Showing posts with label Akiya. Show all posts
Showing posts with label Akiya. Show all posts

Sunday, July 14, 2024

Book Review: Orang Kecil


Tajuk: Orang Kecil

Penulis: Akiya

Menariknya Naskah Ini: 

Alhamdulillah, ini adalah naskah ke-3 karya Akiya yang berjaya Patung Beruang selesaikan pembacaannya. 

Naskah Orang Kecil ini adalah buah tangan dari PBAKL 2024. Macam yang Patung Beruang pernah kongsikan disini, tulisan Akiya memberi pendedahan kepada pembaca mengenai suku kaum Semai dengan lebih meluas. Oleh sebab itu, setiap kali Patung Beruang ternampak karyanya di kedai buku, Insya-Allah Patung Beruang akan berusaha untuk memilikinya. 


Untuk naskah ini, pembaca dibawa mengenali Kampung Ulu Sungai Kepayang yang asalnya adalah milik suku kaum Semai dalam daerah Batang Padang, di negeri Perak. 

Berpuluh-puluh tahun lamanya orang Semai berkampung disini. Mereka membina keluarga dan keturunan, hidup dan matinya disini. Mereka berusaha bersungguh-sungguh membangunkan kampung ini. 

Kampung Ulu Sungai Kepayang berjiran dengan kampung orang Melayu. Hidup sejahtera dan aman-damai sebagai jiran tetangga. 

Kini, Kampung Ulu Sungai Kepayang diduduki generasi ketiga. Sayangnya generasi ketiga ini hidup mereka seperti bangkai bernyawa. Tidak bersemangat dan sudah hilang jati diri. Mereka mabuk dengan kemewahan yang sedia ada. Lelakinya tidak segan silu untuk menjadi samseng atau pun tahi dadah. Yang perempuan pula tidak segan silu untuk mengandung anak luar nikah. Adakah ini harga yang perlu dibayar atas nama nikmat kemerdekaan? 

Walaupun digelar kampung orang ulu, kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka. Segala kemudahan asas seperti sekolah rendah, dewan orang ramai, jalan raya berturap tar, bekalan elektrik dan air 24 jam sehari, semuanya ada. 


Long, seorang ketua keluarga yang sangat mementingkan pelajaran anak-anaknya. Long tidak mahu anak-anaknya buta huruf seperti dirinya. Long sedar yang sangat sukar untuk hidup dizaman ini jika anak-anaknya tidak berpelajaran. Long nekad, dia sanggup berusaha sehabis daya demi memastikan anak-anaknya dapat bersekolah. 

Long mempunyai 3 orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Anak sulungnya bernama Baki sudah berumur 18 tahun, merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Baki belajar di sebuah sekolah menengah di Pekan Sungkai. 


Batin Dulah dan anak-anak kampung tidak pernah meminta usaha-usaha pembangunan dalam Kampung Ulu Sungai Kepayang. Ketika Yang Berhormat berusaha memastikan projek dewan rakyat dikampung itu siap, Batin Dulah bertanya apa gunanya dewan rakyat itu? Batin Dulah dan anak-anak buahnya masih tercari-cari rasional pembinaan sekolah, jalan berturap tar dan dewan rakyat di kampung mereka. Mungkin Yang Berhormat atau pegawai-pegawai kerajaan terlupa untuk menjelaskan dengan sehabis baik faedah-faedah kemudahan tersebut kepada mereka. Atau mungkin juga orang-orang kerajaan ini menganggap orang kampung akan tahu sendiri sebab-musabab semua ini berlaku. Sayangnya...


Long dan anak-anak kampung menganggap Kampung Ulu Sungai Kepayang akan menjadi milik mereka untuk selama-lamanya. Kehidupan kampung yang tenang dan tenteram akan berkekalan. Long tidak tahu, orang luar sedang berusaha untuk mengambil tanah rizab kampung ini untuk dimajukan dengan tanaman kelapa sawit. Ya, ladang kelapa sawit hendak dibuka disitu. Selain itu, balak-balak yang ada didalam hutan dara itu juga menjadi igauan orang-orang diluar sana. Sayang, Long dan anak-anak kampung tidak sedar yang tanah nenek moyang mereka ini sedang diintai kapitalis kejam diluar sana. 


