Tuesday, April 7, 2020

Book Review : Merentas Gerhana

Tajuk : Merentas Gerhana 


Penulis : Norhisham Mustaffa 



Menariknya Naskah Ini : 


Naskah Merentas Gerhana ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada petang Ahad hari itu. Naskah yang dibeli di Pesta Buku Selangor awal Mac hari itu, dijual dengan harga RM10 saja sebuah berbanding harga asal RM30.

Naskah yang mempunyai 346 mukasurat ini mengisahkan pergolakan politik di Kampung Pasak Tembaga apabila wakil rakyat mereka, Haji Lajiman meninggal dunia setelah bertarung nyawa lebih kurang dua bulan di hospital.

Kematian Haji Lajiman bukan saja meninggalkan balunya iaitu Hajah Raunah, anak-anaknya Mardiah dan adik-adiknya, tetapi juga penduduk DUN Pasak Tembaga yang sangat terkesan dengan kehilangan pemimpin yang baik dan disegani oleh kawan dan lawan.


Beberapa ketika sebelum kematian Haji Lajiman, beberapa individu dari Parti Ikatan Rakyat dan Negara (PARKITA) telah membuat satu pakatan sulit untuk menentukan siapakah yang layak untuk menjadi calon bagi menggantikan tempat Haji Lajiman. 

Pakatan sulit tersebut yang diketuai oleh Encik Murad telah mengadakan satu pertemuan rahsia yang dihadiri oleh Nik Kamaruddin selaku Ketua Pemuda Gugusan, Awang Johari Setiausaha Pemuda Gugusan, Muhammad Syaari dan Cikgu Fahmi sebagai AJK Gugusan, Wan Zulaiha Ketua Wanita Gugusan, Norfaizah Setiausaha Wanita Gugusan, Lebai Akil Pengerusi Tetap Gugusan, Haji Syaharuddin sebagai Bendahari Gugusan, Junaidi yang menjawat jawatan AJK Pemuda Gugusan dan beberapa individu lain yang bukanlah orang penting dalam Gugusan atau ahli Pemuda Gugusan. 

Peliknya pertemuan rahsia tersebut tidak dihadiri oleh Haji Ahmadon iaitu Timbalan Ketua Gugusan merangkap orang no. 2 selepas Haji Lajiman. 

Encik Murad memaklumkan yang Datuk Syawal, iaitu Setiusaha Perhubungan Negeri PARKITA meminta agar Encik Kadar Mahbub dilantik sebagai calon untuk menggantikan Haji Lajiman. 

Cadangan tersebut sangat memeranjatkan hadirin yang hadir kerana pertamanya, Haji Lajiman ketika masih lagi sedang bertarung nyawa di hospital. Adalah tidak adil untuk membincangkan isu pengganti beliau. Yang kedua, Encik Kadar Mahbub adalah orang luar dari kawasan Pasak Tembaga dan tidak pernah mengambil tahu perkembangan masyarakat Pasak Tembaga. Pencalonannya seolah-olah seperti tiada seorang pun penduduk Pasak Tembaga yang layak untuk menjadi pemimpin. Malah, pencalonan Kadar Mahbub juga seperti menafikan kewujudan Haji Ahmadon yang dilihat lebih layak berdasarkan senioriti dan pengalamannya dalam politik. 

Setelah kematian Haji Lajiman dan Suruhanjaya Pilihanraya memutuskan perlunya diadakan pilihanraya kecil di DUN Pasak Tembaga, Encik Murad semakin galak melobi agar Kadar Mahbub dicalonkan untuk bertanding di dalam pilihanraya tersebut. 

Namun disaat-saat akhir, pimpinan PARKITA memutuskan agar Encik Murad sendiri yang bertanding didalam pilihanraya kecil tersebut sebagai calon PARKITA. 

Pada masa yang sama, Parti Ikhwan iaitu pembangkang DUN Pasak Tembaga meletakkan Haji Zubir sebagai calon mereka. Haji Zubir adalah ustaz muda berkelulusan Timur Tengah yang sangat aktif memberi kuliah di masjid-masjid Pasak Tembaga. 

Oleh kerana terdapat tentangan mengenai pencalonan Encik Murad sebagai calon PARKITA, beberapa orang kuat PARKITA nekad untuk mencalonkan Junaidi sebagai calon bebas di dalam pilihanraya kecil tersebut.

Pencalonan Junaidi memberi tamparan hebat kepada pimpinan PARKITA kerana menyedari Junaidi jauh lebih berkelayakkan jika dibandingkan dengan Encik Murad. PARKITA takut seandainya penduduk Pasak Tembaga akan memilih Junaidi berbanding Encik Murad. 

Oleh itu, PARKITA mula melancarkan serangan bagi menjatuhkan Junaidi. Serangan bermula dengan pujukan secara halus agar Junaidi menarik diri dan seterusnya dijanjikan jawatan Senator seadainya DUN Pasak Tembaga dimenangi oleh Encik Murad. Apabila pujukan halus tidak berjalan, mereka mula menyerang keperibadian Junaidi. Status Junaidi yang tidak berkahwin walaupun sudah menginjak pertengahan 30-an dijadikan modal oleh PARKITA. Fitnah terhadap Junaidi berleluasa. 

Selain itu, kilang membuat bihun yang dimiliki oleh Junaidi tiba-tiba terbakar di awal pagi. Orang ramai membuat spekulasi yang ini adalah perbuatan khianat. Namun Junaidi tetap tenang kerana baginya kerosakan yang dialami kilangnya itu akan dibayar pampasan oleh pihak insurans. Baginya, yang penting tiada seorang pun pekerjanya termasuklah pengawal keselamatan mengalami kecederaan kritikal disebabkan kebakaran tersebut. 

Dalam masa yang sama, beberapa individu penting dari Parti Ikhwan datang bersemuka dengan Junaidi. Calon dari Parti Ikhwan sanggup menarik diri dari pilihanraya kecil ini dengan syarat Junaidi menyertai Parti Ikhwan dan bertanding atas tiket Parti tersebut. Parti Ikhwan sedar yang Junaidi mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi pilihanraya tersebut. Maka, adalah lebih baik seadainya pilihanraya tersebut menjadi pertembungan 2 penjuru saja, iaitu PARKITA dan Parti Ikhwan. 



Naskah Merentas Gerhana ini menonjolkan ketaksuban orang Melayu terhadap dunia politik. Bagaimana ada yang sanggup menggadaikan prinsip, maruah dan harga diri atas nama politik. 

Tidak semua orang yang terlibat dalam politik itu jahat. Namun, disebabkan adanya golongan ini lah, inidividu lain yang mempunyai keperibadian dan niat baik dalam dunia politik sukar untuk survive. Kerana mereka yang baik ini seringkali dikhianati, difitnah dan dianiaya hanya kerana mereka tidak sehaluan dengan golongan yang lagi satu. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...