Showing posts with label Syaari Ab Rahman. Show all posts
Showing posts with label Syaari Ab Rahman. Show all posts

Sunday, April 19, 2020

Book Review : Lelaki Yang Hebat - Hebat Dalam Al-Quran

Tajuk : Lelaki Yang Hebat - Hebat Dalam Al-Quran

Penulis : Syaari Ab Rahman

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini baru saja Patung Beruang selesai baca pada tengahari tadi. Ini adalah salah satu  buku dalam kombo Ibrah dan Tadabbur Al-Quran yang dijual oleh Iman Publication. 

Kombo Ibrah dan Tadabbur Al-Quran ini mengandungi 3 buah buku dan berharga RM90 tak silap. Sedangkan kalau kita beli berasingan, sebuah buku saja sudah berharga RM35. Namun, Patung Beruang tak pasti jika promosi kombo tersebut masih ada sehingga kini. 


Beberapa orang lelaki hebat yang diceritakan didalam naskah Lelaki Yang Hebat-Hebat Dalam Al-Quran adalah: 
  • Pemuda Ashabul Kahfi; 
  • Nabi Ibrahim AS;
  • Nabi Ismail AS;
  • Nabi Daud AS; dan
  • Nabi Isa AS dan pemuda Hawariyun 


Surah Al-Kahfi adalah antara Surah yang digalakkan untuk kita membacanya seperti yang dinyatakan di dalam hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih. 

Surah Al-Kahfi ini diturunkan selepas Rasulullah SAW kehilangan dua insan penting dalam kehidupan Baginda dan Baginda sangat sedih. Dalam Surah ini, Allah bercerita tentang manusia yang meninggalkan negerinya. Pergi ke lokasi yang tidak diketahui. Yang pasti, setelah itu Allah SWT memberikan rahmat-Nya di lokasi baru. 

Allah seolah-olah memberi isyarat kepada Rasulullah SAW agar mencontohi mereka yang terdahulu iaitu meninggalkan negeri demi memelihara akidah dan nyawa. 

Sebelum turunnya Surah Al-Kahfi, Rasulullah SAW telah dicabar oleh pemimpin-pemimpin Quraisy agar membuktikan kerasulan Baginda. Pemimpin-pemimpin Quraisy ini sanggup pergi ke Yathrib untuk mendapatkan bantuan orang Yahudi berkenaan bagaimana untuk membuktikan yang Rasulullah SAW itu bukan seorang Nabi. Orang Yahudi tersebut telah memberikan 3 soalan kepada pemimpin Quraisy untuk ditanyakan kepada Rasulullah SAW.

Setelah itu, pemimpin Quraisy ini mendatangi Rasulullah SAW dan meminta Nabi menceritakan tentang kisah pemuda-pemuda yang telah pergi sehingga hilang ditelan masa. Dan pemuda-pemuda tersebut tiba-tiba muncul semula dan kewujudan mereka tidak diketahui oleh manusia yang hidup pada masa itu. 

Selepas 15 hari, barulah Allah SWT menurunkan wahyu iaitu Surah Al-Kahfi bagi menjawab persoalan orang Yahudi tersebut. 

Bagaimana orang Yahudi di Yathrib mengetahui tentang kisah pemuda al-Kahfi??? 

Ini adalah kerana kisah pemuda al-Kahfi telah didokumenkan terlebih dahulu oleh orang-orang Kristian dan Yahudi. Selepas itu, kisah tersebut diceritakan dari satu generasi ke satu generasi dan berlakulah tokok tambah yang bukan-bukan. 

Surah Al-Kahfi diturunkan kepada Rasulullah SAW kerana orang Yahudi telah mempunyai maklumat berkenaan, sedangkan Baginda tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai kisah tersebut. Dan Allah menurunkan Surah al-Kahfi yang tiada tokok tambah melainkan kebenaran semata-mata. Maka, berkenaan kisah Ashabul Kahfi ini, kita orang Islam wajib memegang apa yang dikisahkan di dalam Al-Quran saja dan bukannya bercampur dengan apa yang dipegang oleh orang Kristian atau Yahudi. 