Seman adalah biras Long. Tiba-tiba saja Seman datang kerumah Long dan mengajak Long untuk membunuh Kok Ling. Kok Ling adalah lelaki Cina bekerja dengan Dato' Ah Kow. Seman naik angin bukan kepalang apabila traktor Kok Ling masuk ke dalam kawasan tanah Seman dan merosakkan pokok-pokok yang ada. Pokok-pokok durian, petai, manggis, cempedak, nangka, rambutan, mata kucing semuanya telah rosak angkara traktor Kok Ling. 

Selama seminggu traktor Kok Ling menolak tanah, membersih kiri dan kanan jalan masuk ke kampung. Batin Dulah bertanya pada Kok Ling, siapa yang mengarahkannya membersihkan tanah-tanah tersebut? Kata Kok Ling, Tauke Ah Kow yang menyuruhnya. 

Batin Dulah rasa gembira kerana ada tauke Cina yang prihatin dengan keadaan kampung orang asli. Sudi membaiki jalan di kampung. Tidak perlulah ada YB atau orang kerajaan. Batin Dulah mudah percaya dengan apa yang didengarnya dari Kok Ling. Terlalu lurus dan naif sehingga terlupa tidak semua orang luar itu mempunyai hati yang lurus dan naif seperti kaum Semai. 


Tauke Ah Kow sedar kekayaan yang dimilikinya membolehkan dia membeli sesiapa saja termasuklah orang kampung dan orang kerajaan. Peduli lah dengan pokok-pokok orang kampung yang rosak. Peduli lah dengan sungai yang tercemar kesan dari pembuangan tanah dan saki-baki diesel. Peduli lah alam sekitar yang rosak. Yang penting bagi Ah Kow adalah untung yang besar di masa hadapan. 

Ah Kow mengupah Sani untuk memecah-belahkan anak-anak buah Batin Dulah. Sani orang luar tetapi berkahwin dengan wanita suku kaum Semai. Bagi Sani, orang-orang Semai ini tidak setaraf dengannya. Hanya orang pekan, orang bandar dan kontraktor-kontraktor saja yang layak untuk berkawan dengan Sani. 

Sani mudah gelap mata dengan gula-gula dari Ah Kow. Dia terlupa, orang Semai sangat menitik-beratkan tanah warisan nenek moyang mereka. Orang Semai juga sangat kukuh ikatan kekeluargaan mereka. Mereka tidak mudah terpedaya dengan Sani, apatah lagi Ah Kow. Bagi mereka, warisan harus dipertahankan sehabis daya. Mati berjuang lebih mulia daripada mati berpeluk tubuh. 



Gaya penulisan Akiya seperti biasa sangat straightforward. Ayat-ayatnya pendek. Oleh itu, walaupun naskah ini mempunyai 200 mukasurat, momentum membaca sangat laju. 

Akiya dan penulisan yang jujur memang tidak dapat dipisahkan. Ending Orang Kecil ini mendadak. Ibarat sedang berjalan dan terus terjun ke dalam gaung yang paling dalam. Kelam dan sedih, namun realistik......

Sunday, May 5, 2024

Book Review: Kami


Tajuk: Kami

Penulis: Akiya

Menariknya Naskah Ini: 

Akiya atau nama sebenarnya Mahat a/l China adalah seorang penulis berketurunan Semai bareeh. Menggunakan nama pena Akiya dalam penulisan seni. Dikalangan keluarga, beliau juga dikenali dengan nama Anggor. 

Patung Beruang mengenali buah tangan Akiya melalui naskah beliau yang bertajuk Hamba dan Patung Beruang juga ada kongsikan betapa menariknya naskah Hamba itu di blog ini. 

Naskah Kami ini berkisah tentang kelangsungan hidup Anggor dan keluarganya. Ia berkisar dari semenjak zaman darurat sehinggalah waktu terkini, yang melibatkan perjalanan hidup tiga generasi keturunannya. 


Akiya atau Anggor dilahirkan pada 2 January 1953 adalah anak sulung kepada Jakob@China a/l Ah Hu dan isterinya, Tamun a/p Megat Husin. Mempunyai 6 orang adik iaitu: 

  • Jalih (sudah meninggal dunia)
  • Imah (sudah meninggal dunia)
  • Sehak (sudah meninggal dunia)
  • Borhan (sudah meninggal dunia)
  • Bibi a/p China
  • Abas a/l China 

Anggor berketurunan Semai bareeh dan membesar di pedalaman negeri Perak. Semai bareeh bermaksud kaum Semai yang menetap dalam kampung di pinggir bandar. Kampung Anggor berjiran dengan kampung Melayu. Oleh itu, mereka banyak berhubung dengan orang luar seperti Cina, Melayu dan India. 


