Monday, November 14, 2016

Book Review: Langit Petang

Tajuk: Langit Petang

Penulis: A. Samad Said

Menariknya Novel Ini: 

Karya Langit Petang ini adalah salah satu karya hebat dari Pak Samad, selain Salina. Malah, karya ini pernah diangkat ke layar perak dengan tajuk yang sama. Cuma Patung Beruang tidak pernah menontonnya.

Novel ini mengisahkan 3 watak utama iaitu Pak Ariff, Hafiz dan Zakiah yang hidup berjiran di sebuah perkampungan setinggan. 

Pak Ariff adalah bekas pejuang kemerdekaan. Beliau pernah menuntut di Maktab Perguruan Sultan Ismail, Tanjung Malim. Disana lah beliau kenal dengan sahabat-sahabat yang sealiran dengannya termasuklah Hanafi. Kini, beliau tinggal sebatang kara dan menghabiskan masa tuanya dengan bercucuk tanam di sekeliling rumah.

Hafiz adalah seorang wartawan muda yang sangat meminati dunia sastera. Seorang pemikir. Mengimpikan kehidupan yang bebas dari belenggu kerja pejabat. Hanya duduk membaca dan menulis sahaja.

Zakiah adalah seorang gadis cantik tetapi sangat berdendam dengan lelaki. Dendamnya berasas kerana Zakiah pernah terlanjur bersama kekasih, mengandung anak luar nikah dan akhirnya ditinggalkan begitu sahaja oleh sang kekasih. Sejak dari itu, Zakiah nekad untuk menundukkan seberapa banyak lelaki yang dia mampu, mengikis harta mereka demi kepuasan dirinya. 

Pak Ariff dan Hafiz sering berbual dan bercerita mengenai hakikat kehidupan. Susah payah ketika menuntut kemerdekaan dan besarnya nilai pengorbanan pejuang lama kepada generasi muda sekarang. Hubungan yang akrab seperti ayah dan anak menyebabkan Pak Ariff juga sedar tentang percintaan Hafiz dan Zawiyah, bekas penduduk di kampung tersebut. Namun, percintaan itu berkesudahan dengan kekecewaan yang mendalam buat Hafiz apabila Zawiyah berpaling kepada lelaki lain yang dirasakannya mampu menjamin hidupnya dari segi material. 

Zakiah dan Hafiz pula mula rapat tatkala Hafiz membantu Zakiah ke hospital, selepas Zakiah menggugurkan kandungannya. Walaupun Hafiz sedar kehidupan sosial Zakiah serta pekerjaan sebenarnya, namun Hafiz merasakan itu adalah soal peribadi Zakiah. Persahabatan mereka lebih berkisar kepada pekerjaan Hafiz sebagai wartawan, gelagat masyarakat setempat dan nasihat agar Zakiah mengubah cara hidupnya. 

Pada suatu hari, Zakiah dan Pak Ariff dikejutkan dengan tindakan Hafiz meletakkan jawatan secara tiba-tiba. Dan lebih memeranjatkan adalah Hafiz nekad untuk ke Kuala Terengganu demi menikmati keindahan alam disana. 

Maka, bermulalah pengembaraan Hafiz di Kuala Terengganu. Didalam perjalanan, Hafiz berkenalan dengan Hanafi, sahabat lama Pak Ariff. 

Dalam masa yang sama, Zawiyah datang berjumpa Pak Ariff demi mencari Hafiz. Tujuannya hanya satu, untuk kembali ke pangkuan Hafiz. Namun, kehadiran Zawiyah yang telah mempunyai anak dan ditinggalkan suami, kurang disenangi oleh Pak Ariff kerana tidak mahu Hafiz terluka untuk kali ke-2. Malah, pada pandangan Pak Ariff, Hafiz yang sekarang adalah Hafiz yang berbeza dari yang pernah dikenali oleh Zawiyah, beberapa tahun dahulu. 

Tanpa diketahui oleh sesiapa, keputusan Hafiz untuk meletakkan jawatan secara tiba-tiba dan berkelana ke Kuala Terengganu, sebenarnya menyimpan rahsia yang besar. Rahsia yang tidak sanggup untuk dikongsi walau dengan sesiapa pun......


Langit Petang, sesuai dengan namanya, ia benar-benar mewujudkan suasana melancholy kepada Patung Beruang. Naskah ini mengandungi banyak adegan monolog Hafiz. Membawa kita menyulusuri hati dan fikirannya sebagai anak muda yang tercampak di kota besar, sebatang kara, hanya menjadikan jiran-jiran sebagai ahli keluarga, tersepit antara kehendak material dan kepuasan diri serta sebagai perakam peristiwa dan kehidupan masyarakat setempat. 

Jika dibandingkan dengan Salina, jujurnya Patung Beruang lebih menyukai Salina. Namun, janganlah salah faham. Langit Petang ini tidak mengecewakan langsung. Malah, ia lebih baik dari kebanyakkan novel yang berada di pasaran kini. 

Langit Petang ini ibarat seperti kehidupan kita. Muram, senja, dan akhirnya akan pergi juga. Dan begitulah juga dengan naskah ini. Penamatnya menyedihkan. Dan memberi jawapan atas segala persoalan yang bermain disepanjang pengembaraan pembaca. Naskah yang sangat bagus dan berbaloi untuk dinikmati.


Oh ye, ada satu perkara yang bermain-main difikiran Patung Beruang. Tatkala menatap Salina dan Langit Petang, Patung Beruang melihat watak perempuan yang kurang baik, diangkat menjadi watak utama. Latar belakang persekitaran yang ditonjolkan adalah masyarakat Melayu kelas bawahan yang tinggal di kawasan setinggan. Tersepit dengan kemajuan kota disekelilingnya. Nampak seolah-olah tiada masa depan. Sanggup melakukan apa sahaja demi mencari sesuap nasi walaupun pekerjaan yang kurang elok. 

Namun, bila Patung Beruang menatap karya Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, persekitaran berbeza yang ditonjolkan. Masyarakat Melayu golongan elit, yang mendapat pendidikan diluar negara, dan kemudian pulang untuk berbakti kepada masyarakat. Golongan kelas atasan yang sangat menjaga adab dan status, kaum wanita nya dipelihara sebaik mungkin, tidak mudah untuk keluar rumah sesuka hati melainkan untuk tujuan belajar atau bekerja. 

Dua nama besar dalam dunia sastera Malaysia, menonjolkan dua keadaan berbeza masyarakat Melayu yang tinggal di kota. Benarlah kata orang, 
   
    Karya sastera itu seperti perakam.
  Ia mampu menangkap, merakam dan menyimpan suasana, peristiwa, peradaban pada masa itu untuk tatapan kita, orang luar, generasi yang tiada pada zaman itu. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...