Saturday, November 12, 2016

Book Review: Move On!

Tajuk: Move On!

Penulis: Reyna Ibrahim

Menariknya Buku Ini:

Karya bertajuk Move On! ini Patung Beruang beli ketika pergi Popular Jusco Ayer Keroh bersama dengan ibu, bulan lepas. Masa itu ibu berhasrat untuk mencari sebuah buku yang beliau baca ulasannya disurat khabar. Maka, bila Patung Beruang pulang ke Melaka, teruslah Patung Beruang ajak ibu ke Popular. Manalah tau kan, ada rezeki kami, dapatlah jumpa buku yang ibu cari tu. Malangnya kami tak jumpa buku tersebut. Tapi dah alang-alang masuk kedai buku, rugilah kalau tak beli buku kan? Jadinya, buku lain lah yang menjadi rezeki buat Patung Beruang dan ibu.

Basically Move On! adalah coretan penulis bagaimana beliau berusaha untuk bangkit tatkala diuji hebat oleh Allah SWT. Beliau diuji dengan keruntuhan rumahtangga yang tidak pernah diduga. Ujian yang benar-benar merenggut separuh jiwanya. 

Banyak tips-tips berguna yang beliau kongsikan didalam karya ini antaranya:

1. Setiap dari kita diuji dengan pelbagai ujian sebenarnya. Kita mungkin menyalahkan takdir, berdendam pada takdir dengan menyatakan Allah itu tidak sayang pada kita. Sebab itulah kita diuji. Namun, jika dilihat dengan mata hati, ujian itu sebenarnya adalah bukti kasih sayang Allah pada kita. Ujian menjadikan kita lebih dekat pada-Nya, berusaha menjadi hamba yang lebih baik. 

2. Berdepan ujian dengan cara menghukum diri sendiri bukan lah satu tindakan yang bijak. Menyeksa diri sendiri dengan mengabaikan kesihatan tubuh badan dan minda, segalanya yang pada zahirnya adalah pinjaman dari Allah kepada kita. Ujian sepatutnya menjadikan kita lebih tabah kerana Allah menurunkan ujian pada seseorang itu selayaknya dengan kemampuannya. Jadi, jangan melemahkan dan menzalimi diri sendiri. 

3. Nangislah sepuas-puasnya. Luahkan segalanya pada Allah, bukan pada manusia. Meratap dan merintih, bertaubat atas segala salah silap kita, mohon kekuatan hanya pada Allah SWT. Kita pasti akan terkesan dengan nikmatnya air mata taubat itu. 

4. Umat Islam sangat beruntung kerana mereka mempunyai senjata yang sangat hebat, yang tidak dimiliki oleh orang yang bukan Islam iaitu DOA. Ye, doa. Maka, gunakanlah kelebihan yang Allah beri, berdoa lah sepuas-puas hati, seikhlas hati sepanjang masa. Allah itu Maha Mendengar. 

5. Nyalakan aura positif pada diri kita dan orang disekeliling, setiap masa. Seperti Law of Attraction, kita menarik apa yang kita fikirkan. Maka, jika kita ingin yang baik-baik sahaja, maka, fikirkan lah yang baik-baik sahaja. 

6. Setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Setiap yang pahit pasti ada manisnya. Maka, percayalah setiap ujian itu pasti ada hikmahnya. Cuma mungkin kita yang tidak mahu melihat hikmah tersebut. Atau mungkin kita masih belum mampu melihatnya. Namun, jangan berputus asa kerana pabila badai telah pergi, kita akan duduk terfikir, 
   
      "Ye, kerana aku diuji lah maka aku jadi sebegini hebat atau jadi sebegini bagus, atau jadi hamba-Nya yang lebih baik. Tanpa ujian itu, mungkin aku tidak akan berada dimana aku berada sekarang."


7.  Sentiasa beristighfar. Harus diingat, kita ini hamba-Nya yang lalai. Hamba yang pendosa. Kita tidak akan lari dari dosa sama ada kecil atau besar seperti lintasan hati yang tidak elok, berprasangka buruk, meremehkan suruhan-Nya dan sebagainya. Oleh itu, beristighfar lah. Tatkala diri sedang diuji dan dada seakan sesak, pada waktu itu mulakan beristighfar. Ulang dan ulang secara perlahan, dan kita akan berasa sedikit kelegaan di sudut yang tadinya tersangat sesak. 

8.  Hidup ini adalah belajar. Belajar bersyukur, memahami, sabar, setia, memberi, mengasihani, tenang, percaya, tersenyum dan belajar ikhlas walaupun susah. 

9.  Sandarkan hidup hanya pada Allah kerana kasih sayang manusia tidak pernah kekal. Kasih sayang manusia akan hilang dan ada pasang surutnya. Oleh itu, sematkan dalam hati dan yakinlah yang kita hanya ada Allah. 

10.  Bukalah buku baru dan pandanglah ke depan. Ye, ia tersangat mudah untuk dituturkan namun sukar untuk dilakukan. Namun, kita mampu melakukanya jika kita mahu. Oleh itu, tatkala kenangan lama menjelma, tatkala hati dirundung duka, ingatan melayang sehingga mengganggu emosi kita, bertasbihlah tanpa mengira waktu dan masa. Sedikit sebanyak ia mampu meredakan gelodak jiwa. 


Begitulah serba sedikit tips yang dikongsi oleh penulis melalui naskah ini. Sebenarnya ada banyak tips yang boleh kita perolehi tatkala kita menelaah naskah ini, helaian demi helaian. 

Meneliti naskah ini seolah-olah seperti mengembara kedalam diri kita sendiri. Ini kerana, kita sebagai manusia, sebagai hamba-Nya turut sentiasa diuji. Cuma mungkin ujian kita berbeza dengan ujian yang dihadapi oleh si penulis. Namun, ia tidak menghalang kita untuk menjiwai tulisan ini kerana apa yang dilakukan oleh penulis untuk mengubati jiwanya, adalah apa yang kita juga lakukan. Sama ada secara sedar atau tanpa sedar...  

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...