Ketika Anggor berumur 10 tahun, iaitu pada tahun 1960-an, bermulalah usaha-usaha pembangunan di kampungnya sebagai salah satu usaha kerajaan untuk membantu orang kampung. Pembangunan tersebut termasuklah pembinaan sekolah dan pos perubatan bagi kemudahan masyarakat kampung. 

Anggor dan keluarga tinggal secara tetap dan berkampung halaman. Keluarganya bercucuk tanam dan menternak secara ekonomi sara diri. Selain itu, penduduk kampungnya juga terlibat secara langsung dalam kegiatan ekonomi jual beli dalam skala kecil. 

Seperti kebiasaannya, setiap kampung pasti diketuai oleh penghulu (penghuluk). Penghulu ini bertanggungjawab untuk menjaga hal-ehwal anak-anak buahnya iaitu penduduk kampung tersebut seperti:
  1. Melaporkan kepada pihak berkuasa tentang kelahiran dan kematian. 
  2. Menyelesaikan pertengkaran yang berlaku antara anak-anak buahnya. 


Ayah dan emak Anggor bercerita yang Anggor dilahirkan ketika zaman darurat, zaman komunis. Ayah bercerita yang ketika itu banyak askar berkubu di pinggir-pinggir kampung, di hulu dan di hilir Sungai Erong. Di seberang sungai juga ada askar berkubu. Orang kampung takut akan askar. Tetapi orang kampung juga takut akan komunis. 

Hidup ketika darurat sangat sukar. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Barang makanan seperti beras, gula, tepung, garam, minyak masak semuanya kena catu. Barang makanan dikawal oleh kerajaan bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan komunis. 



Datuk Anggor berketurunan Cina Hokkien, bernama Ah Hei. Namun orang kampung lebih mengenalinya dengan nama Aki Mya. Aki Mya berasal dari Tongsan, China dan datang ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Aki Mya adalah seorang peniaga dan menjadi orang tengah untuk membeli hasil pertanian dari kawasan pedalaman untuk dijualnya di pekan Sabak Bernam. 

Wan Nanti atau Eh adalah isteri Aki Mya. Dalam ingatan Anggor, neneknya ini adalah seorang wanita tua yang suka memakai baju kurung Kedah warna hitam dan berkain hitam. Perwatakan wanita ini yang pendiam dan suka menyendiri membuatkan Anggor merasakan yang Wan Nanti adalah seorang wanita tua yang penuh misteri. 



Zaman kanak-kanak adalah zaman yang menyeronokkan kerana mereka hanya bermain dan bermain sepuas-puasnya. Anggor dan rakan-rakan seronok bermain pondok-pondok dan peperangan menggunakan senapang mainan yang dibuat dari kayu. Jika bermain peperangan, pastu terung pipit kesayangan emak habis dibuat peluru. Keadaan ini mencetuskan kemarahan emak dan akhirnya emak membakar senapang mereka dan melarang anak-anak dari membuat senapang baru. 

Samaada musim kemarau ataupun musim tengkujuh, kedua-duanya mempunyai kenangan manis buat Anggor. Ketika musim kemarau, air Sungai Erong akan cetek termasuk kawasan lubuknya. Oleh itu, pelbagai jenis ikan sungai seperti ikan baung, ikan bujuk, ikan toman, ikan susur batang, ikan terbul, ikan temperas, ikan tilan malah labi-labu akan terperangkap di dalam lubuk yang airnya separas dada orang dewasa. Oleh itu, orang kampung termasuk Anggor dan keluarga akan menangkap ikan dengan cara menggagau ikan. 

Aktiviti menggagau ikan ini seperti satu pesta. Baik lelaki atau perempuan akan turun ke sungai untuk menggagau ikan. Kanak-kanak pula akan menonton dan mempelajari teknik menggagau yang dilakukan orang dewasa. 

Ikan yang dapat ditangkap melalui aktiviti menggagau ini sangat banyak dan tidak akan habis dimakan sekaligus. Oleh itu, ikan yang tidak habis dimakan akan disalai. Itulah cara mereka menyimpan ikan untuk dijadikan simpanan makanan.  Selain disalai, ada juga yang membuat ikan pekasam. Semuanya demi memastikan, bekalan makanan sentiasa ada untuk keluarga ini. 

