Tajuk : Ahli Alkimia
Penulis : Paulo Coelho
Penterjemah : Hasri Hasan
Menariknya Naskah Ini:
Pertama kali Patung Beruang membaca karya The Alchemist adalah pada tahun 2015. Pada waktu itu, sudah ramai yang mula bercerita tentang naskah ini. Ia menjadi pilihan ramai negarawan, ahli politik, selebriti dan para cerdik pandai.
The Alchemist telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa. Patung Beruang seronok membaca dalam naskah bahasa Inggeris. Cuma usai pembacaan, Patung Beruang tertanya-tanya adakah mana-mana penulis atau penterjemah di Malaysia yang sanggup menterjemahkan karya ini? Karya ini sangat sedap, bijak dan penuh falsafah. Alangkah bagusnya jika ada terjemahan ke Bahasa Melayu agar lebih ramai orang dapat menikmatinya.
Kini, Alhamdulillah... terjemahan Bahasa Melayu sudah ada atas jasa baik Tuan Hasri Hasan. Naskah terjemahan ini diterbitkan oleh The Biblio Press. Bagi bibliophiles di Malaysia, pasti kenal dengan The Biblio Press atau pun tulang belakangnya iaitu Saudara Kiri.
Seperti yang tercatat di blurb, Ahli Alkimia ini mengisahkan seorang budak pengembala bernama Santiago, yang berasal dari Andalusia. Santiago telah mengembara dari tanah kelahirannya, menuju ke Afrika Utara dalam misi mencari harta karun yang tertanam di kawasan Piramid, Mesir.
Di sepanjang pengembaraannya, Santiago telah bertemu dengan seorang wanita Gipsi yang bijak menilik, seorang lelaki yang mengakui dirinya sebagai seorang raja dan juga seorang ahli alkimia yang membantu Santiago dalam kembara pencariannya.
Namun begitu, tiada siapa tahu apakah sebenarnya harta karun itu dan adakah Santiago berjaya dalam misinya mengatasi halangan demi halangan di sepanjang perjalanannya di padang pasir yang luas itu.
Seusai membaca naskah ini, Patung Beruang berpendapat tiada yang mustahil dalam hidup ini. Apa saja yang diinginkan, jika kena dengan usahanya dan doa yang tanpa putus, Insya Allah, ia bakal membuahkan hasil. Naskah ini penuh dengan harapan dan kita yang membacanya turut terkesan dengan harapan yang digarap itu.
Ada beberapa petikan dari naskah ini yang Patung Beruang sangat suka seperti:
- Jika kamu membaiki masa kini, apa hasilnya kelak juga akan menjadi baik juga. Lupakan tentang masa depan dan jalanilah kehidupan mengikut ajaran-Nya, yakinlah bahawa Tuhan menyayangi ciptaan-Nya. Setiap hari, di dalamnya berlaku sesuatu yang abadi.
- Seseorang itu dicintai kerana ia dicintai. Tiada alasan lain untuk itu.
- Mata kamu akan menunjukkan kekuatan jiwa kamu.
- Apabila kamu memiliki harta yang tidak ternilai bersama-sama kamu dan cuba memberitahunya kepada orang lain, jarang sekali mereka akan mempercayai kamu.
- Setiap hari yang berlalu, hati budak itu menjadi bertambah senyap. Ia tidak mahu lagi tahu tentang perkara yang telah lepas dan juga perkara yang belum terjadi; ia berasa memadai dengan suasana padang pasir ini dan bersama-sama budak ini menikmati Jiwa Dunia.
- Paling penting, ia dapat bertemu dengan seorang wanita padang pasir yang memberitahunya bahawa cinta tidak akan pernah menghalang seorang lelaki daripada mengejar takdirnya.
- Tiada pekerjaan yang dianggap sempurna selagi matlamatnya belum dicapai.
- Hidup ini memang pemurah kepada sesiapa yang mengejar takdirnya.
No comments:
Post a Comment