang merentasi bangsa, agama, budaya dan cara hidup serta pemikiran. Walaupun ceritanya panjang namun Patung Beruang rasa seronok menikmati pengembaraan ini.... Alhamdulillah... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...