Menariknya dalam naskah ini adalah penulis menyenaraikan persamaan dan  perbandingan kisah pemuda Ashabul Kahfi yang tercatat dalam Al-Quran dan juga sumber Kristian. Antara perbezaan yang ketara adalah: 
  • Al-Quran tidak menyebut nama-nama pemuda al-Kahfi dan bagaimana mereka saling mengenali. Tetapi, sumber Kristian menyenaraikan nama pemuda-pemuda tersebut dan menyatakan yang mereka saling mengenali dalam akademi ketenteraan Rom. 
  • Tiada lokasi kejadian yang dinyatakan dalam Al-Quran. Berdasarkan sumber Kristian, kejadian pemuda al-Kahfi ini berlaku di Ephesus iaitu salah satu wilayah di Turki.
  • Al-Quran menjelaskan tujuan pemuda al-Kahfi dibangkitkan iaitu kerana manusia pada waktu itu berdebat berkenaan bagaimana manusia akan dibangkitkan kelak ketika Hari Kebangkitan Semula? Adakah manusia dibangkitkan dengan roh saja atau pun dengan roh dan jasad?  Namun, Al-Quran tidak menjelaskan pada zaman bila peristiwa al-Kahfi dibangkitkan. Dalam sumber Kristian, mereka menyebut dengan jelas tahun berlakunya kejadian kebangkitan pemuda al-Kahfi. 
  • Al-Quran menyebut tentang kisah anjing yang tugasnya memelihara pintu gua tempat pemuda al-Kahfi berlindung. Namun, kisah anjing ini tidak disebut dalam sumber Kristian. 

Kisah pemuda al-Kahfi ini bukan saja memberi motivasi kepada Rasulullah SAW tetapi juga kepada para sahabat. Ini kerana para sahabat menyedari yang mereka beriman ketika Rasulullah SAW ada bersama mereka. Sedangkan pemuda al-Kahfi beriman tanpa Nabi. Maka, para sahabat menyedari adanya kisah pemuda yang lebih hebat dari mereka. 



Antara isi kandungan yang menarik juga dalam naskah ini adalah kisah Nabi Isa AS dan pemuda Hawariyun. 

Rasanya ramai yang pernah mendengar tentang mural yang dilukis oleh Leonardo da Vinci yang bertajuk The Last Supper. Mural tersebut boleh dilihat di salah satu gereja di Milan, Italy. The Last Supper ini dinobatkan sebagai one of the Western's most recognizable paintings. 

Harus diingat yang The Last Supper yang dilukis oleh Leonardo adalah bersumberkan Kristian. Siapa pun watak yang digambarkan dalam mural tersebut, apa pun rupa paras yang terlukis, bagaimana suasana dalam mural tersebut, kita sebagai seorang Muslim tidak boleh meletakkan kepercayaan kepada apa yang dilukis itu. 

Now, back to kisah Nabi Isa AS. Sebelum Baginda diangkat ke langit, Baginda telah menghidu kekufuran Bani Israel dan merasakan yang dirinya akan dibunuh. Baginda merasakan seperti sesuatu yang tidak baik akan berlaku pada malam itu. 

Maka, Nabi Isa AS memanggil para Hawariyun ke lokasi persembunyian Baginda dan menjemput mereka untuk makan bersama. Demi menguatkan iman dan mengentalkan keyakinan, Hawariyun meminta Nabi Isa AS untuk menunjukkan mukjizat Baginda di hadapan mata mereka, iaitu menurunkan makanan daripada langit yang disebut sebagai the last supper antara Nabi Isa AS dengan para Hawariyun. 

Disini, Allah SWT meletakkan kedudukan para Sahabat Rasulullah SAW lebih tinggi daripada Hawariyun. Para Sahabat Rasulullah SAW sanggup mati dan diseksa demi perjuangan Rasulullah. Malah, para Sahabat tidak pernah meminta untuk diperlihatkan sebarang mukjizat. Bagi mereka, cukuplah Al-Quran sebagai petunjuk dan sekaligus mukjizat. 

Apa yang berlaku pada Nabi Isa AS selepas turunnya makanan dari langit???
Patung Beruang tidak mahu kongsikan disini... 