Apabila musim tengkujuh tiba, Sungai Erong menjadi tempat ikan sungai bertelur. Pada waktu itu, semua kawasan lembah atau kawasan rendah yang berada di tebing sungai akan digenangi air bah. Ikan-ikan pula banyak berkumpul di tebing-tebing sungai atau kawasan lembah. Oleh itu, penduduk kampung akan memasang lukah atau bubu untuk menangkap ikan. Penduduk kampung Anggor pula lebih gemar menangkap ikan dengan cara memasang candik. 


Anggor mula bersekolah ketika berusia 10 tahun, iaitu lewat 3 tahun daripada usia sepatutnya. Emak dan ayah mahu Anggor bersekolah dan belajar menjadi orang pandai. Mereka sedar yang pendidikan mampu mengubah masa depan keluarga itu. Ketika itu orang kampung Anggor mempunyai pelbagai pandangan yang berbeza berkaitan persekolahan anak-anak mereka. Ada yang berpendapat, kalau anak-anak mereka bersekolah, anak-anak mereka akan menjadi orang pandai dan boleh menjadi mandur di Ladang Ulu Bernam. Gajinya besar dan kerjanya juga agak senang. Oleh itu, anak-anak mereka tidak perlu lagi menjadi penoreh getah. Tetapi ada juga orang kampung yang berpendapat jika anak-anak mereka bersekolah, anak-anak ini akan jadi orang Melayu, dan seterusnya merugikan masyarakat orang Asli sendiri. 


Antara perkara yang sangat menyakitkan berlaku dalam keluarga Anggor adalah kematian adik-adiknya. Dua adiknya, Sehak yang lahir pada tahun 1959 dan Borhan, lahir tahun 1960 meninggal dunia kerana demam panas. Sehak meninggal ketika berumur 6 tahun dan Borhan pula ketika berumur 5 tahun. 

Ketika itu, kawasan kampung mereka tidak mempunyai kemudahan perubatan. Apabila sakit, mereka tidak mampu untuk mendapatkan rawatan yang baik. Kedua-dua anak ini meninggal dunia pada bulan dan tahun yang sama, cuma berselang dua minggu. 

Semasa Sehak dan Borhan mengalami demam panas, ayah telah mengayuh basikal sejauh lebih 5 kilometer, membawa anaknya ke klinik di Ladang Ulu Bernam. Walaupun pembantu perubatan telah memberi ubat demam panas, suhu badannya masih tidak turun sehingga menyebabkan kematiannya. 

Jalih pula lahir pada tahun 1954. Ketika kanak-kanak, Jalih kerap sakit dan sering keluar masuk Hospital Tapah. Jalih ada tanda-tanda mengidap penyakit lelah. Akhirnya, pada usia 21 tahun, Jalih meninggal dunia di Hospital Tibi, Kuala Lumpur. Didalam sijil kematiannya, tercatat punca kematian adalah penyakit tibi. 

Kematian yang terakhir berlaku dikalangan adik-adik Anggor adalah Imah. Kisah Imah ini sangat sedih kerana banyak rahsia dirinya terungkap melalui tulisan-tulisan dalam diarinya, yang dibaca Anggor selepas pemergian gadis ini. 




Apa yang Patung Beruang gemar dengan naskah Kami ini adalah walaupun Akiya menggunakan gaya bahasa yang ringkas dan bersahaja, beliau tetap mampu bercerita tentang kehidupan keluarganya dengan amat terperinci. Beliau bercerita tentang kedua-dua ibu bapanya yang sangat beliau hormati, tentang adik-adiknya yang sangat dikasihinya, tentang saudara-maranya yang pelbagai ragam, dan juga tentang kawan-kawan sepermainannya. 

Dalam naskah Kami ini ada perjalanan suka dan duka. Ada kasih yang merimbun dan terus mewangi. Ada nostalgia yang jauh ditinggalkan, tetapi sentiasa kejap tersemat dalam ingatan. 

Jujurnya, Patung Beruang jatuh cinta dengan penulisan Akiya selepas membaca naskah Hamba. Gaya bahasa yang ringkas tetapi masih menusuk ke hati, membuatkan kita terasa seperti sedang mendengar Akiya bercerita kisahnya atau kisah masyarakatnya, sambil duduk minum petang di tepi halaman rumah. 

