Sunday, April 19, 2020

Book Review : Lelaki Yang Hebat - Hebat Dalam Al-Quran

Tajuk : Lelaki Yang Hebat - Hebat Dalam Al-Quran

Penulis : Syaari Ab Rahman

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini baru saja Patung Beruang selesai baca pada tengahari tadi. Ini adalah salah satu  buku dalam kombo Ibrah dan Tadabbur Al-Quran yang dijual oleh Iman Publication. 

Kombo Ibrah dan Tadabbur Al-Quran ini mengandungi 3 buah buku dan berharga RM90 tak silap. Sedangkan kalau kita beli berasingan, sebuah buku saja sudah berharga RM35. Namun, Patung Beruang tak pasti jika promosi kombo tersebut masih ada sehingga kini. 


Beberapa orang lelaki hebat yang diceritakan didalam naskah Lelaki Yang Hebat-Hebat Dalam Al-Quran adalah: 
  • Pemuda Ashabul Kahfi; 
  • Nabi Ibrahim AS;
  • Nabi Ismail AS;
  • Nabi Daud AS; dan
  • Nabi Isa AS dan pemuda Hawariyun 


Surah Al-Kahfi adalah antara Surah yang digalakkan untuk kita membacanya seperti yang dinyatakan di dalam hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih. 

Surah Al-Kahfi ini diturunkan selepas Rasulullah SAW kehilangan dua insan penting dalam kehidupan Baginda dan Baginda sangat sedih. Dalam Surah ini, Allah bercerita tentang manusia yang meninggalkan negerinya. Pergi ke lokasi yang tidak diketahui. Yang pasti, setelah itu Allah SWT memberikan rahmat-Nya di lokasi baru. 

Allah seolah-olah memberi isyarat kepada Rasulullah SAW agar mencontohi mereka yang terdahulu iaitu meninggalkan negeri demi memelihara akidah dan nyawa. 

Sebelum turunnya Surah Al-Kahfi, Rasulullah SAW telah dicabar oleh pemimpin-pemimpin Quraisy agar membuktikan kerasulan Baginda. Pemimpin-pemimpin Quraisy ini sanggup pergi ke Yathrib untuk mendapatkan bantuan orang Yahudi berkenaan bagaimana untuk membuktikan yang Rasulullah SAW itu bukan seorang Nabi. Orang Yahudi tersebut telah memberikan 3 soalan kepada pemimpin Quraisy untuk ditanyakan kepada Rasulullah SAW.

Setelah itu, pemimpin Quraisy ini mendatangi Rasulullah SAW dan meminta Nabi menceritakan tentang kisah pemuda-pemuda yang telah pergi sehingga hilang ditelan masa. Dan pemuda-pemuda tersebut tiba-tiba muncul semula dan kewujudan mereka tidak diketahui oleh manusia yang hidup pada masa itu. 

Selepas 15 hari, barulah Allah SWT menurunkan wahyu iaitu Surah Al-Kahfi bagi menjawab persoalan orang Yahudi tersebut. 

Bagaimana orang Yahudi di Yathrib mengetahui tentang kisah pemuda al-Kahfi??? 

Ini adalah kerana kisah pemuda al-Kahfi telah didokumenkan terlebih dahulu oleh orang-orang Kristian dan Yahudi. Selepas itu, kisah tersebut diceritakan dari satu generasi ke satu generasi dan berlakulah tokok tambah yang bukan-bukan. 

Surah Al-Kahfi diturunkan kepada Rasulullah SAW kerana orang Yahudi telah mempunyai maklumat berkenaan, sedangkan Baginda tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai kisah tersebut. Dan Allah menurunkan Surah al-Kahfi yang tiada tokok tambah melainkan kebenaran semata-mata. Maka, berkenaan kisah Ashabul Kahfi ini, kita orang Islam wajib memegang apa yang dikisahkan di dalam Al-Quran saja dan bukannya bercampur dengan apa yang dipegang oleh orang Kristian atau Yahudi. 

