Penulis: Dr Maszlee Malik
Menariknya Naskah Ini:
Naskah Helang Albania ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya hujung minggu lepas. Alhamdulillah.
Helang Albania membawa pembaca mengenali Rafi, seorang lelaki Melayu yang sedang membuat PhD di United Kingdom serta dalam masa yang sama menjadi wartawan bebas.
Rafi adalah bekas penuntut di Universiti Al al-Bayt di Mafraq, Jordan. Penuntut generasi pertama di Universiti itu ramainya adalah pelajar dari Malaysia. Selebihnya adalah pelajar dari Timur Tengah sendiri dan juga negara-negara Balkan.
Di universiti, Rafi aktif dalam aktiviti dakwah dengan niat untuk menyebarkan syiar Islam. Cuma pemikiran Rafi ketika itu agak rigid tanpa memikirkan practicality sesuatu keadaan. Pelajar lelaki mesti sentiasa berkopiah dan pelajar perempuan pula mesti bertudung labuh dan memakai pakaian yang berwarna gelap. Baju kurung berbunga-bunga dilarang kerana dianggap sebagai cuba menarik perhatian lelaki. Mereka hanya bergaul sesama mereka saja. Bagi mereka, orang Islam lain yang tidak mempunyai perwatakan dan penampilan seperti mereka, belum cukup Islam.
Selepas tamat belajar dan pulang ke Malaysia, Rafi menceburi bidang kewartawanan. Dalam dunia yang semakin berkembang, pemikiran dan pandangannya terhadap Islam juga turut berubah. Ye, Islam itu tidak pernah menyusahkan umatnya. Islam itu agama yang prihatin. Islam itu agama yang lembut. Mujur Rafi cepat tersedar akan kesilapannya.
Anela, seorang gadis yang berasal dari Albania juga sama-sama menuntut di Universiti Al al-Bayt. Walaupun Anela dilahirkan dalam keluarga Islam tetapi cara hidup keluarganya sama saja seperti masyarakat Albania yang lain ketika itu. Islam hanya pada nama. Islam itu hanyalah kepada berkhatan untuk lelaki, pernikahan pasangan suami isteri, serta sambutan Aidilfitri. Solat kebiasaanya dilakukan oleh warga tua saja. Tiada istilah menutup aurat atau memakai tudung. Arak diminum seperti air kosong dan pergaulan bebas antara lelaki perempuan, sehingga menyebabkan lahirnya anak luar nikah bukanlah sesuatu yang pelik.
Di universiti, walaupun lokasinya di Jordan, namun para pelajarnya bebas untuk berpakaian ikut kesukaan mereka. Anela dikenali seluruh kampus terutama oleh warga lelaki kerana pakaiannya yang sangat trendy dan mendedahkan. Di malam hari terutama hujung minggu, hidupnya tidak sunyi kerana sentiasa mendapat jemputan untuk berparti.
Namun, hidayah itu milik Allah dan Allah juga berhak untuk menganugerahkan kepada sesiapa sahaja hamba-Nya yang bertuah. Hidayah Allah mengetuk pintu hati Anela ketika di campus. Anela yang seksi dan terlihat menyeronokkan mula berubah penampilannya. Mula menutup aurat dan hadir bersolat di masjid. Mula berpuasa. Namun, halangan mula timbul apabila perubahan positifnya itu tidak disenangi oleh keluarga di Albania. Bagi mereka, tindakan Anela itu memalukan keluarga mereka yang terkenal dalam bidang seni.
Kini, setelah beberapa tahun tamat pengajian dan mempunyai kehidupan dan keluarga sendiri, Rafi dan Anela terjumpa secara tidak sengaja di Paris. Rafi hadir ke Paris demi menimba ilmu dan Anela pula atas urusan kerja.
Pertemuan semula rakan sekampus ini membuka semula kisah kehidupan dua insan yang berbeza latar belakang dan pemikiran, ketika mereka berada di Jordan. Anela seronok berkongsi kisah kehidupan lamanya dengan Rafi dan Rafi pula setia mendengar kerana ia membuka matanya mengenai pelbagai kisah dan peristiwa yang tidak pernah diketahuinya sebelum ini.
Naskah Helang Albania ini penuh dengan kritikan sosial. Latar belakang ceritanya banyak mengambil tempat di Jordan. Oleh itu, realiti masyarakat dan cara kehidupan dan budaya Timur Tengah banyak diceritakan disini. Penulis menyentuh tentang sikap IBM (insya-Allah, bukra, ma'alesh) yang menjadi penghalang untuk masyarakat Arab maju seperti bangsa-bangsa lain. Walaupun ada kerajaan Arab yang sangat kaya tetapi mereka masih lagi menjadi bangsa yang menggunakan product dari bangsa lain terutama Barat. Kemuncaknya apabila kekayaan dan kemewahan yang melimpah ruah itu tetap menjadikan mereka gagal membina tamadun Islam.
Ungkapan Insya-Allah seringkali disalahgunakan kerana akhirnya mereka tetap tidak mampu untuk menepati janji. Bukra pula bermaksud esok dan perkataan ini sinonim dengan sikap mereka yang suka bertangguh kerja tanpa sebab. Pada mereka tiada salahnya jika sesuatu tugasan itu diselesaikan pada keesokkan hari atau hari-hari mendatang walaupun ia boleh diselesaikan dengan cepat. Akhir sekali, perkataan ma'alesh yang bermaksud tidak apa menjadi penutup kepada kalam mereka. Tidak apa bagi mereka jika kerja atau tugasan yang disiapkan tidak menepati piawaian. Tidak apa juga jika ia dilakukan separuh hati saja. Tidak apa juga jika pencapaian mereka setakat itu saja. Cukuplah pada mereka.
Penulis juga turut menyentuh tentang ketaksuban sesetengah golongan agama yang merasakan mereka adalah ahli Syurga dan orang lain semuanya adalah ahli Neraka. Walaupun penampilannya seperti warak, namun tutur katanya sangat kasar dan menyakitkan sesiapa yang mendengar, matanya meliar dan bernafsu melihat wanita-wanita yang bukan mahramnya, prasangka buruk sentiasa menebal didalam hati dan dirinya penuh dengan ego.
Naskah ini walaupun tebal (mempunyai 416 mukasurat) tetapi momentum ceritanya laju. Ketika mula membaca, Patung Beruang sangkakan mungkin Patung Beruang akan ambil masa selama seminggu untuk sudahkan pembacaannya. Hakikatnya Patung Beruang berjaya selesaikan naskah ini dalam masa kurang 24 jam. Seperti ada satu tarikan yang menyebabkan Patung Beruang sukar untuk berhenti dan tinggalkan naskah ini sebentar.... hehehe...
Ini bukan kisah cinta.
Ini kisah manusia yang penuh dengan cerita suka duka.
Ini kisah kepelbagaian cara hidup, pemikiran dan pegangan manusia pelbagai bangsa diatas muka bumi ini.
Ini kisah hamba Allah yang ingin kembali kepada syariat Islam tetapi laluannya penuh dengan pancaroba.
Ini juga membawa kisah mualaf yang terkapai-kapai untuk mempertahankan akidah sehingga adakalanya tiada jalan lain yang terlihat kecuali kembali kepada kekufuran.
Kesimpulannya, naskah ini menarik untuk dinikmati agar kita sedar yang bukan semua orang sama seperti kita. Jadi, raikan kepelbagaian dan perbezaan itu...
No comments:
Post a Comment