Sejak itu, Patung Beruang berazam untuk mengumpul seberapa banyak naskah Akiya, kerana melaluinya kita dapat belajar tentang cara kehidupan kaum berbilang bangsa yang berada di zaman yang berbeza.  


Terima kasih Akiya untuk naskah yang sangat merendah diri tetapi hebat dan berbekas di hati pembaca. Semoga naskah ini menjadi harta paling berharga untuk tatapan generasi muda. 

Saturday, October 31, 2020

Book Review : Hamba

Tajuk : Hamba

Penulis : Akiya

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah Hamba ini baru sahaja Patung Beruang selesaikan pembacaannya kurang setengah jam tadi. Kiranya fresh from oven lah, hehe.. 

Ini juga adalah salah satu buku yang Patung Beruang beli di Gerakbudaya beberapa hari lepas. Kenapa Patung Beruang tertarik untuk memiliki novel ini? 

Novel ini adalah tulisan Mahat anak China atau nama penanya Akiya. Beliau adalah penulis orang asli kaum Semai yang berasal dari Hilir Perak. 

Apatah lagi apabila membaca sinopsis novel ini yang berkisarkan tentang dunia perhambaan yang menghantui masyarakat orang asli pada waktu dahulu, menambahkan lagi keinginan Patung Beruang untuk meneliti naskah ini. 


Hamba membawa kita kepada suasana di tahun 1874, di negeri Perak atau lebih spesifik lagi di kawasan sepanjang Sg Bidor. Bujal adalah seorang lelaki muda berketurunan orang asli yang telah dibeli dan dijadikan hamba abdi oleh Engku Kahar, seorang pembesar dalam daerah itu. 

Bujal adalah hamba abdi yang berada dalam kelasnya yang tersendiri. Mereka yang bergelar hamba abdi ini dipandang hina dan dianggap seperti haiwan peliharaan. Mereka lebih rendah dari hamba berhutang atau hamba kerahan. Mereka sering diperlakukan sesuka hati, diseksa dan dianiaya. 

Apa tugas hamba abdi ini? 

Untuk kaum lelaki, mereka biasanya diberikan tugasan berat seperti bekerja di ladang lada hitam, mendulang bijih di sungai, menjalankan kerja-kerja buruh kasar di hutan, mencari dan membelah kayu api, mengangkat air panas dan sebagainya. 

Untuk kaum perempuan pula, mereka juga tidak terlepas untuk dijadikan buruh di ladang. Bagi perempuan yang muda dan mempunyai rupa paras cantik, mereka akan dijadikan gundik atau tempat pemuas nafsu tuan mereka. Lebih malang, mereka juga dijadikan pelacur dimana mereka diminta melayan tauke-tauke cina atau pembesar lain dan upahnya akan dinikmati oleh tuan mereka. 

Namun, perkara yang paling menyeksakan hamba abdi ini adalah kaki mereka dirantai dengan rantai besi yang menyebabkan mereka sukar untuk berjalan. Kebiasaannya rantai besi sebesar jari kelingking manusia digunakan untuk merantai kaki mereka. Ia amat menyakitkan hamba abdi ini. Semua ini dilakukan agar hamba abdi ini tidak melarikan diri dari tuan mereka. 

Tempat tinggal pula hanyalah pondok atau lebih layak digelar reban kecil. Tempat untuk mereka berehat selepas diperah tenaga sepanjang hari. Makanan pula hanyalah nasi kepal dan secebis ikan kering yang diberikan sekali sehari. Itu saja menu harian mereka pemberian tuan yang kejam. Suka atau tidak, mereka terpaksa telan kerana itu saja sumber makanan mereka setiap hari. 

Bagaiman Bujal boleh menjadi hamba? Awalnya, Bujal telah ditangkap oleh Ngah Bukit di dalam hutan sempadan negeri Perak dan negeri Pahang. Pada waktu itu, aktiviti menangkap orang asli dengan tujuan dijual kepada pembesar Melayu adalah perkara biasa. Selepas ditangkap oleh Ngah Bukit, Bujal dijual kepada Engku Kahar dengan harga beberapa ringgit saja. 

