Sunday, August 1, 2021

Book Review : Di Atas Sayap-Sayap Malaikat


Tajuk : Di Atas Sayap-Sayap Malaikat 

Penulis : Hana Ilhami 

Menariknya Naskah Ini: 

Alhamdulillah, setelah beberapa bulan Patung Beruang tidak berkongsi book review, akhirnya malam ini barulah berjaya melawan rasa malas dan tidak bersemangat itu. Alhamdulillah.. 

Novel ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya petang tadi, selepas 2 minggu mula membaca. 


Di Atas Sayap-Sayap Malaikat membawa pembaca kepada kisah Ustaz Naim, seorang tenaga pengajar merangkap ketua / pemimpin di Madrasah Darul Uloom Al-Haniffa. Madrasah ini terletak di Adliswil, sebuah pekan kecil yang tenang dan cantik di Switzerland. 

Ustaz Naim yang berasal dari Malaysia sanggup berhijrah ke Switzerland demi menegakkan syiar Islam. Pembelajaran di Darul Uloom sangat tenang sehinggalah beberapa keping nota dilekatkan di tembok batu di hadapan madrasah tersebut, mengandungi kata-kata yang kurang menyenangkan. 


Dalam masa yang sama, seorang gadis Yahudi bernama Miriam sering kali memerhatikan madrasah itu, para penuntutnya dan juga Ustaz Naim sendiri. Entah mengapa, terdapat tarikan yang kuat pada madrasah tersebut dan penghuninya yang menguatkan keinginan Miriam untuk mengenali mereka dengan lebih dekat. Akhirnya Miriam mengambil keputusan untuk mengunjungi madrasah tersebut untuk mempelajari seni khat dari Ustaz Naim dan dalam masa yang sama bertanyakan tentang Islam. 

Minat Miriam terhadap Darul Uloom ditentang keras oleh ibunya, Judith dan juga pengasuhnya Debbie. Judith yang berketurunan Yahudi merasakan orang Islam tidak layak untuk dibuat sahabat atau diterima didalam masyarakat kerana taraf mereka lebih rendah dan juga keganasan yang mereka lakukan. 

Judith terkesan apabila suaminya, Hermann seorang wartawan ternama di Jerman hilang tanpa dapat dikesan apabila beliau dihantar bertugas ke Fallujah, Iraq. Rakan sepejabat yang pergi bersama menyatakan Hermann menjadi mangsa pengeboman ketika mereka sedang bertugas dan akhirnya hilang tanpa dikesan. Ramai menyangka Hermann telah meninggal dunia di Iraq namun hati kecil Judith mengatakan sebaliknya. 

Demi mencari kebenaran mengenai Hermann, Judith sanggup berpindah-randah berdasarkan maklumat yang diterimanya.


Tindakan Judith menetap di Switzerland ketika ini adalah kerana dia mencari Nadine, seorang wanita Amerika yang berpindah ke sini demi mencari kehidupan yang lebih baik dan tenang. 

Nadine, anak sulung kepada Marcia dan Prebet Diego. Diego adalah seorang askar Amerika yang pernah dihantar bertugas di Iraq. Diego juga pernah berjumpa dan berinteraksi dengan Hermann ketika di Fallujah. Namun, kini Diego mengalami tekanan jiwa akibat trauma peperangan. Dan tekanan itu menyebabkan Diego menjadikan dadah sebagai rakan karibnya. Kehidupan Diego yang terumbang-ambing menyebabkan dia banyak berhutang dan  Nadine terpaksa bekerja keras untuk membayar hutang-hutang bapanya itu. 

Perkenalan Nadine dan Judith memberi kelebihan kewangan yang besar buat Nadine sehingga berjaya melangsaikan hutang-hutang bapanya. Namun, ia bukanlah percuma. Nadine diupah untuk menggoda Ustaz Naim dan memporak-perandakan Darul Uloom. Semuanya hanya untuk 1 tujuan, menyekat kebangkitan syiar Islam di bumi Swiss. 


Dalam masa yang sama, madrasah Darul Uloom juga diuji dengan kerenah penuntut yang seringkali mencabar kesabaran Ustaz Naim. Yusuof, anak remaja terbiar yang baru saja memeluk Islam. Tingkah laku dan percakapannya yang kasar dan semberono seringkali mengocak ketenangan Darul Uloom. Keadaan memuncak apabila Yusuof mencabar Ustaz Naim untuk beradu kekuatan dimana taruhannya adalah sangat mahal. Hakikatnya Yusuof mempunyai agendanya yang tersendiri. Kehadirannya ke Darul Uloom bukanlah semata-mata untuk menuntut ilmu seperti anak-anak lain. 

Noah, penuntut yang tertua di Darul Uloom mempunyai perwatakan yang serius dan digeruni oleh murid-murid lain. Namun, satu incident di bilik air menyebabkan Abu Hasif, penuntut cilik dan penyeri Darul Uloom menjadi sangat takut dengan Noah. 

Siapakah sebenarnya Noah dan Yusuof? 

Dan apakah sisi gelap yang cuba mereka sembunyikan dari pengetahuan Ustaz Naim dan para penghuni Darul Uloom? 


Bumi Switzerland yang cantik dan tenang berkocak seketika apabila adanya larangan berniqab di kalangan wanita Islam. Selain itu, pembunuhan adik Nadine iaitu Nicholas dan juga sahabat baik Nadine, Heidi telah membawa perubahan kepada diri gadis ini. Nadine mula mencari kebenaran diatas kematian dua orang insan rapatnya itu. 

Apakah yang berlaku sebenarnya? 

Mengapa mereka dibunuh? 

Apakah salah mereka? 

Adakah Nadine punca segala-galanya sehingga mengorbankan nyawa yang tidak berdosa? 


Pencarian Nadine itu menyebabkan dia menyedari dalang sebenarnya adalah seorang wanita yang tidak pernah disangkanya selama ini. Siapakah wanita itu? Apakah motif utama wanita tersebut? 


Jujurnya, naskah Di Atas Sayap-Sayap Malaikat ini berat. Berat dari segi fizikal (ia mempunyai 581 mukasurat) dan juga berat dari segi pengisiannya. Namun, walaupun naskah ini berat, momentum cerita sangat laju sehingga Patung Beruang tidak langsung rasa bosan ketika membaca. Seolah-olah seperti tenggelam di dalam cerita tersebut. 

Naskah ini membawa pembaca kepada suka-duka masyarakat Islam di luar negara yang berdepan dengan Islamophobia, sikap taksub membuta-tuli yang akhirnya membawa kepada permusuhan, ketidakadilan media dan pemimpin dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat serta agenda dan usaha pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan kebangkitan syiar Islam dan berusaha untuk menghapuskannya. Tidak dilupa, konsep jihad sebenar dalam Islam dan keganasan melampau dilakukan hanya dengan alasan jihad. 

Di akhir zaman ini, fitnah berleluasa sehingga sukar untuk kita mengetahui mana yang benar dan mana yang palsu. Kebiasaannya, yang palsu itu disogokkan berkali-kali sehingga tanpa sedar kita termakan dan terpedaya. 

Naskah yang sedap dan sangat berbaloi untuk dibaca oleh semua....

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...