Menariknya dalam naskah ini adalah penulis menyenaraikan persamaan dan  perbandingan kisah pemuda Ashabul Kahfi yang tercatat dalam Al-Quran dan juga sumber Kristian. Antara perbezaan yang ketara adalah: 
  • Al-Quran tidak menyebut nama-nama pemuda al-Kahfi dan bagaimana mereka saling mengenali. Tetapi, sumber Kristian menyenaraikan nama pemuda-pemuda tersebut dan menyatakan yang mereka saling mengenali dalam akademi ketenteraan Rom. 
  • Tiada lokasi kejadian yang dinyatakan dalam Al-Quran. Berdasarkan sumber Kristian, kejadian pemuda al-Kahfi ini berlaku di Ephesus iaitu salah satu wilayah di Turki.
  • Al-Quran menjelaskan tujuan pemuda al-Kahfi dibangkitkan iaitu kerana manusia pada waktu itu berdebat berkenaan bagaimana manusia akan dibangkitkan kelak ketika Hari Kebangkitan Semula? Adakah manusia dibangkitkan dengan roh saja atau pun dengan roh dan jasad?  Namun, Al-Quran tidak menjelaskan pada zaman bila peristiwa al-Kahfi dibangkitkan. Dalam sumber Kristian, mereka menyebut dengan jelas tahun berlakunya kejadian kebangkitan pemuda al-Kahfi. 
  • Al-Quran menyebut tentang kisah anjing yang tugasnya memelihara pintu gua tempat pemuda al-Kahfi berlindung. Namun, kisah anjing ini tidak disebut dalam sumber Kristian. 

Kisah pemuda al-Kahfi ini bukan saja memberi motivasi kepada Rasulullah SAW tetapi juga kepada para sahabat. Ini kerana para sahabat menyedari yang mereka beriman ketika Rasulullah SAW ada bersama mereka. Sedangkan pemuda al-Kahfi beriman tanpa Nabi. Maka, para sahabat menyedari adanya kisah pemuda yang lebih hebat dari mereka. 



Antara isi kandungan yang menarik juga dalam naskah ini adalah kisah Nabi Isa AS dan pemuda Hawariyun. 

Rasanya ramai yang pernah mendengar tentang mural yang dilukis oleh Leonardo da Vinci yang bertajuk The Last Supper. Mural tersebut boleh dilihat di salah satu gereja di Milan, Italy. The Last Supper ini dinobatkan sebagai one of the Western's most recognizable paintings. 

Harus diingat yang The Last Supper yang dilukis oleh Leonardo adalah bersumberkan Kristian. Siapa pun watak yang digambarkan dalam mural tersebut, apa pun rupa paras yang terlukis, bagaimana suasana dalam mural tersebut, kita sebagai seorang Muslim tidak boleh meletakkan kepercayaan kepada apa yang dilukis itu. 

Now, back to kisah Nabi Isa AS. Sebelum Baginda diangkat ke langit, Baginda telah menghidu kekufuran Bani Israel dan merasakan yang dirinya akan dibunuh. Baginda merasakan seperti sesuatu yang tidak baik akan berlaku pada malam itu. 

Maka, Nabi Isa AS memanggil para Hawariyun ke lokasi persembunyian Baginda dan menjemput mereka untuk makan bersama. Demi menguatkan iman dan mengentalkan keyakinan, Hawariyun meminta Nabi Isa AS untuk menunjukkan mukjizat Baginda di hadapan mata mereka, iaitu menurunkan makanan daripada langit yang disebut sebagai the last supper antara Nabi Isa AS dengan para Hawariyun. 

Disini, Allah SWT meletakkan kedudukan para Sahabat Rasulullah SAW lebih tinggi daripada Hawariyun. Para Sahabat Rasulullah SAW sanggup mati dan diseksa demi perjuangan Rasulullah. Malah, para Sahabat tidak pernah meminta untuk diperlihatkan sebarang mukjizat. Bagi mereka, cukuplah Al-Quran sebagai petunjuk dan sekaligus mukjizat. 

Apa yang berlaku pada Nabi Isa AS selepas turunnya makanan dari langit???
Patung Beruang tidak mahu kongsikan disini... 



Lebih separuh buku Lelaki Yang Hebat-Hebat Dalam Al-Quran ini berkisarkan tentang surah al-Kahfi. Isi kandungan naskah ini berjaya memberi kefahaman yang lebih kepada pembaca berkenaan intipati surah al-Kahfi.

Selain itu, Patung Beruang seronok membaca naskah ini kerana banyak ilmu dan pengalaman baru yang Patung Beruang perolehi disini. Naskah ini totally lain dari buku-buku agama yang pernah Patung Beruang baca sebelum ini. 

Begini rupanya bila kita mentadabbur al-Quran. Perasaannya sangat lain...
And now, this book is listed as one of my favorites.. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...