Engku Kahar mempunyai ramai hamba abdi sama ada lelaki atau perempuan. Baginya, bilangan hamba abdi yang ramai sangat dibanggakan kerana ia menunjukkan lambang status diri dan keluarganya. 

Engku Kahar berkahwin dengan Cik Puan Zahariah. Pasangan ini mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan iaitu Engku Berahim dan Engku Wati. 

Perwatakkan Engku Kahar sangat kejam, kasar dan panas baran. Pantang salah sedikit, Engku Kahar akan melenting sehingga tanpa segan silu mencederakan orang-orang bawahannya termasuklah hamba abdinya. Selain itu Engku Kahar juga penagih candu dan mata keranjang. Sebagai pembesar di daerah itu, Engku Kahar mempunyai hubungan baik dengan tauke-tauke Cina dan memudahkannya untuk mendapatkan bekalan candu. 

Kehidupan Bujal sebagai hamba abdi keluarga Engku Kahar turut disertai oleh rakan-rakan lain seperti Pandak, Kunyit, Anjang, Miah dan Bulan. 

Pada awalnya, Bujal menaruh hati kepada Miah. Namun, tidak berapa lama, Miah telah dijadikan gundik oleh Engku Kahar. 

Selepas Engku Kahar bosan dengan Miah, dia telah menyerahkan wanita yang tidak berdosa itu kepada Datuk Panglima Hitam, orang kanannya. Maka, terputuslah hubungan Bujal dan Miah. 

Selepas perginya Miah, Bujal jatuh hati kepada Bulan, seorang lagi hamba perempuan Engku Kahar. Namun, Bulan yang masih muda dan cantik itu juga akhirnya dijadikan gundik Engku Kahar. Tinggallah Bujal seorang diri menahan rasa seperti pungguk rindukan bulan. 

Datuk Panglima Hitam mempunyai cita-cita yang tinggi untuk menggantikan tempat Engku Kahar. Dalam diam Datuk Panglima Hitam mengumpulkan pengaruh dan orang suruhan yang boleh dipercayainya untuk mengkhianati Engku Kahar. Namun ada juga orang suruhannya yang bersikap talam dua muka. Engku Kahar pun disokong, Datuk Panglima Hitam juga disokong. Antaranya adalah Majid. Lelaki yang dijadikan hamba kepada Engku Kahar kerana keluarganya terjerat dengan hutang. 

Niat jahat Datuk Panglima Hitam itu disedari Engku Berahim. Engku Berahim runsing memikirkan masa depan keluarganya kerana terlihat unsur-unsur pemberontakan dan pengkhianatan oleh orang-orang suruhan dan hamba-hamba Engku Kahar. Ada yang memberontak kerana ingin melepaskan diri dan menjadi manusia yang merdeka. Namun, ada juga yang memberontak dan berkhianat kerana terpengaruh dengan Datuk Panglima Hitam. 

Menambahkan lagi kerunsingan Engku Berahim apabila menyedari satu-satunya adik perempuannya, Engku Wati menjalin hubungan cinta dengan Bujal. Adalah satu perkara yang sangat memalukan apabila keluarga berdarjat seperti mereka bercinta atau berkahwin dengan golongan hamba abdi. 



Jujurnya inilah pertama kali Patung Beruang meneliti naskah berkenaan kisah perhambaan atau kisah orang asli yang berlaku pada zaman dahulu. 

Menarik dan lain dari lain. 

Sepanjang membaca naskah ini, hati diruntun sedih melihat kekejaman yang dilakukan oleh pembesar Melayu dan orang suruhan mereka terhadap masyarakat orang asli yang dijadikan hamba ini. Terasa hilang sifat peri kemanusiaan mereka. Walaupun namanya orang Melayu dan beragama Islam, sifat dan perangai yang ditonjolkan dalam cerita ini jauh berbeza sekali dengan sifat dan perangai yang selayaknya sebagai bangsa Melayu atau sebagai Muslim. 

Lagi satu yang buatkan Patung Beruang suka dengan naskah ini adalah style tulisan penulis. Susunan ayatnya direct dan ayat pendek-pendek. Jadi momentum bacaan itu sangat laju dan konsisten. Tidak hairanlah Patung Beruang dapat habiskan naskah ini dalam masa 24 jam sahaja walaupun ceritanya panjang. 

Naskah yang mempunyai keunikkannya yang tersendiri dan sangat berbaloi untuk diteliti. 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...