Lebih separuh buku Lelaki Yang Hebat-Hebat Dalam Al-Quran ini berkisarkan tentang surah al-Kahfi. Isi kandungan naskah ini berjaya memberi kefahaman yang lebih kepada pembaca berkenaan intipati surah al-Kahfi.

Selain itu, Patung Beruang seronok membaca naskah ini kerana banyak ilmu dan pengalaman baru yang Patung Beruang perolehi disini. Naskah ini totally lain dari buku-buku agama yang pernah Patung Beruang baca sebelum ini. 

Begini rupanya bila kita mentadabbur al-Quran. Perasaannya sangat lain...
And now, this book is listed as one of my favorites.. 

Saturday, March 21, 2020

Book Review : Perempuan Yang Baik-Baik Dalam Al-Quran

Tajuk : Perempuan Yang Baik-Baik Dalam Al-Quran

Penulis : Syaari Ab Rahman 

Ceritanya Patung Beruang: 

Naskah ini Patung Beruang beli ketika Pesta Buku Selangor (PBS) yang berlangsung awal bulan Mac. Awalnya tak bercadang pun nak pergi PBS sebab Patung Beruang dah target nak pergi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung pada hujung bulan ini di PWTC. 

Tapi, bila tiba-tiba pengajur keluarkan pengumuman yang PBAKL ditangguhkan sebab wabak Covid-19, Patung Beruang dah rasa OMG, sedihnya!!!!

Finally, hari Jumaat 6 March 2020, selepas waktu kerja, Patung Beruang larilah ke SACC, Shah Alam untuk melawat PBS. Basically, bilangan booth tidak lah sebanyak PBAKL, tapi boleh lah. Publisher yang besar-besar kebanyakkannya ada. Cuma yang Patung Beruang ralat sikit adalah tidak banyak discount yang ditawarkan di sini berbanding PBAKL. 

Untuk bibliophile, lawatan ke PBS dah kira memadai untuk menghilangkan sebentar kesedihan kami kerana penangguhan PBAKL. Selain itu, dikeliling buku-buku yang menarik dan pelbagai genre juga adalah satu escapism untuk kami, hehehe....


Menariknya Naskah Ini:

Naskah Perempuan Baik-Baik Dalam Al-Quran membawa pembaca kepada 8 Bab yang menarik mengenai wanita-wanita hebat, yang diceritakan didalam Al-Quran seperti:
  • Surah Al-Qasas : Ibrah Kisah Ibu Nabi Musa AS
  • Surah Maryam : Perempuan Yang Didatangi Jibrail 
  • Surah Al-Mujadalah : Perempuan Yang Mengadu 
  • Surah At-Tahrim : Perempuan Yang Bisik-Bisik 

Antara yang menarik didalam naskah ini yang dapat Patung Beruang kongsikan disini adalah:  

Dalam Surah An-Nisa, ayat 21 (terjemahannya): 

"Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?" 


Dalam ayat ke-21 diatas terdapat perkataan "miitaqan ghaliizan" yang menggambarkan ikatan perkahwinan, iaitu akad nikah. 

Menariknya, perkataan "miitaqan ghaliizan" ini kemudian berulang pada hujung ayat ke-154, Surah An-Nisa (terjemahannya): 

"Dan Kami telah mengangkat 'Gunung Tursina' ke atas mereka disebabkan (mereka ingkar akan) perjanjian setia mereka (mematuhi hukum-hukum Taurat), dan Kami perintahkan mereka: 'Masuklah kamu melalui pintu (negeri) itu dengan merendah diri' dan Kami juga perintahkan mereka: "Janganlah kamu melanggar perintah larangan yang ditentukan pada hari Sabtu', dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian setia yang teguh (yang mewajibkan mereka mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya)."

Dalam ayat ke-154 diatas, perkataan "miitaqan ghaliizan" itu merujuk kepada janji antara kaum Bani Israel dengan Allah SWT. Ia berkaitan dengan kisah kaum Bani Israel di mana batu-batu diangkat dan diletakkan di atas kepala mereka disebabkan kebongkakan mereka. Selepas nyawa mereka diragut dengan gempa bumi dan petir, Allah SWT menghidupkan mereka kembali dengan doa Nabi Musa AS. 70 orang kaum Bani Israel yang ketakutan selepas menghadapi kematian ini akhirnya melakukan taubat, baiah dan janji dengan Allah SWT. 

