Penulis : Zahari Affandi
Menariknya Naskah Ini :
Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada hujung minggu lepas. Alhamdulillah.
Embargo bermaksud perintah larangan atau sekatan. Jika dari sudut ekonomi, embargo mempunyai beberapa definisi khusus seperti:
1. Perintah yang melarang kapal-kapal dari atau masuk ke pelabuhan.
2. Larangan mengeksport dagangan ke sesebuah negara.
3. Perintah, tindakan dan sebagainya yang menghentikan kegiatan perdagangan dengan sesebuah negara secara menyeluruh atau terbatas.
Berbalik kepada naskah Embargo ini, pengertiannya lebih menyeluruh yang mencakupi peranan watak-watak yang ada ketika berdepan dengan sekatan, serangan, cubaan dan pergolakan dalam dunia politik, kehidupan beragama, bermasyarakat dan berkeluarga.
Naskah Embargo ini mengisahkan Yang Berhormat Datuk Alang Bahadur yang gigih berusaha mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi sebuah parti politik terkemuka tanah air.
Dalam usahanya untuk berbakti sehabis baik kepada masyarakat, Datuk Alang diuji dengan konflik keluarga, pengkhianatan dari orang kepercayaannya, serangan dari musuh politik serta juga penjenayah yang mengganggu keharmonian masyarakat dan pengundi di kawasannya.
Dalam parti, Datuk Alang berdepan dengan pengikutnya yang suka mengambil kesempatan dan berperangai tin kosong. Kamal Intelek mengganggap dirinya sebagai orang kanan Datuk Alang. Namun, sikap, pemikiran dan pembawaan dirinya hanya menjadi kanser kepada kerjaya dan perjuangan politik Datuk Alang. Sikap Kamal Intelek yang suka mengampu dan pantas menyambar peluang untuk habuan dirinya sendiri menjengkelkan ramai pihak.
Mujur Datuk Alang masih mempunyai orang kanan lain yang lebih berkualiti seperti Haji Badrul, Nawawi, Imam Haji Siraj dan juga generasi muda yang berpotensi menjadi pelapis pemimpin seperti Wan Muhammad.
Kejayaan Datuk Alang memajukan Kubang Itik dari sebuah kampung kecil yang hanya ada pokok getah saja kepada pekan yang mampu menjana ekonomi sendiri menjadikan Datuk Alang adalah aset kepada penduduk dan pengundi disana.
Kubang Itik bukan calang-calang kawasan Parlimen. Mempunyai kegiatan ekonomi yang rancak hasil dari aktiviti pertanian, penternakan, perusahaan kecil dan sederhana telah membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk tempatan sekaligus mengekang penghijrahan ramai anak muda ke luar bandar. Selain itu, kebajikan dan pendidikan masyarakat juga tidak dilupa. Koperasi yang ditubuhkan berjaya diuruskan dengan sebaik mungkin dan pulangannya dapat dinikmati oleh semua ahli yang berdaftar. Pendidikan anak-anak dari peringkat pra sekolah sehingga ke pendidikan menengah dan pengajian tinggi dititik beratkan.
Lumrah kejayaan yang dikecapi pasti dicemburui oleh mereka yang tidak sehaluan. Kubang Itik diuji dengan aktiviti jenayah dan kegiatan haram yang melibatkan orang tempatan dan juga orang luar seperti Ali, Wahab dan Ah Tat. Jahatnya mereka bukan calang-calang sehingga melibatkan keganasan dan penggunaan senjata api.
Dalam sibuk Datuk Alang menguruskan Kubang Itik dan kerjaya politik, anak lelakinya terpengaruh dengan fahaman pluralisme dan liberalisme. Pembabitan anak lelakinya itu seolah memberi durian runtuh kepada parti lain untuk menyerang Datuk Alang. Malah, satu-satunya anak perempuan Datuk Alang pula terlibat dengan gerakan militan Islamic State sehingga sanggup menggadaikan nyawa sendiri.
Naskah Embargo ini pada pendapat Patung Beruang adalah sebuah naskah yang berpijak di bumi nyata. Selok belok politik tanah air, jatuh bangun ahli politik, permainan keji dan tikam-menikam yang ditulis menggambarkan situasi sebenar yang berlaku diluar sana.
Watak Datuk Alang digambarkan sebagai seorang ahli politik yang baik dan berprinsip, yang menceburi dunia politik dengan niat untuk membantu rakyat. Niat itu dikotakan sehingga tiada alasan untuk rakyat menolak kepimpinannya. Namun, dalam hidup ini, tidak semuanya indah belaka. Walau Datuk Alang dilihat berjaya di kawasan Parlimennya, terselit kegagalan dalam pengurusan keluarga kecilnya sendiri. Kegagalan itu terlalu mahal maharnya sehingga merenggut kesihatan isteri tersayang.
Jujurnya Patung Beruang benar-benar menikmati naskah ini. Kisah yang nyata dan momentum pembacaan juga laju. Tiada cerita yang meleret-leret atau pun membosankan. Tahu-tahu saja sudah tamat naskah yang mempunyai 396 mukasurat ini. Alhamdulillah....
No comments:
Post a Comment