Tajuk: Dr. Jekyll & Mr. Hyde
Penulis: Robert Louis Stevenson
Penterjemah: Dali Fazuri
Menariknya Naskah Ini:
Naskah ini Patung Beruang mula membaca pada 12 December 2021. Pertama kali jumpa naskah ini dalam Bahasa Melayu. Naskah yang terkenal di seluruh dunia. Memilikinya dengan niat untuk menikmati keindahan bahasa dan sastera.
Dalam naskah ini, penonton dikenalkan dengan beberapa watak utama dengan berlatarbelakangkan kota London.
Utterson, adalah seorang peguam yang ternama. Seorang yang agak kekok dalam bersosial tetapi kehadirannya didalam keramaian sering menyenangkan hati para tetamu yang lain.
Utterson bersahabat baik dengan Richard Enfield, seorang lelaki ternama di kota London. Sebenarnya Richard bukan saja seorang sahabat tetapi kerabat jauhnya juga. Pada hujung minggu, kedua-dua lelaki ini sering bersiar-siar bersama tetapi tiada komunikasi lisan tercetus antara keduanya. Menghairankan tatkala mereka bertembung dengan kenalan lain, mereka akan segera menyapa kenalan tersebut. Walaupun kelakuan itu terlihat aneh, kedua-dua lelaki ini setia mempertahankan aktiviti mingguan mereka itu sehingga mereka sanggup menolak jemputan keramaian sekiranya ia bertindih dengan jadual bersiar-siar mereka itu.
Pada suatu hari, ketika bersiar-siar, Richard membawa Utterson ke sebuah lorong dimana Richard menunjukkan kepada Utterson sebuah pintu. Richard berkongsi kisah peristiwa yang menyakitkan berlaku antara seorang lelaki pelik dan menakutkan dengan seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan 8 ke 10 tahun. Lelaki pelik dan kanak-kanak perempuan itu bertembung tanpa disengajakan. Tetapi selepas itu, lelaki pelik itu memijak tubuh kanak-kanak perempuan itu tanpa belas kasihan. Richard segera menangkap lelaki pelik itu dan mendapati lelaki pelik itu memancarkan aura yang jelik dan menakutkan pada sesiapa saja yang memandangnya.
Setelah lelaki pelik itu ditangkap, dia diminta membayar wang pampasan kepada keluarga kanak-kanak perempuan malang itu. Pampasan yang diminta adalah 100 Pound. Lelaki pelik itu membayar 10 Pound kepingan emas dan juga sekeping cek untuk bakinya. Tetapi cek tersebut tertera tandangan seorang figura yang juga terkenal di kota London, iaitu Dr Henry Jekyll. Seperti dijangka, cek tersebut tulen dan boleh ditunaikan oleh pembawa.
Akhirnya, baru mereka sedar yang lelaki pelik dan jelik, bersama aura menakutkan itu namanya Edward Hyde.
Kisah yang diceritakan oleh Richard itu bermain-main di fikiran Utterson. Ini kerana Dr Jekyll telah membuat wasiat dan dokumen wasiat itu seterusnya diserahkan kepada Utterson untuk simpanan dan juga pelaksanaan apabila sampai waktunya. Wasiat itu bertulis tangan dan dinyatakan sekiranya terjadi kematian pada Henry Jekyll, semua kekayaannya harus diwariskan ke tangan "sahabat dermawannya Edward Hyde." Tetapi sekiranya berlaku "kehilangan atau ketiadaan yang tidak dapat dijelaskan bagi tempoh 3 bulan kalendar" pada Dr Jekyll, maka Edward Hyde seharusnya mengisi tempat Henry Jekyll tanpa sebarang penundaan dan bebas daripada apa-apa tanggungan atau kewajiban, selain daripada sejumlah kecil bayaran kepada mereka yang mendiami rumah doktor tersebut.
Utterson tertanya-tanya, siapa sebenarnya Edward Hyde?
Utterson mengenali dan bersahabat dengan Henry Jekyll sudah bertahun lamanya tetapi mengapa doctor itu tidak pernah sekalipun menyebut atau memperkenalkan Edward Hyde kepadanya?
Henry Jekyll, seorang doctor yang dihormati oleh masyarakat kota London. Seorang lelaki budiman yang disenangi oleh semua orang. Sedangkan Edward Hyde mempunyai karektor yang jauh berbeza. Mana mungkin dua orang yang bertentangan karektor, menjalin hubungan yang terlalu akrab sehingga namanya dimasukkan di dalam wasiat?
Naskah ini sarat dengan falsafah. Maka, tidak hairanlah jika ia sering dijadikan rujukan para pelajar dalam mata pelajaran sastera. Susunan ayat, perkataan yang digunakan memberi impak tersendiri kepada jalan cerita yang hendak disampaikan. Malah, konflik dalaman yang dialami oleh watak utama iaitu Dr Jekyll dan Mr Hyde sendiri juga sarat dengan falsafah. Bebanan emosi dan psikologi yang dialami, sedaya upaya diterjemahkan didalam patah perkataan oleh penulis.
Antara petikan yang menjadi kegemaran Patung Beruang adalah:
- Sekiranya aku ini mengepalai barisan para pendosa, maka selayaknya akulah juga orang yang harus mengepalai barisan para penderita.
- Si gajian itu, barangkali dia punya sifat-sifat yang romantis, duduk di atas sebuah peti yang diletakkan berhampiran jendela, dan fikirannya langsung melarut bersama lamunan dalam sebuah renungan.
- Demikian cita-citaku itu lebih menyerupai kesukaran yang bersifat semula jadi daripada keburukan tertentu dalam kesalahanku, yang membikinku menjadi diriku, malah menjauhkan diriku dari wilayah-wilayah baik dan buruk di mana sifat ganda manusia terpisah dan tergabung.
- Pada detik itu, aku bahkan masih belum mengusai kebencianku terhadap kehidupan seorang doktor yang membosankan.
- Hanya sedetik sebelumnya diriku aman dengan rasa dihormati, berharta dan dicintai, namun kini aku merupakan buruan umum umat manusia, dihambat, tidak berumah, seorang pembunuh yang dikenali, pendosa yang menunggu tali gantung.
No comments:
Post a Comment