Pengulangan perkataan "miitaqan ghaliizan" yang sama itu menunjukkan perjanjian pernikahan itu adalah sama berat dengan perjanjian kaum Bani Israel dengan Allah SWT. 



Dalam Bab ke-3, penulis berkongsi tentang Surah Maryam dimana ia bermula dengan kisah Maryam memencilkan diri, sebab-sebabnya dan dimana peristiwa tersebut berlaku. 

Ayat ke-20 Surah Maryam (terjemahannya) adalah:
"Maryam menyatakan (dengan cemas), 'Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan seorang perempuan jahat?"

Ayat ke-20 diatas menggunakan kalimah "walam aku baghiyya".  Jika diikutkan pada struktur Arab klasik, kita tidak boleh menggunakan perkataan "aku". Sepatutnya ia berbunyi "walam akun baghiyya" yang bermaksud  "aku tidak pernah menjadi pelacur". 

Dalam 2 ayat ini, perbezaan yang ada hanyalah pada satu huruf yang telah digugurkan iaitu huruf "nun" pada perkataan "akun" menjadi "aku". 

"Baghiyya" pula bermaksud melakukan sesuatu yang haram dengan mana-mana lelaki atau mana-mana perempuan. 

Bagi Maryam, perkataan "baghiyya" dengan dirinya seolah-olah langsung tidak boleh berdekatan antara satu sama lain. Bermaksud Maryam tidak kenal apa itu maksiat. Beliau dengan pelacuran itu adalah 2 perkataan yang terlalu asing antara satu sama lain dan janggal jika di letak bersebelahan. Begitulah sucinya Maryam yang Allah SWT gambarkan di dalam ayat ini. 


Selain itu, ayat ke-23 dalam Surah Maryam (terjemahannya) berbunyi: 
"Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!" 

Dalam ayat ini, Maryam meluahkan keinginannya untuk mati bukan kerana sakit untuk melahirkan anak semata-mata. Namun, beliau sudah membayangkan apa yang bakal berlaku apabila tangisan anak ini mula didengari orang ramai. Orang akan mula bertanyakan pelbagai perkara dan satu Baitul Maqdis akan mendapat berita yang Maryam telah melahirkan anak. 

Ucapan beliau yang dirakamkan didalam ayat ke-23 diatas menunjukkan Maryam sanggup mati jika hidupnya pada waktu itu memberikan fitnah kepada agama. Betapa Allah SWT telah menggambarkan dengan jelas yang Maryam ini mengutamakan agama melebihi dirinya.... 



Secara umumnya buku ini sangat bagus untuk membantu kita tadabbur Al-Quran dengan lebih baik. Walaupun hanya ada 8 Bab, namun kupasan yang diberikan oleh penulis sangat jelas untuk kita lebih memahami ayat-ayat Al-Quran yang dinyatakan.

Patung Beruang suka membaca Al-Quran yang disertakan dengan terjemahan dimana habis saja membaca satu mukasurat, Patung Beruang akan membaca terjemahan untuk mukasurat tersebut sebelum beralih ke mukasurat seterusnya. Sebagai seorang yang tidak mahir Bahasa Arab (bukan lah tidak tahu sebab 3 tahun Patung Beruang belajar Bahasa Arab ketika sekolah agama dulu, huhu..),  membaca terjemahan membantu Patung Beruang untuk memahami apa yang disampaikan di dalam Al-Quran itu. 

Namun, apabila membaca buku ini Patung Beruang lebih memahami initipati disebalik ayat-ayat yang diceritakan, sebab-sebab ia diturunkan, sebab-sebab mengapa Allah jadikan susunan ayat itu begitu, hikmah dan pengajaran yang boleh dikutip dari ayat tersebut....

Honestly, it is really a good book and recommended for everyone who has intention to learn more about Al-Quran...   

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...